Kita tidak ditakdirkan untuk hanya mencintai seorang sahaja seumur hidup kita, kata Mak.
Dengan hanya menggalas beg tangan, Mak keluar dari rumah ke kereta yang sedang menunggu di luar. Pemandu kereta itu adalah lelaki muda berpakaian t-shirt kuning. Dia kekasih baru Mak. Sejurus sahaja Mak masuk ke dalam kereta, mereka memecut tinggalkan pandangan kami. Mak langsung tidak menoleh belakang. Ayah pula mengurung diri sendiri di dalam bilik.
Kata aku: Ayah, tolong buka pintu ni. Pada waktu begini kita mesti bersama. Ayah boleh luahkan kepada saya.
Jawab Ayah: Buat masa ni, aku nak bersendiri aje. Aku nak layan jiwa aku. Kita bercakap esok aje. Kita boleh sarapan bersama esok.
Pada keesokan harinya, aku masuk ke bilik Ayah bersama dulang yang diisi roti bakar, dua butir telur separuh masak dan secawan kopi. Aku mahu Ayah bersarapan atas katil sahaja.
Tetapi dulang itu tidak sampai ke katil Ayah. Aku telrepas dulang itu dan semuanya berderai ke atas lantai. Ayah menggantung dirinya. Airmata aku bercucuran.
Jangan panggil polis dulu Malena, arah kakak aku.
Kakak membawa kain kanvas kosong dan mula melukis Ayah.
Bukan selalu kita dapat peluang lukis orang gantung diri macam ni, kata Kakak.
Lidah aku terkedu. Aku tak tahu hendak kata apa apabila melihat apa yang berlaku di depan mata aku. Mak menyisih Ayah untuk bersama kekasih mudanya. Ayah pula membunuh diri, dan Kakak aku pula dengan tenang melukis Ayah yang mati tergantung dari siling bilik. Aku rasa seperti aku berada dalam cerita wayang surrealistik yang tidak ada awal dan penghabisannya. Selepas dua jam, Kakak aku selesai kerjanya.
Sekarang kau boleh panggil polis, kata Kakak.
Ada orang akan anggap apa yang aku buat ini zalim dan gila. Tapi mereka tidak faham yang setiap kerja seni yang hebat mesti ada sentuhan yang zalim dan gila.
****
Mak tak hadir ke upacara pengkebumian Ayah. Kata Mak: Semua orang yang datang nanti akan tengok aku sebagai penyebab ayah kau bunuh diri. Aku tak dapat terima bila semua orang pandang aku macam nak makan aku nanti. Aku tak buat apa-apa salah. Aku tak sayang ayah kau lagi.
Takkan mereka nak lihat aku ni jadi isteri merana dan tinggal dengan dia Tak ada siapa yang akan maafkan aku sebab aku pilih kebahagiaan daripada kesedihan.
****
Semasa pengkebumian Ayah, Kakak berdiri kaku seperti patung yang diukir cantik. Semua orang ingat Kakak terlalu sedih kerana dia tidak menunjukkan sebarang emosi pun. Mereka tidak henti-henti memeluk Kakak. Mereka tidak henti suruh Kakak bersabar. Tetapi sebenarnya, Kakak tidak sabar menunggu selesainya upacara pengkebumian itu. Dia membisik ke telinga aku: Tak ada orang bagitahu aku yang upacara orang mati ni bosan nak mampus. Kau ingatkan aku supaya aku tak datang upacara macam ni lagi.
****
Setahun selepas kematian Ayah, Kakak adakan pameran lukisan pertamanya. Salah satu lukisan yang dia pamerkan ialah gambar Ayah mati atas tali gantung. Dia letak tajuknya Sarapan Atas Katil. Kegelapan dan kemurungan dalam lukisan itu menarik perhatian setiap pengunjung. Sarapan Atas Katil membawa dia menjadi terkenal .
