Gadis Kebaya Merah - 12
BAB 12

SUDAH seminggu Ana Dahlia masuk pejabat semula. Selama seminggu itulah dia memerhati gerak geri Kudin dan Kusha. Dia sengaja menawarkan diri untuk menghantar semua fail ke bilik Kusha. Sempat dia letak alat pendengar senyap di bawah meja Kusha. Jadi selama seminggu itu, banyak maklumat yang diperolehi. Kudin pula dilihat tidak sehebat semasa di kampung untuk menyiasat kes kematian ayahnya, mungkin disebabkan kerja yang banyak yang mengekang lelaki itu dari menyiasat hal itu. Ana Dahlia senyum. Itu bermakna, dia boleh bergerak secara solo dan Kudin tidak boleh tahu tentang penyamarannya di situ walaupun di kampung, Kudin seperti mengsyakinya.

"Ana, nanti hantar fail ni ke bilik Kusha ya." Hetty, setiausaha Kudin letak beberapa fail di atas meja Ana Dahlia.

"Err..semua ni ke cik Hetty" Ana Dahlia mendongak.

"Ya tapi sebelum tu, dapatkan tandatangan Tuan Pengarah dulu." Pesan Hetty sebelum dia melangkah keluar dari pejabat itu.

Ana Dahlia membelek sekilas. Fail itu hanya berhubung dengan projek syarikat di Cameron Highlands. Dia senyum. Fail tadi dipegang dan dia melangkah ke bilik Kudin. Pintu diketuk beberapa kali.

"Masuk!"

Ana Dahlia pulas tombol pintu, dia mula menapak ke meja Kudin yang sedang sibuk menyelak fail.

"Ni fail untuk ditandatangan sebelum saya hantar ke bilik cik Kusha tuan." Ana Dahlia letak di atas meja Kudin.

Kudin mendongak. Dia mengukir senyum. Rasa janggal bila Ana Dahlia memanggilnya dengan panggilan tuan. Dulu masa Ana Dahlia mula-mula masuk kerja di situ, dia tidak kisah tentang panggilan itu tetapi sekarang dia merasa tidak begitu selesa.

"Hmm.." Kudin capai fail yang diletakkan atas meja tadi. Dia belek dan baca sekilas. Seketika kemudian, dia mula menurunkan tandatangannya di situ.

"Nah!" Fail itu dihulur kembali kepada Ana Dahlia yang manis berbaju kurung kuning bunga-bunga halus.

"Terima kasih." Ana Dahlia sambut fail yang dihulur Kudin dan ingin beredar dari situ.

"Nanti kejap. Lepas kerja nanti, temankan saya makan." Kudin pandang Ana Dahlia yang tidak berkelip memandangnya.

"Teman makan"

Kudin angguk.

"Err..kenapa" Ana Dahlia sudah tidak selesa.

"Saya ada hal penting nak bincang. Syarat saya masih berkuatkuasa kan" Kudin ingatkan Ana Dahlia tentang lima syarat yang mereka sudah setuju dulu.

Ana Dahlia terdiam seketika. Itu syarat pertama yang ditulis Kudin, kena temankan ke mana saja Kudin pergi. Tidak kira waktu. Gila!

"Baiklah.." Ana Dahlia senyum terpaksa. Terpaksa kerana dia perlu menyiasat kes itu. Terpaksa ikut apa saja syarat yang telah ditetapkan Kudin. Alah, setakat teman makan, tak ada masalah padanya. Lainlah kalau dikenakan syarat menemani Kudin ke hotel kea atau tempat-tempat sunyi ke, mahunya dia akan berhenti terus dari penyamarannya di situ. Dia mula beredar dari situ.

Kudin hanya senyum melihat Ana Dahlia yang sudah menggelabah. Entah bila hatinya sudah terpaut pada gadis itu, mungkin sejak bertemu di Restoran Cinta Sayang itu dulu.

ANA DAHLIA kembali ke mejanya. Dia sandar di kerusi. Sesekali dia pandang ke pejabat Kudin yang hanya dipisahkan dengan cermin. Kudin sedang memerhati ke arahnya. Dia tunduk semula.

"Haih...parah macam ni. Terpaksa aku layan mamat tu. Selagi kes ni belum selesai, selagi tu aku terpaksa." Ana Dahlia sedikit mengeluh. Payah untuknya menjalankan tugas jika bersabit soal hati dan perasaan.

Dia bingkas bangun dan mula menuju ke bilik Kusha. Bilik diketuk beberapa kali. Tiada jawapan. Dia ketuk lagi. Masih tiada jawapan.

Tombol pintu cuba dipulas. Tidak berkunci. Ana Dahlia buka perlahan dan jenguk ke dalam. Memang tiada sesiapa. Dia letak fail tadi di atas meja dan mula menapak keluar semula, namun telinganya sempat menangkap sesuatu di balkoni bilik itu. Dia berdiri di tepi langsir. Jelas dia melihat Kusha sedang berbual dengan seseorang di telefon. Sekali lagi, dia letak alat pendengar senyap di tepi balkoni. Langkahnya diatur perlahan keluar dari bilik Kusha.

"Hmm...nampaknya dia ada orang suruhan. Zarina Siapa Zarina" Ana Dahlia henyak tubuh di kerusi di mejanya semula. Kata-kata Kusha tadi sempat didengar dengan jelas. Antara nama-nama yang disebut Kusha tadi sempat dicatat dalam laporannya. Dia mula mencari nama-nama itu dalam carta organisasi dan juga dari fail dari bahagian sumber manusia. Tak susah untuknya mendapat semua itu.

"Hmm...bermakna, dari lima orang yang disebut ni, dua darinya telah menghilangkan diri. Kemungkinan dua orang perempuan ni yang dibunuh dan dicampak mayat mereka di kampung Pinang Patah. Tiga orang lagi tu, mungkin talibarut dia atau mangsa seterusnya." Ana Dahlia membuat spekulasi sendiri. Dia segera catat apa yang didengar tadi.

