Malu bertanya sesat di jalan, malu berdayung perahu hanyut.
- Peribahasa Melayu
Jam 3 petang, kami tiba di Jogjakarta, atau Yogyakarta. Kami melangkah keluar dari stesen. Ramai orang berpusu-pusu. Para manusia berpelukan dengan kenalan yang menunggu di stesen. Ada yang ke tandas, ada yang tercari-cari orang dan bermacam ragam lagi. Ketika itu jalan di luar stesen basah serta berlopak. Mungkin hujan baru berhenti untuk memberi ruang kepada kami agar mudah mencari tempat tinggal. Perjalanan 8 jam ternyata membuat punggungku kebas. Mujurlah ketika perjalanan tadi ada beberapa kali berhenti. Di kesempatan itulah para penumpang turun menikmati pemandangan, merokok dan menghilangkan segala ketidakselesaan akibat duduk terlalu lama. Ketika berhenti itu juga para penumpang dapat menikmati secawan kopi panas segera yang dijual penduduk tempatan. Mereka berpusu menghampiri gerabak keretapi untuk menjual minuman dan makanan ringan. Itulah yang berlaku sebelum kami tiba di Jogjakarta.
Udara Jogjakarta kami hirup sedalamnya. Sebuah destinasi baru, sebuah lembaran baru akan dihadapi. Destinasi hanya sebuah persinggahan untuk kita terus mengembara mengenal erti kehidupan. Manusia pada asalnya adalah pengembara. Sentiasa mengembara untuk belajar. Masakan boleh wujud kata-kata menuntut ilmu biarlah sampai ke negara China. Nabi Adam diturunkan ke bumi juga kena mengembara untuk mencari Hawa. Penghijrahan dan pengembaraan sememangnya lumrah kehidupan. Di dalam agama Islam sendiri menggalakkan mereka yang berkemampuan untuk membuat haji di Mekah. Ini supaya umat manusia belajar dari pengalaman hidup itu sendiri apabila mereka berada di suatu bumi yang asing. Mendalami diri sendiri dan apa perjuangan hidup mereka yang boleh dimanfaatkan kepada masyarakat berpaksikan kepada penghijrahan junjungan besar Rasulullah serta para anbia.
Malahan, agama lain juga menggalakkan pilgrimage. Kristian punya penghijrahan mereka sendiri. Antara jalanjalan penghijrahan mereka adalah Road to Santiago, Road to Rome dan Road to Jerusalem. Bagi umat Hindu mereka pergi mandi di Sungai Gangga di India bagi menyucikan diri. Penghijrahan itu memang lumrah manusia. Dalam pengertian hidup, kita akan mencapai satu anjakan paradigma untuk membawa perubahan dalam hidup dan ketika itulah kita mula mengembara. Warga Lembah Klang rata-ratanya adalah mereka yang berhijrah dari luar Lembah Klang untuk membawa perubahan dalam hidup. Kami mengembara ke sini untuk melihat dari suatu sudut perspektif yang berlainan.
Aku dan Haeri melangkah keluar dari pintu pagar stesen untuk ke Jalan Malioboro. Berjalan depan sedikit sahaja sudah kelihatan papan tanda Jalan Malioboro. Kawasan Jalan Malioboro adalah bandar lama bagi Jogjakarta. Mungkin konsepnya seperti Bangi di mana ada Bangi Lama dan Bandar Baru Bangi. Ramai mengesyorkan untuk tinggal di sini kerana banyak tempat penginapan murah serta penuh dengan kebudayaan setempat. Terdapat juga perkhidmatan delman yakni kenderaan berkuda untuk bersiar-siar di sekitar.
Di sekitar Jalan Malioboro, terdapat beberapa lorong kecil yang perlu dilalui untuk mencari tempat penginapan. Oleh kerana status Jogjakarta sebagai tempat tarikan pelancong, kelihatan ramai warga asing termasuk kami berdua berada di sini. Kebetulan pula sudah musim percutian akhir tahun. Ini menambah lagi longgokan manusia di sini. Setiap homestay, losmen (lodge), dan hotel yang kami tanya kebanyakannya sudah penuh. Kami masih berlegar-legar di sekitar lorong sempit penuh dengan lukisan-lukisan grafiti serta memuatkan banyak tempat penginapan.
