PERSEPSI TERBIAR SEPI - 12
ADA yang terkam saya dengan persepsi-persepsi yang boleh meruntuhkan tembok pendirian saya. Mereka; pembenci (haters) sebenarnya bilangannya tidaklah banyak berbanding yang berterusan memberi sokongan. Memang boleh kira. Satu dalam seribu. Cuma saya kecewa dengan jalan penilaian yang mereka pilih. Pandang, terus nak terkam. Lebih gemar menghukum berbanding memberi ruang.

Walaupun bilangan mereka adalah kecil, saya masih pandang mereka sebagai makhluk yang sepatutnya mencari tarbiah dari Allah untuk memperoleh kehidupan yang berkualiti. Saya berborak dengan diri sendiri. Kenapa dan apa hasil yang mereka dapat dengan menghukum saya sebagai itu dan ini Tidakkah mereka berasa malu untuk membicarakan sesuatu yang mereka sendiri tidak punyai hasil yang setanding Atau lebih baik daripada hal yang mereka pertikaikan

Salah satu perkara yang terjadi atas saya adalah ketika wujudnya beberapa orang yang melihat saya sebagai seorang yang menunjuk-nunjuk di laman sosial. Mereka menilai kejayaan-kejayaan yang saya kongsikan di akaun Facebook saya dengan kaca mata negatif. Katanya saya perasan diri sudah cukup hebat. Rasa diri bagus. Rasa diri betul. Aduhai... Sungguh, masyarakat kita semakin sakit. Melihat dengan iri, bukan dengan mata hati.

Sungguh kalau diberi ruang untuk saya menjelaskan, pasti salah faham boleh diselesaikan dengan cara yang matang. Kan indah kalau pertentangan dihiasi dengan sikap toleransi Untuk tujuan apa saya berbuat demikian pun mereka tak berkeinginan untuk bertanya, apatah lagi untuk mereka mengambil tahu kepayahan apakah yang telah saya tempuh sehingga mencapai kejayaan tersebut.

Ketika melihat kejayaan insan lain, cubalah untuk mendahulukan sangkaan baik pada percaturan Rab. Allah sudah bahagi bahagian masing-masing. Setiap satunya mesti bersebab. Dia tahu apa yang terbaik dan paling tepat untuk kehidupan kita semua. Jangan bongkar gali kelemahan orang-orang yang terpilih, sebab kita tak pernah tahu apa yang Allah pernah ambil daripada kehidupan mereka.

Mereka; pembenci ini, bukan mereka yang bagi saya makan. Duit simpanan saya segala-galanya saya peroleh daripada rezeki yang Rab hadiahkan setelah saya berusaha. Facebook adalah medium saya mencari rezeki setelah menjadi platform utama saya mencari saham akhirat. Mereka yang mendapat banyak manfaat daripada apa yang saya kongsikan di sana adalah saham saya di akhirat. Kebaikan abadi yang tercatat setelah matinya seorang insan adalah amal jariahnya. Untuk saya, adalah melalui kebaikan tulisan-tulisan yang saya tinggalkan.

Sampingan daripada itu, saya mendapat tempat dalam panggilan ceramah dan perkongsian motivasi hidup. Termasuk juga hadir sebagai jemputan, berbicara tentang dunia penulisan. Media utama sekarang adalah Facebook. Selain daripada itu adalah bahan bercetak seperti akhbar dan majalah. Bahasa ringkasnya, sebagai platform pemasaran diri dan karya.

Sejujurnya memang kebanyakan panggilan daripada pihak-pihak penganjur program di luar sana adalah bermula atau bersumberkan daripada pengikut (follower) saya di Facebook. Terutama setelah terbitnya buku ASAH (Allah Suruh Aku Hadam) yang jualannya agak memberangsangkan. Buku ASAH ini pun dapat dipromosikan melalui Facebook. Jualannya meningkat dari hari ke hari, bulan ke bulan setelah pemasaran yang dilakukan berterusan. Daripada situlah saya memperoleh wang simpanan untuk perbelanjaan makan minum dan keperluan saya.

Setiap panggilan ceramah dan motivasi pun ada bayarannya. Tak banyak, tapi cukup untuk saya berasa puas berkhidmat dan berusaha memenuhi keperluan dan kehendak sendiri. Tak bergantung pada orang lain. Saya dapat memanfaatkan tenaga muda saya. Menggunakan peluang yang saya ada pada jalan kebaikan. Dipandang penduduk bumi, diangkat penduduk langit. Itu doa tertinggi saya.

Kewangan hasil jualan buku pun begitu juga. Banyak mendorong saya untuk menjadi wanita yang berdikari sedari awal bergelar anak dan pelajar. Sampaikan kebanyakan masa saya terasa penuh dan jarang ada waktu untuk bersenang lenang. Saya rasa puas untuk itu. Apabila ada yang bertanya bagaimana saya boleh menguruskan banyak amanah pada usia begini, jawapan saya lebih kepada refleksi apa yang akan saya jawab di hadapan Allah ketika hari perhitungan kelak. Allah akan bertanya daripada setiap antara kita, Apakah yang telah kau lakukan ketika usia mudamu

Masa dekat mahsyar nanti, pemberi cela jugalah yang akan merangkak cari kita semula. Nak minta maaf. Tapi sudah tak boleh buat apa-apa. Lagi satu, cuba fikir, dekat sana nanti pun bukannya para pembenci ini yang akan tolong jawab segala soalan malaikat untuk kita. Tenang dan teruskan apa yang kita yakini baik pada pandangan Allah. Selagi tak langgar garis syarie, yakin sahaja Allah itu al-Waliy (Maha Melindungi). Persepsi lama-lama kan terbiar sepi.

Bukan mereka yang bagi makan. Bukan mereka yang bagi kita duit pun. Mereka; pembenci ini tak mahu ambil tahu pun betapa saya sendiri berasa malu untuk meminta-minta duit daripada umi dan abah. Melainkan umi dan abah yang bertanya terlebih dahulu dan terus hulur. Selagi saya rasakan cukup, saya takkan bergantung pada umi dan abah. Saya tak akan meminta melainkan benar-benar terdesak. Itu pegangan saya.

Bagi ruang untuk menjelaskan dan saling merasai kelapangan, bukan terus menghukum. Sentiasalah pasakkan dalam hati bahawa pemilik rezeki adalah Allah ar-Razzaq. Percaturan dia sentiasa cantik dan teratur. Oleh sebab manusia itu diciptakan sebaikbaik makhluk, akal yang dikurniakan menuntut kita untuk menggerakkannya pada jalan yang sepatutnya. Berusaha mencari rezeki Allah yang terlalu luas di muka bumi ini, bukan hanya tahu menadah.