TORA DATANG LAGI - 13
Sejenis permainan menyerupai spring yang diperbuat dari plastik dan berwarna-warni. Banyak dijual di pasar malam dengan harga antara RM5 hingga RM10. Tidak diketahui sama ada spring warna-warni ini dicipta sebagai permainan ataupun hiasan pada awalnya.

Terdapat pelbagai cara untuk dimainkan. Antara yang popular adalah:

Spring dilepas turun menerusi anak tangga dan spring akan menganjal turun seperti gerakan seekor pacat, tanpa henti sehinggalah habis anak tangga.

Spring digenggam dengan kedua belah genggaman tangan mengadap ke atas dan tangan dinaik turun saling bersilang atas bawahnya.

Spring digenggam dengan kedua belah tangan dan sebelah tangan dihayun seperti mengocak daun terup.

Spring digenggam sebelah tangan dan bahagian lain spring dibiarkan di lantai. Spring akan dihenjut ke atas ke bawah.

Walaupun nampak ketara kebosanan permainan spring warna-warni ini, percayalah permainan ini sememangnya pernah menjadi kegilaan semua orang suatu masa dahulu. Selain digunakan untuk bermain, spring ini juga dijadikan sebagai tempat meletak alat tulis, sudu garfu ataupun disusun di kabinet televisyen sekadar untuk dijadikan hiasan.

Antara perkara paling neraka sekali tentang spring warnawarni ini ialah jika spring ini tersimpul. Spring yang bersimpul amatlah sukar untuk diuraikan. Jika pun berjaya, spring tadi mungkin sudah tidak berupa spring.