Kalian mau ke mana tempik seorang pakcik yang keluar dari sebuah premis. Kami buat tak dengar saja kerana tidak mahu dipaksa menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan. Maklumlah dah beberapa kali terkena. Waduh, jangan sombong! Jika sesat bisa bertanya. Mampir ke tempat orang jangan sombong! teriaknya kali ini sambil menghampiri kami. Ambik! Kena sebijik sebuah tepekan yang menepek di hati kami. Rasa insecure gamaknya masih wujud di dalam hati.
Maafin kami pak. Kami mahu mencari homestay. Kebanyakannya udah penuh, aku membalas setelah terasa dengan tegurannya.
Waduh! Jangan malu bertanya. Sombong pastinya kesesatan di sini. Mari sini ikutin aku! tempik lagi pakcik tersebut lalu berjalan pergi. Kami berdua mengekorinya dari belakang seakan anak-anak yang menuruti gerak langkah bapanya. Setiap losmen dan homestay yang dilalui ditanya oleh pakcik berkenaan sehinggalah sampai ke suatu persimpangan yang menampakkan tulisan Hiasan Dewa Homestay.
Selamat sore buk! Masih punya bilik tempik dia kepada seorang wanita yang sedang mengelap meja di homestay berkenaan.
Iya, ada. Bisa masuk untuk melihat dulu, balas wanita itu tersenyum.
Huh! Mereka berdua ini malu dan udah sesat. Tercari-cari tempat penginapan! sekali lagi pakcik itu bersuara. Kami pula tersengih saja dan masuk mengikuti wanita tersebut untuk melihat bilik. Biliknya kecil sahaja dan cuma ada empat bilik untuk tetamu di premis dua tingkat itu. Di tingkat atas untuk tuan rumah dan pekerja barangkali. Tandasnya sekali dengan bilik. Terdapat sebuah tingkap bila dijengah menampakkan sebuah lorong kecil di mana orang lalu-lalang.
Berapa harganya mbak Haeri bertanya.
Rp100,000 aja. Asli mana wanita itu bertanya. Asli Malaysia, aku menjawab dan tersenyum.
Seraya itu, kami bersetuju untuk tinggal di situ. Barangan diletak di suatu sudut dalam bilik dan kembali menuju ke bahagian receptionist yang juga menempatkan meja-meja untuk penginap bersosial. Di hadapannya ada Hotel Merapi. Kami pun mengisi beberapa butiran untuk tinggal di situ. Seraya itu kami pun mendapatkan pakcik yang membawa kami tadi.
Makasih pak. Maafin dengan kelakuan kami sebelum ini. Ini sedikit saguhati, kami mengucapkan terima kasih sambil menghulurkan duit tip.
Enggak apa. Aku hanya mau menolong kalian. Ikhlas. Cuma lain kali jangan malu bertanya di tempat orang, dia menolak duit tersebut sambil memberi nasihat lagi. Kali ini suaranya dilembutkan.
Orang Malaysia ya Hahahaha! Udah kalah sama
Indonesia kemarin! tiba-tiba pakcik itu berseloroh membahan kami berdua sambil merujuk kepada kekalahan pasukan bolasepak Malaysia kepada Indonesia di dalam perlawanan separuh akhir Sukan SEA tempoh hari. Tawanya disambut hilai-tawa pakcik yang sedang menjual soto nasi di depan homestay berkenaan. Kami hanya mampu tersengih melihat gelagat mereka. Tak pasal-pasal kena bahan.
Hahaha! Gurau aja. Lagipun udah lama Indonesia tidak menang sama Malaysia, balasnya lagi seakan memujuk kami yang kena bahan.
Enggak apa. Adat sepakbola, ada menang ada kalah. Hehe, aku membalas sambil redha dibahan. Kemudian pakcik itu meminta diri meninggalkan kami di situ. Hiasan Dewa Homestay ini memang bercirikan Jawa di samping elemen Hindu juga kelihatan. Patung dewa-dewi menghiasi ruangan. Di tepi sebuah meja terdapat sebuah motor besar antik yang disyaki milik tuan punya homestay. Tergantung juga gambar Bob Marley di dinding batu-bata berwarna merah serta susunan botol-botol arak kosong. Ada juga sebuah televisyen kecil.
