Sapa dalangnya, belum tau, tetapi ajaran Arshi kini udah bersayap hingga merata kampung. Kata Warak Petawali menundukkan muka kerana tidak berani bertentang mata dengan Ketua Jameng.
Udah bersayap merata kampung baru mengkema sedar Apa kupak nengar agaknya gawai mengkema selamanen! Marah sungguh Ketua Jameng apabila diberitahu ajaran Arshi sudah lama tersebar tetapi tiada sesiapa yang memberitahunya perkara itu.
Gebang! Petawali! Dengan segera, daku rampas akannya gelaran warak mengkema, reti! Warak Gebang dan Warak Petawali cuma mengangguk perlahan. Kalu udah reti, berambus dari sini! Diusirnya warak berdua itu.
Langkus, Dongga, mengkema tunggu! Arah Ketua Jameng yang pasti ada perkara penting dan rahsia yang hendak dibincangkannya dengan dua kadam setia itu.
Gebang dan Petawali sangat kecewa disingkir begitu sahaja seolah-olah mereka tidak berguna di bangkir itu.
Apakah sahih hal Sirehpani mengandung Tanya Ketua Jameng kepada Dongga dan Langkus.
Sahih, udah dekat beranak pun. Jawab Dongga.
Cis! Kala mana si polan utu boleh mengandung! Tengking Ketua Jameng.
Nanang pun cakap, idak mentak, sampuk Langkus.
Langkus!!! Tengking Ketua Jameng. Kejap nen juga, mika selidik! Kemudian Jameng memandang Dongga.
Dongga! Panggil Jameng. Mika selidik dalang ajaran Arshi! Eerk...sesak daku dibuatnya! Kemudian memandang Langkus dan Dongga serentak lalu berkata, Jangan bagak mengkema hadap daku di bangkir inen, selagi mengkema belum dapat jawabnya, reti!
Dongga dan Langkus mengangguk setia. Mereka tiada pilihan, memang berat hukuman yang menanti mereka jika arahan-arahan Jameng itu tidak dilaksanakan.
Dongga meredah setiap ceruk kampung, mencari dan bertanya siapakah penyebar dan dalang agama Arshi. Kesetiaan penganut Arshi merahsiakan perkara itu menjadikan tugas Dongga sukar. Kini dia mengunakan taktik rasuah. Sesiapa yang sanggup memberi maklumat, akan diupah secangkir wang perak namun usaha itu masih gagal mempengaruhi penduduk untuk memberi maklumat yang dikehendakinya. Dongga hampir putus asa, tiga hari tiga malam dia berlegar dari satu kampung ke satu kampung , masih tidak dapat apa-apa maklumat. Akhirnya dia naikan upah kepada dua cangkir wang emas.
Langkus pula ke rumah Nanang bertanyakan bagaimana Sirehpani boleh hamil. Mentak dewata sakti yang perkenan akannya, mana boleh hamba tau.
Dugal akan daku dengar dikau cakap pasal dewata, walhal dak pernah pun dikau menjejak kaki ke bangkir Kata Langkus pada Nanang kehairanan.
Tapi utu jawabnya yang patut dikau bagi pada Ketua Jameng. Nanang memberi cadangan.
Kesudahannya Langkus pulang dan itulah juga yang akan disampaikan kepada Ketua Jameng. Dewata perkenan akannya Sirehpani mengandung!
Tapi daku dak berkenan, kata Ketua Jameng. Langkus hanya tunduk membisu, mengharap supaya tiada lagi pertanyaan datang dari Jameng.
Gusut gabal jiwa ku menengok Sirehpani dengan Karkuma berbahagia segitunya, jawab si Jameng, ketua warak yang jahat lagi kejam itu.
Apa kiranya hasrat dikara kini Langkus tanya. Bodohnya dia masih tidak faham kata-kata Jameng.
Bunuh, sebelum anak utu sempat tengok dunia! Bentak Jameng. Langkus mengangguk. Daku dewek yang bakal laksana akannya! Mengkema ikut saja! Bentak Jameng lagi, Langkus tercengang tetapi tidak terkejut.
