Dari 1996 hinggalah ke 1998, penyanyi yang dia maksudkan itu punya beberapa anugerah yang boleh dibanggakan. Bukan itu sahaja, pada umur 17 tahun sudah pun memenangi Anugerah Juara Lagu dengan membawakan Jerat Percintaan waktu itu. Dari situlah Nurul mengikutinya dengan cukup-cukup rapat.
Ibu dan ayahnya tak pernah kisah. Asalkan tidak berperangai jelik, sudah. Sekadar mengikuti penyanyi kesukaan, itu tidak punya masalah. Lebih lagi, Siti Nurhaliza dikenali dengan sifat sopan. Pakaiannya juga dijaga dengan cukup rapi. Tidak pernah menjolok pandangan mata orang lain.
Bayangkanlah album kedua beliau yang dilancarkan pada 27hb Januari 1997 laku keras hingga dicetak berulang-ulang kali. Lagu Aku Cinta Padamu juga sering didendangkan di corong-corong radio. Beliau semakin dikenali dalam negara. Bukan itu sahaja, beliau sudah menempa nama di Indonesia dengan lagu tersebut diubah kepada Betapa Aku Cinta Padamu.
Album tersebut menampilkan 11 lagu yang punya kekuatan yang tersendiri. Boleh dikatakan semua lagu disukai dan digemari oleh Nurul. Terutama Wajah Kekasih. Ada sahajalah yang disukainya, malah jika ada adik beradik yang lain memerli penyanyi kesayangannya itu, memang ya boleh jadi gaduh. Bermasam muka dan siaplah semua baju-baju mereka tidak akan dibantu untuk digosok dan dibasuh.
Pagi itu, Nurul bingkas bangun. Emak dan Ayahnya juga sudah nampak bersedia untuk ke sekolah mengambil keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Yang akan menentukan nasib Nurul sama ada ke Universiti atau ke Kolej-kolej sahaja. Impian Nurul mahu ke Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang. Jika ada rezeki, beliau sangat suka untuk menyambung pelajaran di bidang kedoktoran gigi.
Dari tingkatan tiga hinggalah ke tingkatan lima, Nurul menyambung persekolahan di Bangi. Ibu bapanya juga sudah duduk sekali di sini. Bersekolah pun hanya berulang alik dari rumah sahaja. Di Bangi, beliau berkawan rapat dengan Azra. Rakan baiknya dari tingkatan tiga itu hanya bertemu dapur sahaja dengan rumah emaknya. Sama-sama punya minat yang sama dan suka berkongsi kisah antara satu sama lain.
Jika mahu pulang ke Pahang, sesekali sahaja. Waktu itu dapatlah beliau ke rumah Imah. Itu pun jika Imah ada. Hubungannya dengan Imah dan penduduk kampung yang lain masih kuat seperti biasa.
Ayah Azra merupakan seorang jurutera. Sama seperti ayah Nurul. Cuma, ayah Nurul mengajar di sebuah Universiti.
Manakala Ayah Azra bertugas di luar negara. Selalu tiada dan Azra kerap tinggal di rumah Nurul.
Sesudah sampai di sekolah, Nurul mencari-cari Azra. Dan mereka melambai antara satu sama lain.
Berapa tanya Nurul.
10!
10 agregat Wah tahniah tahniah!
Kau pula berapa Nurul tanya Azra.
Haha aku tak tengok lagi. Sekejap aku pergi ambil. Nurul menjawab dan meninggalkan Azra sekejap.
Nurul ikut beratur di kawasan yang disediakan mengikut kelas masing-masing.
Tahniah Nurul, 11 agregat, ucap guru kelas beliau. Nurul pun bersalam dan memeluknya.
11! jerit Nurul kepada Azra. Lalu mereka berpelukan. Nurul ketinggalan satu markah untuk Fizik di belakang Azra.
Syukur mak, 11 agregat.
Alhamdulillah. Tahniah tahniah. Mesti abah awak bangga, jawab Emak Nurul.
