SANG PENGUASA - 13
Kita telah berbicara mengenai pelbagai kerajaan serta faktor-faktor yang menyebabkan kejayaan dan kegagalan kerajaan tersebut. Kita juga telah bicarakan bagaimana Kerajaan tersebut diperoleh dan dirampas. Sekarang kita akan bincangkan secara umum pendekatan ofensif dan defensif bagi setiap kerajaan.

Kita telah lihat perlunya bagi penguasa untuk meletakkan asas dan dasar, ataupun kehancuran akan menuju kepadanya. Perkara paling fundamental dalam membina dasar adalah mempunyai undangundang yang bagus dan pasukan tentera yang kuat. Undangundang yang bagus tidak datang tanpa tentera yang kuat. Saya akan ketepikan perbicaraan mengenai undang-undang, dan akan berbicara mengenai ketenteraan.

Pasukan tentera yang digunakan oleh penguasa untuk mempertahankan wilayahnya sama ada tenteranya sendiri, tentera upahan, tentera auksiliari ataupun campuran ketiga-tiga unit tersebut. Tentera upahan dan auksiliari tidak berguna dan bahaya. Wilayah yang menggunakan dua jenis tentera ini tidak akan teguh dan selamat. Mereka tidak bersatu, tidak berdisiplin dan tidak setia. Hanya berani di hadapan rakan-rakan tetapi pengecut apabila menghadapi musuh. Mereka tidak mempunyai rasa takut kepada Tuhan dan tidak mempunyai kesetiaan kepada manusia. Apabila waktu aman, merekalah yang akan menimbulkan gangguan.

Mereka tidak mempunyai kepentingan untuk terus dikekalkan. Mereka bersedia untuk berkhidmat sekiranya kita tidak melancarkan sebarang peperangan. Apabila peperangan tercetus, mereka hanya akan melarikan diri daripada musuh. Kehancuran Itali adalah disebabkan terlalu meletakkan harapan pada tentera upahan selama bertahun-tahun. Walaupun tentera upahan pernah menunjukkan kemampuan mereka dalam kalangan mereka sendiri, tetapi mereka akan menunjukkan belang mereka yang sebenar di hadapan kelompok asing. Hal ini menyebabkan Charles, Raja Perancis, mudah merampas Itali.

Saya berhasrat untuk menjelaskan lebih lanjut tentang keburukan tentera ini. Kapten tentera upahan boleh jadi individu yang berkemampuan ataupun tidak. Sekiranya dia seorang yang berkemampuan, kita tidak boleh percayakan mereka kerana mereka mempunyai matlamat sendiri. Matlamat mereka itu akan dicapai sama ada dengan menundukkan penguasa ataupun menundukkan orang lain yang kita tidak berniat pun untuk melakukannya. Sekiranya kapten itu bukan seorang yang berkemampuan, kitalah yang akan hancur apabila melawan musuh.

Sekiranya ada orang menekankan bahawa hal yang sama juga berlaku, tidak kira apa jua jenis tentera yang kita gunakan. Maka saya akan jawab, ada perbezaan bagaimana pasukan tentera dijalankan di bawah dua pemerintahan berbeza, iaitu kerajaan dan Republik. Dalam kerajaan, penguasanya perlu menjadi kapten pasukan tenteranya

Machiavelli Niccolo

sendiri. Republik pula, rakyat akan menjadi kapten. Apabila rakyat yang dipilih tidak memuaskan, dia akan digantikan dengan orang lain. Sekiranya rakyat yang dipilih berkemampuan, undang-undang akan memastikan dia tidak meninggalkan jawatannya sesuka hati.

Sejarah telah menunjukkan bahawa pasukan tentera kerajaan dan Republik menunjukkan perkembangan yang bagus dan tentera upahan tidak membawa apa-apa pulangan melainkan kemusnahan. Pasukan tentera Republik lebih mudah menerima perintah berbanding dengan tentera asing yang diupah. Rom, Swiss dan Sparta bertahan selama bertahun-tahun dengan bebas dan mempunyai pasukan tentera yang kuat.

Carthaginia pernah ditekan oleh pasukan tentera upahannya sendiri selepas peperangan pertama dengan Rom walaupun Carthaginia mempunyai kaptennya sendiri. Selepas kematian Epaminondas, Philip dari Macedonia diangkat oleh orang Theban untuk menjadi kapten pasukan tentera mereka. Selepas menemui kemenangan, Philip mencabut kebebasan mereka.

Selepas kematian Duke Filippo, penduduk Milan mengupah Francesco Sforza untuk menentang bangsa Venetia. Sforza dapat mengatasi musuh di Caravaggio lalu bersekutu dengan mereka. Seterusnya, orang Milan, tuannya sendiri, dihancurkan oleh Sforza. Bapa Sforza merupakan tentera di bawah Permaisuri Gio dari Naples. Dia meninggalkan permaisurinya dalam keadaan tidak dilindungi. Dengan itu, Permaisuri Gio terpaksa menghumban dirinya ke bawah belas kasihan Raja Aragon untuk menyelamatkan kerajaannya.

