Pencarian jodoh untuk Tuan Fahreen bermula. Alyssa menggunakan segala saluran dengan berkesan dan berhemah sekali, demi mencari kesuaian wanita yang bakal mendampingi Tuan Fahreen kelak. Alyssa sedar yang dia perlu berhati-hati dalam membuat pilihan, kerana wanita itu kelak bukan sahaja akan bergelar isteri kedua Tuan Fahreen, malahan akan menjadi madunya. Kalau boleh, Alyssa inginkan seorang perempuan yang baik, jujur dan bersemangat tinggi untuk menggalas tanggungjawab itu.
Dalam kesibukan Alyssa mencari jodoh untuknya,Tuan Fahreen pula hanya mendiamkan diri. Dia tidak membantah, apatah lagi menyokong. Dia sudah berjanji kepada Alyssa dan dirinya sendiri, yang dia akan menurut sahaja kehendak Alyssa dan suratan Tuhan untuknya. Andainya benar, jodohnya masih ada untuk yang kedua kalinya, dia menerima. Tetapi, jika pintu jodoh untuknya sudah tertutup rapat, dia reda dan menganggap itu adalah rezeki Alyssa kerana tidak perlu berkongsi kasihnya dengan wanita lain. Apa yang penting bagi Tuan Fahreen ialah, wanita yang bakal bergelar isterinya kelak, tidak akan menyakiti Alyssa walaupun sedikit. Dia tidak rela melihat Alyssa bersedih dan kecewa lagi.
Pagi itu, Alyssa keluar lebih awal dari biasa. Dia meminta maaf dari suaminya kerana tidak dapat bersarapan bersama. Menurutnya, dia punyai banyak kerja yang perlu dibereskan, di pejabat Abang Bob. Dia harus menyelesaikan segala tugasnya itu dengan segera, kerana pada sebelah tengah harinya pula, Alyssa mempunyai temujanji dengan seorang wanita, iaitu calon madunya.
Tuan Fahreen terpaksa merelakan sahaja kehendak Alyssa itu. Namun begitu, dia berasa agak kesunyian kerana terpaksa bersarapan seorang diri pada pagi itu. Sesuatu yang amat jarang berlaku pada dirinya, sepanjang Alyssa tinggal di rumah itu. Disebabkan itu, Tuan Fahreen berasa agak kurang berselera. Nasi goreng yang dimasak oleh Mak Chom, walaupun enak tetapi langsung tidak dijamahnya. Cukup dengan hanya secawan kopi, buat membasahkan tekaknya.
Sikit sahaja makan ni, Tuan. Tak sedapkah sarapan yang Mak Chom sediakan pagi ni soal Mak Chom, kehairanan.
Eh, sedaplah Mak Chom. Apa yang Mak Chom masak memang kena dengan selera saya. Masakan Mak Chomkan, the best in the world. Cuma, saya tak ada selera sahaja. Selalunya, saya bersarapan dengan isteri saya.
Puan Alyssa sibuklah tu, nak buat macam mana, tambah Mak Chom pula.
Benar, memang sibuk. Sibuk mencari calon madu, fikir Tuan Fahreen. Tuan Fahreen tidak mengerti mengapa Alyssa terlalu obses dengan perkara ini. Dia yang beriya-iya sangat dalam menentukan wanita pilihan, sedangkan Tuan Fahreen hanya buat tak tahu sahaja. Kadang kala, Tuan Fahreen berasa bimbang, andainya Alyssa sengaja mahu melepaskan segala tanggungjawabnya, jika Tuan Fahreen beristeri baru kelak. Jika itu yang berlaku, rasanya Tuan Fahreen tidak akan merelakannya. Dia mahu hidupnya sentiasa ditemani oleh Alyssa dalam apa jua keadaan.
Jangan buat abang macam ni, Lyssa. Sebarang kekurangan adalah juga anugerah dari Allah. Jangan pinggirkan abang dan menambah satu lagi kelemahan pada diri abang, rintihnya sekali lagi, di dalam hati.
Tengah hari itu, temujanji untuk ketemu calon madu Alyssa berjalan seperti yang dirancangkan. Mereka berjanji untuk berjumpa dan bersuai kenal, ketika waktu makan tengah hari. Restoran Bunga Tanjung, yang terletak tidak jauh dari pejabat Wadi Afzan, menjadi lokasi pilihan Alyssa.
Alyssa telah meminta sahabat baiknya, Elly untuk menemaninya. Dia tidak berasa yakin untuk berhadapan dengan wanita tersebut bersendirian. Sekurang-kurangnya, Elly dapatlah memberikan pandangan peribadinya nanti. Pada mulanya, Elly berasa agak keberatan untuk turut serta. Dia tidak mahu terlalu jauh masuk campur dalam urusan rumahtangga sahabatnya itu. Tetapi, apabila Alyssa mendesak dan merayu-rayu pertolongannya itu, dia menurut demi menjaga hati Alyssa.
Baiklah, aku setuju untuk temankan kau. Tapi ingat, ini adalah kali pertama dan terakhir. Aku tak nak masuk campur lagi dalam soal ni, ujar Elly memberikan ingatan dalam persetujuannya.
Tak kiralah apa pun, asalkan kau ikut aku, beb. Aku nervouslah.
