Maka seharusnya agensi kerajaan yang memantau gempa ini sudah tentu dapat maklumat sebaik saja berlaku gempa di Indonesia itu. Apabila maklumat sampai ke Kuala Lumpur, ia sepatutnya segera disampaikan ke Pulau Pinang serta merta.
Agensi keselamatan di Pulau Pinang, sebaik saja menerima maklumat daripada Kuala Lumpur dan kesedaran bahawa telah berlaku gempa bumi diluar pantai Sumatera itu perlu melakukan tindakan memberi amaran ke semua pantai d Pulau Pinang.
Di samping maklumat itu terus disampaikan ke semua hotel-hotel di pantai, polis dan bomba juga mesti dikerahkan ke pantai untuk memberitahu segera orang ramai supaya keluar dari pantai. Tindakan serta-merta dengan pembesar suara serta tindakan menutup semua pantai pada sekitar pukul 12.00 tengah hari pada hari kejadian boleh menyelamatkan banyak nyawa.
Bayangkan pada pukul 12.00 tengah hari, polis dikerahkan ke pantai Batu Feringgi untuk menghalau orang ramai supaya keluar dari pantai.Mereka mungkin panik dengan pengumuman ini tetapi tindakan segera boleh menyelamatkan nyawa.
Dengan kesedaran bahawa gempa bumi telah berlaku di laut dan kemungkinan ombak besar akan melanda Pulau Pinang, nyawa banyak orang dapat diselamatkan.
Setelah ke semua pantai bersih daripada orang ramai, apabila ombak besar itu sampai dengan diperhatikan dari jauh garisan putih menandakan ombak besar tiba di pantai, maka amukan air ini akan hanya merosakkan harta benda dan bukannya meragut nyawa orang ramai.
Mungkin di pantai-pantai Sri Lanka dan India, sistem amaran awal jika wujud pun, ia tidak sempat memberitahu orang ramai (kerana penempatannya yang dekat dengan pantai) tetapi keadaan di Pulau Pinang adalah berbeza.
Ombak besar akibat gegaran yang berlaku di Lautan Hindi itu diperlahankan oleh pulau Sumatera sebelum sampai ke Pulau Pinang.
Terdapat cukup masa untuk memberitahu orang ramai supaya lari meninggalkan pantai. Sememangnya Malaysia tidak terletak dalam kawasan gempa bumi. Tetapi negara ini berjiran dengan negara gempa bumi iaitu Indonesia yang begitu banyak gunung berapi.
Apa sahaja yang berlaku di Indonesia akan sampai juga ke Malaysia. Kalau di sana gempa atau gunung berapi meletup, gegarnya sampai ke Malaysia. Tetapi perkara ini tidaklah membimbangkan kerana gegaran hanya kecil. Maka sudah tentu sistem ini patut kita miliki kerana pantai kita terdedah kepada ancaman ini, khususnya Pulau Pinang dan Langkawi. Selain daripada kita mampu, ia juga perlu bagi memberi keyakinan kepada pelancong. Tidak kurang penting keperluan sistem awal ini kepada para nelayan dan mereka yang tinggal di tepi pantai di seluruh negara.
Dalam pada itu kita tidak sanggup melihat gambar mangsa-mangsa tsunami ini khususnya di Pulau Pinang. Anak-anak kecil yang gembira bermain di pantai tiba-tiba didapati tersadai sebagai menyayat kerana ombak besar yang tidak dijangka itu. Biarlah tragedi ini menyedarkan kita untuk meningkatkan keupayaan istem amaran awal di negara ini.
Tiada siapa menyangka percutian hujung minggu yang sehari sebelumnya dimeriahkan dengan sambutan perayaan Hari Krismas berakhir dengan malapetaka yang tidak diduga di kebanyakkan negara di rantau Asia.
Kejadian gempa bumi berukuran 9.0 pada skala Richter yang melanda pantai barat utara Sumatera semalam dikatakan yang paling dahsyat di dunia dalam tempoh 40 tahun. Pada tarikh yang sama tahun lepas, kejadian gempa bumi berukuran 6.6 Skala Ritchermelanda Bam, Iran dan mengorbankan lebih 40,000 nyawa.
