Berperanglah mereka bersungguh-sungguh, namun mereka masih juga tetap menemui kekalahan. Hampir semua pahlawannya yang gagah berani telah dapat dibunuh oleh saudara Muhammad Hanafiah. Akhirnya larilah Marwan menuju ke Damsyik. Baliklah dia menghadap Baginda Yazid.
Tuanku telah hamba mencuba sedaya upaya, seluruh tentera kita telah dikerahkan untuk melawan askar Muhammad Hanafiah tapi kita tetap juga kalah.
Kita mengalami kekalahan Oh! Balalah yang akan menimpa kita.
Menggigillah tubuh baginda seakan-akan kesejukan. Apabila Marwan melihat keadaan baginda dia terus menulis surat kepada raja-raja yang di bawah takluknya agar menghantar bantuan. Ditulisnya kepada empat buah negeri dan disuruhnya mereka menghantarkan semua perajurit dan hulubalangnya yang handal bagi menentang kekuatan Muhammad Hanafiah.
Akan Maharaja Muhammad Hanafiah duduklah di atas singgahsananya dihadap oleh saudaranya serta menteri dan orang besar-besar. Akan harta rampasan yang terlalu banyak itu tidak diambil peduli.
Pada suatu hari ketika baginda bersemayam di atas singgahsana, timbul niat baginda untuk masuk ke kota Madinah. Manakala yang lain terus membaiki peralatan. Kemudian dilantik saudaranya Ibrahim sebagai penghulu. Sampai sahaja baginda di makam Rasulullah menangislah baginda. Begitulah selalunya apabila teringatkan Rasulullah.
Semasa di Makam Rasulullah terdengar satu suara menyeru namanya. Semua yang hadir juga turut mendengar dengan hati-hati. Hai Muhammad Hanafiah, segera tuntutlah hutang darah saudaramu itu, jangan lagi kau tangguh-tangguhkannya. Inilah masanya yang baik untuk kamu hutang itu.
Apabila didengar oleh Muhammad Hanafiah akan suara itu, dengan segera diperintahkan menterinya mengumpulkan tenteranya. Setelah berkumpul semuanya, bertitahlah baginda.
Dengarlah semua rakyat beta dan bala tentera saudara-saudara beta. Ketahuilah pada hari ini kita akan berangkat untuk menyerang kota Damsyik. Segeralah kita bersedia.
Apabila semuanya telah siap, berjalanlah Muhammad Hanafiah bersama askarnya. Beberapa hari kemudian bertemulah baginda dengan perisik Baginda Yazid. Perisik itu ditangkap oleh askar Muhammad Hanafiah dan terus dibawa ke hadapan Muhammad Hanafiah.
Hai orang suruhan Raja Yazid, beta ingin tahu sekarang ini rajamu sedang membuat pekerjaan apa.
Segera dijawab oleh perisik Baginda Yazid, Ampun tuanku, buat masa ini raja hamba sedang mengumpulkan tenteranya secara besar-besaran. Baginda telah pun meminta bantuan dari empat buah negeri yang besar untuk menentang tuanku.
Kemudian masuk pula pengawal membawa seorang lagi pengintip yang tidak diketahui dari mana datangnya.
Dari mana kamu datang hai pengintip yang beta tak kenali
Patik pengintip dari Maharaja Cina, tuanku.
Apakah yang sedang maharaja kamu lakukan sekarang
Semasa patik meninggalkan Negeri China, maharaja sedang mengumpulkan tenteranya untuk membantu Raja Yazid bagi menentang tuanku.
Oh begitu, jadi semuanya sedang mengumpulkan tentera bagi menentang beta.
Maharaja Muhammad Hanafiah segera mengalihkan wajahnya kepada saudara-saudaranya dan tersenyum.
Apabila semuanya telah bermesyuarat dengan segera mereka pun membahagikan kerja masing. masing. Orang pertama yang akan ditentang ialah Baginda Yazid. Baginda Muhammad Hanafiah sendiri akan melawannya manakala raja-raja yang lain akan ditentang oleh saudara-saudaranya.
Setelah siap, gendang perang pun dipalu. Keluarlah dari pihak Baginda Yazid askarnya berpasuk-pasukan manakala askar Muhammad Hanafiah sedang menunggu dengan tabah.
Saudaraku, Ali Akhbar. Biarlah kekanda yang masuk dulu ke tengah medan. Adinda tunggulah di sini untuk melihat tentera kita, kata Muhammad Hanafiah.
Kalau begitu bagaimana jika adinda dulu yang masuk
Jangan adinda! Kanda ingin sekali untuk melihat wajah Raja Yazid yang paling kerap memusuhi keluarga kita.