Elly menjeling cuak. Semenjak pulih dari kecederaannya, perangai Alyssa semakin menakutkan dari sehari ke sehari. Terkadangnya, Elly ada juga terfikirkan satu hal. Adakah kepala otak Allyssa yang mungkin bergegar akibat kemalangan tempoh hari, telah menukar pendapat dan keinginannya dengan begitu ketara selali
Lantak kaulah, Alyssa. Asalkan kau tahu apa yang kau buat. Jangan kau sendiri yang kecewa di kemudian hari nanti, sudahlah, ujar Elly di dalam hatinya.
Alyssa benar-benar berharap agar wanita yang bakal muncul sebentar nanti, sesuai untuk dijadikan isteri Tuan Fahreen. Alyssa tahu yang Tuan Fahreen agak selektif dalam beberapa hal, terutama sekali jika bersangkutan dengan rumah tangganya. Elly dapat melihat debaran di dalam keterujaan Alyssa itu. Kebimbangan dan perasaan cuak juga jelas kelihatan pada air mukanya.
Beb, engkau rasa, betulkah apa yang engkau lakukan ini Pada pendapat aku, lebih baik engkau bawa Tuan Fahreen sendiri, untuk melihat calon isterinya ini. Aku takut, dia tak bersetuju dengan pilihan engkau nanti.
Dia tak mahulah, beb. Dia dah serahkan segala urusan jodoh ini kepada aku. Dia hanya menurut sahaja. Kalau baik pada pandangan aku, baiklah juga di mata dia, terang Alyssa.
Yalah tu, buatnya dia tak berkenan dengan perempuan ni, baru padan muka engkau. Kat mana kau jumpa dengan perempuan ni
Aku ada daftarkan Tuan Fahreen di agensi cari jodoh, milik kawan kepada kawan sepejabat aku. Mereka yang uruskan calon-calon tu. For them, this is the best yang mereka fikir, layak untuk jadi madu aku.Hai, aku dah tak sabar sangat nak jumpa dengan dia, jawab Alyssa, teruja.
Elly mencebik, merenung Alyssa dalam tanggapan yang tidak memberikan makna apa-apa kepada Alyssa. Walaupun tidak bersetuju dengan tindakan gila Alyssa, namun, Elly tidak mampu untuk menentang.
Engkau ni beb, macam lelong suami pula, ya
Alyysa langsung tidak mengendahkan teguran sahabatnya itu. Pada Alyssa, biarlah apa sahaja yang Elly hendak katakan kerana itu adalah pendapat peribadinya. Tidak semestinya Alyssa perlu mengikuti kesemuanya. Dia harus teguh pada pendiriannya. Apa yang penting, Alyssa akan mencari calon yang cukup sesuai untuk dijadikan madunya.
Sedang mereka berdua termenung dan termangu-mangu melayan firasat sendiri, mereka didekati oleh seorang wanita. Wanita yang berpakaian agak ranggi itulah orang yang sedang ditunggu-tunggu oleh Alyssa. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Leina, wanita yang dihantar oleh agensi pencari jodoh, untuk ditemuduga oleh Alyssa. Terbelalak jugalah mata Alyssa dan Elly melihat wanita itu dari segi pakaiannya, solekannya, gaya rambutnya dan yang paling utama ialah kegedikannya.
Usia saya baru dua puluh lapan tahun. Saya sudah cukup bersedia untuk bersuami. Kalau puan izinkan, saya teringin untuk bersuamikan lelaki sehebat Tuan Fahreen. Siapa yang tak kenal Tuan Fahreen, kan Taikun muda dunia korporat yang popular dan kacak tu, ujar Leina, dengan kepala terhinggut-hinggutnya.
Elly sudah mula naik muak melihat kegedikan perempuan yang berada di hadapannya itu. Dia sudah dapat menangkap apa sebenarnya niat perempuan tersebut. Kalau perempuan yang bernama Leina itu sudah menyebut perkataan lelaki sehebat Tuan Fahreen, maknanya dia hanya menagih kemewahan dan kesenangan untuk dirinya semata-mata.
Cik Leina, saya memang mahu Tuan Fahreen beristeri lagi. Tapi, awak kena berjanji yang awak akan melahirkan anak untuknya. Boleh tak awak buat perkara itu beritahu Alyssa.
Kenapa, puan tak boleh beranakkah Oh, Im sorry, terlajak kata pula.
Elly menunjukkan wajah tidak senangnya dengan keterlanjuran kata-kata Leina. Apakah ini
Belum lagi kahwin, sudah pandai mengutuk bakal madu sendiri.
Cik Leina, kalau cakap tu biar beralas sikit. Jangan pulak kerana mulut, badan binasa. Nahas nanti, Elly memberikan amaran.
Alyssa memegang tangan Elly, bagi menegah sahabatnya itu meneruskan bicaranya, sambil menggelengkan kepalanya. Dia tidak mahu Leina berasa kecil hati dengan kata-kata Elly itu. Alyssa sendiri, walaupun tidak begitu berkenan dengan cara Leina itu, hanya diam sahaja, kerana dia sedang memerhatikan ciri-ciri yang ada pada calon madunya itu.
Sebenarnya, saya tak kisah untuk melahirkan anak. Lagi pun, itulah tujuan perkahwinan, kan Tetapi, sebelum saya menikahi Tuan Fahreen, saya ada tiga syarat untuk dikenakan kepada puan ataupun Tuan Fahreen sendiri.
Syarat tanya Alyssa, terkejut.
