P-JUN - 10
Dia membuka mata. Dia memerhatikan sekeliling. Dia masih lagi di dalam kawasan hutan. Kawasan hutan Seksyen 3A. Dia kini berhadapan dengan seorang musuh yang telah ditewaskannya tadi. Musuh ini telah bangun semula. Dan, menjadi tanggungjawabnya untuk menghapuskannya lagi, hapus dari alam ini.

Kau gila ke, Kimi Kau tahu tak kalau kau buat macam ni, kau kena tahan! bentak Akram ketika Hakimi mengajukan keinginannya untuk menyeludup keluar dari kem itu.

Aku tahu! Tapi, aku tak boleh duduk diam! Kalau aku tak bunuh musuh tadi, nanti dia akan serang kem ni! Aku rasa dia adalah musuh yang kuat! Masakan, dia akan berani datang mengintip kita seorang diri! balas Hakimi tegas. Dia sudah menetapkan diri. Dia mahu menentang habis-habisan tentera Wilayah Barat. Dia tidak mahu satu sel pun zarah mereka wujud di muka bumi.

Akram diam. Dia tidak kuasa untuk membantah. Hakimi apabila sudah bercakap memang sukar untuk ditentang. Itu memang perangai dia.

Maafkan aku, Akram! Aku sepatutnya tidak libatkan kau! getus hati Hakimi penuh kesal. Dia tidak boleh buat apa-apa. Dia perlu tahu, berani buat berani tanggung!

Dia memegang erat senjatanya. Dia menukarkan mod kawalan pada cermin mata kepada mod pengimbas. Dia cuba mengesan kembali kedudukan musuh. Agak sukar untuk berbuat demikian memandangkan musuh menggunakan Invisible System. Dia menggerakkan sedikit mukanya ke sebelah kanan. Dia cuba mengintai di sebalik pokok.

Kosong! Alat pengimbasnya tidak berbunyi.

Tengok apa tu, bang

Hakimi terkejut. Darahnya menyirap naik. Matanya terbeliak. Suara itu kedengaran betul-betul di belakangnya. Belum sempat dia menoleh, satu tumbukan hinggap di pipinya. Dia terpelanting ke kanan. Badannya terjelepuk di atas tanah. Dia mengerang seketika. Nasibnya baik, sistem pertahanannya membantu menyelamatkan mukanya. Namun, tahapnya sudah menjadi kurang secara mendadak kepada 80 peratus.

Dia cuba bangun. Wajahnya terasa sakit amat. Satu lagi pukulan hinggap sebelum sempat dia bertindak balas. Ternyata lawannya cukup gagah. Sekali lagi, dia terbaring di atas tanah. Perisai magnetiknya terus berkurang. Dia mengangkat muka. Dia dapat melihat dengan jelas, wajah musuhnya. Mukanya biru pucat. Kulitnya menggelupas. Rambutnya kusut-masai. Cukup mengerikan rupanya seakan-akan seorang manusia yang sudah mati. Mayat!

Kau tak ingat aku Baru sekejap tadi kau dah bunuh aku! Sakit tau! ujar musuhnya, menyindir.

Binatang! jerit Hakimi penuh geram. Dia menghalakan senjatanya ke arah mayat itu. Setelah menetapkan sasaran, dia melepaskan tembakan. Tembakan pertama mengenai tangan kiri zombie itu. Hancur tangannya. Satu lagi tembakan dilepaskan dan menghancurkan tangan kanannya pula. Mayat hidup itu terus bergerak tanpa menghiraukan kedua-dua belah tangannya yang hancur. Hakimi tergamam. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia bersiap-sedia untuk melepaskan tembakan ketiga. Secara tiba-tiba, kepalanya terasa sakit seperti ada benda yang cuba menarik otaknya keluar. Semakin lama semakin sakit.

Arghh...! jeritan Hakimi bergema di dalam hutan itu. Dia terduduk. Tangannya memegang kepala. Senjatanya terlepas. Serentak dengan itu, kedengaran pula bunyi hilai tawa, menggantikan bunyi jeritan Hakimi tadi.

Mampus kau! Mampus kau orang Wilayah Timur! Kau memang tak layak hidup di bumi ini! Nyah kau keturunan kotor! Hahaha...!

Hati Hakimi panas. Dia tidak boleh membiarkan keturunannya hilang dari muka bumi ini. Orang Wilayah Barat yang perlu dihapuskan. Merekalah keturunan kotor. Merekalah perosak bumi ini. Merekalah yang patut menyahkan diri dari muka bumi.

Tiba-tiba, dia mendapat kuasa. Dia tak tahu entah daripada mana datangnya kuasa itu. Dia cuba berdiri. Sakit kepala yang mengganggunya cuba dihalang. Semakin lama semakin kurang. Kesakitan itu dikembalikan ke arah musuhnya. Musuhnya tersentak. Musuhnya pula yang menjerit kesakitan. Musuhnya pula yang terduduk.

Tak mungkin! jeritnya. Dia memegang kepalanya. Terasa sakit amat.

Selagi aku masih wujud di muka bumi ini! Selagi itulah keturunan kau tidak dapat menghapuskan keturunan kami! Nyah kau dari sini!

Serentak dengan itu, kepala musuhnya berkecai. Darah dan isi bertaburan di sekitar kawasan itu. Musuhnya sudah tiada. Musuhnya sudah pun dihapuskan. Mati buat kali kedua.

Hakimi terduduk. Dia kepenatan. Nafasnya tercungap-cungap. Kepalanya didongakkan ke langit. Langit hilang gelap. Cahaya rembulan semakin hilang sinarnya. Bintang-bintang semakin hilang kerlipannya. Di ufuk timur, cahaya merah semakin menampakkan garisnya. Satu sinar akan hadir menerangi alam, tidak lama lagi.

(Dewan Kosmik, April 2008)