SANG PENGUASA - 12
Dalam bab ini, kita akan bicarakan kesukaran untuk menguasai Kerajaan Gereja. Kerajaan ini dapat dikuasai sama ada (1)melalui kekuatan sendiri ataupun (2)nasib yang baik. Tetapi untuk mempertahankannya, tidak boleh melalui kedua-dua cara tersebut. Kerajaan seperti ini dipelihara oleh peraturan-peraturan agama yang berkuasa sehingga penguasanya yang hidup dan memerintah macam mana sekalipun, tetap akan disokong dan dipertahankan. Penguasa Gereja mempunyai negaranya sendiri tetapi tidak melindunginya. Dia juga mempunyai rakyat sendiri, tetapi tidak mentadbir mereka. Walaupun negaranya tidak dilindungi, tiada siapa yang akan merampasnya. Subjeknya pula, walaupun tidak ditadbir, mereka masih tidak dapat mengasingkan diri mereka daripada penguasa. Justeru, Kerajaan Gereja ini adalah yang paling selamat dan aman.

Kerajaan ini dipelihara oleh kuasa tertinggi sehingga tidak terbayang oleh minda manusia. Saya tidak akan berbicara mengenainya. Ia dipelihara dan dimuliakan oleh Tuhan, maka berbahas berkenaan dengannya merupakan perlakuan yang tidak beradab.

Machiavelli Niccolo

Namun, sekiranya ada orang bertanya bagaimana Gereja mampu berkuasa setara itu Saya katakan, sejak Paus Alexander VI, ramai raja-raja dan Baron Itali memandang rendah terhadap potensi Gereja untuk menjadi kuasa sekular. Sekarang, Raja Perancis sendiri berasa gementar dengan kuasa itu. Alexander VI telah mengambil alih Itali dan memusnahkan Venetia.

Sebelum Raja Charles dari Perancis menyerang Itali pada tahun 1494, Itali diperintah oleh Paus, bangsa Venetia, Raja Naples, Duke Milan dan orang Florentines. Kuasa-kuasa ini hanya pentingkan dua perkara. Pertamanya, tiada kuasa asing yang akan memasuki Itali dengan pasukan tentera. Keduanya, tiada dalam kalangan mereka yang akan kembangkan wilayah. Pihak yang paling bermasalah adalah Paus dan bangsa Venetia. Untuk mengawasi Venetia, pihak-pihak lain perlu bersatu seperti yang berlaku untuk mempertahankan wilayah Ferrara.

Untuk menundukkan Paus, Baron-baron Rom dibahagikan kepada dua pasukan, iaitu Orsini dan Colonna dengan kedua-duanya menimbulkan kekacauan. Mereka juga memastikan Paus berada dalam keadaan lemah. Walaupun kadangkala munculnya Paus yang kuat seperti Sistus IV, tiada apa yang dapat dilakukan oleh Baron-baron tersebut. Pendeknya umur Paus adalah faktor sebenar kelemahan kuasa Paus. Dalam tempoh masa yang pendek, agak mustahil untuk menjatuhkan salah satu daripada pasukan tersebut. Sekiranya seorang Paus mampu menundukkan Colonna pun, akan ada pihak lain yang membantu Orsini. Ini merupakan sebab mengapa kuasa sekular Paus dipandang rendah di Itali.

Kemudian, Alexander VI menunjukkan bagaimana seorang Paus mampu berkuasa dengan pasukan tentera dan harta yang dimiliki. Dengan menggunakan Duke Valentino dan mengambil kesempatan ke atas kesilapan Perancis, Alexander VI mampu mencapai kejayaan yang pernah dicapai oleh Duke Milan. Walaupun matlamat Duke Milan bukan untuk meningkatkan kuasa Gereja, tetapi apa yang dilakukannya memberikan kuasa kepada Gereja. Selepas kematiannya, segala usaha dan keuntungan jatuh ke tangan Gereja.

Kemudian, Gereja telah pun kuat ketika Julius dilantik menjadi Paus. Gereja memiliki Romagna dan kuasa Baron-baron Rom telah pun menyusut. Alexander pun telah membuka sumber kewangan melalui kaedah yang tidak pernah dilakukan oleh Paus sebelum ini. Julius cuba untuk menaik taraf sistem yang telah sedia ada. Dia bercita-cita untuk mendapatkan Bologna, menghancurkan bangsa Venetia dan menghalau Perancis keluar dari Itali. Dia berjaya mencapai matlamat itu dan disanjung kerana telah memberikan kekuatan kepada Gereja.

Julius mengawasi Orsini dan Colonna supaya tidak bertindak di luar batasan. Walaupun terdapat dalam kalangan mereka yang melakukan kekacauan, Julius akan memastikan dua perkara ini teguh untuk mengekalkan perpaduan. Pertamanya, kekuatan Gereja yang akan memberikan ketakutan kepada mereka. Keduanya, tidak akan membenarkan kelompok mereka mempunyai Kardinal yang mampu memecahkan perpaduan mereka sendiri. Seterusnya, kekuasaan Gereja telah pun kuat pada waktu kepausan Leo.

Kebajikan Paus Leo telah menjadikan Gereja dihormati.