FILSUF UNTUK NOOB - 10
Di Britain, selepas Descartes, mula popular fikiran yang berlawanan kepada Rasionalisme. Iaitu empirikal. Berpandangan empirikal bermaksud bergantung kepada panca indera, dan mementingkan ilmu yang diambil dari panca indera. Apa yang tidak boleh dialami oleh panca indera tidak dapat dipastikan kewujudannya. Pelopor awal kepada empirikal adalah John Locke, seorang ahli falsafah dari England. Locke mengatakan bahawa minda manusia tidak mengandungi konsep-konsep semulajadi. Minda manusia merupakan tabula rasa ; kosong. Kita lahir di dunia ini dengan tidak ada ilmu pengetahuan yang semula jadi, dan hanya bila kesemua panca indera kita diaktifkan barulah adanya informasi dalam minda kita, yang dikumpul melalui panca indera.

Tokoh yang akan kita lihat dalam bab ini adalah seseorang yang datang selepas Locke, iaitu David Hume (1711-1777). David Hume lahir di Edinburgh, Scotland. Sejak kecil lagi Hume menunjukkan kepintarannya lebih awal dari kanak-kanak lain. Ketika umurnya 10 tahun, ibunya menghantarnya ke universiti untuk mengikuti abangnya. Di sana, Hume belajar seperti pelajar lain. Hume datang dari sebuah keluarga Kristian Protestan yang alim, dan universiti-universiti di Britain pada ketika itu juga ramai yang menerapkan ciri-ciri Kristian. Namun begitu, Hume memupuk pandangan yang skeptik terhadap agama.

Hume memilih untuk menjadi ahli falsafah dan ahli akademik. Pada umur yang muda, iaitu 23 tahun, dia menulis karyanya Treatise on Human Nature namun untuk menjaga reputasinya,dia tidak menerbitkan bahagian-bahagian yang kritis terhadap agama. Namun begitu, pandangannya yang skeptik dan ateistik yang mencorak karyanya tidak terlepas pandang oleh masyarakat awam dengan keluarnya buku tersebut. Reputasi Hume sebagai seorang ateis mula diketahui oleh orang ramai sehingga menyukarkannya mendapat kerja sebagai pensyarah di universiti-universiti. Sebagai contoh, cubaanya untuk menjadi profesor di Universiti Edinburgh mendapat tentangan yang hebat sekali oleh orang ramai.

Hume tiada pilihan, kemudiannya menjadi pustakawan. Namun, pekerjaan ini merupakan sebuah hikmah bagi Hume. Keberadaannya di perpustakaan yang sarat dengan buku-buku penting digunakan sebaik mungkin oleh Hume. Dia mula menghasilkan karya monumentalnya iaitu Sejarah England dalam enam volume. Ini ternyata menjadi kejayaannya yang paling besar, kerana karya ini sangat popular di England dan menjadi bestseller.Hume mula dikenali sebagai sejarawan dan nasibnya mula berubah kearah yang lebih menguntungkan apabila dilantik menjadi pegawai wakil kerajaan British di Paris. Namun begitu, pada usia lanjutnya Hume menghidap penyakit kanser usus yang mengakibatkan kematiannya. Hume sampai hujung hayatnya masih kekal sebagai seorang ateis.

Jadi, apakah idea sensasi yang dibawa oleh Hume yang menghasilkan ribut di kalangan masyarakat konservatif di dunia akademia Scotland Hume mempunyai banyak idea dalam banyak cabang falsafah, namun untuk bab ini, aku hanya akan menceritakan satu aspek yang berkait rapat dengan idea Descartes dan juga akan menjadi background story yang penting untuk tokoh seterusnya.

Hume bukanlah seorang ateis wannabe yang saja menolak agama kerana ingin menjadi lain dari orang lain. Hume menolak agama melalui argumen dan penaakulan yang cermat dan rapi. Hume mempersoalkan teori kausaliti yang dipegang oleh kesemua ahli falsafah sejak dari Plato. Untuk menjelaskan kritikan Hume terhadap kausaliti, aku perlu membawa kau ke sebuah bar di Edinburgh untuk melihat orang bermain billiard , dan contoh ini merupakan contoh yang sama yang digunakan oleh Hume dalam Treatise-nya. Jika kau lihat sebiji bola billiard A bertembung dengan bola billiard B yang tidak bergerak pada asalnya, kau akan melihat impak dari bola A menyebabkan bola B bergerak. Dan sebelum bola A bertembung lagi kau akan tahu B akan bergerak hasil pertembungan itu. Dan kau akan simpulkan , Bola B akan bergerak kerana digerakkan bola A.

Namun pada pandangan Hume, tiada istilah kerana atau disebabkan. Bola A tidak menyebabkan Bola B bergerak. Kerana Hume mengatakan mata kita tidak dapat melihat momen impak itu berlaku. Mata kita melihat Bola A bergerak menuju bola B, melanggar bola B, dan Bola B pun bergolek. Kita melihat ianya berlaku selalu, sehinggakan memori itu tersimpan didalam otak kita, menjadi idea atau semacam tabiat. Hume mengatakan persepsi manusia terbahagi kepada dua, iaitu impresi atau idea. Apabila kita melihat sesuatu, ianya akan membentuk impresi. Seperti kau yang melihat buku yang berada sekarang di tangan kau, buku itu membentuk impresi dalam fikiran kau. Tetapi jika kau menyimpan buku itu diatas rak dan keluar dari bilik kau, fikiran mengenai buku yang tidak lagi berada secara fizikal dengan kau barulah dipanggil idea. Idea lebih rendah tingkatannya dari impresi.