Kalau begitu masuklah kekanda dulu. Baginda Muhammad Hanafiah pun segera menunggang kudanya dan terus masuk ke tengah medan. Segera ditangkapnya hulubalang Yazid. Kemudian diangkatnya ke atas tinggi-tinggi, dipusingnya, dan kemudian dihempaskannya ke bumi.
Lepas seorang, seorang hulubalang Raja Yazid keluar untuk menentang Baginda Muhammad Hanafiah. Semuanya tewas. Akhirnya keluarlah seorang lagi pahlawan. Marahnya begitu membuak sekali apabila dilihat banyak sahabat-sahabatnya mati di tangan Muhammad Hanafiah. Segera ditikamnya baginda tetapi sempat ditangkis oleh Baginda dengan perisainya dan melekatlah pedang hulubalang itu. Dengan tidak bertangguh lagi Muhammad Hanafiah terus mengambil pedang itu dan dipatah-patahkannya di depan hulubalang itu. Kemudian dipacunya kepada musuhnya itu. Keadaan menjadi hingar-bingar apabila mereka melihat Muhammad Hanafiah begitu handal. Askar-askar Baginda Yazid segera menghadap menterinya Marwan Al Hakkam. Setelah berita itu sampai kepada menteri Marwan dengan segera dia memerintahkan agar memukul gendang berhenti berperang. Apabila didengar gendang berhenti berperang itu bergema, pulanglah Baginda Muhammad Hanafiah ke khemahnya.
Pada pagi esoknya Baginda Yazid keluar dan duduk di atas bangunan tinggi dan menyuruh orangnya memukul gendang perang. Segala ketumbukan tentera Yazid pun keluarlah ke tengah medan perang. Pada masa itu muncul Daduakam seorang hulubalang meminta izin keluar melawan Muhammad Hanafiah.
Tuanku, pada saat yang begini terdesak biarlah patik keluar pula untuk menentang Muhammad Hanafiah. Kalaulah nasib patik baik tentu patik akan dapat menewaskan baginda.
Apa, panglima mengatakan tentang nasib baik Tidakkah panglima tahu siapa itu Muhammad Hanafiah
Patik tahu tuanku, dan patik telah mengenali kehandalannya yang tiada tolak bandingnya. Tapi sekadar untuk mencuba kekuatannya ingin juga patik. Patik tidak malu melawan pahlawan handalan itu dan kiranya patik tewas di tangannya patik rela.
Bagus panglima, itulah yang ingin beta dengar dari setiap panglima beta. Pergilah panglima beta yang paling beta kasihi. Tentang musuh beta itu dengan sepenuh hatimu. Pasti kejayaan akan menjadi hak kamu nanti.
Hulubalang Daduakam pun keluarlah menyerbu ke tengah medan tetapi seketika kemudian matilah panglima itu di tangan Baginda Muhammad Hanafiah.
Sehari suntuk Baginda Yazid berada di atas bangunan tinggi itu melihat tenteranya berperang. Setelah hari malam masuklah baginda ke istananya sambil berbincang dengan menterinya Marwan Al Hakkam. Bagaimana pendapat menteri beta, dan sehari ke sehari apa yang beta lihat kekalahan di pihak tentera beta. Kiranya keadaan begini tidak berubah kitalah yang akan kalah.
Benar tuanku, apa yang tuanku katakan itu semuanya benar. Patik juga merasai demikian. Tapi selagi kita masih ada peluang jangan tuanku gusarkan, patik akan mengumpulkan seluruh tentera yang ada esok hari bagi menentangnya.
Mereka berehat pada malam itu. Pada keesokan paginya gendang perang pun dipalu orang. Keluarlah Muhammad Hanafiah ke tengah medan. Kemudian diikuti pula adindanya Ali Akhbar. Baginda Yazid yang melihat penyerbuan Ali Akhbar yang begitu kuat terus bertanya kepada menterinya.
Memanda Menteri beta, siapakah orang muda yang bersama Muhammad Hanafiah itu. Terlalu kuat serangannya.
Yang muda itu tanya Menteri Marwan sambil menunjuk ke bawah ke arah Ali Akhbar.
Ya, Memanda Menteri. Tak bersalahan lagi.
Setahu patik itulah adik kepada Muhammad Hanafiah namanya Ali Akhbar, tuanku.
Kalau begitu segera Memanda Menteri perintahkan orang memukul gendang berhenti berperang. Kalau begitulah cara serangan yang dilakukan oleh Ali Akhbar amat tipislah askar kita untuk menang.
Menteri Marwan terus menyuruh orang menukul gendang berhenti berperang dan masuklah Baginda Yazid ke istananya. Dua hari lamanya mereka tidak keluar berperang.