Mencari Kiblat Cinta - 13
Naufal, habiskan nasi ni dulu. Susah payah kakak masak! Panggilnya dengan suara lantang. Geram sungguh hatinya melayan kedegilan Naufal yang semakin menjadi-jadi. Sejak ibunya jatuh sakit, Naufal semakin berani membuat onar yang memeningkan dirinya.

Kata doktor, umi Nira kena tinggal di hospital buat sementara waktu. Doktor nak pastikan tentang penyakitnya. Kata Zaharah ketika singgah di rumahnya petang itu.

Teruk ke sakit umi tu aunty

Zaharah terdiam. Wanita itu kelihatan serba salah mahu menjelaskannya.

Entahlah Nira, aunty pun tak tahu. Tapi aunty akan berusaha bantu ubati penyakit umi Nira. Nira jangan bimbang ya sayang. Pujuk wanita itu lagi.

Dia hanya mampu membisu. Kebimbangan mula bersarang di jiwa. Meskipun dia masih muda, namun dia bukannya bodoh untuk mengetahui riak yang terukir di wajah Zaharah bagaikan menyembunyikan sesuatu. Apakah sakit uminya benar-benar teruk

Petang itu dia berkeras mahu mengikut Zaharah melawat ibunya di hospital. Naufal dibawanya bersama. Sebaik melihat kelibat ibunya, Naufal tidak dapat menahan perasaan gembira. Pantas anak itu meluru lalu memeluk wanita di hadapannya.

Ibunya kelihatan terkejut. Serentak wanita itu menolak tubuh kecil Naufal menyebabkan Naufal nyaris tersungkur. Mujurlah Zaharah ada di belakang dan sempat menyambut tubuh anak itu. Dia sendiri tergaman melihat apa yang berlaku.

Lia, kenapa dengan kau ni Ini anak kau Naufal. Nira pun ada datang sekali. Ujar Zaharah sambil mengusap-gusap kepala Naufal yang masih terkejut diperlakukan sedemikian rupa.

Anak Ibunya memandang tepat ke arah Naufal yang diam membisu di sisi Zaharah. Seketika mata wanita itu beralih ke arahnya yang berdiri di belakang Naufal. Sepasang mata cengkung milik ibunya tertumpu lama ke wajahnya, sebelum kembali ke wajah Naufal. Sejurus kemudian, wanita itu menggelengkan kepalanya.

Aku tak kenal! Aku tak kenal mereka! Jerit ibunya dengan nafas tercungap-cungap. Melihat keadaan ibunya, hatinya serta-merta dirundung sayu. Rupa ibunya yang pucat lesi dan kurus cengkung, membuatkan airmatanya mula membirai di kelopak mata.

Puan Zaharah, doktor pesan suruh puan ke biliknya. Sapa seorang jururawat yang tiba-tiba muncul di muka pintu. Zaharah mengangguk. Mata wanita itu segera beralih ke arahnya.

Aunty nak jumpa doktor sekejap. Nira dan Naufal tunggu di sini ya. Kejap lagi aunty datang semula. Ujar Zaharah sebelum terburu-buru keluar dari bilik itu. Dia menghantar pemergian wanita itu dengan ekor matanya. Seketika matanya dikalihkan ke arah Naufal yang turut memandangnya dengan riak wajah resah.

Naufal, kakak nak keluar sekejap beli air. Naufal tunggu sini temankan umi ya. Pintanya. Naufal pantas memandangnya. Kepala anak itu digelengkan.

Tak mahulah kak. Naufal takut tengok umi, Naufal nak ikut kakak. Ujar Naufal seraya menjeling ke arah wanita yang sedang termenung jauh di atas katil.

Apa Naufal cakap ni Umi kan ibu kita. Dia yang jaga kakak dengan Naufal selama ini. Sampai hati Naufal cakap macam tu. Marahnya. Matanya sengaja dijegilkan besar-besar ke arah anak kecil itu.

Sudah! Kakak tak mahu Naufal cakap macam tu lagi. Tunggu kat sini, kakak pergi sekejap aje. Dia segera melangkah keluar meninggalkan Naufal bersendirian bersama ibunya.

Langkahnya dihela ke arah bilik doktor yang terletak berhampiran dengan wad ibunya. Sewaktu dia mengikut Zaharah tadi, wanita itu ada mengetuk pintu bilik itu untuk bertemu seorang doktor bernama Azlan. Agaknya aunty Zaharah ada kat situ, bisik hati kecilnya.

Perlahan-lahan dia menolak daun pintu yang sedikit renggang. Dari luar, dia mengintai kelibat Zaharah yang sedang berbual-bual dengan seorang doktor muda berkaca mata. Tiba-tiba hatinya tergerak mahu mengikuti perbualan tersebut.

Saya tak faham doktor. Doktor kata penyakit dimentia ni hanya dihidapi oleh golongan berusia 65 tahun ke atas. Tapi Zahlia baru berusia 35 tahun. Dia masih muda doktor. Suara Zaharah jelas kedengaran.

Memang kebanyakan kes dimentia begitulah, puan. Tapi golongan yang lebih muda juga tidak terlepas dari penyakit ni. Penyakit ini kita panggil pre-senile dimentia. Dimentia ni sebenarnya adalah sebahagian dari proses penuaan. Semua golongan yang berusia 20 tahun akan mula mengalami proses kematian sel otak dan ini akan menyebabkan otak mula mengecut. Lebih cepat sel-sel otak mati, maka lebih cepatlah pesakit terdedah kepada dimentia. Jelas Doktor Azlan.

Saya dah jalankan Abreviated Mental Test Score terhadap Puan Zahlia. Ujian soal selidik ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap mental pesakit secara umum, dengan menyoal pesakit tentang maklumat-maklumat tentang kehidupan di sekitar mereka. Dan saya dapati ada banyak benda yang tidak dapat dijawab oleh Puan Zahlia. Tindakbalas beliau terhadap ujian ini juga amat pasif. Saya juga dah jalankan ujian CT dan EEG dan saya dapati berlaku penurunan dari segi kewujudan gelombang di otak Puan Zahlia. Ini menyakinkan saya yang Puan Zahlia mungkin mengidap dimentia. Sambung doktor itu.

bersambung

Bab akan datang:

Apakah yanga akn dilakukan oleh doktor untuk mengubati penyakit Puan Zahlia