Abah, Nurul dapat 11 agregat. Terus Nurul menghulur tangan untuk bersalam dengan ayahnya. Lalu disambut dengan pelukan. Tahniah, syukur, kena beritahu abang dan kakak awak sekali.
Malam itu, emak Nurul memasak dengan ceria. Keputusan anaknya itu boleh dikatakan bagus dan baik. Syukur.
Nurul juga tidak henti mengucapkan syukur kepada Tuhan. bersyukur kerana jalan hidupnya itu masih panjang dan semua suka duka selama ini tetap dihadiahkan dengan kasih sayang Tuhan.
Dari berpindah ke Mentakab. Kemudian berkenalan dengan Imah, Bahari, Leman dan seluruh penduduk Pasir Rawa. Kemudiannya memasuki sekolah berasrama di Jengka dan kemudiannya dipaksa keluar dan menyambung sesi persekolahan di Bangi. Semuanya beliau akur sahaja.
Ikut sahaja hati, memang parah digores-gores seperti menghiris garpu ke sebatang timun. Airnya keluar mengalir. Tidak menjerit sakit namun kita tahu perbuatan itu beri perit ya amat.
Nurul mengambil kisah hebat penyanyi kesukaannya itu sebagai satu titik tolak kejayaan seseorang. Dikisahkan di dalam akhbar bagaimana beliau boleh ulang alik dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur hampir setiap hari dan setiap minggu bagi memenuhi ruang tempahan menyanyi di sana.
Kadang-kadang ditemani ibunya sendiri Puan Siti Salmah, kadang-kadang oleh Abangnya sendiri. Dikatakan, beliau pernah pulang pada jam 4.00 pagi kemudian berehat sekejap dan terus bersiap ke sekolah. Kemudian, lepas sahaja habis sekolah kembali menaiki kereta dan terus ke Kuala Lumpur semuanya.
Hasilnya, pada tahun 1997, beliau berjaya mengeluarkan dua album. Iaitu Siti Nurhaliza II Dan Cindai. Dua-dua album tersebut meletup dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Lebih dari itu suara beliau cukup menghantui semua manusia sekiranya lagu Cindai didengarkan di corong radio. Semua akan terdiam dan menikmati irama tersebut.
Sudah terlalu lama rakyat di dalam negara merindukan lagu-lagu dengan rentak irama tradisional mewarnai dunia muzik tanah air. Siti Nurhaliza berjaya merebut peluang dengan menggunakan suara emasnya untuk sepuluh track di dalam album tersebut. Semuanya sedap-sedap belaka terutama lagu Cindai, Joget Pahang dan Joget Berhibur. Manakala lagu Patah Hati yang dinyanyikan oleh beliau cukup mendayu-dayu hinggakan orang lain juga terikut-ikut dengan cara penyampaian beliau.
Diikutkan, hanya ada dua lagu sahaja yang baru di dalam album tersebut. Iaitu Joget Berhibur dan Cindai. Yang lain merupakan lagu-lagu klasik yang dinyanyikan kembali oleh beliau. Namun, percubaan tersebut menjadi sangat berjaya dan jualan album tersebut mencecah puluh ribu unit.
Nurul punya ketiga-tiga album Siti Nurhaliza. Malah, sejak tinggal di Bangi, akses untuk mendapatkan semua lagu beliau terasa sedikit mudah. Lebih pula berkawan dengan Azra yang melayan sahaja tentang dunia muzik. Tidak ada minatnya yang tersendiri namun kagum dengan Nurul yang menyukai Siti Nurhaliza secara diam-diam itu untuk punya seorang inspirasi dalam hidupnya.
Beliau amat berhajat suatu hari nanti dapat menikmati dengan mendengar suara penyanyi kesayangannya ini di hadapan mata. Sama ada di konsert atau mana-mana majlis yang beliau hadiri.