Udah tau sapa dalangnya, Dongga Jameng seperti tidak sabar ingin tahu siapakah penyebar ajaran Arshi.
Pagai dengan puannya, Mandeh. Penyebar ajaran utu pernah tinggal di rumah dema, jelas Dongga selepas menarik nafas lega. Tugasnya sudah selesai. Pada hal dia serkap jarang, kerana dia pun tidak pasti adakah orang tua yang dia pernah nampak di rumah Tuk Pagai dahulu itu guru agama Arshi. Yang penting dia ada jawapan yang diinginkan oleh Jameng. Dua cangkir wang emas jadi miliknya. Dasar konco si pengkianat bangsa.
Pagai dengan Mandeh Mnnnakan daku hadap akan hal inen kepada Maharaja. Tau akanlah nanti hukuman yang bakal menimpa dema, kata Jameng penuh yakin sambil beredar pergi meninggalkan konco-konco setianya, Dongga dan Langkus.
Ketua Jameng lega kerana dalang yang dicari sudah diketahuinya tanpa mengesyaki Dongga hanya serkap jarang. Dalam perjalanannya ke Istana Bijinga, Jameng asyik memikirkan bentuk tindakan selanjutnya ke atas Tuk Pagai dan Mandeh. Siapa pun dalangnya, dendam Jameng terhadap Karkuma kerana merampas Sirehpani tidak pernah padam.
Sirehpani kini semakin sarat. Bila-bila masa sahaja dia akan bersalin. Karkuma pula semakin bersemangat menunggu saat itu.
Bini, anak Teggal sudah berusia tiga bulan. Sudah semakin cerdik. Gelaknya menghiburkan hati semua orang. Karkuma dan Sirehpani sangat menyayanginya. Setiap hari Karkuma akan memberi setangkai bunga kepada Bini, yang dipetik dari laman rumahnya.
Petang itu, sedang Sirehpani menggendong Bini, perutnya terasa sakit. Mengejut sahaja.
Ada apa, Sireh Tanya Mandeh.
Sakitnya, sakit nengar nen, Mak Mandeh, Sirehpani menekan-nekan perut mengaduh kesakitan.
Udah mau keluar agaknya, kata Mandeh menggelabah, menghampiri Karkuma.
Karkuma yang entah kenapa dari tadi seperti termangu-mangu apabila melihat Sirehpani berpeluh-peluh menahan sakit, dikejutkan oleh jeritan Mandeh, Kuma! Sireh udah mau beranak, lekas panggil bidan Wigit.
Suasana menjelang senja. Hujan tidak, ribut pun tidak, tahu-tahu datang bunyi seperti guruh menggegar rumah Karkuma. Pada saat itu juga Sirehpani melolong kesakitan. Bidan Wigit tenang mengurut perut Sirehpani sambil berkata, Iya...udah dekat nen. Bidan Wigit menekan perut Sirehpani dengan kuat hingga Sirehpani mengerang kesakitan.
Keadaan membimbangkan itu berlarutan hingga ke malam, Sirehpani masih keluh-kesah dengan kesakitan. Perutnya bergerak tidak henti-henti. Bayi semakin aktif menendang ingin keluar tetapi bidan Wigit pula umpama menghalangnya.
Kemudian, datang lagi bunyi seperti guruh menggegar rumah. Sirehpani senyap, tubuhnya tiba-tiba kaku.
Yayi! Buka mata, yayi! Karkuma cemas. Telapak tangannya diletak ke hidung Sirehpani untuk pastikan nafasnya masih ada. Bidan Wigit tersengih, kemudian diam sebelum ditolak-tolaknya perut Sirehpani menghalang bayi keluar.
Fikiran Karkuma bercelaru. Dia mundar-mandir, sesekali menadah tangan ke langit memohon pertolongan daripada Tuhan. Tuk Pagai, Saruni dan Teggal yang mendukung Bini, datang menjenguk di muka pintu.