Yes, ada tiga syarat. Yang pertama, saya nakkan sebuah rumah banglo. Dah bosan duduk di rumah pangsa, sejak kecil sampailah sekarang ni. Nak juga merasa duduk rumah besar. Yang kedua, saya nakkan sebuah kereta. Tak standardlah turun naik pengangkutan awam lagi, bila dah bergelar pasangan Tuan Fahreen nanti. Kalau orang tahu, Tuan Fahreen juga yang malu. Dan yang terakhir, disebabkan puan mahu saya melahirkan anak untuk Tuan Fahreen, jadi saya minta masa bermalam di rumah saya nanti, lebih sikitlah. Kalau dalam seminggu, empat atau lima hari di rumah saya, selebihnya baru di rumah puan. Orang kata, lagi kerap bersama, lagi berkesan, kan
Cukup ke tiga syarat tu Cik Leina tak rasa nak tambah apa-apa lagikah sindir Elly.
Rasa meluat Elly terhadap perempuan yang bernama Leina di hadapannya itu, seperti cacing yang sudah naik ke mata. Dari mula lagi, Elly dapat merasakan yang perempuan tersebut hanya gilakan harta dan bukannya ikhlas untuk menjadi pasangan hidup. Malahan, permintaannya juga sudah melampau, sedangkan Alyssa sendiri tidak pernah meminta apa-apa dari suaminya.
Oh ya, ada lagi satu. Saya perlukan dalam lima puluh ribu ringgit sebagai deposit. Kira tu tanda jadilah. Ianya sebagai hadiah, dan ini belum termasuk mas kahwin dan hantaran, tambah Leina.
Kali ini, bertambah terlopong dan panas hati Alyssa dan Elly dibuatnya. Sah sekali yang Leina bukan jenis perempuan yang ikhlas dalam berhubungan. Dia berpotensi untuk bertukar menjadi perempuan tamak dan munafik dalam sekelip mata sahaja. Apa yang ada dalam fikirannya, hanya wang dan harta sahaja. Tambahan lagi, apabila dia melihat yang Alyssa masih terlalu muda dan lembut, maka mudah untuk dia gula-gulakan.
Beb, boleh tak kita berbicara sekejap, di luar restoran ni. Aku rasa, ada yang tak kenalah, bisik Elly kepada Alyssa.
Alyssa mengangguk, lalu berkata lembut, Cik Leina, awak tunggu sekejap. Saya ke sana dulu. Sebentar lagi, saya datang balik.
Elly terus menarik tangan Alyssa untuk diusung keluar, setelah melihat Alyssa masih terhegeh-hegeh lagi di situ. Tak sanggup lagi rasanya untuk melihat Alyssa dipermainkan oleh perempuan mata duitan itu. Kalau tidak dihalang, mungkin Alyssa akan menurut sahaja kehendak Leina, kerana dia begitu terdesak untuk mendapatkan calon isteri untuk suaminya.
Kenapa dengan engkau ni, beb Apa masalahnya ni tanya Alyssa, sebaik sahaja mereka berada di luar restoran.
Beb, macam tu ke engkau nak jadikan calon isteri untuk Tuan Fahreen Belum apa-apa lagi, dah letak syarat berbagai. Lepas tu, syarat-syarat yang tak masuk di akal pula. Nampak sangat yang dia tu gilakan wang. Mentang-mentanglah dia tahu, siapa bakal suami dia. Dia ambil kesempatan pula.
Engkau tak boleh main tuduh-tuduh begini. Kita belum pun kenal hati budinya. Tak adillah jika kita menghakimi dia secara negatif. Kita seharusnya memberikan peluang kepadanya. Manalah tahu dia mungkin lebih baik dari aku, ujar Alyssa, membela Leina.
Elly tidak berpuas hati dengan jawapan lembut Alyssa. Dia memegang bahu Alyssa dan menggoyangkan tubuh genit itu untuk menyedarkannya yang dianggap sedang bermimpi itu.
Beb, dengar sini baik-baik. Aku rasa, engkau yang patut beri peluang pada diri engkau sendiri, bukannya perempuan tu. Engkau tengoklah sendiri, dari sikap dan cara berpakaiannya pun, kita boleh tahu siapa dia yang sebenarnya. Perempuan macam tu tak layak dibuat isteri. Jadi perempuan simpanan, bolehlah, tingkah Elly lagi.
Engkau macam tak suka saja, beb
Memang aku tak suka! Dan aku percaya, kalau Tuan Fahreen tahu pun, dia pastinya tak bersetuju. Kalau kau pilih juga perempuan macam tu, jangankan kata engkau, dengan Tuan Fahreen sekali yang akan merana, tegas Elly.
Jelas sekali kemarahan Elly kali ini. Dia menzahirkan dengan tegas untuk membuatkan Alyssa faham. Bukan mudah menduga kategori orang dalam zaman materialistik ini. Tapi, janganlah sanggup bermain dengan api yang sudah dilihat maraknya. Kenapalah Alyssa begitu naf dalam soal-soal sedemikian
Sudahlah beb, aku rasa tak ada benda yang aku boleh buat di sini lagi. Terpulanglah kepada engkau untuk buat keputusan. Aku tak sanggup tengok engkau menghancurkan diri engkau sendiri, gara-gara perempuan seperti itu. Aku beredar dulu.
Elly terus melangkah pergi dan meninggalkan Alyssa yang masih kebingungan. Elly sudah meluahkan segala-galanya yang dia fikir tentang wanita bernama Leina itu. Sekarang, terserahlah kepada Alyssa untuk membuat keputusannya sendiri.
