BANDUAN AKHIR - 10
Sejak ditugaskan di Penjara Kajang, Ustaz Mohd Sofian telah mengendalikan hari terakhir bagi lapan banduan akhir, temasuklah banduan bernama Mona Fendy yang disabitkan kesalahan membunuh dan mengerat mangsanya. Beliau memberitahu, jika ada banduan beragama Islam yang akan menjalani hukuman gantung, dia akan diarah menjalankan tugas-tugas khas membimbing banduan tersebut untuk hari terakhirnya.

Unit Agama juga akan berbincang lokasi banduan bakal dikebumikan dengan keluarga mereka dan sekiranya keluarga meminta pihak penjara membuat urusan itu, perbincangan akan dibuat dengan Jabatan Agama bagi urusan tersebut.

Perjumpaan terakhir banduan dengan keluarga merupakan pengalaman yang begitu memilukan. Ada ibu yang datang untuk pertemuan terakhir dengan anaknya menangis sehingga pengsan apabila memeluk anaknya. Biasanya ibulah sebaksesebaknya insan menghadapi anak yang telah dilahirkan akan pergi terlebih dahulu daripadanya. Malah lebih memilukan lagi apabila pemergian anaknya adalah melalui satu proses yang ingin dijauhi oleh semua orang.

Kebanyakan banduan akan bersikap tenang kerana mereka sudah mengikuti program agama bagi memantapkan diri dan mempersiapkan jiwa untuk menerima hukuman. Banduan-banduan akhir sering diingatkan oleh pegawai penjara bahawa mereka sebenarnya beruntung kerana tahu bila mereka akan mati dan sempat pula mengucap. Nasihat tersebut memberi kekuatan kepada mereka.

Hukuman gantung bagi banduan beragama Islam biasanya dijalankan selepas subuh pada hari Jumaat. Sepanjang malam banduan-banduan ini akan berzikir, bertaubat dan diakhiri dengan sembahyang subuh. Mana tidaknya, keranaini merupakan malam terakhir buat mereka. Banduan ini tidak dapat tidur apa lagi hendak makan. Biasanya mereka akan berada di atas tikar sembahyang untuk melakukan segala yang perlu bagi menghadapi mati.

Bila ditanya boleh tidur, dia akan jawab, tak boleh dan hanya berzikir dan baca alQuran, katanya.

Menurut Mohd Sofian, beliau berada (di tepi sel) bersama banduan tersebut dari pukul tiga pagi sehingga banduan dibawa keluar ke bilik gantung. Apabila pegawai yang akan melaksanakan hukuman gantung datang, beliau memberi laluan dan memastikan banduan tersebut mengucap dua kalimah syahadah. Selepas itu, banduan tidak berkata apa-apa lagi kecuali menyebut Laila haillallah sehingga ke tali gantung. Itulah yang diamalkan mereka, sehingga penghujungnya (mati).

Kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung akan pergi dengan rela setelah menunggu begitu lama untuk hukuman dilaksanakan. Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif sehingga ke saat-saat terakhir.

Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu guru agama bahawa nasib mereka lebih baik kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Apabila kita buka pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang bersalam dengan kita dan mengucapkan terima kasih. Mereka kata mereka sudah tidak tahan lagi menunggu.

Pada hari diberitahu hukuman gantung akan dijalankan ke atas mereka, mereka akan meminta pena dan kertas untuk menulis nota terakhir. Jangan ikut tabiat buruk ayah, adalah antara kata-kata nasihat terakhir seorang banduan untuk anak-anaknya

Tali yang digunakan untuk menggantung pesalah diimport dari luar negara dan harganya mencecah ribuan ringgit. Ini kerana tali tersebut sangat berkualiti, tahan lasak serta tidak melukakan leher banduan. Tali gantung yang diimport ini diperbuat daripada jut yang paling bagus dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan yang akan digantung.

Setiap utas tali berharga antara RM4,000 sehingga RM5,000. Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekalnya akan diuji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kg selama 72 jam. Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri, diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi.

Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya. Kita tidak boleh pergi terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena ikut. Kita ada empat jenis tali dan kita pilih mengikut berat banduan, jelas Damien. Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi untuk mematahkan tengkuk banduan.

Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakai pada hari hukuman. Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja-T dan seluar solatnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai kasut berharga RM350. Mati penuh gaya, kata mereka dengan bersahaja.

Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari hukuman akan dilaksanakan. Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri menanti ajalnya akan secara automatik renggang sepenuhnya apabila gear ditarik. Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18 meter.

Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian suasana penjara. Menurut Damien, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada tukang gantung untuk menarik gear akan dibuat dalam tempoh yang singkat. Kematian akan berlaku dalam masa antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar tergantung

Sebelum tugasan menggantung dilakukan, tukang gantung akan mengambil ukuran berat banduan dan ketinggiannya terlebih dahulu. Selalunya semakin berat seseorang banduan, semakin pendek tali yang digunakan dan begitulah sebaliknya. Ini penting kerana jika salah perkiraan, akan mencederakan leher banduan, silap hari bulan kepala boleh putus dari badan. Walau apa pun, saya bersyukur kerana kes seperti itu tidak pernah berlaku dalam sejarah pelaksanaan hukuman mati di negara ini, katanya.

Mengenai keadaan mayat, pegawai tersebut memberitahu, selalunya muka pesalah akan bertukar kebiruan atau kehitaman selepas digantung kerana kekurangan oksigen. Ujarnya, lidah pesalah juga akan terjelir sedikit dan leher akan mengecil hingga sekecil batang penyapu. Yang paling menggerunkan sebaik sahaja ikatan dilonggarkan, bunyi dengusan akan keluar daripada mulut mayat berkenaan. Bunyi itu adalah hasil tindak balas gas dalam badan. Sebelum digantung, banduan akan diminta berdiri di atas sebuah platform

Setelah mendapat isyarat daripada pegawai atasan, barulah gear ditarik dan platform itu akan terbuka hingga menyebabkan banduan terjatuh ke bawah. Selalunya sebaik sahaja terjatuh, tulang leher pesalah akan terus patah atau lari dari kedudukan sehingga menyebabkan dia mati serta-merta. Setelah dibiarkan tergantung untuk seketika, mayat akan diturunkan sebelum diperiksa oleh doktor yang bertugas. Mayat banduan juga tidak perlu dibedah siasat. Ini sekali gus menamatkan cerita-cerita nakal kononnya organ pesalah akan diambil untuk dijual.

Pembantu yang mengendalikan banduan dinasihati supaya menghormati jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia, semuanya tak ada masalah. Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan letakkan tangan saya di atas dadanya dengan perlahan. Ini petua yang diberi oleh bosbos saya dulu, kata Damien.

Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada beliau kerana giliran beliau pula akan sampai satu hari nanti. Hanya kaedah kematian tidak diketahuinya.

Pendek kata apabila bercakap mengenai hukuman mati, semuanya automatik menjadi rahsia. Orang tak tahu saya tukang gantung, malah saya sendiri pun tidak tahu siapa yang akan saya gantung, katanya.

Beliau akan dimaklumkan tentang identiti banduan yang akan digantungnya sehari sebelum hukuman dijatuhkan. Sejurus sebelum menjalankan tugas tersebut, beliau terlebih dahulu secara berseorangan akan masuk ke bilik banduan yang dimaksudkan sebelum menggari tangannya lalu dibawa ke belakang. Beliau kemudian akan menyarungkan muka banduan dengan kain hitam dan membawanya keluar dari sel akhir untuk ke bilik gantung sambil dibantu beberapa wadar yang lain. Mayat akan diserahkan kepada waris atau keluarga untuk diuruskan pengebumiannya.

"Kerja-kerja menggantung pesalah akan dilakukan dengan cepat dan pantas, tak sampai beberapa minit pun. Di saat itu tidak ada ruang untuk melakukan kesilapan, semuanya mesti cepat dan sempurna. Kami juga tidak akan bercakap-cakap sesama anggota mahupun dengan banduan dan hanya menumpukan perhatian pada tugasan yang diberi.

"Matinya seorang banduan bermakna tugas kami sedah pun selesai. Selepas itu, kami akan kembali menjalankan tugas hakiki masing-masing dan meneruskan kehidupan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku," katanya.

Mengenai gangguan yang diterima sepanjang menjalankan tugas ini, beliau mengakui pernah dikacau, namun menganggapnya sebagai asam garam dalam kehidupan seorang tukang gantung. Pernah suatu ketika dahulu, katanya, ada seorang banduan akhir yang meminta untuk menghisap rokok sejurus sebelum digantung. Pada awalnya beliau bersetuju untuk memenuhi permintaan banduan tersebut tetapi disebabkan faktor masa dan peraturan, beliau terus menjalankan perintah gantung tanpa banyak bicara.

