KEMBARA PENIAGA JALANAN - 11
M A N A K A N dapat sagunya jika tak dipecahkan ruyung Begitulah juga dalam setiap usaha kita. Mana mungkin kau usaha setakat seringgit tetapi mahukan pulangan beribu ringgit. Tak usahlah berangan Mat Jenin lagi kawan. Hidup ini memang keras dan kita mesti berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa jua yang kita impikan dalam hidup.

Sekitar awal tahun 2000, aku masih lagi tidak puas untuk meneroka pasaran berniaga di jalanan seperti di ekspo-ekspo. Aku amat percaya lapangan begini melahirkan ramai jutawan dan orang bisnes yang hebat. Ia tidak popular tetapi ia memberi keuntungan yang cukup baik.

Baru-baru ini, aku ada menulis di Facebook mengenai seorang sahabat yang menjadi jutawan dengan hanya menjual di eskpo sekitar Lembah Klang.

Abang Bob seorang yang pendiam dan selalu merendah diri. Apabila melepak dengan beliau di Klang, duit aku memang tak pernah laku. Kalau aku cuba-cuba untuk bayar, confirm aku kena maki. Cerita abang Bob ini ialah cerita jutawan senyap yang mungkin tak pernah kaudengar pun sebelum ini. Kau tahu dia berniaga apa Jual belon! Ya, belon yang kita selalu tengok terapung-apung bertali di setiap ekspo. Belon yang modalnya tak sampai satu ringgit boleh dijual dengan harga RM5 setiap satu. Dalam masa beberapa tahun sahaja, beliau mampu membeli beberapa buah rumah secara tunai dan memandu kereta mewah. Tetapi jika kau jumpa abang Bob di luar, beliau masih selekeh dan berselipar jepun sahaja.

Untuk satu hari event, abang Bob boleh membuat jualan purata sebanyak RM3,000 ringgit dengan hanya dibantu oleh dua atau tiga orang pekerja sahaja.

Ikram tau tak, awal-awal dulu memanglah abang jual sendiri. Tapi, bila dah lama-lama memang tak sempat. Lagi-lagi kalau kita masuk menjual di event besar macam Jom Heboh. Abang kena ada satu team khas yang kerja depa cuma mengepam belon. Dan di setiap kawasan tumpuan abang mesti ada seorang budak yang menjual belon, jelas Abang Bob pada aku suatu ketika dulu.

Bila kita jual belon Ikram, kita kena pandai bancuh gas sendiri. Kalau beli gas yang dah siap, kos untuk setiap belon sahaja sudah seringgit. Itu belum lagi masuk gaji budak dan kos lain. Kos belon pun belum lagi masuk. Tapi abang syukur sangat bila tauke yang bekalkan kepada abang belon ajar abang bancuh gas sendiri. Kosnya tak sampai 20 sen!

Kisah Abang Bob bukan satu-satunya kisah yang membuatkan aku semakin teruja untuk berjualan di ekspo-ekspo. Sewaktu aku mencuba untuk masuk berjualan di Karnival Memancing Bank Rakyat yang pernah masyhur suatu ketika dahulu, aku menuntut dulu ilmu dengan seorang sahabat yang senang dikenali sebagai Bujang Selamber (BS). Sejak mula aku kenal beliau, dia memang jenis suka berjualan di jalanan. Dialah yang mengajak aku untuk ikut berniaga di Pantai Puteri, Melaka. Kami sama-sama naik van dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka dengan membawa begitu banyak barang jualan bersama. Semua barang kami ambil stok dari pembekal yang ada di sekitar Kuala Lumpur sahaja.

Apa yang kami jual di karnival tepi pantai itu Kau kena fahamlah, apabila ada acara di tepi pantai, mestilah pengunjung akan selalu panas dan kehausan. Jadi kami buat keputusan untuk menjual topi, payung, spek mata hitam, pakaian bundle dan beberapa jenis aksesori untuk memancing. Apabila kita jual apa yang pelanggan mahu dan kena betul dengan kehendak mereka, maka tidak menang tanganlah dibuatnya. Aku dan BS sampai mahu berhenti makan dan solat pun kadang-kadang punyalah payah, bergilir-gilir berehat sepanjang hari. Memang sepanjang program tiga hari itu berlangsung, macam nak gila jadinya. Tetapi kami seronok dan puas! Boleh dikatakan 80 peratus barangan jualan yang dibawa pasti habis.

BS banyak mengajar aku untuk berjimat cermat dan hebat belanja. Setiap kali keluar berniaga, kami akan keluar awal ke lokasi dan memandu perlahan sahaja. Aircond pun tak buka woi, aku tak pasti sama ada teori tak buka aircond ini menjimatkan minyak itu betul atau tak Tapi itulah kenyataannya, aku layankan saja. Begitu jugalah masa tiba bab makan, kadang-kadang kami makan ala kadar sahaja demi mengalas perut. Kalau makan banyak sangat nanti confirm mengantuk, kan

Bila tiba bab tidur, BS kata tak usah risau kerana beliau bawa Hammock, sejenis katil lipat ala askar. Kami pilih untuk tidur di dalam khemah jualan kami sahaja. Sedap, sejuk dan nikmat sekali. Beginilah kisah kami saudagar jalanan dan aku tak pernah berhenti dan menyesal atas semua nikmat ini. Pengalaman ini sangat mahal dan aku teroka banyak perkara dalam setiap usaha.

Setakat ini kau belajar apa-apa tak Idea akan terus kekal menjadi idea sehinggalah ia dilaksanakan. Aku nasihatkan apabila kita sudah ada idea, terus buat saja. Jika tidak mahu, tidak tahu dan tidak berani, carilah seseorang yang boleh dijadikan teman dan buat semangat dalam setiap langkah kita. Tak usah duduk seorang menyendiri lagi.

Apabila kau terlalu banyak alasan dalam berniaga, bila masanya kau hendak meraih kejayaan Tunggu dan terus menunggu takkan membawa kau ke mana-mana, malah ia akan terus membuatkan kau berasa takut di dalam kepompong hitam yang kaubina sendiri. Zaman sekarang banyak peluang berniaga di ekspo-ekspo yang aku nampak, cuba kau pergi tengok sekali sekala. Siapa yang paling ramai berniaga Orang luar atau orang kita