Alyssa pula berasa serba-salah. Apakah alasan yang harus diberikan kepada Leina, sama ada untuk menerimanya ataupun menolaknya mentah-mentah. Logiknya, dia sendiri tidak bersetuju dengan segala syarat yang diberikan oleh perempuan tersebut. Lalu, Alyssa melangkah kembali ke dalam restoran untuk bertemu Leina semula.
Ehm, maafkan saya Cik Leina, saya tak boleh beri keputusan sekarang. Saya kena berbincang dengan suami saya dahulu. Nanti saya akan hubungi Cik Leina, bila suami saya sudah memberikan kata putus, ya janji Alyssa.
Okay tak apa, saya tunggu. Tapi, jangan lama-lama sangat tau sebab saya ada lagi calon menunggu. Seseorang yang bergelar Datuk, nak jadikan saya isteri ketiganya, sambung Leina yang perasan bagus itu.
Memang benar sekali firasat Elly itu. Nampak gayanya, perempuan seperti Leina itu menggunakan aset yang ada pada dirinya untuk mengaut keuntungan dan kemewahan semata-mata. Alyssa memang tidak sanggup untuk mempersembahkan perempuan seperti itu kepada suaminya kerana perempuan jenis itu tidak akan mendatangkan sebarang kebahagiaan malahan akan lebih membuatkan Tuan Fahreen menderita dan kecewa.
Jangan haraplah aku akan hubungi engkau lagi. Pergilah engkau kepada lelaki yang lebih layak untuk melayan nafsu kemewahan engkau, desir hati Alyssa, setelah Leina berlalu pergi.
Alyssa terpaksa mengaku kepada dirinya sendiri yang dia masih lagi mentah dalam menilai sifat dan perwatakan orang lain. Malahan, sahabatnya Elly, lebih pandai darinya. Terselit Juga rasa malu kepada sahabatnya itu. Alyssa tidak tahu apa yang sedang bermain dalam fikiran Elly ketika itu, atau mungkin dia sedang mentertawakan Alyssa tentang calon bodoh yang dikemukakannya.
Aku minta maaf beb, sebab aku dah buang masa engkau. Sebenarnya, aku cuma perlukan pandangan kedua dari engkau, ujar Alyssa, sekembalinya semula di pejabat Wadi Afzan.
Elly lalu menghulurkan segelas air sejuk untuk Alyssa, bagi meredakan hatinya yang sedang berkecamuk itu. Kedua-dua sahabat baik itu duduk sambil menyambung perbualan tentang perkara yang baru terjadi tadi.
Aku tak bermaksud untuk memperkecilkan usaha engkau tu. Aku boleh rasa dan faham apa yang engkau alami sekarang, ujar Elly, tersangkut seketika dari meneruskan ayatnya.
Tetapi, aku tak sanggup melihat engkau menderita lagi. Ingat beb, sekali engkau salah membuat pilihan dalam perkara-perkara penting seperti ini, selamanya engkau akan merana. Lagi pun aku tengok, engkau dah cukup selesa dengan Tuan Fahreen sekarang. Tak perlulah engkau nak paksa diri engkau untuk berkongsi kasih, yang tidak ada apa-apa kepastian tu.
Nasihat Elly itu, terkesan di hati Alyssa. Namun begitu, Alyssa tetap berpegang kepada pendiriannya untuk memberikan kebahagiaan kepada suaminya. Jalannya sudah tersusun, hanya menunggu calon yang sesuai sahaja.
Dari hari ke hari, Alyssa merasakan fikirannya tambah kusut memikirkan perkara ini. Tuan Fahreen pula, tetap membisu tanpa sebarang pendirian ataupun calon yang dia suka. Malahan, Tuan Fahreen tidak pernah bertanya kepada isterinya itu akan calon isteri yang bakal dinikahinya. Dia membiarkan sahaja masalah itu kepada Alyssa untuk difikirkan.
Bagai nak pecah kepala Alyssa memikirkan segala-galanya. Sejak akhir-akhir ini pula, dia acapkali pening kepala, mungkin kerana terlalu memikirkan permasalahan calon madunya. Barulah Alyssa sedar, bukan mudah untuk menentukan jodoh. Sukar lagi mencari yang bersesuaian. Dan hari itu, sekali lagi Alyssa mengambil cuti sakit. Kepalanya berdenyut sekali ketika bangun pagi tadi. Mungkin kerana terlalu banyak berfikir malam tadi. Ditambah pula dengan rasa rindunya kepada suami yang jauh di mata. Sekali lagi, Tuan Fahreen meninggalkannya kerana ada tugas luar. Kali ini, dia ke Singapura untuk berbincang dengan pelabur di sana. Untuk berapa lamakah dia di sana Masih tidak pasti lagi.
Assalamualaikum.
Waalaikumsalam. Rozi, lama tak nampak datang ke sini, sambut Mak Chom dengan ramahnya.
Yalah Mak Chom, sejak akhir-akhir ni sibuk sikit, sebab tu lama tak datang. Oh ya, Alyssa ada tak Pagi tadi, masa Rozi telefon, katanya m.c.
Ada, tengah berehat di taman sana. Rozi pergilah jumpa dengan puan. Biar Mak Chom siapkan air, balas Mak Chom pula.
Roziana lalu terus menuju ke taman, tempat Alyssa sedang merehatkan dirinya. Terasa rindu sangat terhadap adik angkat yang amat jarang ditemui sejak akhir-akhir ini. Tujuan Roziana datang menemui Alyssa, hanyalah untuk bertanya khabar. Sudah terlalu lama agaknya, dia ketinggalan cerita-cerita terkini tentang Alyssa. Kebetulan pula, Roziana mengambil cuti tahunannya hari ini. Maka dia merasakan itu adalah masa yang sesuai untuknya menemui Alyssa.