Patut akanlah tadi daku nampak sinar api melintas, tembus ke dinding rumah dikau, celaka yang bertandang nampaknya, kata Tuk Pagai.
Tongong hamba jadinya nen, keluh Karkuma. Bukan sahaja dia khuatir suasana aneh memberi petanda yang kurang baik, tetapi juga tidak sampai hati melihat keadaan Sirehpani, isteri kesayangannya itu.
Teggal menepuk bahu Karkuma mententeramkannya. Bini dalam dukungan Teggal tidak diam lagaknya seperti hendak menegur Karkuma. Di tangan Bini ada setangkai bunga. Dihulur-hulur tangkai bunga itu kepada Karkuma. Barangkali anak kecil itu teringatkan Karkuma yang selalu memberinya bunga. Tetapi aneh, Bini hulurkan bunga itu pada Karkuma berkali-kali tanpa jemu. Tidak pernah gelagatnya begitu.
Tiba-tiba kedengaran makin kuat Sirehpani meraung kesakitan. Bidan Wigit pula sama sahaja dari tadi, tidak bertindak apa-apa, malah tidak berkata sepatah apa pun.
Bidan Wigit sedang menaruh syak bahawa Sirehpani telah disihir orang. Siapa yang menyihirnya tidak diketahui.
Langit kelam ditutupi awan. Bintang-bintang mulai pudar kerlipannya. Suasana di luar rumah Karkuma seolah-olah ditutupi kabus tebal yang hitam.
Anehnya, suasana itu tidak pula berlaku di rumah-rumah jiran berdekatan, dan di rumah bidan Setanggi yang sebenarnya bertanggungjawab menyihir Sirehpani. Sangkaan bidan Wigit yang merawat Sirehpani itu ternyata benar.
Ketua Jameng baharu sebentar tadi keluar dari rumah bidan Setanggi bersama dua khadamnya, Dongga dan Langkus.
Bidan Setanggi belum pernah tewas, kata Jameng sambil berjalan menuju ke kudanya.
Sirehpani akan mati, anaknya akan mati. Karkuma akan sengsara, menderita sampai mati. Puas hati ku! Jameng tersengih sambil memanjat naik kuda dan beredar dari halaman rumah bidan Setanggi di Kampung Nyalang, bidan yang bersekongkol dengan hantu langsuir atau hantu penanggal.
Sebaik sahaja Jameng dan dua khadamnya tinggalkan laman rumah bidan Setanggi, kelihatan bayang-bayang Jameng terjun dari kudanya. Aneh, Jameng ada di atas kudanya. Bayang-bayangnya pula hidup dan terjun dari kuda dan berlari menuju ke arah rumah Karkuma.
Kemudian muncul seekor ungka mengejar bayang itu dengan sungguh kencang. Tahu-tahu ungka itu pun membolosi bayang Jameng tadi, dan bayang terus bertukar menjadi makhluk jadi-jadian berkepala manusia tetapi berbadan, kaki dan bertangan ungka. Dengan spontan Jameng dari atas kuda, menoleh ke arah makhluk itu dan melemparkan senyuman yang berisi kejahatan kepadanya.
Ternyata jin itu ialah jin peliharaan Jameng kerana dia membalas senyuman Jameng dengan jelingan tajam yang mengajuk-ajuk, matanya berwarna hitam sepenuhnya. Amat mengerikan.
Bulan di langit umpama benci melihat bayang-bayang ngeri itu. Bintang yang berkerdip seolah-olah ketakutan apabila semuanya berhenti mengerdip. Dan, rumah Karkuma seakan hilang diselubungi kabus tebal.
Tiba-tiba satu cahaya api kekuningan, lurus tebal seperti pancutan air menerobos terus ke dinding rumah Karkuma. Saat itu kedengaran satu pekikan nyaring dan tajam menghiris setiap telinga manusia biasa yang mendengarnya. Pekikan nyaring seperti hilai tawa itu masuk mengekori cahaya api yang bercabang menerjah ke arah Sirehpani dan bidan Wigit. Dalam sekelip mata mereka berdua terperlanting. Mandeh dan Saruni kemudiannya ditempias oleh cahaya api itu dan ikut terpelanting ke ceruk dinding.