Telefon bimbitnya berdering kuat. Dia pandang skrin telefon. Panggilan dari Jabatan Kimia, bahagian forensik. Panggilan itu segera dijawab. Dia tersenyum. Talian dimatikan.

"Keputusan sudah keluar. Aku kena ke sana." Ana Dahlia mengukir senyuman lebar. Tidak sabar untuknya mengetahui milik siapa DNA pada rangka manusia dan juga mayat reput dalam karung guni. Tengahari nanti, dia akan ke makmal. Keputusan itu perlu dihantar ke balai secepat mungkin dan Detektif Razif perlu tahu hal itu.

TENGAHARI, Ana Dahlia tergesa-gesa keluar dari pejabat. Dia perlu segera ke makmal mengambil keputusan. Kudin tadi dilihat sering memerhati gerak gerinya. Ah! Lantaklah mamat tu. Langkahnya diatur laju menuju ke tempat menunggu teksi.

"Haih..lambat pulak teksi ni. Masa aku nak, sebuah pun tak nampak, masa tak nak, beratur datang!" Ana Dahlia membebel sendiri.

Dia jenguk lagi ke arah kanan jalan. Nak bawa kereta sendiri, nanti pelik pula dan akan terbongkar penyamarannya nanti.

Yalah..seorang kerani cabuk sepertinya boleh pakai kereta Honda Accord! Tak ke pelik Terpaksalah dia naik bas atau teksi ke tempat kerja.

"Mana la teksi ni" Ana Dahlia jenguk lagi.

Pon! Pon!

Ana Dahlia berpaling. Motorsikal Kawasaki hitam berhenti betul-betul di depannya. Dia buat tidak tahu. Matanya masih melilau pada kelibat teksi yang ditunggu.

"Ana! Kau nak ke mana"

Ana Dahlia berpaling lagi ke arah motorsikal tadi. Dia berkerut kening. Lelaki yang menaiki motorsikal tadi sudah tersenyum kepadanya.

"Kau tak ingat aku ke Aku Jo la!" Jo mula menapak turun dari motorsikal dan mendekati Ana Dahlia yang sudah terpinga-pinga di situ.

"Johan" Ana Dahlia pandang lagi lelaki itu yang memakai jaket kulit hitam.

Jo angguk, masih senyum.

"Err..Johan Sulaiman" Ana Dahlia hampir tidak percaya.

Sekali lagi Jo mengangguk.

"Macam mana kau ada kat sini Kan kau kerja kat US dulu" Ana Dahlia mula senyum. Johan, teman satu kelas dulu yang sudah setahun kerja di California sebaik tamat pengajian.

"Aku dah balik lama dah..baik aku kerja di Malaysia ni." Jo sengih. Ana Dahlia dipandang lama. Masih manis seperti dulu.

"Oh ya ke Habis kau kerja apa sekarang ni Kat mana" Teruja dia berjumpa kawan lama.

"Whoa! Satu-satu okey! Aku kerja biasa je. Kuli." Jo sengih lagi.

"Oh.." Ana Dahlia senyum sumbing. Sudah masak dengan jawapan Johan, sejak di universiti dulu lagi.

"Ni nak ke mana" Jo tanya lagi. Dari tadi Ana Dahlia berdiri di situ.

"Nak jumpa kawan sekejap. Errokey lah Johan, aku dah lambat ni." Ana Dahlia mula menahan sebuah teksi yang kebetulan lalu di situ.

Jo hanya memerhati Ana Dahlia menaiki teksi. Dia senyum penuh makna. Gadis itu sudah dijumpai. Sudah lama dia menjejaki gadis bernama Ana Dahlia. Baru kini bertemu. Topi keledar disarung semula ke kepala dan dia mula menderum laju meninggalkan tempat itu.

DI MAKMAL FORENSIK, Ana Dahlia membelek keputusan yang sudah diperolehi. Dia tersenyum puas.

"Thank you so much Prof. Koh!" Ana Dahlia berjabat dengan lelaki cina separuh abad itu yang selalu digunakan khidmatnya untuk menjalankan ujian DNA ke atas mayat dan rangka dalam kes pembunuhan.

"You are most welcome. It's my duty.." Prof Koh turut mengukir senyum.

"Yeah...with this results, I hope it can help to solve this case soon." Ana Dahlia senyum lagi.

"Hmm..ujian DNA pada rambut dan tulang mayat reput tu saya sudah bandingkan dengan rambut asal milik orang yang disyaki.

Memang ada persamaan. Keputusan itu ada disertakan sekali di dalam tu." Terang Prof Koh lagi.

Ana Dahlia berpuas hati. Minggu lepas, dia mengarahkan orangnya untuk mengambil sampel rambut di rumah gadis yang hilang itu untuk tujuan perbandingan dengan DNA tulang dan rambut mayat yang dijumpai. Dia beri senarai nama gadis yang hilang kepada salah seorang pegawai polis. Spesimen yang dihantar ke makmal forensik minggu lepas adalah cukup untuk meneruskan ujian DNA itu. Dia yakin semua prosedur telah diikuti mengikut piawaian yang betul dan tidak tercemar dengan bakteria. Langkah-langkah keselamatan dan juga amalan makmal yang baik membantu dalam mendapatkan keputusan yang tulen.

Prof Koh adalah pakar saintis bahagian forensik, dia bertanggungjawab menjalankan ujian untuk semua kes polis. Ujian dilakukan dengan penuh teliti dan teknik yang betul mengikut prosedur ISO.

Semua barang kes disimpan ditempat sejuk dan diekstrak untuk ujian DNA. Teknik Polymerase Change Reaction Short Tandom Repeat (PCR STR) digunakan dalam penentuan DNA yang diesktrak dari tisu dan tulang rangka manusia. Teknik ini adalah lebih cepat dan lebih tepat untuk mendapat keputusan.

"OK, thank you again!" Ana Dahlia berpuas hati dengan keterangan yang ditulis di dalam laporan itu.

"Welcome." Prof Koh senyum.

