TORA DATANG LAGI - 116
Smart Shop merupakan sebuah rancangan iklan berbayar yang ditayangkan di TV3 pada waktu tengah hari dan juga tengah malam. Ianya menjual barangan-barangan dengan rekaan terkini dan moden. Antara contoh barangan yang dijual adalah seperti barang-barang dapur (pisau, periuk, cerek dan lain-lain), alat senaman, aksesori kereta, alat pencuci, penyedut hampagas dan bermacam lagi.

Antara barang yang paling hip dan trending adalah penanggal kotoran, Didi Seven.

Sepanjang rancangan Smart Shop ditayangkan selama 1 jam, ianya akan diacara oleh seorang penjual yang akan menceritakan selengkap mungkin tentang sesuatu barang. Dia juga akan menjemput seorang dua sukarelawan bagi menunjukkan demonstrasi dan akan menemuramah beberapa pelanggan yang telah menggunakan produk tersebut. Setiap sela masa antara 5 minit akan diisi dengan membuka pesanan dari rumah, lengkap dengan nombor telefon untuk dihubungi. Barangan yang diiklankan di Smart Shop juga boleh dibeli di pasar-pasar raya yang terpilih sahaja.

Dapat menggunakan barangan yang diiklankan di Smart Shop menjadi satu kebanggaan kepada kanak-kanak ketika itu. Ianya berikutan harganya yang mahal selain memiliki kelebihan tersendiri termasuk rekaan yang lebih terkehadapan dari barangan kedai runcit. Sampai seminggu cerita kat kawan pasal mak dia beli mesin kempis perut.

Antara yang best menonton Smart Shop adalah jika barangan berupa alat senaman. Ia selalunya akan menggunakan model berambut blonde yang memakai bikini dan perkara ini sangatlah tidak menyenangkan ibu bapa.

Dalam pada tidak disenangi itu, kadang-kadang di tengah malam apabila golongan ibu sudah masuk tidur, golongan bapa pula akan menonton Smart Shop. Belinya tidak pun.