Bahan asas pembikinan layang-layang atau wau ialah kertas dan lidi buluh. Lidi buluh akan disilang seperti huruf t dan diikat dengan tali untuk dijadikan kerangka. Kertas akan dipotong mengikut bentuk kerangka dan dilekatkan dengan gam. Tali akan diikat pada teraju layang-layang atau wau yang akan diterbangkan tinggi mengikut arah lawan angin.
Selain saiz yang lebih besar, wau mempunyai bentuk yang lebih rumit berbanding layang-layang. Wau yang paling popular dikenali dengan nama Wau Bulan. Ianya bersaiz antara 2.5 meter hingga 3.5 meter dan dihiasi dengan rekaan corak-corak. Wau selalunya dimainkan oleh orang dewasa.
Beza lain antara wau dan layang-layang adalah wau mempunyai busur. Biasanya busur ini akan dilekatkan d i b a h a g i a n leher wau. Inas iaitu bahagian hujung dengung wau yang digunakan untuk menegang dan menarik daun ibus dan mengeluarkan bunyi nyaring apabila diterbangkan. Selain daun ibus, tali guni juga boleh
digunakan. Bunyi dengung yang keluar apabila wau sedang terbang akan lebih menyempurnakan lagi ciptaan wau selain tampak lebih garang.
Layang-layang adalah lebih ringkas penciptaannya daripada wau. Selain itu, layang-layang juga boleh dibeli terus dari kedai pada harga 50 sen. Layang-layang versi kedai diperbuat daripada plastik dan dihiasi dengan gambar hiasan kartun-kartun popular. Ianya tidak didatangkan bersama tali dan perlu dibeli secara berasingan. Kanak-kanak akan memotong kertas surat khabar dan menambah panjang ekor pada layang-layang supaya nampak lebih punk dan stabil apabila diterbangkan.
Walaupun permainan layang-layang sepatut dimainkan dengan menerbangkannya tinggi ke atas langit, rata-rata kanak-kanak bermain dengan cara menerbangkan layanglayang sambil berlari. Layang-layang akan jatuh ke tanah apabila mereka berhenti berlari.
Permainan layang-layang dan wau selalunya dimainkan di kawasan lapang dan luas sperti di padang bola atau sawah padi. Layang-layang yang banyak tersangkut pada wayar elektrik di kawasan-kawasan perumahan adalah bukti layang-layang dari jenis yang degil.