Mencari Kiblat Cinta - 11
Dia termenung panjang. Wajah lelaki yang memiliki tatoo itu kembali. Dia nampak jelas lelaki itu keluar dari bilik ayahnya ketika itu. Tapi baru sahaja dia hendak membuka mulut, uminya tiba-tiba bersuara.

Maaf tuan, anak saya masih terkejut dengan kejadian ni. Kalau boleh, saya harap tuan jangan libatkan dia dalam proses siasatan tuan. Ujar ibunya. Pegawai polis itu menarik nafas panjang.

Beginilah puan, saya akan hentikan sementara soal siasat ni. Tapi saya harap selepas puan dan anak puan bertenang, puan hubungilah saya. Saya harap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Ini kad saya. Ujar pegawai polis itu lalu menghulurkan sekeping kad ke arah ibunya.

Dia hanya mampu memandang ibunya. Tiada suara keluar dari bibir yang pucat itu. Naufal yang bingung di sisi ibunya ditatap dengan mata berkaca. Sejak adiknya itu tahu apa yang berlaku pada ayah mereka, suara Naufal langsung tidak kedengaran. Dia tahu Naufal sedang memendam perasaan sedihnya.

Matanya berkalih ke arah ibunya yang kebetulan sedang memandangnya. Wajah wanita itu pucat lesi. Meskipun ibunya tidak menangis, tapi dia tahu, jauh di sudut hati, wanita itu sedang meratap sedih.

Umi nak makan apa-apa Nanti Nira masakkan sesuatu untuk umi ya. Dia menegur wanita itu.

Ibunya menggeleng. Tak payahlah Nira. Umi tak lapar.

Tapi umi dah sehari suntuk tak makan. Umi jamahlah sikit. Nanti Nira bawakan bubur ya. Ujarnya lalu bingkas ke arah dapur. Di situ dia mengambil periuk lalu mula mereneh bubur. Sejenak kemudian dia termenung panjang di situ. Airmatanya perlahan-lahan berderai. Sejak kelmarin, dia sengaja menahan diri dari menangis. Semuanya kerana ibunya.

Makcik tahu Nira anak yang tabah, kuat semangat. Sekarang ayah dah tak ada, Nira kena jadi orang yang boleh jaga umi dengan adik Nira. Tunjukkan kekuatan Nira tu. Biar umi rasa tenang sedikit. Pesan Puan Suhaila, wanita beranak tiga yang menjadi jirannya.

Kalau Nira sedih, umi Nira lagi sedih. Nira kena bersabar sayang. Sambung pula Zaharah yang menjadi teman baik ibunya.

Kerana kata-kata itulah dia memaksa diri bertenang. Kesedihannya dilontar jauh-jauh. Dalam meniti usia 14 tahun, dia dipaksa menjadi dewasa lebih awal. Tapi jika dia boleh menelan kesedihannya, ibunya berbeza pula. Wanita itu seolah-olah hilang pedoman hidup. Ibunya mula berubah sikap. Urusan rumahtangga langsung tidak dipedulikan. Setiap hari kerja ibunya hanya termenung sahaja.

Dah teruk si Zahlia ni. Kita kena buat sesuatu. Dah dua bulan dia tak keluar dari rumah. Kalau kita biarkan Zahlia macam ni, lambat laun dia boleh jadi gila. Kata-kata Zaharah sempat ditangkap pendengarannya ketika wanita itu datang berkunjung bersama teman-teman ibunya yang lain.

Lia, aku ni Ara. Kau dengar tak apa yang aku cakap ni Wanita itu merenung ibunya yang duduk termenung di kerusi rehat di beranda bilik.

Kau tak boleh terus macam ni Lia. Kau kena kuatkan semangat, relakan pemergian Adnan tu. Lagipun kau masih ada Danira dan Naufal yang harus kau jaga. Jangan singkirkan anak-anak kau semata-mata kerana kau kecewa dengan kematian Adnan. Kasihankanlah anak-anak kau, Lia. Bisik Zaharah.

Namun kata-kata itu ibarat menyiram air ke daun keladi. Keadaan ibunya tetap tidak berubah. Sejak hari itu, dia menjadi pengganti ibunya. Setiap pagi sebelum ke sekolah, dia akan menyiapkan sarapan pagi untuk ibunya, serta bekal untuk Naufal bawa ke sekolah. Balik dari sekolah, dia akan singgah ke pasar untuk membeli barang-barang keperluan. Sesudah itu dia akan memasak makanan tengahari, mencuci pakaian serta mengemas rumah. Dan itulah rutin sehariannya setelah ibunya jatuh sakit.

Suatu hari, ketika baru pulang dari sekolah, dia terkejut apabila melihat ibunya sedang memasak makanan tengahari. Perlahan-lahan dia mendekati wanita itu. Ibunya menoleh. Senyuman kecil terukir di bibir itu.

Dah balik Pergilah tukar baju, lepas tu turun makan. Suruh ibunya.

Dia tetap tidak berganjak dari situ. Matanya meraut dengan teliti, setiap tingkahlaku ibunya. Kelmarin, wanita itu masih dengan dunianya. Hari ini, dia bagaikan melihat wanita yang berbeza.

Kenapa Nira tengok umi macam tu Ibunya tersenyum memandangnya.

Umi..umi tak apa-apa ke

Umi sihat. Tak ada apa-apa pun. Balas wanita itu, seraya menyenduk nasi ke dalam pinggan. Dia mengekori ibunya ke meja makan. Matanya masih mengawasi gerak-geri ibunya.

Nanti Nira tak payahlah ambil Naufal dari sekolah. Umi akan ambil dia. Ujar wanita itu.

Dia terdiam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Namun hatinya berasa lega kerana ibunya sudah kembali hidup. Sesuatu yang benar-benar diharapkannya selama ini. Selepas menunaikan solat, dia tertidur di biliknya.

bersambung

Bab akan datang:

Benarkah uminya akan mengambil Naufal di sekolah