TUHAN, JAGAKAN DIA UNTUKKU - 10
Anuar merenung jauh dari tepi katilnya. Yang boleh nampak sebuah lorong kecil untuk budak-budak sekolah rendah ke sekolah mereka. Juga port baik untuk mengirimkan rokok atau barang-barang terlarang kepada budak-budak tersebut untuk tolong membeli di kedai runcit Ah-Chiang di hujung jalan. Satu-satunya kedai runcit pemiliknya berbangsa cina yang ada di situ. Bukan sahaja rokok, kadang-kadang magi juga ditempahnya kepada budak sekolah rendah itu, dan diberi upah 10 atau 20 sen kepada mereka.

Anuar betul-betul tidak menyangka perbuatannya itu dipandang tinggi oleh ibu bapa Nurul. Bagi beliau, itu hanya keseronokan sebagai anak muda untuk berpasang-pasangan. Langsung tidak mahu berfikir apa lagi yang ada di depan. Yang penting, hanya couple sahaja dulu. Bolehlah berkenal dengan lebih jauh barangkali.

Namun, itu tidak benar sama sekali.

Anuar dikehendaki hadir sebanyak dua kali ke bilik kaunseling bersama Cikgu Rashid. Cikgu yang sangat tidak disukai oleh para jantan di sekolah kerana perwatakannya sedikit lembut.

Perjumpaannya kali pertama, Anuar diminta untuk mengisi satu borang.

Nama, umur, sekolah mana, hobi apa, cita-cita apa, apa pekerjaan ibu, apa pekerjaan bapa, nama senarai adik beradik, nombor telefon rumah jika ada. Semua perincian perlu diletakkan di dalam borang tersebut.

Kemudian, ada satu lagi kertas yang perlu dijawab oleh Anuar. Soalan peribadi. Antaranya apa yang suka dimakan oleh Anuar, sukan apa yang paling digemari, muzik apa yang suka didengari. Siapa artis kegemaran, siapa idola, adakah setiap hari mengaji Al-Quran. Semuanya ada dengan cukup terperinci.

Ada jawapan yang memerlukan dia menjawab dengan ya atau tidak. Ada juga yang perlu diberi penerangan seperti soalan, Siapa Nabi Muhammad (selawat) di hati anda:

Beberapa kali Anuar mengeluh. Cikgu Rashid memandangnya dengan senyum sahaja. Satu jam berlalu, Cikgu Rashid menghampiri beliau dan bertanya sama ada beliau sudah melengkapkan semuanya atau belum. Anuar menggeleng langsung tidak memandang wajah Cikgu Rashid.

Lebih kurang 20 minit, Anuar bangun dan menyerahkan semua borang kepada Cikgu Rashid dan berharap benar dapat keluar dari bilik kecil tersebut. Memasuki ruang bilik kaunseling ini menandakan kau memang pelajar bermasalah yang perlu dirawat dengan cara mendengar mendengar mendengar mendengar mendengar sahaja nasihat dan pesanan para kaunselor. Mereka ini punya kuasa tele kinetik dan telepati yang boleh membaca bahasa badan, bahasa dalam perkataan yang digunakan malah mudah peka dengan perasaan yang dibawa oleh pelajar.

Jika tersilap pilih perkataan untuk menjawab soalan yang ditanya. Atau mengeluh dengan apa yang diprovok oleh guru-guru kaunseling ini, pastinya kau akan mendapat jawapan yang lagilah panjang lebar. Dan kau memang muntahlah keluar dari bilik itu selepas berjaya mendapatkan udara segar.

Di mana-mana sekolah, bilik kaunseling ini akan mengeluarkan beberapa orang pelajar yang digelar PRS. Persatuan Rakan Sebaya. Yang mana mereka ini akan berkawan dengan kau serapat-rapatnya untuk membantu kau dari sudut emosi dan perlakuan.

Jika kau merokok, dia akan nasihatkan kau.

Jika kau selalu lewat-lewatkan solat, dia akan nasihatkan kau.

Jika kau main bola pakai seluar pendek. Lagilah dia akan tazkirahkan kau.

Begitulah. Punyalah boring mereka ini ya Tuhan. Dan itulah yang dihadapi oleh Anuar. Yang mana Cikgu Rashid mahu menyediakan beliau seorang PRS untuk beliau berkawan. Anuar diam dan mengangguk sahaja. Nyatanya dia akan melalui saat-saat bosan yang keterlaluan di sekolah itu sampailah tamat sesi ini nanti.

Jaja, kau tahu di mana Nurul sekarang Dia di sekolah mana Buat kali pertama Anuar bertanya baik-baik kepada Jaja. Sebelum ini memang ya suka memperlekehkan gadis comel tersebut.

Jaja hanya mengangkat bahu dan berlalu.

Di dewan makan, di padang, di sekolah. Asal terserempak sahaja pasti Anuar akan bertanya khabar Nurul kepada Jaja atau La. Dua kawan rapat itu tetap tidak mahu memberitahu kepada Anuar. Dan Anuar akhirnya mengalah begitu sahaja.

Sesi kedua bersama Cikgu Rashid menjadi sesi emosional buat beliau. Beliau bercerita tentang kewujudan Nurul dalam hatinya. Bagaimana gadis itu menolak cintanya dan keluar dari sekolah hanya kerana dia. kemudian, meninggalkannya begitu sahaja tanpa pernah bertegur sapa. Atau paling kurang saling bermaafan sesama mereka. Tidak pernah sekali pun. Tidak pernah.

Dengan mudah Cikgu Rashid memberitahu,

Ramai orang beranggapan cinta itu syaratnya wajib ada dua manusia. Pasti kena ada dua jiwa. Dua hati, dua jantung dan dua jasad. Namun, dalam cinta semua itu langsung tidak diperlukan. Boleh sahaja seorang anak mencintai ibunya yang sudah pun terbujur di dalam kubur. Boleh jadi juga seorang lelaki yang merindui anaknya yang belajar jauh nun di negara berbeza. Semua itu cinta.

Cinta tidak semestinya memiliki. Dan boleh sahaja diganti-ganti. Islam sendiri tidak pernah melarang semua itu. Syaratnya ialah ikut syariat.

Kamu bercinta dengan nada tiada suara. Nurul tidak mencintai kamu. Dan kamu hanya bersandarkan kepada usaha dan harapan. Sedangkan itu tidak pernah berlaku dalam hati Nurul.

Dan kamu mahu bersedih Tidak perlu.

Ada lebih ramai lagi untuk kamu di sini. Dan paling asas untuk kamu perlu tahu ialah kamu perlu bercinta dulu dengan waktu. Untuk masa sekarang bercintalah dengan ilmu. Waktu ini, kamu sedang belajar.

Menemukan cinta itu mudah. Membenih rasa cinta untuk hidup sekian lama itu yang sukar. Maka, pilihlah yang betul-betul. Yakinilah apabila sudah tiba masanya. Kau akan berjumpa dengan teman yang paling sesuai dalam hidupmu.

Untuk hari ini, bercintalah dengan waktu, Anuar. Itu akan mengejutmu supaya kamu sedar kamu masih terlalu muda untuk jatuh ke dalam hati seseorang. Anuar tersenyum. Puas. Syukur.