Pada petang menjelang senja ini kami duduk melepak hisap rokok saja di depan sambil menonton sinetron. Seorang mas bangun tidur dari celahan kaunter dan tersengih memandang kami. Terdapat iket di kepalanya. Iket adalah kain ikatan di kepala yang selalu orang Jawa pakai. Nama lainnya adalah totopong bagi suku Sunda dan udeng bagi suku Bali. Selepas itu kami dihampiri oleh seorang pakcik dengan susuk badan yang besar. Selamat sore. Asli Malaysia ya Nama saya Agus Susanto. Panggil aja Pak Agus. Yang ini isteri saya, Aria Prasdiwati, Pak Agus menegur memperkenalkan diri. Panggil aja bu Aria, balas ibu Aria yang berada dalam pelukan Pak Agus.
Selamat sore! Saya Faghuzi dan teman saya ini namanya Haeri, kami membalas perbualan itu.
Yang itu sepeda motor yang paling saya sayang.
Udah dibawa jelajah ke seluruh Indonesia. Sungguh nostalgik. Kalau mau meminjam artinya sama seperti mau meminjam isteri saya. Enggak bisa! Hahahaha! Pak Agus yang memeluk isterinya berseloroh memandang motornya tatkala melihat Haeri seakan kagum dengan motor tersebut. Kami juga turut ketawa bersama. Kelihatan tatu di lengannya juga walaupun Pak Agus berkulit sawo matang.
Bisa berbahasa Jawa tanya Pak Agus lagi. Maaf pak. Enggak bisa. Berbahasa Indonesia pun hanya dikit-dikit aja, kami membalas.
No problem! Enggak perlu gusar kerna bahasa kita ini serumpun. Dikit aja yang berbeda. Haha, katanya lagi sambil dia duduk di kerusi kaunter lalu mengadap komputer di depannya. Sebuah game flash dibuka Pak Agus sambil tangan kirinya memegang rokok kretek. Kuat bau kreteknya sehingga mencucuk lubang hidung kami.
Kalian santai aja dulu. Rehat dari perjalanan lama tadi. Buat seperti rumah sendiri. Saya punya misi perlu diselesaikan. Hehe, sekali lagi Pak Agus berseloroh sambil tangan kanannya menekan butang tetikus. Kami duduk merokok. Kelihatan seorang makcik dan anaknya duduk di meja sebelah menegur kami. Makcik itu memperkenalkan dirinya sebagai Bu Enya dan anaknya Gunawan. Berasal dari Jakarta dan ke sini untuk menghabiskan cuti panjang. Langit sudah mulai gelap. Kami meminta diri untuk masuk ke bilik bagi menyiapkan diri sebelum keluar makan malam.
Malam ini kami keluar untuk menikmati makanan Jogjakarta. Mungkin merasai masakan asli orang Jawa. Ingin merasai keasliannya. Kami menyusuri lorong-lorong kecil sempit seperti jalan tikus untuk ke jalan utama; Jalan Malioboro. Suasana malam itu agak meriah. Di kiri kanan jalan ada bermacam jualan. Dari cenderahati, kain batik, pakaian tradisional, makanan dan juga persembahan muzik tradisional seperti keroncong, jaipongan dan lain-lain. Seakan sebuah festival sedang berlangsung di sepanjang Jalan Malioboro. Jalan raya juga kelihatan sesak. Kami berjalan-jalan di sekitar kawasan berkenaan.
Kelibat pakcik menjual rokok dalam kotak disangkutkan ke bahu itu aku hampiri. Bekalan rokok sudah habis. Sekotak Marlboro berharga Rp17,000. Harga rokok di Indonesia berbeza-beza mengikut kawasan dan juga tempat kau membelinya. Untuk satu harga rokok yang tetap, disarankan membeli rokok di kedai serbaneka seperti Indomaret. Di Indomaret harga rokoknya sama di seluruh Indonesia iaitu Rp14,000 untuk sekotak Marlboro merah buat masa ini.