Alyssa juga berasa amat gembira sekali bertemu dengan Roziana. Entah mengapa, dia merasakan hubungan mereka sudah tidak seakrab dahulu lagi. Mungkin kerana masing-masing sudah punya komitmen tersendiri, menyebabkan masa emas mereka bersama adalah amat terhad sekali. Walau bagaimanapun, kasih sayang antara mereka masih kebal bertaut.
Lyssa tengok, Kak Rozi sekarang semakin berseri-serilah. Kak Rozi makan jamu, ya
Eh, mana ada. Kak Rozi cuma ambil sedikit supplement untuk menguatkan antibodi saja. Dalam usia-usia sebegini, kesihatan perlu diutamakan. Kalau tidak, penyakit akan bertandang. Betul tak ujar Roziana.
Alyssa hanya mendiamkan diri tetapi tetap mengukir senyuman mendengar kata-kata dari kakak angkatnya itu. Sukar untuk mencari posisi kekuatan diri sendiri, apabila ada masalah datang berkunjung. Fikiran akan terganggu, maka sakit pun akan bertamu. Itulah keadaan Alyssa sekarang, sehingga dia merasakan penampilannya jauh lebih tua jika dibandingkan dengan Roziana yang lebih berumur darinya.
Kenapa ni, dik Akak tengok muka Lyssa pucat saja. Dah pergi jumpa doktor ke belum Lyssa ada masalah, ya
Entahlah kak, sejak akhir-akhir ni, Lyssa selalu sangat pening kepala, jawab Alyssa, lemah.
Belum sempat Roziana mengatakan apa-apa, Mak Chom pula masuk menghantarkan hidangan. Terhenti seketika perbualan mesra antara dua saudara angkat itu.
Jemputlah makan kuih ni, Rozi. Mak Chom tahu yang kuih ni kesukaan Rozi.
Amboi, sedapnya kuih seri muka ni. Pandailah Mak Chom ni sebab tahu kuih kegemaran Rozi ni, puji Roziana pula.
Kalau macam tu, tak apa. Rozi makan kuih ni dulu, nanti bila nak balik, Mak Chom ta pau lagi untuk Rozi ya.
Alamak, malu pula rasanya. Sudahlah makan free, siap bungkus lagi, ujar Roziana sambil ketawa.
Roziana sememangnya amat menyenangi keramahan Mak Chom. Kemesraan orang tua itu menyebabkannya dia tidak berasa canggung
dengannya. Mak Chom kemudiannya meninggalkan mereka bersendirian kembali, apabila salah seorang pembantu di rumah itu memanggilnya ke dapur.
Lyssa, pergilah jumpa doktor segera, buat pemeriksaan kesihatan. Akak bimbang kalau-kalau sakit kepala Lyssa ni adalah kesan dari kemalangan tempoh hari, nasihat Roziana yang agak khuatir melihatkan keadaan Alyssa.
Tak ada apa-apalah kak, pening biasa saja ni. Masa di hospital tempoh hari, doktor sudah periksa seluruh tubuh badan Lyssa. Tak ada apa-apa yang membimbangkan.
Jangan-jangan, Lyssa ni mengandung lagi tak teka Roziana.
Alyssa hanya memandang sepi soalan Roziana itu. Tiada apa yang menarik untuk diguraukan, mengenai kehamilan dan punya anak lagi. Yang nyatanya, Roziana tidak tahu akan ketidak-upayaan Alyssa sekarang. Hanya insan-insan tertentu yang mengetahuinya, iaitu Tuan Fahreen, Elly dan Mak Chom. Pada yang lainnya, biarlah ini semua kekal rahsia. Bukan tidak mahu berkongsi duka ini dengan Roziana, tetapi Alyssa merasakan sudah cukuplah dia menyusahkan kakaknya selama ini.
Namun, tiba-tiba Alyssa merasakan keanehan yang wujud di perasaannya mengenai Roziana. Roziana merupakan seorang wanita yang baik, jujur serta mempunyai karisma sebagai seorang isteri. Walaupun umurnya sudah agak lanjut, namun dia masih dara dan tidak mustahil bagi Roziana untuk hamil dalam usia sebegitu. Sekurang-kurangnya, Roziana masih ada peluang untuk menimang cahaya mata sendiri, berbanding Alyssa yang sudah tidak punya apa-apa.
Dalam hati, Alyssa berteka-teki. Mahukah Roziana menerimanya andai dia mengajukan persoalan tersebut kepada wanita itu Selama ini, Roziana tidak pernah menghampakannya. Malahan, sejak dahulu lagi, Roziana bersedia untuk berkorban apa sahaja demi kebahagiaan Alyssa. Rasanya, tidak salah jika Roziana berkorban sekali lagi, jika Alyssa yang memintanya untuk berbuat sedemikian. Lalu, wajah Roziana direnung seribu makna.
Kak Rozi, kenapa akak tak kahwin lagi
Eh, soalan apa ni Lyssa Lain macam sahaja bunyinya.
Mahu atau tidak, Alyssa terpaksa juga menerangkan maksud hatinya itu terus kepada Roziana. Alyssa tidak bijak untuk menyusun kata-kata, namun dia tetap mengumpul kekuatan yang lemah itu untuk meminta pertolongan dari Roziana. Kepada Roziana, diceritakan segala-galanya, serta tujuan dia mencari teman hidup Tuan Fahreen yang kedua. Secara tidak langsung, Alyssa sebenarnya cuba mengemukakan lamaran kepada Roziana, yang tersirat di sebalik suratan itu.