Segalanya berlaku dalam satu nafas, tidak sempat Karkuma atau Tuk Pagai dan Teggal bertindak apa-apa. Mereka terduduk. Sirehpani menjerit sekuat-kuatnya dan pengsan. Bini yang tidak tahu apa-apa tersengih-sengih walaupun dalam keadaan terhuyung-hayang dipangkuan ayahnya. Tangkai bunga yang dipegangnya terlepas.
Di luar rumah, kelihatan jin ungka berkepala manusia, peliharaan Jameng memanjat dinding dan melompat masuk dalam rumah melalui salah satu jendela. Jin itu pada mulanya terkejut melihat Bini yang seolah-olah memandang tepat padanya. Bini tersenyum-senyum. Jin hodoh itu menjerkah Bini, membuatkan Bini terperanjat dan menangis. Hanya Bini seorang yang nampak jin yang sedang menghampiri Sirehpani. Tuk Pagai, Teggal dan Karkuma semuanya keluh-kesah, tetapi tidak tahu apa perlu dibuat selain berdoa pada Tuhan langit.
Bidan Wigit, Mak Mandeh dan Saruni masih pengsan. Bini pula menangis sambil memandang tepat pada jin yang hodoh dan menakutkan itu. Tiba-tiba jin itu meresap masuk ke dalam tubuh bidan Wigit. Bini berhenti menangis apabila jin itu dia tidak kelihatan lagi. Bidan Wigit pula semakin kuat menolak-nolak perut Sirehpani yang dari tadi mengerang kesakitan.
Bini menghulur-hulurkan tangkai bunga kepada Karkuma. Melihat tangkai bunga itu, Karkuma teringatkan peristiwa pokok kunyit di belakang rumahnya. Serta-merta dia bergegas ke belakang rumah hendak mencabut serangkai pokok kunyit.
Apabila tiba di kawasan belakang rumah didapati pokok kunyit tidak ada. Sememangnya tidak ada, kerana habis dilenyek-lenyek oleh kuda-kuda dari istana tempoh hari. Bagaimanapun, belum sempat Bini dan Karkuma menghitung langkah untuk kembali masuk ke dalam rumah, mereka terkejut. Permukaan tanah yang diselaputi bekas tapak kaki kuda-kuda istana bertukar menjadi rata.
Kemudian kedengaran pula bertubi-tubi bunyi seperti beratus-beratus biji batu kecil telah dilontarkan ke atas permukaan tanah itu, namun sebiji batu pun tidak kelihatan. Apa yang terlihat adalah suatu keajaiban dimana tiba-tiba berpuluh-puluh tunas pokok kunyit sedikit demi sedikit menjenguk tumbuh di permukaan-permukaan kawasan itu.
Bini ketawa girang bagaikan seorang kanak-kanak yang sedang menonton rancangan katun kegemaran di televisyen. Karkuma pula sangat terkejut dan tergamam. Namun, di sudut hatinya ia mengerti ini suatu keajaiban yang datang dari Tuhan. Belum sempat Karkuma menelan air liurnya buat kali kedua, seluruh kawasan belakang rumahnya itu telah dipenuhi dengan rimbunan pokok-pokok kunyit yang matang serta segar seperti asal.
Tidak semena-mena Karkuma terdengar bisikan suara dari sejenis pokok misteri yang tumbuh menjalar di celah-celah pagar usang, tidak jauh dari tempat dia berdiri, Wahai kawan, dikau petik sembilan helai dedaun ku inen. Karkuma pun menghampiri pokok itu, dan pokok itu berbisik lagi, Kabehnya dikau kunyah sampai lumat, dak usah telan tapi dikau ludah akannya kunyahan utu kepada tiap penjuru rumah, sesudah utu dikau ludah pula kepada perut Sirehpani. Tanpa fikir apa-apa lagi, Karkuma memetik sembilan helai daun pokok itu, dikunyah-kunyahnya sambil berlari masuk ke dalam rumah.
