Dilahirkan di Landshut, Jerman pada 1804, Ludwig Andreas Feuerbach dilahirkan dalam keluarga yang stabil kewangannya, kerana ayahnya seorang ahli akademik dalam bidang undang-undang . Feuerbach pada mulanya belajar teologi di universiti, namun berubah arah apabila memilih untuk belajar falsafah di Berlin. Gurunya adalah ahli falsafah paling meletop pada masa itu, tidak lain tidak bukan, Hegel. Namun Feuerbach tidak menurut idea Hegel dengan taat, hanya mengambil beberapa aspek penting yang kemudiannya dia kembangkan.
Feuerbach menjadi seorang yang kritis terhadap agama dan sistem pentadbiran yang pada masa itu masih mengekalkan sistem monarki. Pandangan dogmatik amat inheren dalam sistem pentadbiran dan sistem gereja dan kebebasan bersuara disekat menjadikan agak sukar untuk ahli akademik mengkritik secara terus institusi monarki. Oleh itu, kebanyakan ahli akademik berhala kiri mensasarkan kritikan mereka terhadap institusi gereja. Feuerbach mengkritik sistem Hegel yang baginya , walaupun sekular, tapi masih mengekalkan tema-tema keagamaan. Feuerbach merasakan Hegel tidak berani dengan lantang memisahkan terus falsafah dari ciri-ciri keagamaan. Feuerbach mengambil aspek Entfremdung dari Hegel iaitu dimana manusia meletakkan sesuatu dari esennya sendiri kepada objek luaran. Dalam interpretasi Feuerbach, manusia telah meletakkan ciri-ciri manusia namun yang diperbesar-besarkan kepada sebuah objek luaran, iaitu Tuhan, namun tanpa disedari, objek luaran (Tuhan) itu adalah manusia sendiri.
Pengetahuan mengenai Tuhan adalah sebenarnya pengetahuan mengenai diri sendiri bagi manusia, tanggapan manusia mengenai dirinya adalah tanggapannya mengenai Tuhan, sama seperti tanggapannya mengenai Tuhan adalah tanggapannya mengenai dirinya sendiri - kedua-duanya adalah sama
Ini adalah kerana, kata Feuerbach, setiap objek mempunyai kesedaran (conciousness, konsep yang diambil dari Hegel). Dalam objek-objek yang boleh dialami oleh pancaindera,iaitu objek-objek yang diluar dari diri, kesedaran objek tersebut boleh dibezakan dengan kesedaran diri. Kesedaran objek tersebut berada diluar dari diri. Namun bagaimana pula objek-objek agama Feuerbach mengatakan objek-objek agama wujud hanya dalam diri manusia, maka kesedaran objek agama adalah kesedaran diri manusia sendiri.
Manusia memberikan Tuhan ciri-ciri sebagai yang paling agung, yang paling berkuasa dan lain-lain , namun itu semua adalah ciri-ciri manusia sendiri yang telah ditinggikan (exaggerated). Maka manusia menerbitkan ciri-ciri ini kepada sebuah objek luaran, iaitu objek-objek agama; Tuhan/Dewa.
Namun, masalahnya disini apabila manusia tidak menyedari akan hal ini. Setiap yang mempercayai Tuhan tidak sedar bahawa Tuhan yang disembah merupakan aspek dari dirinya sendiri. Maka tugas falsafah bagi Feuerbach adalah untuk membangunkan manusia dari mempercayai ilusi yang mereka sendiri cipta. Pada zaman Feuerbach, kritikan terhadap agama tidak dipandang dengan begitu serius seperti pada zaman Hume ataupun Kant beberapa dekad sebelumnya. Malahan, Feuerbach bukanlah yang pertama menulis kritikan ataupun polemik terhadap agama Kristian. Namun, buku Feuerbach, Das Wesen Des Christenthums ( Intipati Agama Kristian / The Essence of Christianity) memberi impak yang mendalam kepada sosok seterusnya yang aku bincangkan, terutama sekali konsep Entfremdung yang sosok ini akan serapkan dalam sistem falsafahnya.
