TORA DATANG LAGI - 100
Sejenis permainan tradisional yang sangat seronok dimainkan beramai-ramai pada waktu petang. Permainan yang boleh dimainkan oleh apa-apa jantina ini tidak mempunyai jumlah pemain yang ditetapkan. Pemain terlebih dahulu akan dibahagikan kepada dua kumpulan. Satu kumpulan akan menjadi penjaga gelanggang dan satu kumpulan lagi sebagai penempuh gelanggang. Setiap kumpulan akan memilih seorang sebagai ketua.

Sebuah gelanggang akan dilakar terlebih dahulu di atas tanah membentuk sebuah kotak besar dengan garis panjang membelah di tengah dan beberapa baris garis melintang yang akan membentuk kotak-kotak kecil di dalam ukuran 2m X 1.5m. Jumlah garis melintang ini berkadaran dengan jumlah pemain yang bermain. Jika jumlah pemain adalah 5 orang setiap kumpulan, 4 garis melintang akan digariskan.

Empat orang pemain akan berdiri di atas garis melintang masing-masing dan perlu menjaga garisannya dari dilepasi penempuh. Pemain ini hanya dapat bergerak ke kiri kanan mengikut garisannya sahaja. Sementara itu, ketua kumpulan penjaga gelanggang akan berdiri di atas garisan panjang di tengah-tengah gelanggang. Ketua bebas bergerak ke atas bawah garisannya dan juga ke kiri kanan mana-mana sahaja garisan melintang 4 pemainnya.

Kumpulan penempuh dikehendaki melepasi keempatempat garisan melintang dan patah balik semula ke tempat permulaan sementara kumpulan penjaga akan cuba menghalang pemain kumpulan penempuh melepasi setiap garisan. Penempuh yang disentuh mana-mana penjaga akan hilang giliran dan perlu keluar dari permainan. Penempuh juga tidak dibenarkan patah balik pada garisan sebelumnya kecuali pada garisan terakhir sahaja. Jika salah seorang penempuh berjaya melepasi ke empat-empat garisan dan berjaya patah balik semula ke tempat permulaan, kesemua penempuh akan mendapat giliran dan boleh bermain kembali. Walau bagaimanapun jika ketua penempuh yang berjaya disentuh, kesemua penempuh akan hilang giliran serentak serta merta. Permainan akan bertukar posisi apabila kesemua penempuh berjaya disentuh penjaga. Penjaga pula akan bermain sebagai penempuh dan penempuh pula menjadi penjaga.

Nama galah panjang jelas diambil dari garisan-garisan panjang yang menyerupai galah di atas tanah. Di sesetengah tempat terutama utara tanah air, permainan ini dipanggil Toi. Entah menatang apa toi tu sapa pun tak tau.