TORA DATANG LAGI - 121
Mona Fandey atau nama sebenarnya Maznah Ismail adalah anak kelahiran Perlis dan merupakan salah seorang individu yang pernah menggemparkan Malaysia pada suatu masa dahulu dengan kes pembunuhan ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam, Mazlan Idris. Dia melakukan pembunuhan kejam tersebut bersama suaminya, Mohamad Nor Affandi Abdul Rahman dan pembantunya Juraimi Hassan.

Mona Fandey merupakan seorang dukun dan terlibat dengan pelbagai aktiviti-aktiviti spiritual.

Pelanggan Mona Fandey rataratanya datang daripada golongan atasan termasuk ahli politik yang mahukan khidmat mengukuhkan jawatan dan pangkat di dalam parti. Parti mana tidaklah pula diceritakan.

Mazlan Idris telah ditetak pada tengkuk, dikerat menjadi 18 bahagian dan ditanam di dalam tanah di bawah stor rumah Mona Fandey. Setelah dibicarakan di Mahkamah Tinggi Temerloh, mereka bertiga didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Pelbagai aktiviti mistik dan seram telah diceritakan sepanjang penahanan mereka sewaktu proses siasatan pembunuhan ini dilakukan.

Mona Fandey sering dijadikan sebagai salah satu bahan momokan ibu bapa selain daripada cara klasik iaitu menggunakan hantu. Pelbagai perilaku yang menyeramkan digambarkan ibu bapa bagi menakutkan kanak-kanak supaya lebih mendengar nasihat. Melihat wajah menyeramkannya yang sering terpampang pada dada-dada akhbar, mendatangkan perasaan risau yang amat sangat kepada setiap kanak-kanak yang degil mendengar cakap.

Kisah tentang Mona Fandey ini pernah dijadikan sebagai filem pendek oleh pengarah Amir Muhammad di dalam siri 6horts dengan tajuk Mona. Pada tahun 2006, sebuah filem arahan Dain Iskandar Said yang bertajuk Dukun juga dikatakan merujuk kepada kisah benar tentang Mona Fandey. Filem ini tidak pernah ditayangkan sehingga sekarang.

Sebelum menjadi dukun dan pembunuh, Mona Fandey pernah mencuba menjadi seorang penyanyi. Haram tak sedap mana suara dia. Kira tepat jugalah pilihan dia memilih karier dukun.