Pada tahun 1984, Sweet Charity muncul dengan mengetengahkan muzik hard rock. Sementara setahun kemudian, kumpulan Kembara muncul pada tahun
1985 dengan irama yang lebih keras. Tidak mahu terikut, Headwind muncul dengan irama yang lebih ke arah rock & roll.
Dalam tahun yang sama, kemunculan Search menjadi pemangkin kebangkitan irama rock di Malaysia. Pada tahun itu juga, siri Konsert Battle of the Bands anjuran Box Office telah menampilkan banyak nama-nama besar yang masih kecil pada ketika itu seperti Lefthanded, Bloodshed, Ella & The Boys, SYJ dan Rahim Maarof & Whitesteel.
Pada tahun 1986, ekoran dari sebuah rusuhan di Tapak Pesta Pulau Pinang, konsert rock diharamkan di Malaysia. Dalam tahun yang sama juga muncul MAY dan DFebian. Setahun kemudian, muncul pula XPDC, Bumiputra Rockers, Wings, Rusty Blade, Hattan dan tahun berikutnya pula adalah tahun Desire, Junction, Medicine, Gersang dan Handy Black.
Sementara itu, secara senyap-senyap, scene underground telah pun dimulakan oleh Kuyie dan dinaikkan oleh Joe Kidd dan lain-lain komuniti di negeri lain.
Awal 90-an, secara tiba-tiba di celah kegilaan orang ramai kepada muzik yang dipanggil rock kapak, muncul satu lagi cabang baru muzik di dalam industri muzik Malaysia iaitu Rap (Hip hop). Nama seperti KRU, 4U2C, Nico dan Feminin mula bermain dibibir. Namun sewaktu pertengahan 90-an, kumpulan-kumpulan ini tadi mula menukar arah tuju kepada lagu-lagu yang lebih balada. Kejayaan 4U2C mula membuka jalan kepada kumpulan lain seperti Kool, A to Z dan 2by2 sementara kejayaan Feminin pula membuka jalan kumpulan perempuan lain seperti Res2, Msteen, Freshies dan Elite.
Dalam tahun yang sama, pergerakan yang telah dimulakan oleh Kuyie dan rakan-rakan dahulu telah melahirkan muzik alternative, grunge, metal, indie, punk, oi!, reggae dan hardcore dari jiwa anak-anak muda yang hebat seperti OAG, Spiral Kinetic Circus, Koffin Kanser, Carburetor Dung, Butterfingers, Nemesis, Republic of Brickfields, The Pilgrims, ACAB dan banyak lagi kugiran yang bergerak secara underground dan tidak diketahui umum.
Entah dari mana, secara tiba-tiba muncul muzik cinta leleh yang menagih kasih wanita menenggelamkan terus kegemilangan muzik rap. Antara kumpulan yang popular adalah Exists, Spoon, Slam, Scan, Scoin, Sting, Sup, Fotograf dan bermacam S lagi. Dengan seleksi lagu-lagu yang sangat mendapat tempat di hati orang Melayu, carta-carta lagu terus dipelopori lagu-lagu dari jenis begini.
Sedang masyarakat tenggelam dalam lagu-lagu jiwang karat, masyarakat yang lebih terbuka akal fikirannya memilih untuk mendengar kumpulan-kumpulan pop dari Barat seperti Backstreet Boys, Nsync, Five, Westlife, Boyzone dan juga artis wanita seperti Britney Spears dan Christina Aguilera.
Tiba penghujung 90-an adalah gelombang kedua rap muncul. Istilah rap pada ketika ini telah digantikan dengan hip hop. Artis-artis seperti Too Phat, Poetic Ammo, Teh Tarik Crew dan Reefa telah membuka lembaran muzik hip hop termasuk juga fesyennya yang menjadi ikut-ikutan anak muda.