Aku suka pakai benda-benda limited yang orang lain tak pakai. Jenama seperti Columbia, Patagonia, Jack Wolfskin, Hurley dan bermacam-macam lagi.
Memang cuma boleh jumpa di bundle ketika itu. Aku memang suka menyelam bundle, kaki bundle tahulah istilah menyelam ini.
Rentetan daripada menjual di ekspo-ekspo, aku dapat peluang untuk membuka sebuah kedai jualan baju-baju bundle di Selayang. Kedai kecil sahaja berhampiran dengan Pasar Selayang. Aku kongsi dengan BS dan seorang lagi rakan, kami berkongsi modal untuk membayar sewa tapak. Sebenarnya, buka kedai bundle ini hanyalah alasan kami untuk ada tempat meletak barang. Maklum sajalah apabila banyak barang jualan, kau mesti kena ada tempat untuk menyimpan. Tapi ada bagusnya, pelanggan boleh datang dan lihat barang di kedai dan ia menjadi lebih mudah untuk mereka.
Aku tak menjual pakaian bundle berjenama Levis dan seangkatan dengannya. Tetapi kami fokus kepada pakaian berjenama untuk sukan outdoor seperti memancing dan mendaki bukit. Jenama-jenama seperti Columbia, First Down, The North Face, Patagonia dan sebagainya menjadi pilihan. Pada waktu itu, kami ada peminat tersendiri yang datang dari seluruh pelusuk tanah air. Mereka memang mahu mencari pakaian berjenama seperti ini. Bukan senang untuk mendapatkan stok, ada yang aku beli di eBay dan selebihnya ialah hasil selaman di kedai-kedai bundle seluruh Malaysia.
Perniagaan aku di sini tidak lama, aku rasa tak sampai setahun pun aku berniaga. Kami berpakat untuk menutup kedai ini atas faktor lokasi dan keuzuran kedainya.