Beliau masih ingat tentang kisah bagaimana Sudirman Haji Arshad berjaya mengumpulkan lebih 100,000 orang semasa beliau mengadakan konsert percuma satu masa dulu di Chow Kit Road. Konsert gergasi tersebut menjadi sejarah dalam dunia muzik tanah air kerana ia merupakan konsert percuma yang berskala besar.
Beliau bermula dengan menyanyikan lagu Chow Kit Road sebagai hadiah kepada para peminatnya di seluruh negara. Waktu itu ramai yang menyifatkan Sudirman memberi maksud Chow Kit Road merupakan laman marhaen kepada sesiapa yang hadir ke Kuala Lumpur. Dan Konsert tersebut merupakan tanda terima kasihnya kepada peminat di Kuala Lumpur dan seluruh negara.
Konsert yang menggegarkan negara pada tahun 1986 itu dibuat selama lebih tiga jam yang mana menyebabkan Kuala Lumpur lumpuh terus di beberapa jalan utama. Malah, ada yang dikatakan sebagai perhimpunan agung rakyat yang bersuka ria dengan mendengar dan melihat kehebatan Sudirman di atas pentas.
Beliau turun dengan Skylift untuk sampai ke pentas dan kemudiannya mengalunkan beberapa buah lagu serta beramah mesra dengan semua para hadirin yang datang. Itulah Sudirman, pelakar sejarah industri muzik tanah air.
Namun, sehingga tahun 1998, tidak ada yang berani sepertinya. Yang ada konsert-konsert skala kecil yang juga penuh namun terhad kepada beberapa lagu sahaja.
Kini, sudah ada Siti Nurhaliza. Pasti akan ada konsert selepas ini. Dan beliau perlu berusaha untuk hadir. Jika tidak, memang menambah beban rugi dalam hidupnya.
Nurul, buat apa Emaknya menolak pintu biliknya. Lekas Nurul menyorok kepingan lirik yang berlipat-lipat ke bawah bantal.
Apa tu Bak tunjuk dekat mak.
Tak ada apa, mak. Tak ada apa.
Kasi sini sekarang!
Ala mak ni, tak ada apanya!
Kasi sini atau mak beritahu abah kau. Emaknya tiba-tiba menyinga.
Ya Allah. Sudah-sudahlah Nurul. Apa yang kau dapat dari duk ikut sahaja dia ni Dia penyanyi. Kau itu bukan. Kau kena belajar tinggi-tinggi.
Ala mak ni... suka je, bukan buat apa. Dia baiklah. Tengoklah mana ada pakaian seksi. Mana ada cerita gosip sensasi. Semua yang baik-baik.
Emaknya mengangguk dan memulangkan kembali not lirik lagu-lagu dalam album Cindai tersebut. Nurul menghembus nafas lega. Dulu, emaknya pernah membuang satu kotak novel yang baginya langsung tidak berguna.
Nurul menangis teresak-esak kerana saat pulang sahaja dari asrama, novel tersebut sudah tiada. Dan apabila dicari, rupanya sudah tinggal abu-abu di tempat pembakaran sampah di belakang rumah. Tak ada satu pun yang berjaya diselamatkan.
Novel cinta itu sememangnya menjadi kesukaan Nurul untuk membacanya. Watak-wataknya itu merujuk kepada lelaki sasa, putih, segak, kaya dan berpengaruh. Watak perempuan pula pastinya dengan nama-nama canggih seperti Alisya, Ezora, dan sebagainya. Namun itu sememangnya menjadi musuh ketat ibunya sendiri. Kerana sudah semestinya dianggap sebagai pembaziran paling agung yang dibuat anak-anaknya.
Kali ini, nyaris. Syukur. Nurul terus menyimpannya di bawah timbunan baju. Kaset-kaset juga disusun elok di dalam bekas biskut butter yang bulat elok bertutup. Bimbang dijumpai lagi. Radio lama yang berharga RM39.90 itu juga diletakkan elok sahaja di tepi dinding. Yang itu baginya tidak ada keperluan untuk emaknya membuangnya jauh.
Nurul menghembus nafas lega. Esok pasti ada cerita lain untuk diteruskan.