LAPAN SETENGAH malam, di sebuah restoran, Ana Dahlia masih menunggu Kudin. Dia jenguk ke arah jalan yang menghala ke restoran itu. Kelibat Kudin masih tidak kelihatan. Siang tadi, sebaik pulang dari makmal forensik, dia menghala pula ke balai polis memberi maklumat itu pada Detektif Razif. Maklumat yang diberi itu cukup membuatkan Detektif Razif tersenyum. Bermakna penyamarannya di TM Holdings tidak perlu sampai tiga bulan. Bermakna juga misteri gadis kebaya merah yang dimaksudkan oleh Kuyah dulu itu akan diketahui siapa sebenarnya.

"Hmm...aku harap tak ada lagi jelmaan gadis kebaya merah tu." Ana Dahlia senyum sendiri. Mengingati semula kejadian seram di rumah Nek Tom dan di rumah Mak Jemah itu memang membuatkan bulu roma meremang. Tidak sangka, zaman moden sekarang ini masih ada benda-benda tahyul seperti itu.

Ana Dahlia pandang lagi ke arah pintu masuk restoran. Tiada kelibat Kudin di situ. Dia pandang jam di pergelangan tangan.

"Dah dekat setengah jam aku melangut kat sini. Aku balik karang, marah pulak mamat tu." Lehernya dipanjangkan melihat ke arah pelanggan yang mula masuk ke restoran. Dia senyum. Kudin dilihat terkocoh-kocoh berjalan ke arah pintu restoran.

"Hmmdatang pun."

"Maaf, dah lama tunggu" Kudin sengih. Dia melabuhkan punggung di hadapan Ana Dahlia. Helmet diletakkan di atas meja. Jaket hitam disangkut di kerusi.

"Tak..baru seminit kat sini.." Nada Ana Dahlia sudah sinis. Dia hanya jeling Kudin yang tersengih-sengih.

"Dah order" Kudin pandang Ana Dahlia yang sudah memandang ke arah lain.

"Belum.."

"Kita order dulu la." Kudin angkat tangan memanggil pelayan restoran. Makanan dan minuman dipesan.

Ana Dahlia diam. Dia pandang Kudin yang masih memandang ke arahnya. Siang tadi Kudin seperti memerhati gerak gerinya.

"Hal penting apa awak nak cakap" Ana Dahlia terus kepada topik sebenar.

"Awak ni..punggung saya belum lagi kematu kat sini. Kita sembang dulu..makan, minum..lepas tu barulah kita bincang hal penting tu." Kudin senyum sinis. Lagak Ana Dahlia sudah lain. Sudah tidak sabar.

Ana Dahlia diam sekali lagi. Segala apa yang berlaku di pejabat sudah banyak diketahui. Kuyah juga boleh disyaki sebagai pembunuh kerana dia mempunyai motif yang kuat untuk membalas dendam pada ayahnya sendiri yang menyingkirkan ibunya yang sudah hidup melarat dengan suami baru yang kaki mabuk. Mungkin dengan membunuh Tengku Muzafar, Kuyah akan mendapat harta pusaka tetapi kini harta itu terpaksa pula dibahagikan dengan Kudin, abang kandung yang baru diketahuinya dan juga Kusha.

Makanan yang dipesan sudah mula sampai ke meja. Mereka berdua mula menikmati makanan tanpa sebarang kata. Masing-masing asyik menjamah hidangan siakap kukus, sayur kailan goreng dan sotong goreng tepung.

"Awak ikhlas ke ajak saya makan ni" Ana Dahlia memecah kesunyian. Dari tadi mereka berdua tidak bersuara.

"Kenapa" Kudin angkat muka.

"Tak ada la..kalau dah belanja makan best macam ni, tentu nakkan balasan kan" Ana Dahlia jeling Kudin yang kembali menikmati makanan. Sotong goreng tepung sudah separuh habis dimakan.

"Awak rasa" Kudin angkat muka semula. Dia mengukir senyum.

"Apa pulak rasa-rasa Jadi memang betullah" Mencerlung Ana Dahlia melihat riak Kudin yang tidak pernah serius.

"Kalau saya kata nak balasan, tentu dalam otak kecil awak tu fikir benda yang bukan-bukan, betul tak" Kudin pula yang menyoal.

"Fikir apa" Berkerut kening Ana Dahlia melihat riak Kudin. Tersenyum sengih di depannya.

"Tak ada apa.." Kudin senyum lagi. Nampaknya dia saja yang fikir lain tadi.

"Hal penting apa yang awak nak cakap" Ana Dahlia kembali kepada topik asal.

"Pasal kematian ayah saya. Apa yang saya syak, memang betul. Ayah saya disihir dan disantau. Foto dan patung yang kita jumpa tu memang untuk tujuan sihir dan santau. Apa yang menjadi masalah sekarang, saya tidak tahu siapa dalang semua ni. Kusha, mungkin dia yang buat semua ni untuk mendapat harta tapi sayang, dia tidak tahu yang harta Tengku Muzafar dibahagikan mengikut hukum faraid. Jadi, dia hanya mendapat sedikit saja, sama dengan Kuyah." Kudin menjelaskan hal sebenar kepada Ana Dahlia.

Ana Dahlia pandang Kudin. Dari kata-kata Kudin, ada nada tidak puas hati. Mungkin Kudin sengaja melakar riak sedih dan kesal atas kematian ayahnya tetapi yang sebenarnya Kudin juga inginkan harta kekayaan Tengku Muzafar.

"Jadi, awak pasti yang ayah awak mati disebabkan santau dan sihir Bukan dibunuh dengan racun atau benda-benda merbahaya yang dimasukkan ke dalam makanan" Sengaja Ana Dahlia tanya.

"Ya! Saya yakin! Ada seseorang yang inginkan kematian ayah saya dilakukan macam tu supaya tidak disyaki sebagai pembunuh tapi kematian ayah saya dianggap sebagai kematian biasa, sakit dan lumpuh, lepas itu meninggal. Itu cara halus yang pihak polis tidak dapat kesan dan kaitkan dengan pembunuhan. Jadi sebab itulah tidak ada kes dilaporkan tetapi kemunculan jelmaan gadis kebaya merah

itu telah membuka semula kes ini dan membawa kepada cerita sebenar di sebalik kematian Tengku Muzafar." Kudin berkata dengan penuh yakin.