Dan kembali kepada pertembungan dua bola billiard tadi, bila kau nampak pergerakan bola A , itu merupakan satu momen impresi, kemudian pergerakan bola B merupakan impresi yang lain. Momen pertembungan yang berlaku begitu pantas yang tidak kau nampak, lalu tidak membentuk impresi. Ianya hanyalah idea. Ya kau berkeras mengatakan ianya bersentuhan, tetapi asbab kepada bola B bergerak tidak dapat ditaakulkan kepada pergerakan bola A. Namun manusia membentuk kepercayaan dan menganggap bahawa A yang menyebabkan B. Ini hanyalah kepercayaan sahaja, bukanlah ilmu pengetahuan. Kerana tiadanya bukti empirikal. Di sini, Hume berlainan dari Descartes dan golongan Rasionalis kerana mengambil kepercayaan bahawa sesuatu yang tidak dilihat tidak sah diambil sebagai ilmu, pegangan empiris.

Maka, kausaliti atau teori asbab hanyalah merupakan tabiat atau adat yang dibentuk oleh manusia, ia sebenarnya tidak wujud. Sebab kau sejak lahir telah melihat bila bola A melanggar B, bola B akan bergerak,ianya membentuk suatu tabiat/adat kepada pemikiran kau. Hume mengutarakan satu persoalan dalam karyanya, iaitu manusia pertama di dunia, yakni Adam, bila pertama kali melihat bola A berlanggar dengan Bola B, dapatkan dia menyimpulkan Bola B akan bergerak Bagi Hume, tidak, Adam tidak akan dapat mempuat kesimpulan itu sehinggalah Adam dapat melihat perkara itu berlaku berkali-kali sehingga membentuk sebuah tabiat dalam pemikirannya.

Kenapa benda ini penting sangat Sebab dari teori Hume, kalau kausaliti sudah dapat ditidakkan, ini akan meletakkan kesemua teori ontologi dan dan argumen ontologi mengenai kewujudan Tuhan menjadi tidak sah, termasuklah teori Descartes. Kalau kau lihat balik teori Descartes, Descartes menggunakan teori kausaliti untuk membuktikan kewujudan Tuhan , kalau teori kausaliti tidak ada, musnahlah teori ini. Maka tidak dapat dibuktikan kewujudan Tuhan melalui teori kausaliti. Bukan Descartes seorang sahaja yang menggunakannya, rata-rata kesemua teori falsafah pada zaman medieval yang berkait rapat dengan Tuhan, baik dalam tradisi Judaism, Kristian mahupun Islam menggunakan teori kausaliti. Teori Aristotle mengenai Penggerak Utama memerlukan asbab, kerana sesuatu yang bergerak perlulah penggerak, Teori Ibnu Sina mengenai kewujudan Tuhan juga memerlukan asbab, teori alGhazali dan para mutakallim semuanya memerlukan asbab, teori Anselm mengenai kewujudan tuhan pada zaman medieval Kristian turut bergantung kepada asbab. Dan Hume dengan berani dan radikalnya menyerang asas ini. Ianya seolah-olah Hume berdiri berhadapan sebuah mahligai yang sangat gah dan besar, dan Hume menjentik satu tiang utama yang menyokong mahligai tesebut maka musnahlah mahligai tu. Dan inilah antara sebab utama Hume memegang kepada pegangan skeptik dan ateisnya .

Jadi, soalan aku, adakah kau setuju dengan teori Hume Setuju ataupun tidak, serangan Hume kepada teori kausaliti adalah legit. Soalan ini akan menjadi pemangkin kepada seorang pemikir penting Eropah yang muncul selepas Hume yang akan kita lihat selepas ini.

Namun sebelum itu, sumbangan Hume kepada falsafah bukan setakat kepada yang aku bincangkan dalam bab ini, teori falsafahnya lebih luas dan merangkumi aspek moraliti, dan theory of knowledge. Hume merupakan seorang tokoh yang amat penting kepada ilmu akademia Eropah dan kemudiannya akan menjadi sumber inspirasi kepada rakannya Adam Smith, seorang akademik yang giat dalam bidang ekonomi dan kapitalisme, dan Charles Darwin, bapa kepada teori evolusi. Aku agak kalau kau pembenci kapitalisme,dan penentang teori evolusi, mesti kau cop si Hume ni setan.

Bumi Britain melahirkan ramai lagi ahli falsafah namun aku yang tidak berapa gemar dengan Britain akan memaksa kau kembali kepada benua Eropah , dan mengendahkan pujuk rayu kau untuk tinggal sebentar menyaksikan perlawanan bola di England. (Lagipun kelab bolasepak yang ada sekarang ni belum lagi wujud pada zaman Hume).

Sumber Primer:

1. An Abstract of A book lately published, entitled, A Treatise of Human Nature karya David Hume (1740)

Sumber Sekunder: Rujuk bab 8