Bangsa Venetia dan bangsa Florentines pernah meluaskan wilayah mereka dengan pasukan tentera upahan dan kapten mereka tidak pernah menjadi penguasa tetapi mempertahankan penduduknya. Dalam hal ini, mereka sangat bernasib baik kerana mempunyai kapten yang berkebolehan dan setia. Dalam kalangan kapten yang pernah dilantik, ada yang mereka takuti, ada yang tidak dapat menakluk mana-mana wilayah, ada yang ditentang oleh penduduk, dan ada juga yang menghalakan matlamatnya ke arah perkara lain.

Giovanni Acuto merupakan kapten yang tidak dapat menakluk mana-mana wilayah, lalu kesetiaannya tidak dapat dibuktikan. Tetapi ramai yang mendakwa, sekiranya dia dapat menakluk, Florence adalah wilayah taklukannya. Sforza di Milan sentiasa mempunyai Braccio Fortebraccio yang menentangnya. Tetapi mereka sentiasa melindungi antara satu sama lain. Sforza mengalihkan matlamatnya ke arah Lombard. Braccio pula menentang Gereja dan Kerajaan Naples.

Bangsa Florentines melantik Paolo Vitelli sebagai kapten. Sekiranya lelaki ini dapat mengambil alih Pisa, tiada siapa yang akan membantah bahawa pentingnya untuk mereka mengekalkan Vitelli kerana apabila Vitelli berada di tangan musuh, mereka tidak mempunyai cara untuk menentangnya. Sekiranya Vitelli dikekalkan, mereka terpaksa patuh dengan Vitelli.

Sekiranya kita melihat bangsa Venetia, mereka menempa kejayaan yang panjang dengan menggunakan pasukan tenteranya sendiri. Ketika berperang di laut, mereka menggunakan orang mereka sendiri. Tetapi ketika di darat, mereka menggunakan pasukan tentera upahan yang telah menjadi tradisi orang Itali. Ketika peringkat awal penyebaran wilayah, mereka tidak takut terhadap kapten pasukan tentera yang diupah kerana reputasi mereka yang besar walaupun wilayah mereka kecil. Tetapi ketika wilayah mereka mula berkembang di bawah pimpinan Carmignola, mereka takut

Machiavelli Niccolo

sekiranya kapten itu jatuh ke tangan musuh dan tidak menakluk atas nama mereka. Maka, untuk memastikan wilayah mereka dalam keadaan selamat, kapten itu terpaksa dibunuh. Pasukan tentera seperti ini akan melambatkan penaklukan, dan mempunyai potensi kehilangan wilayah dengan pantas.

Dengan contoh-contoh yang telah saya kemukakan ini, saya berhasrat untuk bincangkannya dengan lebih mendalam. Kita mesti memahami bahawa sistem empayar semakin ditolak di Itali. Paus telah memperoleh lebih banyak kuasa sekular. Itali telah dibahagikan kepada beberapa wilayah. Ramai penduduk kota mula mengangkat senjata melawan golongan bangsawan yang menindas mereka. Gereja pula memihak pada bangsawan untuk meluaskan kuasa sekular. Terdapat juga kota yang rakyatnya diangkat menjadi penguasa. Daripada sini, Itali telah jatuh ke tangan Gereja dan Republik. Gereja terdiri daripada para paderi dan Republik pula adalah rakyat. Kedua-dua golongan ini tidak mempunyai pasukan tentera, maka mereka mengupah pasukan tentera asing.

Orang pertama yang merintis pembentukan pasukan tentera upahan adalah Alberigo da Conio dari Romagna. Braccio dan Sforza termasuk orang yang dilatih olehnya. Selepas itu muncul ramai lagi yang memimpin pasukan tentera upahan. Hasilnya, Itali diserang oleh Charles dari Perancis, Louis XII, Ferdinand dari Aragon dan juga bangsa Swiss.

Taktik yang digunakan oleh pasukan tentera upahan adalah mengurangkan jumlah infantri. Ketiadaan wilayah sendiri serta hidup bergantung pada upahan peperangan menyebabkan mereka tidak mampu menampung askar yang ramai, terutamanya infantri. Maka, mereka menggunakan unit berkuda yang lebih mudah untuk ditampung. Akhirnya, dalam jumlah pasukan tentera seramai 20,000 orang, hanya 2,000 unit sahaja adalah infantri. Mereka cuba pelbagai cara untuk mengurangkan kadar pembunuhan apabila bertempur. Mereka juga mengambil tawanan dan membebaskannya tanpa tebusan. Mereka tidak akan menyerang kota pada waktu malam dan pengawal kota pula tidak akan melakukan serangan mengejut pada mereka. Mereka tidak akan membangunkan tembok dan membina parit di sekeliling khemah. Mereka juga tidak akan berperang pada musim sejuk. Semua ini dilakukan untuk mengelakkan bahaya dan kelesuan sehingga membuatkan pasukan tentera Itali tidak berguna dan diperhambakan.