Di dalam rumah Karkuma menyembur daun kunyahannya itu sambil membaca jampi serapah ajaran Arshi. Pada masa itu juga jin tadi melompat keluar dari tubuh bidan Wigit, dan kesakitan Sirehpani mulai berkurangan. Jin itu melompat kepanasan dari satu sudut ke satu sudut rumah.
Bidan Wigit tersadar dari pengsan dan kelam-kabut menguruskan persiapan Sirehpani bersalin. Sirehpani mula meneran, manakala bidan Wigit bersiap-siap menyambut bayi.
Bini mengekek-ngekek ketawa, rupanya dia keseronokan melihat gelagat jin hodoh itu kepanasan melompat sana-sini dan tiba-tiba hilang dari pandangannya.
Tepat pukul 12 tengah malam, terdengar bunyi tangisan bayi lelaki dari dalam rumah Karkuma. Bayangan jin yang sedang bertenggek di dinding luar rumah Karkuma tadinya, terus lari sambil meraung meratap penuh kekecewaan. Kecewa mengenangkan bagaimana hendak dia sampaikan pada tuannya si Jameng bahawa usahanya hendak meragut nyawa Sirehpani dan anak lelaki Karkuma telah gagal.
Kelahiran anak lelaki Karkuma pada malam itu membawa pelbagai rahmat kerana banyak terjadi perkara yang ganjil, tidak terbuat oleh manusia biasa. Awan seperti menyelak langit, menampakkan kembali bulan cerah menerangi bumi. Bintang pula berebut-rebut merenjiskan cahayanya berkerdipan mengindahkan bumi.
Semua tumbuh-tumbuhan di keliling rumah Karkuma tidak semena-mena bangun dari tidur. Kudup-kudup bunga mengembang mekar, memancar warna-warni menghiasi pemandangan. Didatangi pula dengan bau-bau semerbak wangi.
Kupu-kupu dan kunang-kunang berkerlip-kerlipan gembira, berterbangan mengelilingi rumah Karkuma. Serangga itu semua seolah-olah berbual antara satu sama lain, sambil menghidu bau wangian bunga yang belum pernah mereka hidu sebelum ini. Sungguh magis suasana di sekeliling rumah Karkuma pada malam itu, malam kelahiran anak lelaki Karkuma dan Sirehpani.
Beratusan ekor kunang-kunang berterbangan gembira mengelilingan kawasan rumah Karkuma sambil mengeluarkan cahaya dari perut mereka, kelihatan seolah-olah serpihan bintang dari langit telah mencecah bumi. Sesungguhnya malam itu sangat indah, belum pernah dilihat oleh manusia sebelumnya.
Daku mau namakannya, Khaufli Shuhada. Khaufli...ambil azimat dari nama guru Al-Qufli. Shuhada...maknanya...pembawa saksi. Apakah elok nama utu, Tuk Pagai Tanya Karkuma.
Mentak pelik bunyinya untuk orang Nabui, kata Tuk Pagai sambil menarik nafas dan berkata lagi, Ajaran Arshi mau pengikutnya bagak membawa perubahan. Dan perubahan utu akan bermula daripada nama anak-anak Nabui di masa depan, jitu menjadi keturunan Nabui Arshi, Tuk Pagai tamatkan kata-katanya dengan senyuman.
Kakuma mengangguk setuju diiringi senyuman juga. Teggal turut mengangguk. Bini dalam pangkuannya tersengih seakan mengerti. Semua tidak bercakap banyak, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan keceriaan mereka pada malam itu. Apatah lagi setelah mereka melihat suasana di halaman dan di sekeliling rumah, seumpama mereka sedang berada dalam taman firdaus.
Keesokan paginya Karkuma pergi ke belakang rumah untuk menyampaikan berita pada pokok yang berbisik padanya semalam. Alangkah terperanjatnya, dia dapati seluruh kawasan itu penuh ditumbuhi semula pohon keladi gajah dan kunyit yang dahulunya lesap dilenyek berbelas ekor kuda.