Apa Sis, are you out of your mind Akak rasa, memang ada sesuatu yang tak kena pada diri Lyssalah. Lebih baik Lyssa segera berjumpa dengan doktor, sebelum sakit ni jadi lebih parah lagi.
Roziana tidak mengerti apa maksud Alyssa, namun dia cukup faham yang Alyssa mahu dia menjadi isteri kedua kepada Tuan Fahreen. Roziana hairan, bagaimana Alyssa boleh terfikir sampai ke tahap itu sekali Seharusnya, dia tahu yang Roziana tidak mungkin menerima saranan segila itu. Mana mungkin dia bermadu dengan adik angkatnya sendiri.
Tolonglah, Kak Rozi. Hanya pada Kak Rozi sahaja Lyssa bergantung harap. Lyssa tak sanggup berkongsi suami dengan perempuan-perempuan lain yang di luar sana, yang tak tentu buruk dan baiknya.
Kenapa Lyssa bertindak sampai macam ni sekali Apa sebenarnya masalah Lyssa Lyssa bertengkar dengan Tuan Fahreenkah Ataupun, Tuan Fahreen yang desak Lyssa untu membenarkannya beristeri lagi Roziana tidak berpuas hati.
Ya Allah, beratnya tuduhan itu. Rasa bersalah menebal di jiwa Alyssa bila Roziana mencetuskan tuduhan negatif terhadap suaminya yang langsung tidak bersalah itu. Namun, Alyssa tidak betah untuk memarahi Roziana. Sesiapapun yang berada di tempat Roziana, pastinya akan terkejut dengan rancangan gila itu.
Tuan Fahreen tak pernah desak Lyssa. Dia seorang suami yang amat memahami situasi Lyssa sekarang. Malahan, ketika mula-mula Lyssa suarakan soal ini kepadanya, dia langsung tak bersetuju. Tetapi, apabila Lyssa pujuk dia, barulah dia bersetuju. Itu pun dengan syarat yang Alyssa perlu uruskan segala-galanya sendiri.
Tak faham. Memang akak langsung tak faham dan tak tahu macam mana nak faham. Yang Lyssa beriya-iya suruh Tuan Fahreen beristeri lagi ni, kenapa Akak peliklah, perempuan lain takut nak bermadu, Lyssa pula merayu untuk dimadukan. Dan, cuba Lyssa tengok muka akak ni betul-betul. Sepadankah akak dengan Tuan Fahreen tu Lyssa jangan nak buat kerja gila macam ni, akak tak suka, ucap Roziana, masih menentang keinginan Alyssa.
Lyssa tak boleh mengandung lagi, kak, Alyssa akhirnya mendedahkan kelemahannya itu.
What Its impossible.
Roziana seperti tidak percaya dengan apa yang didengarnya itu. Adakah Alyssa bergurau dengannya, ataupun dia sengaja mereka cerita demi meraih simpati dari Roziana
Ini adalah kenyataan, Kak Rozi. Impact dari kemalangan tempoh hari, telah menyebabkan rahim Lyssa rosak teruk dan terpaksa dibuang. Lyssa dah tak dapat beri anak pada Tuan Fahreen lagi. Semuanya salah Lyssa, kak. Salah Lyssa semata-mata, terang Alyssa.
Masya-Allah, Kak Rozi simpati sangat dengan Lyssa. Tapi, Kak Rozi minta maaf sebab akak tak boleh bantu Lyssa dalam hal ini. Rasanya, ini bukanlah penyelesaian yang terbaik. Jangan paksa suami untuk berkahwin lain semata-mata kerana anak, Lyssa. Itu tak ikhlas namanya.
Alyssa sudah jemu mendengar ungkapan ikhlas.
Banyak pihak yang mempersoalkan keikhlasannya dalam mengizinkan Tuan Fahreen bernikah. Demi Tuhan, Alyssa tidak pernah sangsi dengan keputusannya. Malahan, pendirian itu dirasakannya semakin kuat dari sehari ke sehari.
Kak Rozi, Lyssa benar-benar ikhlas nak tengok suami Lyssa itu bahagia. Tolonglah Kak Rozi, tolonglah terima lamaran Lyssa ni. Lyssa sanggup buat apa sahaja asalkan akak bersetuju.
Maaf dik, akak tak mampu untuk korbankan hati dan perasaan akak untuk semua ini. Lyssa tak boleh paksa akak menerima Tuan Fahreen sebagai suami akak. Lagi pun, akak sudah anggap Tuan Fahreen tu seperti adik akak sendiri, sebagaimana Lyssa.
Alyssa sudah tidak mampu untuk memujuk. Keengganan Roziana menerima lamarannya membuatkan hatinya benar-benar kecewa. Namun, dia tidak berdaya untuk memaksa kerana Roziana begitu tegas mempertahankan pendiriannya. Mungkin pada pendapat Roziana, dirinya tidak secocok dengan Tuan Fahreen dalam banyak hal. Lalu, dia lebih memilih supaya hubungan mereka kekal seperti sekarang ini. Lagi pun, Roziana sudah menganggap Alyssa persis adiknya sendiri. Mana mungkin dia bermadu dengan Alyssa.