Antara kritikan-kritikan terhadap Hegel, selain daripada sistem falsafahnya yang masih mengekalkan tema-tema keagamaan yang tiada asas kukuh, para pengkritik mengatakan bahawa sistem falsafah Hegel terlalu grand tetapi tidak mampu untuk menyelesaikan masalah nyata yang dihadapi oleh masyarakat. Walaupun sistem falsafah Hegel mengakui mengenai berlakunya penindasan terhadap sesetengah golongan manusia, dan perbezaan kekayaan yang ketara, namun Hegel tidak menyediakan jawapan untuk isu-isu ini.
Disinilah munculnya Karl Marx, seorang yang walaupun bukan murid Hegel, namun sedikit sebanyak terpengaruh dan dikaitkan dengan gerakan yang digelar Die Junghegelianer (Pemuda Hegelian/ Young Hegelians) seperti Feuerbach. Karl Marx dilahirkan pada tahun 1818 di sebuah bandar tertua di Jerman, iaitu Trier . Marx mendapat pendidikan universiti di universiti Bonn dan belajar jurusan undang-undang. Namun apabila di Berlin, dan Berlin pada masa ini merupakan bandar tumpuan ahli falsafah (disinilah Hegel dan kemudiannya Schelling mengajar), Marx beralih arah kepada bidang falsafah. Disini juga Marx mendapat pendedahan kepada idea Feuerbach. Namun begitu, Marx yang terlibat dengan politik radikal tidak diberi jawatan akademik di mana-mana universiti. Dan Marx memang seorang yang radikal dalam politiknya.
Marx dengan lantang mengkritik autoriti melalui sebuah akhbar dimana dia menjadi penyunting, di bandar Cologne sehinggakan akhbar tersebut ditutup dan diharamkan oleh pemerintah. Marx meninggalkan Jerman (pada ketika itu masih dikenali sebagai Prussia) dan berpindah ke Perancis. Dalam biografi yang ditulis Engels, perpindahan ini juga dicetus kerana Marx ingin mendalami bidang politikal ekonomi, sebuah ilmu sains yang mengkaji ekonomi dan politik, namun ilmu ini tidak didapati di Prussia. Setelah meninggalkan Prussia, Marx memulakan hidup nomadik nya berpindah antara Paris, Brussels di Belgium dan akhirnya menetap di London sehinggalah kematiannya. Sebab perpindahan yang kerap ini adalah disebabkan dirinya dibuang (exiled) oleh kerana pandangan politiknya. Di Parislah Marx bertemu dengan Engels dan bermulalah sebuah persahabatan dan juga kolaborasi antara dua tokoh sosialis ini. Jika aku dibenarkan untuk membuat persamaan, hubungan mereka berdua persis seperti hubungan diantara Musa dan Harun, dengan Engels sebagai Harun kepada Marx. Kerana Engels merupakan bukan sahaja seorang yang mana Marx bertukar-tukar fikiran sehingga menghasilkan bersama beberapa jumlah buku, tetapi juga pada beberapa ketika menjadi pembantu dari segi kewangan kepada Marx. Engels yang bertanggungjawab menjadi St. Paul kepada Marx dalam menyebarkan dakyah sosialisme-nya dan teori material ekonomik Marx kepada orang ramai( ok aku akan berhenti dengan contoh agama Semitik). Di Berlin, untuk meraikan dua tokoh pemikiran komunis, terdapat sebuah patung Marx dan Engels, dengan Marx dalam keadaan duduk dan kedua tangannya diatas lutut, dan Engels setia berdiri disebelahnya, sebuah pernyataan betapa pentingnya fungsi Engels kepada Marx.
Marx apabila di London, menggunakan kesempatan itu untuk mencari segala penulisan berkaitan dengan politikal ekonomi di arkib Museum British dan hasil daripada bertahun-tahun pengajian dalam bidang tersebut di Paris, Brussels dan London, Marx mengeluarkan buku berjudul Das Kapital dan buku ini dihasilkan bersama Engels (ofcourse).
