Georg Wilhelm Friedrich Hegel dilahirkan di Stuttgart, sebuah bandar di barat daya Jerman. Pendidikan universitinya dimulakan di Universiti Tubingen, yang tidak jauh dari Stuttgart dan merupakan sebuah institusi ternama pada waktu itu. Di sini Hegel berkawan rapat dengan dua orang lagi Friedrichs, iaitu Friedrich Holderlin(1770-1843) dan Friedrich von Schelling. Ketiga-tiga mereka akan menjadi tokoh penting dalam bidang masing-masing, Hegel dan Schelling dalam bidang falsafah, dan Holderlin dalam bidang sastera Romantisisme Jerman (dia merupakan seorang penyajak).
Hegel pada masa ini tidaklah menonjol sebagai seorang ahli akademik hebat, kerana pada masa ini Schelling , walaupun lima tahun lebih muda darinya, mula dahulu menonjol dalam bidang falsafah. Schelling pada usia yang muda dilantik menjadi pensyarah di Universiti Jena, manakala Hegel setakat menjadi tutor di beberapa bandar lain di Jerman. Universiti Jena pada ketika itu menjadi pusat paling terkenal dalam membincangkan falsafah Kant, dan institusi ini juga terdapat dua giant falsafah Kantian iaitu Karl Leonhard Reinhold (1757-1823) dan kemudiannya Fichte.
Schelling dan Hegel beberapa kali berkolaborasi dalam menghasilkan karya falsafah. Tetapi jalinan persahabatan mereka tidak kekal lama. Apabila Hegel mengeluarkan karya falsafahnya, terdapat satu bahagian dimana Schelling merasakan bahawa Hegel tujukan kepadanya (kira macam unmensi), dan Schelling terasa dengan perbuatan seseorang yang dia anggap sahabat, dan selepas kejadian ini, hubungan mereka terputus. Menariknya, Schelling juga turut mendakwa bahawa beberapa idea Schelling dicilok oleh Hegel dan dimasukkan kedalam falsafahnya. Aku tidak pasti bahagian mana yang dikatakan diambil dari Schelling. Hegel pula selepas karyanya Phenomenology of the Spirit, namanya melonjak naik dalam dunia falsafah dan menjadi ahli falsafah ulung di Jerman. Namun, hayatnya tidak sepanjang Schelling, setelah pemergian Hegel, Schelling yang masih hidup dan masih menjadi pensyarah , dan masih lagi menyimpan perasaan butthurt-nya menangkis poin-poin penting falsafah Hegel kepada murid-muridnya. Aku tak tahu dan tak pasti, cuma , mungkin usaha Schelling dalam menunjukkan kelemahan sistem Hegel sedikit sebanyak menyumbang kepada Idealisme Jerman dan terutama sekali sisi pandang Hegel yang pernah dilonjak dan dipuji kepada penamatnya. Namun benda ini bukanlah perkara unik dalam dunia falsafah. Sistem yang mempunyai kepincangan perlu diganti dengan yang lebih baik.
Sebelum pergi ke sistem Hegel, agak wajar juga untuk kembali melawat kritikan Schelling terhadap Kant untuk membantu kita melihat segi-segi kelemahan sistem Kant, kerana Hegel kemudiannya akan mula dari kelemahan-kelemahan ini. Schelling mengatakan, kategori-kategori yang membentuk stuktur pemahaman yang dirangka oleh Kant tidak diperolehi secara saintifik. Dari mana datangnya semua kategori ini, dan bagaimana mereka mendapat tempat. Schelling juga tidak bersetuju dengan Kant yang mengatakan noumena tidak boleh diketahui. Kalau tidak boleh diketahui dari mana kita mendapat ilmu ini Bagaimana mungkin manusia mendapat tahu mengenai sesuatu kalau ianya tidak mungkin untuk diketahui Schelling juga mnegkritik kegagalan sistem Kant untuk menjelaskan mengenai konsep seperti Tuhan, Alam dan Roh. Sistem Kant juga gagal memberi sebab kenapa wujudnya Alam ini, dan bukankah ini antara soalan-soalan penting yang ingin diselesaikan dalam falsafah Dan Kant pula sebelum ini dengan bangganya membuat deklarasi bahawa dia telah menyelesaikan falsafah.