Dalam satu wawancara program televisyen, Kakak beritahu: Sarapan Atas Katil berdasarkan pengalaman sebenar. Seorang anak perempuan yang mahu beri kejutan kepada ayahnya dengan hidangkan sarapan di atas katil. Bila dia masuk ke dalam bilik, dia lihat bapa dia sudah mati tergantung. Dengan perasaan terkejut, dulang yang penuh dengan sarapan berderai jatuh ke lantai. Walaubagaimana pun, anak perempuan itu saya tidak masukkan ke dalam lukisan. Tetapi, kalau kita perhatikan betul-betul lukisan ini, kita akan dapat lihat dulang dan semuanya berselerak.
Wartawan bertanya: Cerita ni berdasarkan pengalaman anda
Kakak enggan menjawab soalannya tetapi memberikan senyuman menggoda.
****
Mak tidak mahu lagi tinggal di negara ini.
Tempat ni banyak sangat memori pahit untuk aku, kata Mak.
Mak dan kekasih mudanya berpindah ke Bali di mana mereka mengusahakan sebuah motel secara kecil-kecilan berdekatan pantai.
Mungki aku akan kembali melukis, kata Mak.
Kakak kau bukan seorang aje artis dalam keluarga kamu tahu Aku juga artis. Ayah kau seorang yang sukar untuk diambil hati dan menjadi isterinya sering buat aku sibuk. Aku tidak ada masa untuk teruskan minat aku untuk melukis. Sekarang, aku ada banyak waktu untuk buat perkara yang aku suka.
Maka Mak pun menjadi seorang pengkreatif seni yang tidak habis-habis melukis. Tetapi kesemua lukisannya ada satu persamaan. Kekasih mudanya ada pada setiap lukisannya. Dengan tanpa pakaian. Dengan berpakaian Sambil mandi Sambil membaca buku.
Sambil makan
Mak memang gilakan dia kan kata aku.
Jawab Mak: AKu bukan gilakan dia. Aku gilakan cinta itu. Dia ajar aku makna cinta.
****
Jiwa aku tertekan. Imej Ayah tegantung menghantui aku. Susah untuk aku terima yang Mak dan Kakak langsung tidak ada perasaan sedih atas kematian Ayah.
Aku sudah berjumpa dengan pakar psikiaktri sebab tekanan yang aku alami. Aku beritahu semuanya tentang kehidupan aku, termasuklah kenyataan di mana Kakak dengan sabarnya melukis gambar Ayah mati tertgantung. Pakar psikiatri itu nampak terkejut selepas mendengar.
Mungkin awak boleh ajak kakak awak ke sini bila dia ada masa, cadang pakar psikiatri itu.
Saya tak rasa dia nak, kata aku.
Awak belum tanya dia lagi. Awak tak boleh buat andaian sahaja. Cuba tanya dulu, kata pakar psikiatri itu lagi.
Aku buat apa yang disuruh pakar psikiatri itu. Dan aku tidak menyangka yang Kakak tidak menolak untuk datang ikut aku berjumpa dengan pakar psikiatri.
Aku akan lakukan apa sahaja untuk buatkan kau gembira, kata Kakak.
Kebahagiaan kau, kebahagiaan aku juga, kata Kakak sambil tersenyum.
Pada sessi tersebut, pakar psikiatri itu membawa tajuk lukisan Kakak berkaitan dengan Ayah mati tergantung. Sambil ketawa besar, Kakak berkata: Awak percaya yang saya ni tak ada perasaan untuk lukiskan gambar ayah saya tergantung macam itu Tuan Doktor, saya ada satu nasihat. Awak ikut saja apa kata Malena. Dia ada imaginasi yang aktif.
Kakak punya cara untuk jadikan orang percaya apa yang dia mahu orang percaya, begitu juga pakar psikiatri aku itu. Pakar psikiatri itu akhirnya berkata: Aku akan berikan sesuatu untuk hentikan dia daripada mempunyai lebih banyak halusinasi.
****
Jiwa aku tidak boleh lagi menahan kesengsaraan ini. Pada suatu malam, aku berjalan menuju laut. Aku tanggalkan seluruh pakaian aku dan lipat cantik-cantik. Aku letakkan pakaian aku di atas pasiran. Dengan bertelanjang bulat, aku berjalan ke arah laut lepas. Apabila aku bukakan mata, aku sangat berharap dapat bertemu Ayah. Tetapi aku tidak dapat melihat Ayah di mana-mana. Aku berada di hospital. Aku dielamatkan daripada lemas dan kini aku berada di wad psikiatri.