Marx dan Engels bukan setakat armchair academics (akademik kerusi duduk), kerana mereka turut terlibat aktif dalam komuniti mereka, di kesemua bandar yang mereka menetap. Di Brussels, sebagai contoh, Marx dan Engels giat beraktivis dalam organisasi pekerja-pekerja Jerman serta melibatkan diri dalam aktiviti komunisme yang rata-ratanya masih underground di Brussels pada ketika itu. Begitu juga di London, apabila Marx antara orang penting yang membentuk Persatuan Antarabangsa Para Pekerja atau lebih dikenali sebagai First International.
Aku sudah sebutkan awalnya bahawa falsafah Marx merupakan sedikit sebanyak reaksi terhadap Hegel. Jika memori kau masih bagus, Hegel menekankan konsep dialektik dalam sistem falsafahnya, dan mengatakan bahawa Geist yang universal merupakan perkara yang asas dalam sistem falsafah. Namun, Marx mengatakan bahawa pengetahuan mengenai ini tidak dapat membantu dalam membetulkan kesilapan-kesilapan sistem yang nyata dilihat pada zamannya.
Kepincangan sistem yang paling nyata bagi Marx adalah penindasan terhadap kaum pekerja oleh kaum borjuis. Kaum borjuis telah memisahkan produk-produk atau hasil titik peluh kaum pekerja daripada pekerja sendiri, dan inilah yang dikatakan Entfremdung (Pengasingan/ Alienation) ( sebuah konsep Hegelian yang dikembangkan oleh Feuerbach). Kaum pekerja ditindas dalam dua cara ; pertama, kaum pekerja yang berusaha berpenat lelah menghasilkan sesuatu namun hasil itu tidak mereka nikmati/ ditarik dari mereka oleh borjuis untuk menjadi jualan, dan/ataupun keuntungan dari hasil itu tidak sepenuhnya kembali kepada kaum pekerja; dan kedua, kaum pekerja menghasilkan produk yang mereka sendiri bukan inginkan; bukan atas kehendak mereka, mereka terpaksa menghasilkan produk itu atas kemahuan borjuis. Maka proses penghasilan produk yang repetitif dan fakta dimana mereka membuat sesuatu yang bukan mereka kehendaki, menguatkan lagi pengasingan kaum bekerja dari bakat dan kehendak mereka sendiri. Pengasingan mengurangkan kemanusiaan seseorang dan bagi Marx, tiada siapa di muka bumi ini patut diperlakukan sedemikian. Maka Marx memanggil kepada revolusi pekerja untuk membetulkan keadaan ini.
Marx juga mengambil prinsip dialektik Hegel, dan mengatakan apa-apa sistem yang tidak seimbang ataupun berat sebelah, akan jatuh juga akhirnya. Dalam sistem Hegelian, Hegel tidak secara spesifik menunjukkan mengenai konflik antara kelas atau mengaitkan dengan ekonomi, tetapi material dialektik Marx secara spesifik menjelaskan pertembungan sistem kapitalis dengan sistem sosialisme. Apa yang material didalam falsafah Marx, mungkin kau tertanya Matter dalam falsafah ini bukan lah jisim fizikal per se, namun yang dimaksudkan material dalam dialektik Marx adalah tenaga manusia dan produk yang dihasilkan. Aktiviti-aktiviti manusia yang bertanggungjawab membina dunia manusia.
Aktiviti-aktiviti manusia yang menggerakkan manusia untuk hidup bermasyarakat. Namun pembahagian kerja yang terhasil apabila adanya kaum borjuis yang menindas menyebabkan berlakunya konflik antara kelas. Dan Marx secara jelas bukan hanya menceritakan konflik antara kaum kapitalis - kaum pekerja, tetapi juga menceritakan mengenai penindasan kelas terhadap kaum wanita dan kanak-kanak. Malah dalam Das Kapital, Marx menjelaskan bahawa sistem kapitalisme lebih merugikan dan lebih menindas terhadap kaum wanita dan kanak-kanak, dimana hasil kerja mereka tidak diberi pulangan setimpal. Marxisme merupakan antara padangan falsafah yang mempunyai tren feminis yang terawal di Eropah Barat (Dan sebab inilah amat pelik sekali jika terdapat lelaki-lelaki di luar sana yang mengakui dirinya Marxist tetapi pada masa yang sama menolak feminisme atau lebih teruk lagi, mengakui berlakunya ketidakadilan gender).