Ok. Sekarang kita akan pergi kepada Hegel.
Hegel dalam buku ulungnya Phnomenologie des Geistes (Fenomenologi Minda/Semangat ataupun dalam Inggeris, Phenomenology of Spirit) cuba untuk mensasarkan kritikan-kritikan ini dan bercita-cita untuk mewujudkan sebuah sistem falsafah yang lengkap.
Satu pengakuan. Aku sendiri sangat susah untuk faham apa kejadah yang Hegel mahu sampaikan dalam buku ini. Hegel merupakan seorang penulis yang teruk dan repetitif (harap aku bukan begini). Penyampaiannya rumit, dan juga penggunaan terma-terma yang diberi maksud lain oleh nya. Pengetahuan aku mengenai Hegel datang dari syarahan-syarahan dalam kelas apabila kami belajar mengenai Hegel, serta dari profesor-profesor yang cuba beriya memujuk kami untuk memberi peluang kepada Hegel (namun rata-ratanya pelajar pada kali pertama memang akan gagal untuk bermesra dengan idea-ideanya). Selain dari kelas, sebuah karya yang Hegel hasilkan sendiri iaitu Prakata kepada buku Fenomenologi (yang juga agak panjang untuk dikatakan Prakata dan boleh saja berdiri sebagai sebuah buku lain) yang merumuskan idea-ideanya dapat membantu aku dalam memahami sedikit sebanyak apa benda yang hendak dia sampaikan. Namun buku-buku sekunder juga amatlah membantu aku untuk menampung pengetahuan mengenai Hegel.
Jadi, keep this in mind bila kau membaca rumusan aku mengenai idea Hegel, bahawa aku sendiri agak susah untuk menghadam idea Hegel.
Sedikit anekdot, salah satu sebab kenapa karya ini amat susah dihadam boleh juga diatributkan kepada proses penghasilan karya ini. Menariknya, Hegel yang pada masa itu, tidak seperti Schelling yang mempunyai kerjaya yang stabil (seorang pensyarah), mempunyai penerbit yang terletak di bandar lain dari mana dia menetap. Dan dia tidak mempunyai banyak pilihan untuk memilih penerbit. Tambahan pula, pada waktu itu, bukannya seperti sekarang yang mempunyai emel ataupun cloud/drive di mana kau boleh simpan penulisan kau dan kemudiannya hantar kepada penerbit, dan kedua-dua pihak, kau dan penerbit mempunyai salinan penulisan kau. Pada masa itu, salinan yang dihantar kepada penerbit merupakan satu-satunya salinan yang ada. Dan yang lebih pelik lagi, dan mungkin kerana Hegel tiada kuasa untuk menetapkan syarat yang lebih advantageous terhadapnya, dalam penghasilan Fenomenologi, Hegel tidak menghantar penulisannya sekaligus, namun menghantar bab demi bab melalui pos kepada penerbit tersebut.
Dan ini berlaku sepanjang tahun 1806. Maka Hegel, dalam menghabiskan karya ini, tidak mempunyai keistimewaan untuk menyemak atau membaca kembali apa yang telah dia tulis pada bab-bab lampau. Hegel hanya menerima salinan penuh dengan kesemua bab-bab pada Disember 1806, dan Prakata kepada Fenomenologi ditulis pada Januari tahun kemudian.
Satu lagi perkara penting yang berlaku pada ketika ini adalah perluasan kuasa Napoleon untuk menakluk Jerman, dikatakan ketika Hegel menulis karya ini, dia boleh mendengar bunyi ledakan bom dari tentera Napoleon . Jadi bolehlah difahami kenapa penyampaian buku Fenomenologi tidak se-rapi karya-karya ahli falsafah yang lain dan unapproachable untuk noob seperti aku.
Hegel , seperti yang sudah dikatakan sebelumnya, ingin mencipta sebuah sistem falsafah yang lengkap yang mengambil kira sejarah falsafah sejak zaman awal tamadun manusia sehinggalah kepada masanya. Jadi kau boleh nampak betapa besarnya cita-cita sistem falsafah Hegel ini. Hegel juga pada ketika itu terpaut dengan falsafah Idealisme dimana yang diberi penekanan ialah Subjek/ Ego. Idealisme meletakkan minda manusia sebagai sebuah daya aktif, berkeupayaan untuk menghasilkan persepsi mengenai objek. Yang penting disini adalah subjek itu sendiri, yakni aku.
