Hari Ahad itu berlalu begitu sahaja. Leman banyak menghabiskan masa di rumah menolong Mak Cik Vijaya menyiapkan tempahan. Sekejap-sekejap dia menilik pintu cermin ketuhar, sekejap-sekejap dia membungkus kotak-kotak kek yang sudah bersusun di rak lama belakang pintu dapur.
Setiap kali mampir raya Cina, tempahan paling banyak yang dikumpul Mak Cik Vijaya ialah kek buah. Kek ini diperbuat dari buah-buah kering yang dicampurkan bersama telur, gula dan tepung. Lebih menarik ia mempunyai aroma kulit oren yang menyegarkan. Biasanya Mak Cik Vijaya akan menggunakan satu senduk hikmat yang sama. Jarang-jarang kali senduk itu hilang atau tidak digunakan. Jika kenakalan Leman melampaui batas, senduk itu juga akan singgah di punggung Leman. Ya, memang hikmat.
Kek yang dibakar selama tiga jam di dalam ketuhar kecil ini perlu kesabaran yang cukup tinggi. Nilai semasa diadun menggunakan tangan dari satu fasa ke satu fasa juga tinggi. Sabar Mak Cik Vijaya menyiapkan satu-satu kek juga tinggi. Bayanglah satu ketuhar ini hanya boleh memuatkan dua biji kek sahaja. Jika tempahan hari itu sebanyak dua puluh biji kek, maka Mak Cik Vijaya perlu menyiapkan dengan lebih 30 jam. Ketangkasan Mak Cik Vijaya bukan sekadar itu sahaja, sambil-sambil menyiapkan kek, makan tengah hari juga sempat dihidang. Pakaian tetap bercuci bersih dan siap digosok dan digantung di dalam gobok. Rumah tetap kemas tanpa berselerak. Bak kata Cikgu Muhammad, inilah suri hati terbaik di kampung Pasir Rawa.
Sedang leka melihat Mak Cik Vijaya memasukkan baki-baki adunan ke dalam loyang kek, Cikgu Muhammad datang menyergah. Melatah dengan tercampak segala senduk dan sudip dari tangan Mak Cik Vijaya. Leman juga turut ketawa. Kesayangan nombor satu Mak Cik Vijaya ini gemar sekali mengusik isterinya. Kadang-kadang hingga lupa Leman yang sedang memerhati.
Waktu makan tengah hari, Leman diam sahaja membisu. Cikgu Muhammad sudah mula meneka-neka ada yang tidak kena dengan Leman. Diangkat kening memberi isyarat kepada Mak Cik Vijaya, Mak Cik Vijaya pula menggeleng tanda tidak tahu.
Leman makin berkerut-kerut, nasi yang diramas-ramas menggunakan hujung jari tidak termasuk ke dalam mulut. Lauk-lauk tidak dicedok, ditenungnya nasi hingga tembus ke Sungai Semantan.
Hoi, termenung apa depan nasi ni! sergah Cikgu Muhammad.
Terkejut Leman! Apalah abah ni.
Dari tadi abah pandang kamu. Nasi pun tak makan, kenapa Ada masalah apa Nurul tak datang sekolah Berderai ketawa mereka, Leman hanya senyum kelat tidak menjawab soalan ayahnya.
Abah. Boleh ajar Leman berenang
Cikgu Muhammad terdiam. Dia pasti ada yang tak kena. Lepas makan kita sembang, sekarang makan dulu.
Leman pun memasukkan nasi ke dalam mulut. Hatinya bertambah debar saat ayahnya mahu bersembang selepas makan. Biasanya soalan-soalan ala polis dalam Gerak Khas akan muncul dan Leman pastinya terjerat dengan soalan-soalan masuk jarum Cikgu Muhammad. Jarang-jarang kali Leman terlepas dari sangkaan dan anggapan Cikgu Muhammad. Biasanya tepat dan mengena.
Usai sahaja makan, Leman mengangkat pinggan sendiri dan mengutip pinggan Cikgu Muhammad. Mak Cik Vijaya mengemas dan bertanya kepada Cikgu Muhammad tentang kopi kegemarannya. Cikgu Muhammad mengangguk. Memang sudah menjadi kebiasaan, selepas makan tengah hari, Cikgu Muhammad perlu minum kopi secawan.
Mak Cik Vijaya meletakkan kopi panas betul-betul di meja kecil di ruang tamu. Dipanggilnya Leman untuk datang menghadap ayahnya. Leman duduk perlahan-lahan, sofa empuk yang punya set kusyen lama berisikan kekabu ini cukup lembut. Berlantaikan tali spring yang diikat enam di antara kayu kerusi menjadikan ia empuk saat punggung dilabuhkan. Leman memegang jarijemari sendiri. Bibirnya digigit, matanya sayu memandang Cikgu Muhammad. Bermulalah siri siasatan Gerak Khas.
Soalan satu: Kenapa kamu mahu belajar berenang
Jawapan: Sebab nak pandai berenang, abah. (Lulus)
Soalan dua: Jika dah pandai berenang nanti, kamu nak berenang di mana
Jawapan: Tak ke mana. Saja nak pandai saja abah. (Meragukan)
Soalan tiga: Kamu ada berjanji nak berlawan berenang dengan siapa-siapa
Jawapan: Err...Err... Tak ada abah, mana ada! (Lagi meragukan)
Leman semakin terketar-ketar. Kuasa tele kinetik apa yang melanda pemikiran ayahnya ini semakin membuat dia mahu berlari dan terkencing-kencing di tandas. Dipegangnya dada yang sedang kencang bernafas. Macam mana abah tahu ni Dengus hatinya.
Sedang Leman di tandas, Cikgu Muhammad dan Mak Cik Vijaya berbincang. Walau firasat mereka ada sesuatu yang tidak kena, Mak Cik Vijaya meminta bantuan Cikgu Muhammad untuk ajarkan sahaja teknik dan asas berenang kepada Leman. Sekiranya berlaku apa-apa, Leman pandai menyelamatkan diri. Itu keutamaan yang paling besar. Cikgu Muhammad mengangguk setuju.
Leman kembali dengan wajah sayu. Saat dimaklumkan yang Cikgu Muhammad sanggup mengajar Leman asas berenang dengan betul, Leman melompat dan sekonyong-konyong terus memeluk Cikgu Muhammad lalu berlari keluar ke rumah Faduli. Cikgu Muhammad menggeleng kepala.
Anak kita dah besar. Mak Cik Vijaya mengangguk dan memerhatikan Leman yang sudah semakin jauh berlari.
Duli! Duli! Bapak aku setuju ajar aku berenang! Faduli terbeliak.
Kau cakap apa dengan bapak kau sampai bapak kau setuju
Aku mintak ajelah, alah bapak aku tu memang lembut hati orangnya.
Faduli mencebik. Entah ya entah tidak. Bila mula Aku ikut boleh
Boleh! Selesai habis sekolah selepas Asar di belakang rumah Mak Lang.
Petang itu kembali dengan nada keriuhan. Ayam-ayam yang bercicit mencuit-cuit itik yang sedang beratur pulang ke sangkar masing-masing. Mak Cik Cah juga gembira suaminya pulang selepas tiga hari ke utara membawa lori, girangnya bukan main. Menyanyi sambil memasak hingga kedengaran di halaman rumah. Semua alam sedang bertepuk tangan, sedang matahari mahu balik, awan gelap pula muncul bersama bintang-bintang yang rajin mengelilingi bulan. Leman lega, satu perkara sudah selesai.