JAGUH DEKLAMASI - 11
Penyampaian deklamasi melibatkan dua bentuk ekspresi iaitu ekspresi verbal dan ekspresi fizikal.

i. Ekspresi verbal

Artikulasi (kelancaran)

Artikulasi atau kelancaran merupakan lafaz serta pengucapan fonem-fonem pada lidah deklamator. Artikulasi merupakan aspek yang paling utama dalam wahana deklamasi. Untuk itu, deklamator mesti membuat latihan secukupnya supaya deklamasi berjalan dengan lancar dan tidak tergagap-gagap.

Salah satu punca kegagalan artikulasi ialah deklamator gagal menyebut perkataan yang mempunyai suku kata yang banyak (empat suku kata dan ke atas), bahasa terlalu bombastik yang jarang digunakan serta perkataan yang kompleks.

Sebutan

Dalam istilah linguistik, sebutan merujuk kepada fonologi perkaedahan menyebut perkataan. Perlu diberi perhatian serius, setiap deklamator perlu menyebut setiap perkataan dengan tepat dan jelas satu perkataan demi perkataan.

Ramai yang mengambil ringan hal ini lalu terkeluarlah lebihan perkataan seperti aku menjadi akuh dan lain-lain. Faktor utama yang menyebabkan berlakunya ketidakjelasan sebutan ialah deklamator terlalu gopoh, tercungap-cungap dan nafas tidak mencukupi.

Intonasi

Intonasi merupakan keadaan tinggi rendah atau naik turun suara. Secara jelasnya, deklamasi bukanlah pertandingan melolong atau memekik. Untuk itu, kemampuan deklamator mengawal suara adalah sangat dititikberatkan.

Deklamator seharusnya bijak memilih tempat yang perlu ditekankan suara, membuat jeda, hentian yang sepatutnya dan menyebut bilah-bilah kata. Ada kalanya deklamator perlu menyebut satu patah perkataan demi satu patah perkataan dan ada kalanya perlu dibaca dengan cepat.

Kualiti suara

Seperti juga lain-lain bidang yang melibatkan persembahan suara, vokal sangat penting dalam deklamasi puisi. Lontaran vokal yang baik akan membezakan deklamator yang baik dan tidak. Kualiti suara lelaki dan perempuan juga turut berbeza.

Tidak semua orang boleh menjadi deklamator yang baik. Ini kerana, kualiti suara setiap orang adalah berbeza antara satu sama lain. Agak sayang, ada orang yang mempunyai gaya persembahan yang unik, namun disebabkan suaranya halus dan kecil, dia tidak boleh mendeklamasikan puisi dengan baik.

Bagaimanapun, mereka yang memiliki suara yang halus mampu mempersembahkan puisi dengan baik jika dia tahu caranya.

ii. Ekspresi fizikal

Kontak mata

Deklamator perlu memberi tumpuan kepada kontak mata. Jaga kontak mata supaya audiens berasa dihargai. Jangan hanya memandang teks sahaja.

Sesekali, gunakan kontak mata untuk menunjukkan bahawa puisi tersebut memang ditujukan kepada khalayak. Perbuatan kontak mata yang terlalu jauh menerawang menjadikan apresiasi penonton menurun.

Mimik muka (dahi, kening, mata, mulut)

Ekspresi wajah atau mimik muka sangat penting bagi memberi kesan yang tinggi kepada apresiasi puisi. Mimik muka sudah mampu menjelaskan maksud inti pati puisi yang ingin disampaikan oleh deklamator.

Misalnya, mimik muka yang sedih sudah pasti menggambarkan puisi yang bertemakan kesedihan. Agak janggal sekali sekiranya deklamator tersenyum ketika membaca puisi sedih atau mimik mukanya masam ketika membaca puisi tema kejayaan.

Perkara paling utama, ekspresi wajah perlulah natural dan bukan lakonan atau keterpaksaan serta dibuat-buat.

Apabila menekankan kepada sesuatu sebutan, biasanya dahi atau kening akan berkedut. Kawal kedutan dahi serta kening supaya tidak melampaulampau.

Bukaan mulut juga perlu dikawal supaya tidak berlebih-lebihan. Aksi mulut ini paling penting apabila dirakam kerana akan menjadi bahan lawak sekiranya kamera difokuskan.

Gestur (tangan, jari)

Untuk pergerakan jari, tangan dan bahu, jangan melampau-lampau terutamanya tangan. Pastikan lingkungan pergerakan tangan tidak melebihi tubuh atau jangkauan terlalu luas.

Hadkan pergerakan tangan supaya aksi yang ditonjolkan tidak melebihi isi puisi yang dideklamasikan. Gestur tangan dan jari mestilah sesuai dengan inti pati puisi.

Postur (kedudukan segmen badan dan kedudukan badan di pentas)

Gaya berdiri sangat memberi kesan kepada persembahan. Lebih-lebih lagi untuk deklamasi yang akan divideokan semula atau ditayangkan secara langsung di televisyen.

Pastikan berdiri tegak dan lurus. Paling penting, jangan berdiri senget. Bagaimanapun, berdiri secara senget boleh dianggap sebagai teknik jika kena caranya.

Apabila berada di atas pentas dengan mikrofon terpacak di hadapan, bermakna pentas kini di bawah penguasaan deklamator. Perlu diingati, deklamasi bukan persembahan teater.

Bermakna, walaupun pentas di dalam kekuasaan deklamator, deklamator masih tidak dibenarkan bebas bergerak. Had pergerakan yang dibenarkan mungkin sekitar 2 x 2 sahaja.

Tambahan:

Kepala: Pastikan kedudukan mulut sekena dengan mikrofon. Kepala jangan terlalu menunduk atau terlalu mendongak. Aksi pergerakan kepala jangan terlalu melampau.