Lidah. Memang paling payah untuk diawasi. Apalagi ketika kita terlalu ingin menyampaikan sesuatu pada orang yang dituju, pemilik sesuatu hasil yang dikritik. Kalau yang dikritik itu musuh, kritikan sudah tentu akan lebih cenderung kepada mahu menjatuhkan dan pasti masyarakat yang sedang celik akan cepat menangkap hal itu.
Kritikan biarlah dengan lapangnya hati menyampaikan. Bukan bertemankan dendam atau keinginan untuk mengambil kesempatan sesudahnya. Koreksi semula apa tujuan kritikan dibuat Apa yang dituju dan mahu dihuraikan Kalau tak jelas dengan matlamat kritikan, segala yang dihujahkan tentu terbatas penerimaannya. Celaru. Setidak-tidaknya orang akan membezakan apakah kritikan itu untuk mengkritik apa yang telah dihasilkan ataupun mengkritik individu pembuat hasil.
Untuk berlapang hati menerima kritikan juga adalah suatu yang cukup mencabar. Tak dapat dinafikan. Sebab susah payah pada awal sampai akhir untuk menghasilkan sesuatu itu, kita yang hadap. Kita juga yang tahu sebab musabab perkara itu disusun dan diperjuangkan. Betapa susah payah, jerih perih, jatuh bangun, luka mengering, semuanya kita tempuh.
Tiba-tiba muncul pihak asing dengan pelbagai perwatakan menyentuh hasilan kita. Ada yang mengkritik dengan emosi. Ada yang melontar pandangan seolah-olah dia serba tahu segala yang terjadi. Ada yang terus mencemuh dan merasakan pandangan dialah yang paling benar. Ada yang memaksa-maksa untuk kita terima kritikannya. Segelintir orang yang tujuannya mengkritik untuk menemukan titik persefahaman dalam segenap sudut. Menyubur sikap toleransi agar konsep memberi dan menerima antara dua pihak berlaku dalam keadaan harmoni.
Pelajari adab mengkritik. Kritikan bukan satu medan perdebatan untuk melihat siapa yang lebih tinggi inteleknya. Ukuran pemikiran boleh terjawab dengan melihat kepada tinggi rendah akal budi seseorang. Kalau dengan mengkritik dia boleh mendabik dada mengatakan pada dunia ...akulah yang paling tahu, di situlah terlihat kesempitan akal fikirannya. Merasakan diri cukup sehingga ilmu-ilmu yang lebih hebat tak terdorong untuk duduk di hatinya. Buta mata hati. Lantas berhenti untuk belajar.
Martabat seorang hamba yang diangkat oleh Allah adalah daripada kalangan orang-orang yang jelas erti hidup sebagai khalifah Allah di muka bumi. Banyak amanah yang terpikul membuatkannya fokus dan matlamatnya terarah. Baik perbuatan mahupun pemikiran, semuanya berjaga-jaga dengan amaran Tuhan. Hablumminallah dan hablumminannas, sesungguhnya dia pelihara. Untuk mengkritik manusia lain sekalipun, dia sedar bahawa dia juga seorang manusia yang tak terlepas daripada kelemahan dan kesilapan.
Ketika bertutur, pengkritik harus sungguh-sungguh berwaspada dengan lisannya. Jangan sampai kritikan berubah kepada cemuhan. Dalam bentuk penulisan, ambil kesempatan untuk membuka minda masyarakat secara berhemah. Jaga sahsiah diri, jangan sampai orang lain mengkritik kembali keperibadianmu. Elokelok kritikan didengar tetapi kerana cara atau wadah yang tak sepatutnya, penyampaian terbatas. Pendengar atau pembaca akan mula memandang siapa yang menyampaikan. Bukan apa yang disampaikan.
Mengkritik kerana mahukan perkara yang lebih baik ketika hari mendatang. Untuk mencapai hal yang demikian, yang memberi harus berlapang dada ketika kritikannya dibalas dengan jawapan. Manakala yang menerima kritikan cukup dengan hanya menjawab perkara yang perlu. Batasi lidah daripada berhujah berjela-jela. Kadang-kadang diam juga menjadi penjaga yang menyelamatkan perselisihan yang berpanjangan.
Agama terpikul oleh orang yang mempunyai akal. Persoalan dalam proses kritikan, bukan siapa yang benar dan siapa yang salah. Tetapi sebagai jambatan merentasi lautan kesombongan manusia yang destinasinya untuk berbalik kepada Allah sebagai pemilik segala kebenaran.
Allah berfirman,
Sungguh, engkau wahai Muhammad tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allahlah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk.
(QS al-Qasas 28:56)
Tenanglah ketika dikritik. Sekurang-kurangnya ada yang masih mahu memandang kita sebagai sebahagian daripada mereka. Boleh jadi kritikan daripada manusia adalah teguran langsung daripada Allah. Kehidupan ini penuh dengan ibrah untuk terus bergerak dan menyumbang demi meningkatkan diri di mata Tuhan. Namun demikian, nilai manusia dan apa jua kebajikan yang dilakukan segala-galanya bergantung pada niat. Jangan bersedih hati dengan kemampuan diri yang singkat, sebab kita masih ada ruang untuk membuat perubahan selagi Allah pinjamkan nyawa.
Sultan Muhammad al-Fateh hatta telah memerintah sebuah kerajaan yang menguasai sepertiga dunia, namun beliau meletakkan dirinya sebagai seorang pelajar sepanjang hayat walaupun sudah bergelar pemimpin agung dengan gelaran The Grand Seigneur. Demikianlah manusia yang sentiasa merendah diri dan sentiasa rasa tidak cukup dengan ilmu yang dipelajari. Termasuklah apabila berhadapan dengan teguran.
Cuba latih diri bersifat tenang ketika menerima kritikan. Ambil dahulu ruang untuk koreksi semula kekurangan dalam sesuatu perkara yang kita lakukan atau hasilkan. Seandainya kita mempunyai pendirian yang teguh dan bersebab, anggaplah kritikan yang datang sebagai sesuatu yang menyokong usaha kita untuk dipandang. Biarpun kritikan itu bernada menggertak seakan mahu menjatuhkan. Berlapang hati untuk melihat pengkritik sebagai orang yang mahu mencari pengetahuan (learner).