Tren TGV Lyria 9269 dari Paris hanya sampai pada jam 2.30 petang. Tren ini akan membawa kami dari Dole Ville menuju ke Lausanne melalui Frasne dan Vallorbe, kawasan pergunungan di antara sempadan Perancis dan Switzerland. 30 minit selepas bertolak dari Dole Ville, rupa bentuk kawasan di kiri dan kanan TGV mula berubah bentuk dan warna. Warna putih memenuhi ruang pandangan dengan pokok-pokok ala krismas semuanya diselaputi salji tebal. Ini menunjukkan kami sedang mendaki kawasan pergunungan. Rumah paling jarang dilihat jika ada pun berdekatan dengan stesenstesen keretapi.
Pemandangan gunung bersalji dengan hutan tebal dan pokok ru ini sangat menyegarkan. TGV Lyria ialah perkhidmatan kereta api laju yang menghubungkan antara Perancis dengan Switzerland. Pada 3 April 2007 mereka merekodkan kelajuan kereta api terpantas dengan pecutan sehingga 574.8 km sejam. Perancis melalui syarikat kereta api utama mereka, SNCF memegang 74% saham sementara Switzerland melalui CFF mempunyai 26% saham. Sehingga kini TGV Lyria menghubung Paris Zurich melalui Basel, Paris Lausanne melalui Bern serta Paris Geneva.
Kami sampai di Lausanne pada jam 4.10 petang. Akibatnya kami terlepas tren Intercities 2535 ke Lucerne dari Lausanne yang bertolak pada jam 3.50 petang. Kami terpaksa menunggu tren seterusnya pada jam 4.50 petang dan hanya sampai di stesen keretapi Lucerne pada jam 7.00 malam.
KAPPELBRUCKE
Pagi itu adalah pagi terakhir kami di Lucerne. Selesai menjamu kami dengan Rosti, hidangan tradisional Swiss, Janine dan Jennifer membawa kami berjalan di kota lama Lucerne. Antara kota lama paling anggun di Eropah, kiri dan kanan kota dipenuhi dengan deretan kedai di dalam bangunan asal sehingga abad ke 17 yang lalu. Menariknya, banyak lukisan berskala besar di dinding-dinding kedai, menjadikan daerah ini seolah-olah sedang berpesta. Kami berpeluang melihat dinding asal kota lama Lucerne yang dibina seawal 1386. Tiga menara yang menyambungkan dinding kota ini, Schirmer, Zyt and Mnnli masih dibuka kepada awam. Jam paling lama di kota ini juga terdapat di sini, direka oleh Hans Luter untuk diletakkan pada menara Zyt pada 1535.
108 Berlari Dari Jogja Untuk Menemukan Si Dia Di Christiana
Menuruni dinding kota lama ini menemukan kami dengan hujung sungai Reuss yang bersambung dengan tasik Vierwaldstttersee (atau tasik Lucerne). Di sinilah terdapatnya Kapellbrcke atau Chapel Bridge yang terkenal di Lucerne, sebuah jambatan berbentuk oktagon sepanjang 204 meter di atas tasik Vierwaldstttersee, dibina pada 1333 untuk menghubungkan kota lama di sisi sungai Reuss dengan kota baharu. Kapellbrcke adalah jambatan kayu tertua di Eropah dengan bahagian atasnya dihiasi dengan siri lukisan dari abad ke-17 menceritakan kisah sejarah panjang Lucerne. Pernah terbakar pada 1993, jambatan yang ada kini adalah jambatan yang dibina semula.
Dari Kapellbrcke kami menuju ke Jesuitenkirche, sebuah gereja dengan struktur estetik dan kohesif gaya Swiss abad ke-17 dan berjalan ke Collegial Church of St Leodgar Hofkirche, sebuah lagi gereja dengan dua menara besar di hadapan tasik Vierwaldstttersee. Di belakang gereja inilah terletaknya sebuah lagi monumen terkenal di Lucerne iaitu The Lion Monument.
CERITA MALAM 10 OGOS
10 Ogos 1792 buat sebahagian besar penduduk dunia adalah pemula kepada Revolusi Perancis. 6 minggu setelah peristiwa ini berlaku, sistem monarki di Perancis berjaya dihapuskan. Mempertahankan King Louis XVI di Istana Tuileries, hampir 600 tentera Swiss yang dipanggil Swiss Guards mati ketika kawasan istana diserang oleh tentera revolusi, lebih 200 lagi mati di dalam penjara akibat kecederaan teruk. Major Karl Josef von Bachmann, komander memerintah di Tuileries sendiri dihukum gilotin pada September berikutnya.
Memperingati tentera Swiss yang berkorban untuk raja Perancis, Karl Pfyffer von Altishofen, pegawai tentera yang sedang menikmati cutinya di Lucerne ketika malam 10 Ogos mula mengumpul duit pada 1818. Berdasarkan reka bentuk yang disediakan oleh Bertel Thorvaldsen, Lukas Ahorn telah memahat The Lion Monument ini pada 1820-21 dengan panjang sehingga 10 meter dan 8 meter tinggi. Pahatan ini menggambarkan seekor singa cedera dengan gaya tusukan di bahagian badannya dan gaya sedihnya yang tersendiri. Di bahagian atas tertulis; HELVETIORUM FIDEI AC VIRTUTI (To the loyalty and bravery of the Swiss). Dan monumen ini terletak betulbetul di belakang apartment Janine, Zurichstrasse 16 yang jaraknya tidak sampai 50 meter.
Ukhwah yang terjalin di antara kami dan Janine serta rakannya tidak boleh dibayar menerusi Swiss Franc atau Ringgit Malaysia. Budaya seperti ini memang wujud dan trendy kini, dipanggil couchsurf. Apa pun nama yang diberi, ia mengingatkan kami bahawa kemanusiaan itu masih tinggi dipegang oleh manusia. Kepercayaan kepada sesama manusia, hatta kepada yang tidak mereka kenali itu masih wujud dan diamalkan.
Mengingatkan aku kepada Husnu Oyuncu, lelaki warga Britain berdarah Turki yang aku terimanya sebagai tetamu di Kuala Lumpur, setelah pulang dari jelajah Indo-China bersama Amir. Ya, aku dan Hus hanya kenal di Phnom Penh, tetapi itu tidak menjadikan aku masalah untuk menerimanya menetap di rumah selama beberapa hari. Dalam konteks kemanusiaan, budi bukan untuk dibalas. Kebaikan perlu dibuat setiap masa. Dalam bahasa Inggeris pay it forward. Tren kami pulang ke Besancon akan bergerak jam 2.00 petang. Sekitar jam 1.20 Janine menghantar kami ke stesen kereta api dan berjanji untuk pertemuan seterusnya di Kuala Lumpur. Mark Twain di dalam A Tramp Abroad, 1880 menulis mengenai The Lion Monument atau The Lion of Lucerne;
The Lion lies in his lair in the perpendicular face of a low cliff for he is carved from the living rock of the cliff. His size is colossal, his attitude is noble. His head is bowed, the broken spear is sticking in his shoulder, his protecting paw rests upon the lilies of France. Vines hang down the cliff and wave in the wind, and a clear stream trickles from above and empties into a pond at the base, and in the smooth surface of the pond the lion is mirrored, among the water-lilies.
Around about are green trees and grass. The place is a sheltered, reposeful woodland nook, remote from noise and stir and confusion and all this is fitting, for lions do die in such places, and not on granite pedestals in public squares fenced with fancy iron railings. The Lion of Lucerne would be impressive anywhere, but nowhere so impressive as where he is.