SANG PENGUASA - 11
Keperluan mengukur kekuatan kerajaan yang diperintah adalah untuk memastikan sama ada penguasa perlu bergantung pada orang lain ataupun tidak untuk memerintah. Untuk menjadikan perkara ini jelas, saya beranggapan penguasa yang mampu bangun dengan sendirinya adalah penguasa yang mendapat sokongan ramai dan kaya harta serta mempunyai sejumlah tentera yang mampu bertahan daripada sebarang serangan musuh. Saya beranggapan, penguasa yang perlu bergantung pada orang lain untuk bangun adalah penguasa yang tidak mampu menonjolkan dirinya ketika berhadapan dengan musuh di medan, tetapi terpaksa berlindung di sebalik tembok. Kes yang pertama telah kita bincangkan dan akan dibahaskan lagi kelak. Kes kedua pula, tiada apa yang dapat kita bicarakan melainkan mendorong penguasa sebegitu untuk menyediakan bantuan dan mengukuhkan kotanya. Penguasa yang dapat mengukuhkan dan mentadbir kotanya dengan baik akan hanya diserang dengan penuh berhati-hati kerana manusia memang tidak gemar bertindak apabila menemui kesukaran. Mereka tidak akan menyerang kota yang penguasanya dapat memerintah dengan baik dan tidak dibenci oleh rakyat.

Kota-kota di Jerman agak bebas dan tidak banyak negara yang dikawal. Penduduknya pula hanya akan mematuhi maharaja apabila rasa perlu. Mereka juga tidak takut dengan mana-mana kuasa yang mungkin berada hampir dengan mereka. Hal ini kerana mereka telah mengukuhkan kota mereka sehingga ramai yang fikir bahawa sukar untuk menyerang kota tersebut. Mereka membina longkang dan tembok yang sukar untuk ditembusi, mempunyai artileri yang cukup, serta mempunyai gudang awam yang cukup untuk menyimpan bekalan dan senjata selama setahun. Selebihnya, untuk mengekalkan keamanan, mereka sentiasa memberikan pekerjaan kepada masyarakat, iaitu pekerjaan yang akan mengukuhkan kekuatan kota serta pekerjaan yang memberikan sokongan hidup kepada rakyat. Mereka juga menjalankan latihan ketenteraan serta mempunyai undang-undang tersendiri untuk mengawal mereka.

Oleh itu, penguasa yang mempunyai kota yang kukuh dan tidak dibenci oleh penduduknya, tidak akan diserang. Sekiranya dia diserang, penyerang akan berasa malu kerana hampir mustahil untuk bertahan di medan selama setahun tanpa sebarang gangguan. Sekiranya ada yang mengatakan, jika rakyat mempunyai harta di luar kota, dan melihat harta itu dibakar, mereka tidak akan dapat terus bersabar. Pengepungan yang lama dan kepentingan peribadi akan menjadikan mereka melupakan penguasa. Saya akan jawab, penguasa yang berkuasa dan berani akan menangani hal itu dengan memberikan harapan kepada rakyat bahawa kejahatan tidak akan mampu bertahan lama serta memberikan ketakutan tentang kekejaman musuh sementara mereka masih berani untuk mempertahankan tembok. Semangat mereka akan bangkit untuk berdiri bersama-sama dengan penguasa.

Seterusnya, apabila semangat itu semakin luntur, penguasa tidak perlu risau kerana pelbagai kerosakan telah dilakukan oleh musuh.

Machiavelli Niccolo

Tidak guna lagi selamatkan harta yang sudah hancur. Kemudian, rakyat akan lebih terdorong untuk bersatu dengan penguasa untuk mempertahankan harta benda mereka yang masih ada. Sifat manusia akan patuh pada kepentingan dua hala. Penguasa tidak akan berasa sukar untuk mengawal mereka yang mempunyai kepentingan untuk dipertahankan.