PEREMPUAN-PEREMPUAN MERBAHAYA - 114
Aku nyalakan sumbu harum cempaka di tiap ruang kubikal kita biar aromanya menerobos rasa menghidupkan jiwa

Aku tabur kelopak mawar di seluruh tapak kamar penuh cinta-cinta mekar dan pembaringan kita; segar

Aku masih duduk di birai merenung jendela yang di luarnya renyai-renyai umpama kondisi aku

Kamu sudah lena nampak selesa di pembaringan taburan kelopak cinta dengan haruman syurga

Aku lalu perlahan menuju ke kamar mandi memulas deras tombol pili di sinki merenung cermin yang adakala punya seri belum pun takungan telapak aku singgah ke pipi muka sudah lencun dibasahi.

Aku keluar dari kamar mandi setelah itu perlahan menuju kamu yang sedang lena tidur bukan apa, aku cuma mahu lihat kelopak mata kamu yang menyegarkan hari-hari aku seperti selalu takkan pernah layu seperti apa aku lalu

Aku rapatkan wajah lalu memberi satu ciuman ringkas supaya dalam masa sama aku dapat menghidu haruman mendarat di tubuh kamu walau bukan total mampu menjadikan aku seorang perindu tipikal

Seusai itu

telah aku padamkan lampu kalimantang sudah aku nyalakan lilin wangi telah aku hidupkan ubat nyamuk sudah aku selimutkan kamu kemudian keluar dan tutupkan pintu bilik perlahan demi perlahan

Biar nanti pejam kamu nyaman dalam samar

Biar nanti bila sedar, kamu tak rasa sunyi dengan ditemani keharuman lilin tadi

biar nanti tak ada lagi gigitan cinta membintat malam biar nanti tubuhmu sentiasa selesa dengan kehangatan yang sederhana perlu

biar nanti bila mahu apa-apa, kamu boleh singgah di ruang tamu; aku masih di situ

Dengan nota;

Saya minta maaf tidak menjadi yang menyenangkan dalam segala hal.

Perasaan saya jadi jatuh atas sebab diri sendiri. Kecewa dengan diri sendiri. Tapi saya masih perlu seorang kamu dan seorang saya untuk saling melengkapi antara satu.