Ana Dahlia diam seketika. Dia kini sudah tahu siapa pemilik rangka manusia dan mayat reput yang sudah dibuat ujian forensik.

Sekarang ini hanya menunggu masa mengumpul bukti lain dan mendakwa pembunuh sebenar. Suspek yang disyaki akan dipanggil untuk disoal siasat dan itu termasuklah lelaki di depannya kini. Kudin mungkin ada motif tersendiri. Kusha pula memang sudah lama inginkan harta dan mengaut semua kekayaan Tengku Muzafar bersama ibunya.

"Jadi..awak syak siapa dalang tu" Ana Dahlia berpura-pura bertanya.

"Hmm..tak boleh nak teka. Mungkin Kusha dan ibu dia, mungkin juga orang luar..musuh Tengku Muzafar kerana saya yakin, jika kerana harta, harta Tengku Muzafar tak akan dibahagikan mengikut hukum faraid. Harta dia akan dikaut semuanya. Jadi saya yakin, ini semua kerja musuh Tengku Muzafar." Kudin turut membuat spekulasinya sendiri.

Kali ini Ana Dahlia pula terdiam. Apa yang dikatakan oleh Kudin sebentar tadi mungkn masuk akal. Musuh! Ya musuh! Musuh yang dendam atau ingin menjatuhkan reputasi atau syarikat TM Holdings ataupun mungkin juga dendam lama yang tidak terbalas. Itu juga adalah motif penting dalam pembunuhan Tengku Muzafar. Lamunannya diganggu dengan bunyi deringan telefon bimbitnya dari dalam beg tangan.

"Sekejap ya.." Ana Dahlia bangun dan mula menjawab telefon jauh dari Kudin.

Kudin hanya memerhati tingkah Ana Dahlia. Dia mula menaruh syak. Ana Dahlia mungkin sedang melakukan sesuatu di syarikatnya..mungkin menyamar Dia perlu berhati-hati. Mungkin gadis itu ada agenda lain untuk mengetahui sejauh mana dia mendapat maklumat tentang kes kematian ayahnnya dan juga mayat yang sudah ditemui di kampungnya dulu. Semua itu seolah menarik perhatian gadis itu dan gadis itu tidak menidakkan sangkaannya selama ini. Mungkin Ana Dahlia adalah seorang anggota polis!

"Hmm..kalau benar dia polis, kenapa sampai nak menyamar bagai Atau...dia syak aku" Kudin berkerut kening. Lama dia pandang pada Ana Dahlia yang masih menjawab panggilan. Dia akan siasat gadis itu. Di mana dia tinggal dan apa sebenarnya yang gadis itu buat.

"Maaf, ada hal sikit tadi." Ana Dahlia melabuhkan punggung semula.

"Tak apa.." Kudin senyum kelat.

"Where are we just now" Ana Dahlia senyum.

"Sebut pasal mayat ni, macam mana dengan keputusan makmal" Kudin mula teringat mayat yang diambil dulu sudah dihantar ke makmal forensik.

"Oh..masih dalam proses.." Teragak-agak Ana Dahlia menjawab.

Kudin angguk. Dia merenung tajam ke arah gadis itu. Kali ini dia pasti gadis itu sembunyikan sesuatu darinya.

"Okey, jom kita balik. Maaf, saya tak dapat hantar awak, saya tak bawa kereta." Kudin tunjuk helmet di atas meja.

"Saya faham..saya ambil teksi je.." Ana Dahlia senyum. Lega. Dia pun tak ingin berbonceng dengan Kudin. Memang sah-sah akan berpelukan nanti.

Mereka berdua mula bersurai setelah Ana Dahlia menahan sebuah teksi. Kudin cepat-cepat ke tempat motorsikalnya yang sengaja diparkir jauh dari restoran tadi. Teksi yang dinaiki Ana Dahlia tadi diekori dengan hati-hati.

KUDIN masih mengekori teksi yang dinaiki Ana Dahlia tadi. Teksi itu berhenti di kawasan perumahan yang dia pernah hantar gadis itu dulu selepas pulang dari kampung. Ana Dahlia dilihat sudah mula melangkah ke arah jalan kecil.

"Hmm...jadi memang dia tinggal kawasan sini.." Kudin masih memerhati sehingga kelibat Ana Dahlia hilang dari pandangannya. Dia kemudian meninggalkan kawasan itu.

Sampai di rumah, Kudin berehat di ruang tamu. Helmet diletakkan di atas meja di tepi sofa. Dia pandang ke arah bilik Lepat. Sejak kembali semula ke KL, Lepat tidak pernah lekat di rumah. Memang layak rumah itu digelar rumah tumpangan. Fikirannya mula beralih pada Ana Dahlia. Gadis itu nampaknya tidak berbohong. Jelas tadi dia melihat gadis itu pulang ke rumah, kawasan perumahan yang sama dia pernah hantar dulu walaupun alamat yang tertera di dalam biodata gadis itu berlainan. Mungkin Ana Dahlia sudah berpindah.

"Ah, aku je yang syak dia yang bukan-bukan.." Kudin senyum. Dia sandarkan kepala di sofa. Dengan perut kenyang seperti itu, senang saja matanya mahu lelap.

SEMENTARA ITU, Ana Dahlia masih berdiri di satu sudut kawasan perumahan di situ. Tadi dia memang perasan Kudin mengekorinya. Dari riak Kudin, dia sudah boleh mengagak ada sesuatu yang bermain di benak lelaki itu. Dia sengaja menyuruh pemandu teksi ke kawasan perumahan itu. Dari cermin sisi teksi tadi, dia melihat motorsikal hitam Kudin mengekori teksi yang dinaikinya.

"Dia ingat dia bijak sangat." Ana Dahlia senyum sinis. Dia segera melangkah ke arah jalan besar semula dan menahan teksi untuk pulang ke rumahnya semula.