Pakar psikaitri aku itu berkata: Awak ni cuba untuk bunuh diri ya Jangan risau. Kami akan selamatkan awak daripada segala kegilaan yang menghantui awak ini.
****
Pelawat aku pertama di wad psikiatri ini ialah Mak yang datang sejauh Bali untuk berjumpa aku. Kata Mak: Aku ada siapkan lukisan kita. Aku akan gantungkan di dinding bilik kau ni. Ia akan menambahkan ceria dalam bilik kau.
Lukisan itu ada aku dan Mak sedang duduk di atas pantai, melayan matahari terbenam. Kekasih muda Mak pun ada sama. Dia duduk di antara kami berdua. Kata Mak: Aku tak dapat sisihkan dia dalam lukisan aku. Dia ajarkan aku makna cinta.
Pada keesokan harinya, lukisan itu tiada lagi di tempat asal.
Kata Mak: Takkan lukisan ni boleh hilang macam tu aje
Mak aku pasti yang salah seorang pesakit telah mencuri lukisan itu.
Kata Mak: Aku akan cari lukisan itu walau apa pun yang terjadi. Tak ada siapa boleh mencuri barang daripada aku.
Akhirnya Mak tak jumpa-jumpa lukisan itu. Lukisan itu tidak hilang. Lukisan itu juga tidak dicuri. Lukisan itu dalam perut aku. Aku koyakkan lukisan itu kecil-kecil dan memakannya.
****
Enam bulan kemudian, aku sembuh daripada sakit. Namun, aku masih ditempatkan dalam wad psikiatri. Pada suatu pagi, aku buka mata dan mendapati Kakak berada sedang duduk di hadapan aku. Sambil menghirup kopinya, Kakak berkata: Aku bawakan kau hadiah. Hadiah itu merupakan sebuah buku yang mempunyai mukasurat kosong.
Kata Kakak aku: Tuliskan sesuatu. Lukiskan. Isikan mukasurat kosong ini dengan emosi. Jangan sedih tentang Ayah. Jangan bazirkan emosi kau kepada orang yang dah mati. Kau menangis macam mana pun, Ayah tak dapat hidup semula. Kau mesti gantikan emosi kau kepada seni. Tragedi-tragedi yang berlaku sudah terbukti membentuk seniman terkemuka di dunia ini. Kau mesti gunakan sepenuhnya tragedi kau ini. Takkan kau nak tinggal dalam tempurung ini selamanya Kau dengar apa yang aku cakapkan dan lepas ni kau akan cari aku.
Aku sudah letih dengan kesengsaraan dan kegilaan. Aku ikut apa kata Kakak. Aku tuliskan cerita aku yang sudah menggila dalam jiwa aku bertahun ini. Aku isikan mukasurat-mukasurat kosong di dalam buku yang dihadiahkan Kakak ini dengan kata-kata sehinggalah penuh. Tiba-tiba pada suatu hari yang tidak disangkasangka, pakar psikiatri aku berkata: Jiwa awak tak tertekan lagi. Awak boleh pulang. Awak sudah sembuh.
****
Kata Kakak: Aku suka apa yang kau dah tulis. Emosiemosi kau begitu asli dan sangat jujur. Kau mesti terbitkan tulisan ini dan kau akan jadi terkenal.
****
Enam bulan kemudian, aku terbitkan novel pertama aku berjudul Sarapan Atas Katil. Para pembaca aku percaya yang apa yang aku tulis itu adalah kisah benar yang aku imaginasikan secara kreatif. Meeka tidak tahu yang apa yang aku tulis itu memang berdasarkan kisah benar. Sarapan Atas Katil menjadi laris di pasaran.
Dalam salah satu wawancara televisyen, wartawan bertanya: Ada unsur kezaliman dan kegilaan dalam cerita anda. Apakah anda sendiri memang suka akan unsur kezaliman dan kegilaan sebegitu
Aku jawab: Setiap cerita yang menarik itu mesti ada sentuhan kezaliman dan kegilaan. Cerita yang tidak ada sentuhan kezaliman dan kegilaan tak ada maknanya untuk diceritakan.