TORA DATANG LAGI - 106
Hot Wheels merupakan jenama permainan berbentuk kereta kecil keluaran syarikat Mattel. Setiap satunya dibuat dengan saiz yang sama iaitu di antara 5sm hingga 7sm. Apa yang menjadi pujian kepada Mattel kerana setiap keluaran model keretanya mengambil rekaan kereta sebenar lengkap dengan tayar yang boleh berputar apabila kereta ditolak. Sesetengah kereta boleh dibuka pintu di bahagian pemandu dan penumpang sebelah pemandu. Ruangan dalaman kereta juga tidak dibiar kosong dan lengkap dengan papan pemuka, stereng dan kerusi.

Kereta Hot Wheels dipek lengkap dengan nama model dan juga tahun keluaran kereta tersebut. Pada bahagian bawah kereta, boleh dilihat tahun kereta Hot Wheels tersebut dibuat berserta logo Hot Wheels.

Selain digunakan untuk bermain, kereta Hot Wheels turut dikumpul dan dijadikan koleksi oleh peminat-peminat kereta.

Terdapat juga model-model kereta Hot Wheels keluaran istimewa sempena memperingati sesuatu perayaan, peristiwa, nostalgia atau lain-lain. Model kereta Hot Wheels keluaran istimewa selalunya dikeluarkan terhad dan tidak diulang buat sampai bila-bila. Antara model keluaran istimewa yang popular adalah model kereta yang dapat bertukar warna apabila didedahkan pada suhu sejuk dan panas.

Kuatnya material dan ketegapan pemasangan kereta Hot Wheels sehinggakan jika dilenyek dengan tayar kereta sebenar pun tidak mampu untuk merosakkannya. Tak percaya, boleh cuba.