Lagi pun, akak tak mahu melukakan hati dan perasaan orang yang memuja akak sejak bertahun-tahun lamanya. Kesabarannya telah berjaya meruntuhkan dinding kebal pada hati akak. Lyssa, akak nak berikan peluang kepada Sabtu untuk membuktikan rasa kasihnya pada akak. Kami akan bertunang dan berkahwin tak lama lagi. Sebab tulah akak datang jumpa dengan Lyssa ni, beritahu Roziana penuh perasaan.
Akak memang kejam. Akak lebih sayangkan Abang Sabtu dari Lyssa.
Tiba-tiba terdengar suara rintihan halus dari Alyssa. Sesuatu yang tidak terduga oleh Roziana, mahupun Alyssa sendiri. Entah apalah yang mengganggu fikiran Alyssa sehingga dia tidak sengaja melontarkan kekecewaan itu setelah Roziana menolak lamaran dan harapannya.
Akak sayangkan Lyssa, lebih dari segala-galanya di dunia ini. Tapi tolonglah Lyssa, tolong hormat perasaan akak. Dulu, Lyssa yang bersungguh-sungguh cuba untuk merapatkan hubungan akak dan Sabtu. Tetapi kini, nampaknya Lyssa sudah benar-benar tak sayangkan akak. Kalau macam tu, lebih baik akak balik sahaja, luah Roziana.
Dia kecewa dengan tanggapan mudah Alyssa terhadapnya. Sungguhpun dia masih belum berkahwin, Alyssa memperlakukannya seperti melukut di tepi gantang. Adakah kekayaan sudah membutakan Alyssa dari kebenaran dan kasih sayang Seharusnya, dia membuka matanya sebelum lancarkan lidahnya menutur kata-kata. Kedudukan yang dia ada sekarang bukan jaminan untuknya menjatuhkan maruah orang yang boleh dianggap paling dekat dengannya. Semua itu melemaskan fikiran Roziana dan berasa sedikit kecil hati. Entah mengapa, tiba-tiba Roziana merasakan yang dia perlu pergi dari situ dengan segera.
Namun sebelum melangkah keluar, dia sempat berpesan, Akak benar-benar berharap yang Alyssa tidak tukarkan hubungan istimewa kita sebagai adik dan kakak, kepada hubungan sebagai madu. Sampai bila-bila pun akan tak akan bersetuju. Kalau pengorbanan yang dituntut itu dirasakan perlu, teruskanlah. Tapi, jangan sampai menyeksa diri sendiri dan orang lain yang tidak pernah reda dengan percaturan kita.
Roziana akhirnya bangkit, dan terus keluar dari rumah itu. Dia meninggalkan Alyssa dengan seribu macam persoalan untuk dirungkaikan oleh Alyssa. Alyssa sedar yang kakak angkatnya itu sudah berjauh hati dengannya, gara-gara perkara tersebut. Dengan tak semena-mena terbit pula rasa sesal yang amat sangat di hatinya kerana membiarkan Roziana hilang kepercayaan terhadapnya.
Kenapa sayang buat begitu pada Kak Rozi. Sayang sedar tak yang sayang bukan sahaja telah mengguris hati dan perasaannya, tetapi, sayang juga telah mempermainkan maruahnya sebagai seorang wanita, ujar Tuan Fahreen.
Alyssa yang berasa tidak sedap hati dengan apa yang terjadi, telah mengadukan perkara tersebut kepada suaminya. Sebelum Tuan Fahreen tahu perkara ini dari mulut Roziana atau orang lain, lebih baik rasanya jika dia yang berterus-terang terlebih dahulu. Bimbang juga, jika Roziana memarahi Tuan Fahreen tentang perkara itu.
Lyssa minta maaf, abang. Lyssa sendiri tak tahu mengapa Lyssa boleh terfikir sejauh itu. Kak Rozi adalah kakak Lyssa dan Lyssa tak seharusnya mempermainkan perasaannya sebegitu sekali.
Benda dah jadi, sayang. Nak menyesal pun tak guna. Sebaiknya sekarang ni, sayang fikirkan bagaimana caranya untuk memujuk Kak Rozi semula. Mesti dia terasa sangat. Mentang-mentanglah dia tu anak dara tua, tentu dia akan fikir yang kita sengaja mempermainkan statusnya. Orang macam tu akan cepat rasa terhina, walaupun kita tak terniat sampai ke situ sama sekali, nasihat Tuan Fahreen.
Alyssa tahu, dia yang bersalah dalam hal ini. Akibat terlalu terdesak untuk mencari calon madu, dia telah mengheret Roziana sekali di dalam kancah permasalahannya. Seharusnya, dia lebih peka dengan sensitiviti perasaan Roziana. Selama ini, Roziana telah berkorban masa dan perasaannya demi menjaga kepentingan dan perilaku Alyssa. Bukannya susah untuk membalas pengorbanannya itu. Bukan wang ringgit dan harta yang ditagih sebagai timbal balas, cukup sekadar menjaga hati dan menyejukkan jiwanya.
Sayang, abang rasa lebih baik sayang hentikan sahaja kerja mengarut ni, sebelum banyak lagi hati-hati lain yang akan kita sakiti. Abang percaya yang kita masih boleh bahagia dengan cara kita sekarang, pinta Tuan Fahreen.
Tidak bang, Lyssa sudah berjanji, dan pastinya akan Lyssa kotakan. Lyssa yakin, suatu hari nanti, kita akan ketemu dengan seorang wanita yang benar-benar ikhlas untuk membantu kita.