Malah pokok yang berbisik padanya semalam, kini tumbuh subur menjalar pada dahan-dahan pokok tinggi. Makin lebat dedaun pokok itu. Ketika ditiup angin daun-daun pokok itu seakan-akan melambai-lambai pada Karkuma. Dia menghampiri pokok itu dan berkata, Mangaseh, dikau tolong Sirehpani semalam. Sekarang, daku namakan dikau pokok `sireh.
Magaseh juga. Daku suka nama utu. Kata pokok sirih. Karkuma tersenyum memandang keladi gajah dan kunyit. Karkuma sangat terharu, dia sampaikan berita pada mereka dengan linangan air mata gembira, penuh rasa kesyukuran pada Tuhan.
Semasa melihat halaman depan rumahnya sekali lagi Karkuma terperanjat, bunga-bunga pada setiap pokok-pokok bunga itu, bertambah mekar dan cerah warnanya. Dia kenal sangat pada semua pokok-pokok itu. Yang merah menjadi makin menyala merahnya. Yang putih tambah berseri putihnya. Yang kuning makin menyerlah kekuningannya. Yang ungu, biru, jingga, mirah jambu, malah semua warna yang ada menjadi bertambah-tambah cantik dan bercahaya warnanya.
Berita kelahiran Khaufli tersebar luas di kalangan penganut Arshi. Ramai yang datang melawat dan ada sahaja buah tangan yang mereka bawakan.
Moleknya anak inen. Putihnya, sucinya, mata jernih bersinar. Itulah yang kedengaran dari setiap bibir mereka yang datang menziarahi Karkuma, Sirehpani dan Khaufli Shuhada. Semuanya geram dan tidak jemu-jemu menatap wajah bayi comel itu. Kesemuanya menganggap Khaufli Shuhada bayi paling cantik di Pulau Nabui.
Khaufli, ertinya...nasib untung. Kata Tuk Pagai kepada Karkuma.
Dari mana Tuk Pagai tau Tanya Karkuma.
Tengok, orang-orang yang datang menjenguk Khaufli, kabehnya membawa buah tangan, ya dak Malah ramai pula kejan menjadi penganut ajaran Arshi. Kata Tuk Pagai serius sambil mencuit-cuit pipi Khaufli Shuhada, Untung akannya nasib dikau, ya dak
Karkuma memandang Tuk Pagai dengan penuh rasa bangga pada orang tua itu. Tetapi tidak pula disangka-sangka itu adalah kali terakhir Tuk Pagai mencuit pipi bayi itu.
Pada malamnya, sekumpulan panglima berkuda dari Istana Bijinga datang menyerbu. Tuk Pagai dan isterinya, Mandeh ditahan tanpa belas kasihan. Ketika itu Tuk Pagai mendukung cucunya, Bini, apabila pintu rumah dipecah masuk panglima berkuda dan mengheret keluar Tuk Pagai dan Mandeh. Teggal dan isterinya, Saruni tidak dapat berbuat apa-apa apabila pedang diacu ke leher.
Tuk Pagai dan Mandeh dibawa ke Bangkir Ghadabi dan dikurung. Mereka ditangkap kerana dituduh menjadi dalang kemasukan penyebar ajaran Arshi. Tuk Pagai dan Mandeh mengaku dengan tuduhan itu. Keesokannya, Ketua Jameng mengarahkan Tuk Pagai dan Mandeh dihukum pancung di atas pentas maut Bangkir Ghadabi, depan khalayak ramai sebagai amaran. Sesiapa yang cuba menyebarkan agama selain agama Huku, bakal menerima nasib seperti Tuk Pagai dan isterinya, Mandeh.
Inen angkara Ketua Jameng keparat. Akan daku balas perbuatannya dengan dendam! Kata Teggal dengan tangannya menumbuk lantai melepaskan marah.