Secara asasnya, Hegel, juga seperi Schelling tidak setuju dengan Kant yang mengatakan bahawa minda manusia mempunyai batas dan proses penaakulan tidak mungkin akan dapat tahu secara konkrit mahupun abstrak mengenai Tuhan, Alam dan Roh. Hegel menyoal, bagaimana falsafah boleh menjadi menyeluruh ataupun mempunyai ilmu mengenai keseluruhan jika kita diberi batas sebegitu Maka Hegel mengatakan bahawa kita tidak boleh hanya bergantung kepada struktur-struktur pemahaman Kant sahaja, kita perlu juga bergantung/ menggunakan struktur-struktur penaakulan (reason) yang Kant sebelumnya katakan sebagai membawa kepada nonsense.
Kant membezakan antara struktur asli pemahaman (pure forms of understanding, seperti asbab, masa, ruang) dengan struktur asli penaakulan ( pure reason). Yang kedua ini tidak boleh digunakan, atau jika digunakan, bukanlah ilmu pengetahuan yang menjadi hasilnya, hanyalah spekulasi-spekulasi yang tiada asas kukuh untuk dipercayai. Hanya yang pertama akan membawa kepada ilmu. Hegel mengatakan Nein! , kita boleh menggunakan kedua-duanya. Jika tidak, bagaimana hendak mempunyai akses kepada ilmu yang tertinggi Apalah falsafah jika tidak boleh menyingkap hijab ini dan menggapai ilmu tertinggi
Hegel bersetuju dengan Fichte dalam keperluan untuk menetapkan suatu prinsip asas yang tidak diragui untuk memulakan apa-apa sistem falsafah. Namun,Ego Mutlak (cadangan Fichte) tidak cukup. Sistem falsafah perlu mencari apa yang rasional dalam keseluruhan sejarah pemikiran manusia. Dan untuk ini, kita perlu melihat dan menilai kembali peradaban manusia terdahulu; dalam erti kata lain, kita erlu melihat sejarah. Hegel menggunakan terma seperti Vernunft (Penaakulan) , Geist ( Semangat/Minda/Ruh) dan Bewusstsein ( Kesedaran/conciousness). Hegel juga memperkenalkan teori yang digelar dialektik. Hegel mengatakan bahawa sejarah dunia dipandu oleh idea-idea atau Vernunft.
Penting disini bahawa Hegel juga dikenali sebagai Proclus Jerman, sempena pemikir dari Yunani Purba , Proclus yang obses dengan angka tiga dalam pemikirannya. Hegel memperkenalkan konsep dialektik yang mempunyai tiga peringkat; tesis, antitesis, dan sintesis dalam menjelaskan tentang kemajuan sesuatu. Sebagai contoh, dalam sejarah manusia, pada suatu era , satu tamadun manusia ataupun sebuah bangsa menjelmakan sesebuah idea atau semangat alam dan ini boleh dilihat dari peradaban mereka, binaan-binaan dan kepercayaan mereka. Namun pada awalnya , idea yang dijelmakan ini merupakan sesuatu yang berat sebelah, tidak seimbang, dan apa-apa yang tidak seimbang akan pasti jatuh. Dan mereka sebagai sebuah tamadun pun akan jatuh dan dari abu kumpulan manusia ini, muncullah sebuah lagi kumpulan manusia yang seterusnya akan menjelmakan idea yang bertentangan daripada kumpulan yang terdahulu (antitesis). Akhirnya perkara yang sama akan berlaku kerana ianya berat sebelah dan kitaran ini akan berlaku sehinggalah munculnya sekumpulan manusia yang menyatukan kedua-keduanya, atau melangkaui kedua-dua idea ini untuk menggapai suatu keseleruhan, dan ini dipanggil sebagai sintesis. Hanya pada tahap inilah kemerdekaan sebenar dapat dikecapi, untuk manusia sebagai individu, sebagai masyarakat dan sebagai sepsis. Dan ini dipanggil sebagai Semangat Absolut.