Sampai di rumah, Ana Dahlia berehat di sofa di ruang tamu. Sarah, teman serumahnya masih belum pulang. Mungkin keluar makan dengan tunang. Dia melepaskan keluhan panjang. Sekitar ruang tamu itu diperhati seketika. Rumah yang disewa itu dihuni oleh dua orang lagi, Sarah dan Yanti. Sarah, bekerja sebagai pegawai bank di ibukota dan Yanti, seorang pramugari yang sudah tentunya tidak pernah lekat di rumah. Kadang-kadang rumah itu sudah seperti rumah tumpangan.

"Hmm...Yanti dah terbang ke Paris. Sarah, masa macam ni, keluar dengan tunang la tu." Ana Dahlia lentukkan kepalanya di sofa. Benaknya mula memikirkan dirinya yang semakin meningkat umur. Sejak dari universiti lagi, dia memang tidak suka dan terikat dengan hubungan cinta yang padanya hanya boleh melemahkan jiwa. Jika kecewa, mahu merana tak ingat dunia. Dari pengalaman kawan-kawan, dia seakan tidak mahu menyentuh hal itu. Saat ini teringat pula pada Johan. Tidak sangka akan bertemu lagi dengan kawan sekelasnya dulu dalam subjek elektif. Johan juga pernah cuba menguratnya dulu di kampus.

Dia kerja apa kat US dulu ek Berkerut kening Ana Dahlia bila memikirkan lelaki itu yang ternyata misteri baginya. Memang Johan seorang lelaki yang jadi dambaan pelajar perempuan ketika itu. Dengan wajah kacak dan badan sasa, siapa yang tidak cair melihat penampilan seperti itu. Ketika ini juga dia terbayang penampilan Kudin yang juga agak sama dengan penampilan Johan. Sentiasa berjaket hitam dan memiliki motorsikal berkuasa tinggi. Nampak macho.

"Tapi kenapa aku rasa lain macam je dengan Kudin" Ana Dahlia merasa debaran jantungnya yang semakin kuat berdegup. Dia segera bangun dan masuk ke bilik. Isyak belum ditunaikan.

PAGI lagi, Ana Dahlia sudah ke pejabat. Dia perlu menjalankan amanah yang diberi oleh Detektif Razif dengan baik. Penyiasatannya perlu diteruskan walaupun keputusan forensik sudah diperolehi. Dia perlu siasat dari akar umbi. Siapa gadis itu dan bagaimana dia dibunuh sebelum mayatnya dicampak ke kolam kumbahan di kampung Pinang Patah. Rangka manusia yang dijumpai Kudin dulu juga rupanya ada kaitan dengan pekerja TM Holdings. Kedua gadis itu nampaknya menjadi mangsa yang tidak bersalah.

Kedua kes itu sudah jelas ada kaitan dengan kematian Tengku Muzafar.

"Assalamualaikum, awal awak sampai"

Ana Dahlia mendongak. Kudin sudah tersenyum di depan mejanya. Setia dengan jaket hitam dan helmet hitam.

"Wa'alaikumussalam." Sebuah senyuman manis diukir di bibir.

Kudin turut senyum dan melangkah masuk ke dalam bilik. Dia sempat jeling meja Hetty yang masih kosong. Ada beberapa fail yang sudah siap untuk ditandatangan.

"Err..Ana, mana fail projek di Hulu Langat tu" Kudin berpatah semula ke meja Ana Dahlia.

"Saya sudah beri pada Cik Kusha. Tuan nak ke" Ana Dahlia pandang Kudin yang masih tersenyum padanya.

"Oh...tak apa." Kudin menyambung semula langkahnya ke bilik.

Ana Dahlia hanya memerhati dari tempat duduknya. Dia jeling pula bilik Kusha yang masih gelap. Sejak dia menjadi kerani di situ, Kusha selalu datang lambat ke pejabat. Jadi, dia terpaksa tunggu sehingga pukul sebelas untuk menghantar sebarang fail atau surat kepada Kusha. Bilik Kusha sentiasa berkunci jika dia tiada di pejabat.

Komputer dibuka. Dia mula mencari maklumat Kusha dan dua gadis yang sudah dikenalpasti pemilik rangka dan mayat reput dalam karung guni. Segala maklumat tentang mereka dihantar terus kepada Detektif Razif. Dengan maklumat itu, kemungkinan besar, sebab sebenar kematian Tengku Muzafar juga akan terbongkar. Gadis kebaya merah itu yang menjadi petunjuk yang kukuh ke atas kes kematian Tengku Muzafar yang sebelum ini disahkan meninggal atas sebab diserang sakit jantung dan lumpuh.

"Hmm...jadi kedua gadis itu sudah lama bekerja di TM Holdings." Ana Dahlia mengusap dagu. Telefon bimbitnya berdering. Dia jeling nama yang terpapar di skrin. Dia senyum. Lama dia berbual dengan Detektif Razif. Talian diputuskan.

"Nampaknya Detektif Razif berpuas hati. Jadi, aku akan berhenti dari sini tak sampai lagi dua minggu. Aku akan bagi notis 24 jam." Ana Dahlia mengukir senyum. Dengan selesainya kes ini nanti, dia boleh berehat panjang. Tidak lama lagi, pembunuh akan didakwa dan jika didapati bersalah, pembunuh itu akan menerima hukuman setimpal. Mungkin itu yang diinginkan oleh jelmaan gadis kebaya merah itu dulu yang merayu dan menangis meminta tolong.

Dari dalam bilik pejabat, tingkah Ana Dahlia diperhatikan Kudin.

KUDIN masih memerhati gerak geri kerani barunya. Sejak bekerja di TM Holdings, Ana Dahlia tidak banyak menunjukkan sikap yang mencurigakan. Walaupun kadangkala dia merasa kata-kata yang keluar dari mulut gadis itu seperti kata-kata seorang pegawai polis yang berpengalaman. Gadis itu diperhatikan lagi.

"Mungkin aku yang syak bukan-bukan." Kudin senyum. Dia meneruskan kerjanya. Fail dan surat yang perlu ditandatangani segera dibelek. Sejak bekerja di situ, tidak banyak yang dia sempat teroka. Bilik stor yang penuh dengan fail lama perlu dibelek juga untuk pengetahuannya sendiri.

