TORA DATANG LAGI - 122
Industri menjual secara bergerak untuk mencari pelanggan tersangatlah meluas dan mendapat permintaan yang tinggi pada satu masa. Antara faktor utama ianya mendapat sambutan mungkin kerana kebanyakan orang tidak mempunyai kenderaan untuk keluar pergi ke kedai dan faktor rumah yang jauh dari pekan.

Antara penjual bergerak yang popular adalah:

Penjual roti

Penjaja roti menjaja rotinya dengan menaiki sebuah motosikal dengan bekas logam di tempat duduk belakang. Bekas logam ini mempunyai pintu yang dapat dibukatutup. Ianya digunakan untuk menyimpan roti dan perasa roti seperti sekaya, planta, gula, jem dan lain-lain. Roti akan dibelah dua dan diletakkan perasa mengikut permintaan. Selain itu, roti-roti dari kilang telah siap disediakan degan perasa tertentu dan dipek turut dijual. Roti-roti ini digantung pada bahagian luar kotak logam supaya mudah dilihat kanakkanak.

Selain roti, makanan ringan seperti keropok dan coklat turut digantung bersama-sama dengan roti.

Kebanyakan penjaja roti adalah orang Sikh dan India. Ini sekaligus mewujudkan istilah seperti Benggali Roti.

Penjual sayur

Penjaja sayur menjaja sayur dan lain-lain bahan mentah dengan menggunakan lori kecil yang boleh dibuka dinding tepinya. Setiap barangan jualan seperti sayuran segar, sayur kering, daging, ikan serta makanan di dalam tin akan diasingkan mengikut jenis-jenisnya. Penjaja sayur akan melalui kawasan perumahan pada waktu yang sama setiap hari supaya pelanggan dapat mengetahui waktu untuk menunggu dan membeli.

Penjaja sayur turut meletakkan makanan ringan seperti keropok supaya dapat dibeli oleh ibu untuk anak-anak. Kebanyakan penjaja sayur adalah orang Cina. Lantas wujudnya gelaran Apek Sayur antara lain.

Penjual kuih pau

Sama seperti penjaja roti, penjaja kuih pau menyimpan kuih pau di dalam bekas logam pada bahagian tempat duduk belakang. Yang membezakannya adalah bekas logam kuih pau mempunyai pemanas. Kuih pau akan disusun bertingkat di dalam bekas logam tersebut mengikut inti. Antara inti yang sering dijual adalah sekaya, kacang merah, kelapa, daging dan ayam.

Kebanyakan penjaja kuih pau adalah orang Melayu.

Namun istilah Melayu kaki paw tidak ada kena mengena dengan kerjaya penjual pau.

Penjual cendol

Penjaja cendol menjaja cendol dengan menggunakan basikal yang telah diubah suai. Terdapat meja lengkap dengan mesin pengisar ais dan bumbung pada bahagian hadapan basikal mirip menyerupai seperti sebuah beca. Cendol, ais, santan dan gula Melaka disusun di atas meja pada hadapan basikal. Ais disimpan di dalam tong yang tertutup dan tidak dibiarkan terdedah kepada udara supaya tidak mencair. Selain dibungkus, sesetengah penjaja cendol turut membawa bersama mangkuk dan sudu untuk pelanggan yang mahu menikmati cendol secara in situ.

Kebanyakan penjaja cendol berketurunan mamak. Ya, seperti diduga wujudlah istilah Mamak Cendol.

Penjual aiskrim

Sama seperti penjaja roti dan kuih pau, penjual aiskrim menjual aiskrim dengan menggunakan motosikal. Berbeza dengan bekas logam kuih pau, bekas logam pada tempat duduk belakang penjual aiskrim mempunyai penyejuk supaya aiskrim kekal sejuk dan beku.

Selain menjual aiskrim yang siap dibuat di kilang, penjual aiskrim juga menjual aiskrim kon. Perisa aiskrim akan dipilih sendiri oleh pelanggan dan penjual aiskrim akan mencedok masuk aiskrim ke atas kon.

Serbuk kacang akan ditabur di atas aiskrim bagi mengimbangi rasa manis.

Penjual aiskrim ini terdiri dari pelbagai bangsa dan agak 1Malaysia.

Penjual sate ikan

Sama seperti penjual cendol, penjual sate ikan menggunakan basikal yang telah diubah suai. Terdapat bekas kaca pada bahagian depan basikalnya yang diletakkan tersusun cucukcucuk sate ikan. Di bahagian sebelahnya terletak satu dapur memanggang yang akan digunakan untuk memanggang sate ikan. Dapur memanggang ini menggunakan arang. Sate ikan hanya dipanggang apabila dipesan mengikut jumlah yang mahu dibeli.

Walaupun dengan hanya menggunakan basikal, penjual sate boleh dilihat cukup kuat mengayuh basikal pergi ke tempat yang berjarak jauh.