Namun, mereka-mereka yang wujud dalam zaman-zaman ini tidak menyedari akan idea yang dijelmakan/ dialektik . Seperti segalanya dalam sejarah, hanya jarak masa yang dapat memberi kita melihat dengan lebih luas dan memahami apa yang berlaku pada zaman dahulu. Hanya bila kita berada jauh dari masa dahulu boleh kita mempelajari dan menyedari Geist pada masa-masa tertentu (Zeitgeist). Kemuncak nya adalah zaman Hegel, iaitu Berlin pada 1821, dimana, bagi Hegel, sintesis sudah pun dicapai.
Hegel juga memperkenalkan konsep Entfremdung (pengasingan/Alienation) dalam sistemnya, dan ini berkait rapat dengan Marx nanti. Kau sudah lihat bagaimana dialektik diterangkan dalam sejarah sesebuah komuniti, tetapi dialektik juga berlaku pada skala individu. Sebagai contoh, pada mulanya, kau hanya menyedari akan kewujudan diri kau, yakni kau boleh mengatakan Aku. Kemudian, apabila datang objek, barulah kau mula menyedari kewujudan sesuatu yang bukan kau. Kau juga akan menyedari Aku yang tidak mempunyai sesebuah objek itu. Inilah contoh pengasingan yang disebut oleh Hegel. Kau menyedari terdapat sebuah objek yang terasing dari kau. Tahap terakhir adalah apabila kau yang selepas menyedari sesuatu yang kau tidak ada, akan cuba untuk melangkaui tahap ini dan memiliki objek/ situasi yang kau mahukan itu. Dan ini bukan hanya merujuk kepada objek fizikal, tetapi juga sesuatu yang abstrak seperti perasaan, mahupun cita-cita.
Sebuah contoh mudah (simplified), kau ingin menjadi seorang ahli politik. Pada mulanya kau menyedari adanya kau yang ingin menjadi seorang ahli politik. Tahap kedua, kau akan menyedari bahawa kau tidak mempunyai kriteria-kriteria untuk menjadi seorang ahli politik ( sebagai contoh kebolehan berlakon, keupayaan untuk menarik derma yang banyak, ataupun CGPA 3.85). Dan ini adalah dimana pengasingan berlaku, tetapi sebab kau sedar akan ini, kau akan cuba untuk memperolehi kebolehan-kebolehan ini dan akhirnya tahap sintesis, dimana kau akan disatukan dengan ciri-ciri seorang ahli politik yang hebat (di Malaysia). Maksudnya,kau hanya akan mampu untuk mengatasi, atau punyai perasaan untuk mengatasi perbezaan hanya apabila diri kau menyedari akan kewujudan kontradiksi ini, yang hasilnya dari perasaan pengasingan dari objek yang kau kekurangan. Namun begitu konsep pengasingan tidaklah begitu ditekankan dalam dialektik Hegel.
Cuma nanti, konsep pengasingan ini amat penting untuk kau lihat bagaimana Feuerbach dan Marx ambil dan kembangkan untuk mengkritik sistem ekonomi dan sistem kepercayaan, tapi itu untuk bab seterusnya.
Kau mungkin sudah diperkenalkan dengan terma Geist (Spirit/ Semangat). Geist ini adalah sesuatu seperti kesedaran umum (general consciousness) . Di alam ini ada suatu yang Hegel maksudkan sebagai Semangat yang Universal, namun manusia tidak menyedarinya pada awal peradaban. Manusia hanya tahu melabelkan Geist ini sebagai sesuatu yang asing darinya, seperti dilabelkan sebagai dewa-dewa , dan Tuhan. Kemudian manusia beralih dari mengatributkan kepada Tuhan kepada Alam, dan akhirnya, kemuncak peradaban dan falsafah manusia ialah apabila manusia menyedari bahawa dia adalah satu bahagian dari Semangat/ Geist yang universal itu . Tuhan ataupun alam ataupun mana-mana kuasa supernatural merupakan semangat manusia sendiri secara kolektif.