Kudin melangkah keluar dari bilik dan meletakkan fail di atas meja Hetty yang sudah berada di tempatnya. Sempat dia jeling pada Ana Dahlia di sebelah meja Hetty yang kelihatan agak sibuk. Entah betul-betul sibuk atau berpura-pura saja.

"Hetty, proposal ni nanti kena hantar cepat kepada syarikat Nusa Jaya. Kita kena masuk tender dalam waktu yang ditetapkan. Fail ni nanti, beri kepada Kusha untuk ditandatangani dan selepas itu pulangkan semula kepada saya." Kudin menyerahkan beberapa dokumen kepada Hetty.

"Baiklah Tuan. Proposal ni saya akan suruh despatch hantarkan. Err..rasanya cik Kusha belum sampai lagi tuan." Hetty jenguk ke arah bilik Kusha yang masih gelap.

Kudin turut melihat ke arah bilik Kusha. Memang masih gelap. Kemudian dia berpaling ke arah Ana Dahlia yang dari tadi asyik memandang skrin komputer. Berkerut kening. Entah apa yang dilihat di skrin.

"Ana! Cik Kusha belum datang ke" Kudin terus bertanya pada Ana Dahlia. Selalunya gadis itu yang sering berurusan dengan Kusha.

Ana Dahlia masih meneliti maklumat di skrin.

"Cik Ana Dahlia binti Abu Bakar!!" Kali ini suara Kudin agak tinggi.

"Hah Err..ya Tuan Ku..!" Bagai dicucuk jarum, dia terus bingkas bangun. Terkebil-kebil melihat Kudin di depan meja Hetty. Kedua tangannya diletakkan ke belakang. Dia jeling skrin.

Kudin sengih. Apa awak panggil saya tadi

Ana Dahlia garu kepala. Dia juga spontan saja panggil Kudin tadi. Sebenarnya dia ingin memanggil Tuan Kudin..dah terhenti di situ akibat terkejut dengan suara tinggi Kudin tadi.

Kudin menapak ke meja Ana Dahlia. Gadis itu dilihat sudah menggelabah. Sekejap gadis itu menjeling skrin komputer.

"Awak buat apa Main games" Kudin meneka. Gadis itu seperti begitu asyik menatap skrin sampai tidak dengar namanya dipanggil tadi.

"Err...tak tuan. Saya buat laporan tadi." Tangannya segera klik pada fail laporan. Maklumat tentang bekas pekerja tadi sudah disembunyikan.

"Apa saya tanya tadi" Kudin pandang Ana Dahlia tak berkelip.

"Err..tanya apa tuan" Ana Dahlia menelan liur. Dia pandang Kudin yang masih berdiri di depan mejanya.

"Itulah awak. Berangan! Saya tanya mana cik Kusha" Ulang Kudin lagi.

Ana Dahlia jenguk bilik Kusha. Masih gelap. "Err...kan gelap tu. Belum datang lagi la tu."

Kudin sengih. Jawapan bodoh rasanya yang diberikan oleh gadis itu. Dia terus masuk semula ke biliknya. Dari situ, dia memerhati lagi tingkah Ana Dahlia. Sesekali matanya menyinggah pada Hetty. Hetty juga seperti ada sesuatu yang cuba disembunyikan. Dulu, gadis itu juga menjadi setiausaha arwah ayahnya. Tentu Hetty tahu lebih banyak tentang Tengku Muzafar.

ANA DAHLIA jeling ke arah bilik Kudin. Sengaja dia bersikap begitu tadi supaya tidak nampak ketara di mata Kudin yang dia pakar dalam mencari maklumat. Dia perlu berlakon yang dia seorang kerani yang bodoh dan kelam kabut. Maklumat tadi dibuka lagi. Dia mencatat beberapa fakta dari situ. Semua pekerja di situ diselidik dan dikenalpasti motif mereka. Sekarang ini, semua pekerja adalah dianggap suspek dan hanya beberapa orang sahaja yang dianggap suspek utama termasuk Kudin.

Hetty yang berada di meja sebelah hanya memerhati Ana Dahlia yang dari tadi asyik memandang skrin. Terasa gadis itu sedang menyiasat sesuatu. Dia perlahan menghampiri Ana Dahlia.

"Woih! Kau buat apa ni" Hetty tepuk bahu Ana Dahlia.

Ana Dahlia terkejut. Dia cepat-cepat mendongak. Hetty sudah berada di sebelahnya. Matanya terus menala ke skrin. Fuh..lega. Nasib baik laporan syarikat.

"Kau nak apa"

"Dari tadi kau asyik dengan laporan tu. Dah siap surat yang aku suruh kau taip semalam" Hetty jengilkan mata.

"Surat apa" Ana Dahlia pula tercengang. Seingatnya Hetty tidak beri apa-apa kerja kepadanya semalam.

"Ni, kau kena taip semua ni dan bila siap, aku nak kau hantar ke tingkat lima dan ambil tandatangan Encik Roslan." Arah Hetty. Dia menjeling tajam ke arah Ana Dahlia.

Ana Dahlia turut menjeling. "Hek eleh minah..poyo je lebih. Aku tahu la kerja aku."

Dia mula menaip semua draf yang diberikan oleh Hetty tadi. Tidak sampai setengah jam, semua kerjanya sudah siap. Dia letak semua surat itu ke atas meja Hetty.

"Apa ni" Hetty mendongak.

"Surat yang kau suruh taip tu la." Ana Dahlia berkata sinis. Dari dulu dia tidak suka sikap dan cara gadis itu melayannya. Bila melayan Kudin, tergedik-gedik macam ulat beluncas! Menyampah!

"Apa aku suruh kau buat tadi Kalau dah siap, kau hantar kepada Encik Roslan! Itu pun nak kena beritahu banyak kali ke Pekak!" Hetty tolak semula surat yang sudah ditaip kepada Ana Dahlia.

