PEREMPUAN-PEREMPUAN MERBAHAYA - 115
Seperti malam-malam sebal sebelum yang tiada siapa mahu kuntum senyum pada bolong-bolong rompang seorang aku

terbiar reput

berkirai ribut aku datang pada yang mahu disudah habis madu diludah habis aku tiada siapa perlu aku jadi buntu

Apa aku ini sekadar disinggah meluah sengsara apa aku ini melunas kecewa-kecewa dan menghadir tawa apa aku ini badut yang dilukis gincu pada mulut supaya tersenyum lebar sentiasa tak lucut

Habis aku ini yang rohnya sudah kering dihirup siapa mahu pujuk Habis aku ini yang hatinya kecut menjadi sepah bersepah siapa mahu kisah

Habis aku ini yang cerianya diada-ada supaya dalam sepi masih terasa ramai siapa yang mahu tanya

Dalam tidak disengaja yang diatur kuasa kau datang entah dari celahan boulevard mana menghulur genggam kemas lalu membuka kelima jemarimu perlahan dan terawanglah kelip-kelip memberi cahaya sepertimana kau sedang berikan terang yang menenangkan

Tapi

aku tidak mahu kita umpama kelip-kelip hadirnya kadangkala di senandung dirai bila suka cuma

dilupa dan lenyap bila tiada