Antara sebab mengapa Hegel amat ikonik bagi falsafah moden kerana ahli falsafah selepasnya mengambil kritikannya terhadap agama, serta cubaannya untuk mencipta sistem falsafah yang sekular, yang tidak berpandukan Tuhan ataupun tradisi Kristian. Kritikannya dapat kau lihat pada konsep Pengasingan yang mana manusia meletakkan label Tuhan dan label-label keagamaan lain kepada sesuatu yang diterbitkan dari dirinya sendiri. Selain dari itu, kembali kepada konsep Geist ini tadi, manusia pada setiap peradaban cuba untuk mengkomunikasikan mengenai konsep Geist, dan ianya disalurkan dalam tiga bidang, iaitu aestetik (seni), agama dan falsafah. Kedua-dua bidang yang pertama ini hanya mampu mengkomunikasikan Geist pada tahap imejan, simbolik dan kata-kata sahaja. Hanya falsafah yang mampu menjelaskan Geist dengan sesempurna mungkin.
Namun Hegel, tidak seperti Kant yang menolak peri pentingnya fungsi sistem-sistem falsafah terdahulu. Seperti yang kau lihat dalam dialektiknya, benda yang lama perlu untuk mewujudkan benda yang baru, jadi sesuatu seperti sistem agama atau falsafah kuno, walau bagaimana tidak masuk akal sekalipun adalah sesuatu yang perlu dalam proses menuju kemajuan. Sistem yang primitif dan salah akan membawa ,walau bagaimana perlahan kemajuan kepada masyarakat tersebut. Namun, kadang-kadang, dalam proses kemjauan, tidak dapat dielakkan kemunculan sosok diktator yang akan menghasilkan pertumpahan darah. Hegel turut menjustifikasikan kewujudan sosok-sosok ini dalam sejarah kerana walaubagaimana sengsara pada masa itu, kewujudan mereka tetap diperlukan untuk membawa manusia secara kolektifnya meningkat maju dan mencapai kemerdekaan.
Dan dengan ini, Hegel dengan yakin mengisytiharkan bahawa sistemnya adalah sistem yang terulung sekali dan zamannya adalah kemuncak peradaban manusia. Tidak ada lagi sistem falsafah yang mencakupi atau bercita-cita tinggi seperti Hegel selepasnya. Hegel telah menyelesaikan masalah falsafah di minda manusia dan masyarakat dengan interpretasi dialektiknya.
Namun , benarkah Adakah kau berpuas hati dengan penjelasan Hegel
Seperti yang sudah aku sebutkan sebelumnya, sistem falsafah Hegel melonjakkan namanya dalam dunia akademia. Dia dilantik menjadi pensyarah di Universiti Jena dan kemudiannya Universiti Berlin, dimana kelas syarahannya menarik begitu ramai jumlah pelajar. Beberapa figura intelektual Jerman dan dari tempat lain pernah menghadiri salah sebuah kuliah Hegel. Para pelajarnya tekun menyalin syarahan-syarahan Hegel dan mengembangkan sistemnya.
Namun, sistem ini tidak bertahan lama. Ahli falsafah lain menjumpai kepincangan-kepincangan sistem Hegel. Kerana sistem falsafahnya membuat pernyataan-pernyataan gah dan cita-cita yang begitu tinggi, menyebabkan jatuh dari posisi itu maksudnya, sukar untuk dinaikkan semula. Namun tidka semuanya hilang dalam kejatuhan sistem falsafah Hegel. Seperti runtuhan sebuah mahligai yang unggul, serpihan-serpihannya masih boleh diambil dan digunakan semula. Dan inilah yang dibuat oleh tokoh-tokoh yang akan kita lihat dalam topik selepas ini.
Sumber Primer:
1. Esei Concept of Philosophy tulisan Hegel, diterjemah oleh T.M. Knox dan A.V. Miller (1987)
2. Esei Lectures on the Philosophy of World History. Introduction : Reason in History tulisan Hegel, diterjemah oleh H.B. Nisbet (1975)
Sumber Sekunder:
1. Hegels Concept of Geist sebuah tesis oleh R.C. Solomon (1970)
2. Continental Philosophy : A Critical Approach karya W.R. Schroeder (2005)
3. Modern Philosophy: An Introduction and Survey karya Roger Scruton ( 1994)