TORA DATANG LAGI - 123
Ketika waktu itu, jumlah pendapatan setiap keluarga rataratanya adalah sederhana dan cukup-cukup makan. Oleh kerana faktor kewangan dan pengangkutan, amatlah sukar untuk kanak-kanak dibawa jalan-jalan dan makan angin apabila tiba cuti sekolah. Jika pun hendak mengambil hati, mungkin pergi ke tempat-tempat yang berdekatan dengan rumah sahaja. Air terjun atau pantai misalannya. Walaupun sesetengah orang berkata baik ada dari tiada, kalau sudah tiap-tiap tahun pergi tempat sama, baik lagi duduk rumah main guli.

Memikirkan hal tersebut, pihak sekolah mengambil inisiatif dengan menganjurkan rombongan sekolah dengan menaiki bas.

Perkara ini selain bertujuan mengeratkan hubungan ibu bapa dan guru, ianya juga dapat memberi peluang kepada pelajar yang tidak berkemampuan pergi melancong ke tempat yang tidak pernah dikunjunginya.

Destinasi dan masa akan ditetapkan oleh pihak sekolah. Setelah bermesyuarat tentang rombongan, seorang cikgu akan diberi tugas untuk mengepalai rombongan tersebut beserta beberapa orang guru yang lain. Semua guru tadi akan diberikan tugas masing-masing seperti urusan sewa bas, tiket masuk, tempat tidur dan lain-lain lagi. Setelah semua urusan telah disiapkan, poster akan dikeluarkan dan ditampal di papan kenyataan. Poster ini akan diisi dengan maklumat lengkap tentang rombongan seperti tarikh rombongan, masa, bayaran, tempat-tempat dilawati dan tarikh tutup penyertaan.

Kesemua pelajar akan pulang ke rumah meminta izin untuk turut serta di dalam rombongan tersebut. Ketika itu, pelbagai ragam dan perangai dapat dilihat bagi mengambil hati ibu bapa masing-masing. Perkara ini perlu cepat kerana rombongan selalunya mempunyai had jumlah dan diberi keutamaan kepada siapa cepat dia dapat. Suruhlah buat apa sahaja, kucar-kacir masing-masing nak jadi anak yang baik. Lagi-lagi kalau makwe/pakwe idaman sudah pun membuat bayaran rombongan.

Ketika hari rombongan, ibu bapa akan menghantar anak masing-masing di perkarangan sekolah. Ada yang menangis ketika bersalam kerana tidak pernah berjauhan dengan ibu bapa mereka. Namun segalanya berubah apabila bas telah bergerak jauh dari kampung halaman masing-masing. Antara ragam akan dapat dilihat di dalam bas adalah seperti termuntah, mahu terkencing, mengganggu pelajar perempuan dan lain-lain lagi.

Setelah kembali pulang dari rombongan, setiap kanak-kanak akan membeli pelbagai cenderahati untuk dihadiahkan kepada kenalan. Pelbagai cerita akan dikongsikan kepada ibu bapa, adik beradik dan kawan-kawan yang tidak mengikuti rombongan. Mahu sampai seminggu juga nak habis dia punya cerita.