Keyakinan Alyssa dan kepercayaan Tuan Fahreen tidak mungkin dapat disatukan. Alyssa yakin bahawa Tuan Fahreen akan bahagia jika beristeri lagi dan punya zuriat sendiri, manakala Tuan Fahreen masih tetap percaya yang dia akan kekal bahagia selagi ada Alyssa di sisinya, walaupun tanpa zuriat sendiri. Namun, Alyssa dan kedegilannya, tidak mungkin dapat dipisahkan. Dia masih bertekad untuk meneruskan rancangan mencari calon madunya. Dia percaya dengan niatnya yang ikhlas itu, Tuhan pasti akan mengabuli permintaanya suatu hari kelak.
Sejak peristiwa itu, hubungan Alyssa dan Roziana agak renggang. Mereka tidak lagi berhubungan antara satu sama lain. Alyssa pula, agak lewat untuk mencari kekuatan bagi memohon maaf di atas segala keterlanjuran kata-katanya. Namun, apabila dia sudah menemui kekuatannya, Roziana pula yang gagal untuk dihubungi. Puas Alyssa mencarinya di tempat kerja dan di rumahnya. Namun, Roziana tetap gagal ditemuinya
Dah puas aku cari di merata tempat, beb. Di pejabat, di rumah, di tempat-tempat yang selalu Kak Rozi berada, tetapi tetap tak jumpa. Aku menyesal sangat, sebab sakitkan hatinya tempoh hari. Mesti Kak Rozi merajuk dengan aku dan lari tinggalkan aku, kan sungut Alyssa, runsing.
Kak Rozi tak marah dengan engkau, beb. Dia dah maafkan kau pun. Tak perlulah engkau risau sangat pasal dia. Insya-Allah, dia selamat tu, ujar Elly, tenang.
Lontaran kata-kata Elly yang selamba itu, mengejutkan Alyssa. Dia tidak menyangka yang Elly tahu ke mana Roziana pergi. Maknanya, Roziana ada menghubungi Elly tetapi tidak mahu menghubunginya. Alyssa berasa sedikit kecil hati, namun segera diubatinya apabila sedar yang segala-galanya adalah berpunca dari dirinya sendiri.
Maknanya, engkau tahulah ke mana dia pergi
Elly hanya menganggukkan kepala, lalu menjawab ringkas, Dua hari lepas, dia ada call aku.
See, memang dia masih marah pada aku, sebab tu, dia lebih senang menghubungi engkau berbanding aku.
Elly segera menggeleng, menafikan tanggapan negatif Alyssa.
Bukan macam tu. Dia beritahu aku yang dia ada cuba untuk call engkau sekali dua, tapi, engkau tak angkat. Dia fikir yang engkau masih marahkan dia, sebab menolak pinangan engkau tempoh hari. Kak Rozi sekarang berada di Australia tau. Dia berangkat dua hari lepas, hari yang sama dia hubungi aku. Engkau ingat tak, masa dia ke rumah engkau hari itu Dia sebenarnya, nak beritahu engkau yang dia dapat offer untuk bekerja di Australia. Disebabkan
tawaran itu short notice sangat, jadi dia terlalu sibuk membuat persiapan. Sebab tu, masa engkau cari dia di pejabat atau di rumah, engkau susah nak ketemu dengan dia, beritahu Elly.
Memang benar. Sejak akhir-akhir ini, Alyssa sering tidak dapat menjawab panggilan-panggilan telefon yang masuk bertubi-tubi untuknya. Bukannya sengaja, tetapi kadang kala taliannya berbunyi ketika dia sedang diserang sakit kepala yang melampau. Entah mengapa, sakit kepalanya semakin menjadi-jadi pula sejak kebelakangan ini. Kadangkala ianya disertai dengan rasa loya dan muntah-muntah.
Jika dia adalah wanita yang normal, petanda sakit seperti itu adalah sesuatu yang pasti ditunggu-tunggunya. Kemungkinan besar, rahimnya berisi. Tetapi, ini semua tak mungkin berlaku pada Alyssa lagi, kerana dia sudah tidak mempunyai rahim sama sekali. Mungkin ada komplikasi lain dalam tubuhnya yang dia sendiri tidak tahu apakah itu.
Australia Dua hari lepas
Alyssa kelihatan begitu terkejut dengan apa yang diberitahu oleh Elly kepadanya itu. Lalu, dia berasa kesal sekali.
Beb, aku rasa terkilan sangat sebab tak berpeluang untuk menemui Kak Rozi, mahupun menghantarnya ke airport. Harap-harap, dia tak terbang membawa perasaan marahnya terhadap aku bersama. Walau apa pun yang terjadi, aku akan tetap sayangkan dia sampai bila-bila, ujar Alyssa dengan rasa sayu.
Dia pun sayangkan kau, beb. Tak mungkin dia akan marah engkau selama-lamanya. Setakat berkecil hati tu, adalah. Biasalah perasaan manusia, mudah terluka dan bersedih. Tak perlulah engkau fikirkan sangat tentang Kak Rozi tu. Nanti, kalau ada kelapangan, mesti dia akan telefon engkau.
Alyssa memang benar-benar ingin untuk bertemu dengan Roziana lagi. Alyssa juga berharap agar Roziana tidak berasa terkilan kerana mempunyai adik angkat yang kurang matang sepertinya. Alyssa tetap akan mendoakan yang terbaik untuknya dan bakal disatukan dengan lelaki pilihan hatinya, suatu masa nanti.