TORA DATANG LAGI - 102
Brick Game adalah sejenis permainan video yang boleh dibeli di kedai-kedai elektrik, kedai jam dan juga di pasar malam. Ianya dijual pada harga antara RM30 hingga RM50 mengikut jenama dan jumlah permainan yang terkandung di dalamnya.

Brick Game diperbuat dari plastik, berbentuk segi empat dan mempunyai pelbagai warna. Terdapat skrin pada bahagian atas dan beberapa punat pada bahagian bawah. Antara punat yang terdapat pada permukaan konsol adalah punat atas, bawah, kiri, kanan, start, pause dan rotate. Berbeza dengan permainan video Game & Watch yang hanya mempunyai 1 permainan, Brick Game selalunya mempunyai lebih dari 1 permainan.

Permainan utama di dalam permainan video ini adalah permainan Tetris; permainan menyusun susunan blokblok berbeza bentuk supaya menjadi susunan yang tidak berongga. Setiap barisan susunan yang disusun dengan kemas dan tidak berongga, akan memperolehi markah. Susunan yang memperolehi markah akan dilenyapkan supaya susunan tidak meninggi. Permainan akan tamat apabila pemain tidak berjaya menyusun susunan dengan baik sehingga susunan menjadi tinggi.

Walaupun menggunakan grafik jenis kubrik, selain Tetris, Brick Game juga mempunyai permainan-permainan lain seperti lumba kereta, kapal terbang, ping pong, pinball dan lain-lain.

Permainan Brick Game tidak mempunyai penamat. Ianya dikira mengikut tinggi markah terkumpul dan juga peringkat permainan yang dicapai. Setiap rekod tertinggi yang berjaya dicapai akan disimpan dan boleh dilihat apabila setiap kali permainan hendak dimulakan.

Bermain Brick Game di khalayak ramai adalah suatu perbuatan yang masih boleh diterima masyarakat. Bermain Brick Game dengan volume maksima di khalayak ramai memang anjing pun tak boleh terima. Selain nampak bangang, semua orang akan tahu itu Brick Game baru buka kotak.