"Huh..poyo je lebih..ingat dia tu lawa sangat!" Ana Dahlia mencebik. Surat itu diambil semula. Hetty dilihat terlalu berhias, mengalahkan artis. Kerja setakat setiausaha je pun!

"Apa awak cakap Memang aku lawa dan kau jangan nak mengada-ngada tackle bos. Sedar diri tu sikit, kerani cabuk je!" Hetty mengetap bibir.

Ana Dahlia sengih. Dia menekup mulut, cuba menahan ketawa. Perasan jugak minah poyo ni. Aku pun tak ingin nak tackle Kudin tu! Dia mula berlalu pergi dari situ. Sampai di muka pintu keluar, ketawanya mula pecah. Dari tadi dia cuba menahannya.

HETTY masih memerhati tingkah Ana Dahlia yang sudah mentertawakannya. "Dah biul agaknya kerani cabuk tu!"

Hetty pandang kiri dan kanan. Tiada sesiapa di situ. Dia pandang pula ke arah bilik Kudin. Kudin juga tiada di dalam bilik. Tadi dia perasan, Kudin keluar dari bilik menuju ke bilik air. Perlahan dia duduk tempat meja Ana Dahlia dan mula membuka komputer. Laju saja tangannya mencari fail yang selalu gadis itu lihat. Dia memang perasan, Ana Dahlia selalu buka fail itu sebelum memulakan kerja. Dia perlu tahu apa yang gadis itu sedang lakukan. Segala rahsia pejabat perlu disimpan kukuh. Lagipun, dia perlu menjalankan misinya sehingga berjaya. Alang-alang sudah terlibat dengan keluarga Tengku Muzafar, dia harus mendapat apa yang sepatut menjadi miliknya. Bukan dihumban macam itu saja.

DI SEBALIK pintu keluar, Ana Dahlia masih berdiri di situ sebenarnya. Dari tadi dia syak, Hetty seperti ada sesuatu yang tidak kena. Tingkah Hetty diperhatikan. Dia mula mengambil gambar Hetty menggunakan telefon bimbitnya. Matanya menala pula pada cctv yang dipasang di pintu masuk ke bilik Kudin. Dia pasti, cctv itu akan merakam perbuatan Hetty.

"Carilah sampai dapat Hetty..kau tak akan jumpa. Kau ingat aku ni kerani cabuk bodoh" Ana Dahlia sengih. Dia kemudian mula melangkah ke pintu lif .

BALIK dari makan tengahari, Ana Dahlia kembali ke mejanya semula. Dia jeling meja Hetty. Laci meja gadis itu sentiasa berkunci. Dari tingkah Hetty tadi, dia syak tentu Hetty juga ada sesuatu agenda di dalam TM holdings. Dia buka pula komputer. Fail yang sengaja disimpan di situ semuanya adalah berkenaan dengan laporan syarikat, Apa yang disiasat selama ini semuanya disimpan dalam thumb drivesnya sendiri.

"Kau ingat kau bijak.." Ana Dahlia senyum. Dia mula mencari maklumat Hetty. Segala yang berkaitan dengan gadis itu diteliti dan disalin ke dalam thumb drives. Dia menyambung membuat kerjanya semula. Sedar tak sedar, sudah menghampiri empat setengah petang. Dia pandang lagi meja Hetty. Masih kosong.

"Mana dia ni Takkan kerja setengah hari je kut" Ana Dahlia berkerut dahi.

Dia bangun perlahan menuju ke bilik stor yang menempatkan fail-fail lama termasuk fail setiap pekerja. Dia perlu melakukannya berhati-hati. Sebelum ke bilik itu, sempat dia melihat bilik Kusha yang sudah terang tetapi masiih berkunci. Dia menapak perlahan ke bilik fail. Rak yang berlabel pekerja dicari. Satu demi satu fail itu dibelek. Semuanya diambil foto menggunakan kamera telefon bimbitnya. Dia tersenyum puas. Apa yang dikehendaki selama ini kebanyakannya ada di situ.

"Ehem!"

Pantas Ana Dahlia berpaling. Kudin sudah terpacak di muka pintu.

"Awak buat apa kat sini" Kudin menutup pintu dan berjalan ke arah Ana Dahlia yang masih tercegat di situ sambil memegang sebuah fail.

"Err..ni ha..cik Hetty suruh saya cari maklumat pekerja sini..katanya permintaan dari bahagian sumber manusia." Ana Dahlia mula berbohong. Dia perlu profesional dalam menangani perkara seperti itu.

"Pekerja yang mana" Kudin mendekati Ana Dahlia.

"Err..pekerja yang berhenti. Mereka nak kemaskinikan carta organisasi. Syarikat ni kan ramai pekerjanya yang dah berhenti. Jadi saya terpaksa selongkar kat sini. Kalau kat software tu..belum update lagi." Dengan yakin Ana Dahlia menjawab.

"Hmm...pelik. Kalau sudah berhenti, kenapa nak kemaskini carta organisasi lagi Kan yang ada sekarang ni sudah update" Kudin semakin menghampiri Ana Dahlia yang sudah mula meletakkan fail tadi di tempatnya semula.

"Entah la..itu yang cik Hetty nak. Saya ikut je, nanti dia marah saya." Ana Dahlia buat muka sugul.

"Hmm..." Kudin mengusap dagu. Mata masih menala ke arah gadis di depannya. Dia mula menaruh syak sekali lagi. Dia sendiri belum berkesempatan masuk ke bilik fail itu.

"Err..tak apalah tuan. Saya keluar dulu.."Ana Dahlia mula minta diri. Kudin dilihat semakin menghampirinya tadi. Langkahnya laju diatur ke muka pintu yang sudah ditutup. Tombol pintu dipulas.

"Kenapa" Kudin pula menoleh. Muka Ana Dahlia sudah berubah riak.

"Pintu ni...tak boleh buka pulak.." Tombol pintu itu dipulas lagi.

"Mana boleh Saya tutup je tadi..bukan kunci pun." Kudin cuba pulas tombol pintu . Memang tidak boleh dibuka.