Setiap gerai yang dilalui kami tenung menunya. Harga-harga yang ditulis memang murah walaupun ramai mengatakan makanan di kawasan Malioboro adalah mahal kerana ia tempat tumpuan pelancong. Rambang mata kami. Para pemuzik jalanan juga memenuhi ruang di kiri kanan jalan. Sekali-sekala kami berhenti memerhatikan gelagat pemuzik jalanan sebelum kembali menapak mencari gerai. Kebanyakan gerai di sini tidak mempunyai kerusi. Hanya diletakkan meja dan pengunjung perlu duduk bersila atau bersimpuh untuk menikmati makanan.
Setelah puas berjalan akhirnya langkah kami terhenti di sebuah gerai yang kelihatan menarik di hati kami. Gerai lain ramai juga pengunjung cuma gerai ini menempatkan lebih banyak meja. Kebetulan memang ada meja yang kosong lalu kami membuka selipar dan duduk bersila di sini. Datang seorang perempuan dianggarkan berusia belasan tahun mengambil pesanan kami. Aku memesan nasi gudeg manakala Haeri memesan nasi bebek (itik) beserta sup buntut untuk kami berdua. Minuman yang dipesan hanya teh botol. Pada mulanya ingin memesan pecal lele atau ayam penyet. Tapi memikirkan masakan itu pernah dicuba di negara sendiri, kali ini ingin pula merasa masakan yang jarang dirasai. Lebih baik sekiranya kami menikmati masakan tradisional Jawa di Jogjakarta.
Sedang kami menunggu makanan kami sampai, kami didatangi oleh pemuzik-pemuzik jalanan yang bermain muzik untuk sesuap nasi. Beberapa lagu didendangkan dengan gitar tongnya sambil diiringi ketukan gendang buatan sendiri yang dipikul di bahu. Usai mereka mendendangkan lagu, kami tepuk tangan dan menghulurkan syiling kepada mereka. Wang kecil memang aku simpan siap-siap di dalam kocek bagi memudahkan urusan memberi tip, sedekah dan sebagainya. Selain itu, aku juga nak mengelakkan dari pening kepala tengok nombor kosong yang banyak dalam setiap helaian wang kertas Indonesia.
Sedang kami mengelamun di jalanan, cewek yang mengambil pesanan tadi datang meletakkan makanan dan minuman kami. Nasi bebek adalah nasi dengan itik goreng beserta sambal istimewa orang Jawa beserta ulam-ulaman. Nasi gudeg pula adalah nasi yang aku pun tak tahu macam mana nak terangkan. Tapi ada nasi putih, ayam goreng, tauhu, telur dan sambal goreng krecek. Sambal goreng krecek menggunakan kulit sapi atau lembu yang dipotong kecil dan disekalikan dengan tempe. Biasalah tu kalau masakan Jawa, mesti ada tempe. Air basuhan tangan juga diletakkan bersama. Sepinggan ulaman dan sambal diberi tanpa bayaran.
Kami pun mula menjamu selera. Keenakannya sukar digambarkan. Terpejam mataku di sebalik setiap kunyahan dalam mulut. Begitu juga dengan ekspresi Haeri. Aku rasa sungguh selesa makan di gerai tersebut sambil dikelilingi orang-orang tak dikenali. Suasana asing memang membawa satu erti yang istimewa. Baru hari tu aku lepak di mamak dan kini aku berada di Jogjakarta menikmati masakan asli orang Jawa. Padahal kawan aku kata kat Kampung Jawa tu ada je masakan Jawa yang sedap. Buat apa pergi jauhjauh. Ah aku dah sampai sini pun!
Usai menjamu selera kami berjalan lagi di sekitar. Masih ramai orang berpusu-pusu di jalanan tatkala waktu menunjukkan jam 10 malam. Kami hanya duduk di tepi memerhatikan persembahan muzik keroncong. Di sebalik kerancakan muzik yang dimainkan, terdapat beberapa orang tempatan menari di hadapan kumpulan yang memainkan muzik berkenaan. Mereka juga bermain di tepi lampu isyarat. Sekiranya lampu sedang merah, maka para pemandu yang tersangkut di lampu merah boleh menikmati seketika persembahan terbabit. Minah-minah bule juga turut sama menari mengikut rentak orang-orang tempatan. Aku dan Haeri pun turut serta namun oleh kerana kami tak pandai menari, ramai yang mentertawakan kami. Walau apa pun, mereka tetap memberikan tepukan setelah usai menari walaupun tak reti.