Marx banyak menyumbang bukan sahaja dalam bidang falsafah, tetapi juga dalam sains sosial dan ekonomi. Marx antara yang pertama menjelaskan secara saintifik hubungan ekonomi antara kaum atasan dan kaum pekerja. Kemunculan diskusi Marx amat penting dalam mendedahkan kepincangan sistem kapitalisme. Marx juga membuka ruang kepada jaringan falsafah kiri untuk lebih dibincangkan dan mendapat tempat dalam perbincangan falsafah. Marx mengkritik sistem falsafah yang tidak dapat dizahirkan kepada praktikal, dalam erti kata lain, apalah gunanya falsafah namun tidak dapat menyelesaikan masalah nyata yang dialami oleh masyarakat awam di luar sana Sumbangan-sumbangan ini tidak dapat dipandang tepi walaupun kau tidak bersetuju dengan Marxisme sebagai sebuah sistem politik mahupun ekonomi.
Dan aku taknak lah dicop sebagai fangirl Marx maka aku ingin juga persembahkan beberapa kritikan terhadap Marx. Antara yang paling penting adalah jangkaan Marx bahawa sistem kapitalisme akan jatuh juga akhirnya, dimana kita setelah lebih seratus tahun selepas kematian Marx melihat sistem kapitalisme masih lagi berdiri dengan teguh, dan dalam berapa aspek, boleh memperbaik pulih keadaan sesebuah masyarakat. Marx juga amat fokus terhadap aspek eknomi atau aspek produksi dan membina sistem falsafahnya di sekitar aspek ini. Namun kita tahu bahawa bukan itu sahaja yang memandu sesebuah tamadun ataupun masyarakat manusia. Keseluruhan sejarah manusia tidak dapat dimudahkan kepada tenaga manusia/produksi semata-mata. Marx menganjurkan pekerja untuk memaksa perubahan bagi pihak pemilik/kapitalis, dan ini diterjemahkan kepada sesetengah pembaca sebagai sebuah ajakan kepada revolusi yang ganas dan menumpahkan darah. Namun, selain revolusi begini ad acara lain yang dapat digunakan untuk mencapai objektif yang sama (sindikalisme misalnya dan variasi sosialisme yang lain).
Namun, ingin diingatkan bahawa Marx merupakan hanya pemula bagi sistem Marxisme. Tradisi akademik Marxisme melahirkan begitu banyak sastera yang membincangkan kelemahan-kelemahan sistem dan penjelasan yang dirangka oleh Marx serta penambahbaikannya. Kritikan-kritikan yang aku bawakan sudahpun diajukan dan ada diantaranya sudah dijawab oleh beberapa penulis Marxist selepas Marx. Ada baiknya juga untuk dicungkil dan dibaca khazanah sastera aliran kiri ini untuk mencari bagaimana untuk membina sebuah sistem yang tidak ekstrem ke arah mana-mana pola.
Baiklah, kita akan tinggalkan persoalan-persoalan bagaimana hendak mengaplikasikan falsafah kepada pemulihan masyarakat, kita akan pergi kepada bab seterusnya, dimana soalan berskala luas sebegini akan diperkecilkan kembali kepada individu.
Sumber Primer :
1. The Essence of Christianity karya Feuerbach, diterjemah oleh Z. Hanfi ( 1972)
2. A Contribution to the Critique of Political Economy: Preface karya Marx, diterjemah oleh S.W. Ryazanskaya (1969)
Sumber Sekunder:
1. These on Feuerbach karya Karl Marx (1845), diterjemah W. Lough (1969)
2. Ludwig Feuerbach and the End of Classical German Philosophy, [On Marx] tulisan F. Engels (1886), diterjemah oleh Progress Publisher (1946), boleh diakses di www.marxists.org
3. Continental Philosophy : A Critical Approach karya W.R. Schroeder (2005)
4. Modern Philosophy: An Introduction and Survey karya Roger Scruton ( 1994)