Tiba-tiba pada suatu malam ketika saya sedang tidur, mayat lelaki yang saya gantung itu datang dalam keadaan terbongkok-bongkok ke bucu katil dan mencuit-cuit tubuh saya. Dia kemudian meletakkan jarinya ke bibir seolah-olah mahukan rokok yang saya janjikan padanya dulu. Bagaimanapun dengan hormat, saya memintanya pulang dan dia pun terus menghilangkan diri. Sehingga kini saya tertanya-tanya adakah perkara tersebut memang betul-betul berlaku ataupun cuma mainan tidur semata-mata, katanya sambil tersenyum.

Selain itu, beliau mengakui selalunya akan menerima alamat beberapa hari sebelum ditugaskan untuk menggantung pesalah di penjara. Antaranya beliau akan berasa panas di belakang leher, berdebar-debar, gelisah dan tidak sedap hati. Selalunya selepas beberapa hari mengalami gangguan tersebut, beliau pasti di panggil ke ibu pejabat untuk menjalankan tanggungjawabnya.

Kalau diikutkan, Jabatan Penjara Malaysia boleh berbangga kerana kita di sini menjalankan tugas dengan seteliti mungkin sehingga tidak ada setitis pun darah yang keluar dari tubuh banduan yang kita gantung berbanding hukuman tembak dan kerusi elektrik yang dilakukan di penjara-penjara luar negara, ujarnya.

Jabatan Penjara Malaysia telah melantik beberapa orang pegawainya untuk menyandang jawatan paling menggerunkan ini yang dinamakan Pegawai Tugas Khas atau tukang gantung. Tukang gantung bukanlah satu jawatan yang diimpikan oleh mana-mana pegawai jabatan ini kerana ia dilihat sebagai satu tugas yang cukup mencabar, baik dari segi fizikal mahupun spirituil. Memang berat tugasan ini kerana kami boleh diibaratkan sebagai pencabut nyawa tetapi kalau bukan kami yang buat kerja tersebut, siapa lagi soal Damien.

Melihat pada fizikalnya sendiri ia sudah cukup menggerunkan. Dengan ketinggian hampir enam kaki dan berat mencecah 100 kilogram, pegawai penjara yang sudah berkhidmat lebih 20 tahun ini juga mempunyai raut wajah yang cukup garang. Pendek kata, melihat wajahnya sahaja boleh membuatkan banduan kecut perut.

Pun begitu, beliau mengakui tidak ramai warga Jabatan Penjara waima anaknya sendiri tahu yang di sebalik tugas harian sebagai pegawai penjara, beliau juga sebenarnya menjalankan tugas sebagai tukang gantung.

Isteri saya sahaja yang tahu tugas saya ini tetapi kami tidak pernah berbincang mengenainya, saya pun tak pernah bercerita dengan saudara-mara apatah lagi berborak mengenai kerja itu di kedaikedai kopi kerana tiada apa yang perlu dimegahkan dengan tugas ini. Pendek kata apabila bercakap mengenai hukuman mati, semuanya automatik menjadi rahsia, orang tak tahu saya tukang gantung malah saya sendiri pun tidak tahu siapa yang akan saya gantung, katanya.

Cuma saya minta orang ramai jangan menghina banduan-banduan akhir ini kerana mereka sekurang-kurangnya tahu bila akan mati dan berkemungkinan sudah bertaubat, tetapi bagaimana pula dengan kita Terus terang saya katakan ada kalanya mayat mereka lebih sempurna daripada mayat orang lain, ada mayat banduan yang saya gantung itu berbau wangi dan ada yang wajahnya berseri-seri serta tersenyum seolah-olah pemergian mereka dirahmatiNya, " ujar beliau.

Sebelum meminta izin untuk berundur diri, beliau berkata, Saya berharap cerita saya ini dapat memberi keinsafan dan pengajaran kepada kita. Ingatlah, seandainya saya sudah menarik gear di bilik gantung itu, hanya keajaiban sahaja yang boleh menyelamatkan nyawa banduan tersebut dan sejarah telah membuktikan keajaiban itu tidak pernah berlaku!