Usah berdendam. Biar Dewa Arshi yang bakal menghukum si keparat utu. Kata Karkuma mengusap-usap bahu Teggal. Beberapa minggu selepas peristiwa Tuk Pagai dan Mandeh dihukum pancung, kezaliman Ketua Jameng semakin menyerlah. Bidan Setanggi pula dihukum gantung sampai mati di hadapan orang ramai.
Kebiasaannya sesiapa yang dihukum gantung di pentas maut Bangkir Ghadabi, masyarakat diberitahu sebab persalah dihukum. Namun hukuman terhadap bidan Setanggi tidak pula diberitahu akan kesalahannya. Dan sesiapa pun tidak berani menyuarakan rasa tidak puas hati, jauh sekali untuk menentang Ketua Warak Jameng. Kelahiran Khaufli adalah sebab bidan Setanggi dihukum bunuh oleh Jameng, kerana bidan Setanggi gagal menghalang kelahiran Khaufli atau membunuh Sirehpani.
Sejak dilahirkan, Khaufli bukan sahaja membawa rezeki kepada ayah dan ibunya, tetapi membawa rahmat untuk semua penganut agama Arshi dan orang-orang Nabui Hakir.
Kuli Jianok adalah di antara pekerja Bangkir Ghadabi yang terawal memeluk agama Arshi. Suatu hari kuli Jianok diserang penyakit gatal-gatal yang tidak terkawal. Jianok ke rumah Karkuma untuk dapatkan bantuan. Karkuma pun bertanya pada pokok-pokok di sekitar kawasan rumahnya, apakah caranya untuk membantu menghilangkan gatal-gatal di tubuh dan muka kuli Jianok.
Wahai Karkuma...ambil akanlah sehelai dari ku dengan tujuh kuntum bunga berlainan jenis. Ramas akannya dalam semangkuk air, diucap akan jampi serapah Dewa Arshi. Serenta selesai, sapu akan air mangkuk utu pada muka si polan, atawa sapa-sapa yang sama derita sakitnya. Suara ghaib dari pokok sirih berbisik ke telinga Karkuma.
Mangaseh wahai pokok sireh, kata Karkuma. Dan dia berbuat seperti yang disuruh oleh bisikan suara tadi.
Sebaik muka kuli Jianok disapu dengan air ramasan tujuh jenis bunga-bunga, segala gatal-gatal pada tubuh dan muka kuli Jianok hilang. Malah lebih memeranjatkan, tiba-tiba wajah dan tubuh kuli Jianok berubah menjadi normal. Tidak lagi berupa beruk. Kuli Jianok bukan lagi manusia jadi-jadian, tetapi manusia biasa. Gembiranya hati dia tidak terhingga.
Mangaseh Dewa Arshi. Mangaseh Aba Kuma! Teriak kuli Jianok. Terbukti kini segala sumpahan sihir yang memakan tujuh keturunan puak Anyer, sudah tersisir.
Benarlah cakap moyang kami, sumpahan terhadap orang-orang puak asal pulau inen kelak akan lenyap tatkala beranaknya sorang anak suci dari keturunan ketujuh kaum Nabui. Kuli Jianok berkata sambil memandang Khaufli di pangkuan Karkuma. Gembiranya hati kuli Jianok. Wajah Khaufli ditenung dalam-dalam dengan penuh kasih sayang.
Khaufli adalah anak suci utu. Anak kepada seluruh keturunan puak Anyer, puak Sulu dan puak Tuban yang selamanen hidup sengsara dicengkam sumpahan puaka dahri. Kata kuli Jianok penuh rasa terharu. Karkuma dari tadi hanya mendengar sahaja segala luahan hati kuli Jianok yang sangat teruja atas perubahan yang berlaku kepada dirinya.
Mulai esok, idaklah boleh daku bergawai di bangkir lagi. Tentunya dema idak akan kenal daku lagi, di sana, kata Jianok. Karkuma mengangguk sambil menghulurkan semangkuk air bunga kepada Jianok.
Benarlah sumpahan terhadap sekalian keturunan Nabui Hakir kini udah tamat, tentulah air bunga inen azimatnya. Mika bawa air inen. Jianok ambil mangkuk air dengan hati terbuka dari Karkuma. Berita keajaiban air tujuh bunga-bungaan itu pun tersebar luas.