"Macam mana ni" Ana Dahlia sudah menggelabah. Dia lihat jam. Hampir lima petang.

Kudin cuba sekali lagi. Pintu itu masih tidak boleh dibuka. Dia cuba panggil orang di luar. Tiada jawapan. Sekali lagi dia mencuba.

Ana Dahlia sudah menggelabah. Pejabat itu, selalunya pukul lima petang saja, berpusu-pusu pekerja akan balik. Bermakna selepas pukul lima petang, pejabat itu memang sunyi. Dia pandang Kudin yang sedikitpun tidak ada riak gelisah.

"Ni dah lima lebih dah ni..tentu semua dah pulang." Ana Dahlia cuba sekali lagi pulas tombol pintu.

Okey apa kita terperangkap dalam ni Macam cerita Hindustan tu..tak pun cerita Korea..sambil tu bolehlah kita.. Kudin cuba mengusik Ana Dahlia yang sudah pucat mukanya. Ayatnya sengaja dibiarkan tergantung. Tentu di dalam benak gadis itu sudah memikirkan benda yang bukan-bukan.

Kita apa Ana Dahlia sudah menelan liur. Kudin dilihat semakin dekat dengannya. Dia sudah bersedia dengan karate jika lelaki itu cuba melakukan sesuatu yang tidak senonoh padanya.

Kudin semakin hampir dengan Ana Dahlia yang sudah tersandar di daun pintu yang terkunci dari luar itu.

"Err..nak saya tendang ke" Kudin pandang Ana Dahlia.

Te..tendang apa Ana Dahlia pandang Kudin tidak berkelip.

Takkan nak tendang awak. Pintu nilah cik Ana Dahlia binti Abu Bakar.. Kudin sengih.

Ana Dahlia menarik nafas lega. Dia cepat-cepat berdiri jauh dari Kudin.

Kudin senyum lagi. Ikut hati ingin saja dia cium pipi gadis itu tadi tapi dia masih kuat iman.

"Larat ke Kuat ke kaki awak nak bagi pintu tu terbuka" Ana Dahlia senyum sinis. Teringat masa latihan polis dulu, dia terpaksa mendaki dinding tinggi dan menendang kuat pintu rumah yang dijadikan markas penjahat dalam sesi latihannya dulu. Ikut hati mahu saja dia tendang pintu itu tadi tapi memikirkan dia masih dalam penyamaran, semua itu terpaksa dilupakan. Nanti apa pula anggapan Kudin bila melihat dia berbuat begitu.

"Awak jangan nak perlekehkan saya." Kudin turut senyum sinis. Dulu dia pernah kerja sebagai pengawal peribadi orang kenamaan dan perkara seperti itu adalah enteng baginya. Setakat nak tendang pintu.

"Okey, tendanglah!" Ana Dahlia berpeluk tubuh. Dia melihat aksi Kudin yang cuba menendang pintu tadi. Sekali, pintu tidak terbuka. Kali kedua, tendangan Kudin semakin kuat, masih belum terbuka. Kali ketiga juga tidak terbuka. Dia cuba menahan ketawa.

"Huih! Kebal jugak pintu ni! Kayu apa yang digunakan untuk buat pintu ni" Kudin menggosok kakinya yang terasa kejang.

"Biar saya yang buat." Ana Dahlia tarik pin rambut yang dikepit di rambutnya dan dia mula korek lubang kunci. Digodek-godek sedikit.

"Awak tahu ke semua tu Boleh terbuka ke pintu pakai tu" Kudin pula senyum. Dah macam McGyver pula melihat gelagat Ana Dahlia yang sedang cuba membuka kunci pintu itu.

"Boleh awak pandang ke arah sana kejap" Ana Dahlia mengarahkan Kudin memandang ke arah tingkap, membelakanginya.

"Kenapa" Kudin sudah berkerut kening.

"Buat je la..selagi saya kata jangan berpaling, awak kena pandang sana." Terangnya lagi.

Kudin mula merasa pelik. Arahan yang tidak masuk akal padanya.

Ana Dahlia senyum. Lama dia memerhati Kudin yang mula memandang ke arah tingkap membelakangi pintu. Dia segera angkat kain baju kurungnya sehingga paras lutut dan mula menendang pintu dengan kuat.

Guuungg!! Pintu sudah terbuka.

"Sekarang awak boleh pandang sini.." Ana Dahlia senyum. Kain baju kurungnya sudah dilepaskan.

"Ma..macam mana awak buat semua tu Awak tendang ek" Kudin menggaru kepala. Pintu tadi dilihat sudah terbuka luas.

Ana Dahlia hanya senyum. Dia segera keluar dari bilik fail dan menuju ke mejanya semula. Dia mula mengemas barangnya. Malam nanti dia perlu berjumpa dengan Detektif Razif. Dia segera ke tempat punch card dan beredar dari pejabat meninggalkan Kudin sendirian di situ. Dia tidak mahu berlama di situ, nanti banyak soalan yang akan keluar dari mulut Kudin.

Kudin pula hanya melihat tingkah Ana Dahlia. Dia juga cepat-cepat ke bilik dan mengambil beg kerja. Lampu bilik ditutup dan bilik itu dikunci sebelum mengekori Ana Dahlia yang sudah pergi.

HETTY mengetap bibir. Dia sengaja kunci pintu bilik fail tadi. Ingatkan Ana Dahlia seorang saja di dalam bilik itu. Kononnya nak perangkap Ana Dahlia yang cuba menyelongkar rahsia syarikat dengan menceroboh masuk ke bilik itu. Jadi dengan semua itu, dia ada bukti yang Ana Dahlia sebenarnya ada agenda jahat. Tak sangka pula, Kudin juga turut terperangkap dalam bilik itu.

"Ish! Sial! Hancur rancangan aku!" Hetty menepuk meja. Dia tarik laci meja dan mengeluarkan sesuatu. Dia tersenyum.

"Hmm..aku masih ada ni.." Hetty letak semula di dalam laci dan kunci. Dia mula menapak keluar dari pejabat. Esok, dia akan bongkar siapa Ana Dahlia!