Les Criaturas - 12
PAST 5

Seekor rusa betina sedang melompat gembira. Sesekali dia meragut rumput di permukaan tanah. Ia menghampiri kawasan taburan buah yang gugur daripada pohon berdekatan dan mula menghidu sebelum menggigit buah yang hampir dengannya. Perbuatannya diperhatikan oleh susuk makhluk bermata merah. Makhluk Gelap Bersayap terbang laju menerkam rusa betina itu. Rusa betina meronta-ronta untuk menyelamatkan dirinya.

Tak!

Cubaan rusa betina berhasil tatkala kakinya berjaya menghentak leher Makhluk Gelap Bersayap. Walau tidak memudaratkan tetapi memberi kesan. Rusa betina melompat laju apabila menyedari Makhluk Gelap Bersayap terbang mengejarnya dari belakang. Ia semakin hampir dengan rusa tersebut namun pergerakannya terhenti disebabkan oleh jerat kayu dihadapannya. Makhluk Gelap Bersayap jatuh tersungkur ke bawah. Sayap kanannya sedikit luka. Ia menghela nafas hampa dan berkira-kira mahu pulang ke pondok Patimae. Kaki kirinya cuba diangkat.

Tap!

Grrh!

Bergema seisi hutan dengan ngauman Makhluk Gelap

Bersayap. Kaki kirinya tersemat di dalam cangkuk perangkap yang biasanya digunakan pemburu untuk memerangkap haiwan liar. Darah mulai membasahi lantai hutan. Ia cuba menarik kakinya keluar tetapi gagal. Cangkuk itu seperti sudah dijampi. Air matanya keluar sedikit demi sedikit.

Tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi yang mencurigakan. Ia mula berasa cemas dan sedaya upaya cuba bangun untuk mempertahankan dirinya walaupun terpaksa menahan sakit. Keadaan kembali sunyi. Makhluk Gelap Bersayap memejamkan mata. Segala deria yang ada cuba difokuskan supaya ia dapat menangkap sebarang bunyi di sekelilingnya.

Makhluk Gelap Bersayap menghembuskan kepulan api yang membakar hampir semua pokok berdekatan. Kekuatannya semakin lemah. Hembusan api memerlukan tenaga yang tinggi sedangkan kaki kirinya cedera teruk. Bunyi yang keluar dari mulutnya seakan-akan bunyi tanda menyerah diri.

Tiba-tiba ada satu susuk tubuh besar menghampirinya Empunya tubuh tersebut memilik fizikal yang gagah dan berbulu lebat. Kedua-dua belah tangannya yang pejal dan mantap diletakkan di atas tanah sambil matanya memandang Makhluk Gelap Bersayap dengan pandangan tajam.

Bodoh. Aku cuma mahu menolong engkau.