Beberapa hari kemudian ramailah orang-orang Nabui Hakir, sama ada dari puak Anyer, Sulu dan Tuban yang sudah menjadi penganut ajaran Arshi, datang berkunjung ke rumah Karkuma. Dibuatkan mereka semua air bunga yang dipetik dari halaman rumahnya. Disapu pada muka mereka, dan semuanya pulih dari sumpahan. Mereka kembali menjadi manusia normal.
Sungguh ajaib. Lebih mengajaibkan, bunga-bunga di laman rumah Karkuma tidak pernah habis. Satu dipetik, satu lagi tumbuh mekar, dua dipetik, dua tumbuh mekar. Begitulah setiap hari. Dan setiap hari ada sahaja di antara mereka datang membawa buah tangan untuk keluarga Karkuma.
Serenta beranaknya Khaufli puak Nabui Hakir telah dihujani kejadian ajaib. Aba Kuma tengok, nen kabeh bukan kebetulan tapi kenyataan. Tanya Teggal dengan penuh teruja.
Daku hanya boleh cakap mangaseh kepada Dianya, kata Karkuma tenang sambil memerhati bermacam-macam buah tangan yang makin memenuhi ruang rumahnya.
Nengar banyak makanan berlebihan. Ingin daku bagi kabehnya pada orang-orang miskin. Boleh dikau tolong membagi-bagikannya, Teggal Tanya Karkuma.
Dengan rela hati ku, jawab Teggal.
Dan itulah yang Karkuma lakukan. Beras, tepung, ubi-ubi, biji-bijirin dan semua buah tangan yang diterima dari pelawat Khaufli disedekahkan kepada orang-orang miskin. Mereka terpikat dengan sikap silatulrahim Karkuma dan pengikut-pengikutnya.
Hakap, yang pernah menganiaya Karkuma dahulu, juga menganut ajaran Arshi dan dengan air bunga dari Karkuma, Hakap pulih daripada sumpahan Ketua Jameng. Dia kembali normal, malah dilantik menjadi orang kuat Karkuma menjalankan tugas mengembangkan ajaran Arshi ke seluruh Pulau Nabui. Petawali, bekas warak yang juga pernah menganiaya Karkuma satu masa dahulu, turut menganuti ajaran Arshi.
Tidak lama lepas itu, Karkuma memberikan air tujuh bunga kepada semua orang Nabui Hakir di seluruh Pulau Nabui. Kepada mereka yang tidak berpeluang berkunjung ke rumahnya, air tujuh bunga itu dikirim melalui sahabat hadai dan saudara mara mereka.
Dalam masa beberapa bulan sahaja, semua orang-orang Nabui Hakir tersisih dari sumpahan. Kesemuanya kembali menjadi manusia normal, tiada lagi manusia jadi-jadian berupa beruk dari puak Anyer. Tiada lagi manusia jadi-jadian berupa keldai dari puak Sulu. Tiada lagi manusia jadi-jadian berupa ikan dari puak Tuban. Kemudian dengan rela hati, mereka memeluk agama Arshi. Kuntuman bunga di halaman rumah Karkuma terus berkembang, mekar mewarnai pemandangan.
Sejak itu juga, orang-orang Nabui Hakir tidak wujud lagi kerana sudah tidak ada wajah manusia berupa beruk, keldai dan ikan yang membezakan mereka dari orang Nabui biasa. Kini hanya ada orang-orang Nabui Huku dan Nabui Arshi.
Perubahan ketara ini, Jameng menganggapnya atas kehendak Dewata Garuda Chandi. Dia telah sampaikan berita itu kepada Maharaja Sutan Lembayung, bahawa dialah yang mendoakannya daripada dewata untuk memulihkan sumpahan orang-orang Nabui Hakir kerana telah cukup tujuh keturunan berlalu. Maka kisah pemulihan sumpahan terhadap tiga puak itu senyap begitu sahaja.