Manakala dalam kejadian yang kesannya menurut Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca masih dirasakan hari ini, lebih 15,000 penduduk di Sumatra, Malaysia, Sri Lanka, India, Thailand dan Myanmar menemuai ajal.
Jika diambil kira kesan gempa bumi tanpa menggaitkannya dengan lain-lain fenomena yang terbentuk ekoran kejadian itu, fokus kita pasti kepada kemusnahan serta kematian penduduk di kawasan berkenaan semata-mata.
Sememangnya ketika dikhabarkan mengenai kejadian gempa bumi di Sumatera serta gegaran-gegaran kecil yang dirasakan oleh para penghuni beberapa blok bangunan tinggi di ibu kota, ada semacam tanggapan bahawa insiden seumpama itu adalah biasa.
Tanggapan tersebut berdasarkan kepada hakikat kesan gempa bumi di Indonesia di Sumatera atau insiden-insiden lain seperti pembalakan hutan akan dirasai oleh penduduk di negara ini dan juga negara-negara jiran yang lain.
Namun insiden semalam yang turut mengorbankan lebih 68 orang di Malaysia menyedarkan semua pihak bahawa kejadian gempa bumi bukan sekadar menggegarkan bumi Sumatera malan mendatangkan kesan amat dahsyat di lain-lain kawasan yang terdedah kepada alun besar atau ombak besar akibat gempa bumi
Ketika tsunami mula melanda dunia, ia dirujuk sebagai ombak besar yang berkait rapat dengan pasang surut air laut. Kejadian ombak besar mendadak ini terjadi apabila dasar laut bergegar ketika berlaku gempa bumi, ombak-ombak terbentuk akibat aktiviti-aktiviti gempa bumi itu mempunyai sejarah menyebabkan kemusnahan kepada penduduk di kawasan berhampiran pantai sejak lama dulu.
Menurut laman web Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGC) tsunami berasal dari lingkaran api (a ring of five) iaitu satu zon gunung berapi yang terdapat akviti gempa bumi sepanjang 32,500 kilometer mengelilingi Lautan Pasifik.
Impaknya, ombak besar tsunami yang mempunyai kelebaran sehingga 200 kilometer dan mampu bergerak beratus kilometer merentasi dasar laut sehingga mencapai kelajuan 725 hingga 800 kilometer sejam. Apabila memasuki kawasan perairan yang cetek, ombak yang bermula dengan ketinggian setengah meter di atas laut mampu mencecah ketinggian 30 meter atau lebih apabila mencecah ke pantai.
Tenaga atau kuasa yang dibawa bersama ombak besar tsunami amat tinggi disebabkan oleh jumlah air yang banyak sehingga mampu meranapkan sebarang penempatan berhampiran persisiran pantai. Gempa bumi yang melanda kawasan utara Indonesia merupakan antara yang paling kuat pernah berlaku di dunia sejak awal kurun ke-20. Menurut USGS gempa berukuran 9.0 pada skal Richter itu merupakan gempa yang kelima terbesar sejak tahun 1900.
Gempa bumi berlaku apabila lapisan bumi bergerak dan menghentam satu sama lain sebelum terpisah dan membentuk tekanan ke kawasan lain. Apabila tekanan berlaku, satu lagi gempa bumi terjadi dan gegaran susulan selepas itu merupakan pelarasan semuala bumi selepas gegaran utama.
Ombak besar tsunami seperti yang melanda Asia biasanya berpunca daripada gempa yang berlaku di bawah dasar laut dengan gegarannya dapat dirasai beribu-ribu kilometer jauhnya. Ombak tsunami itu berlaku pada paras kelajuan yang tinggi dan menjadi semakin kuat sewaktu bergerak merentasi dasar laut.
Walaupun kuat, ombak besar itu biasanya tidak dapat dirasai di permukaan laut dan ia hanya menjadi kuat apabila sampai ke kawasan cetek yang kemudiannya menolak ombak sehingga 10 kali lebih tinggi daripada paras laut. Walaupun ombak besar tsunami boleh terjadi akibat gempa bumi dan letupan gunung berapi tetapi ia paling kerap berlaku akibat gegaran di bawah dasar laut, terutamanya di kawasan Pasifik di mana terdapat pergerakan pada lapisan tektonik bumi.
Ombak besar tsunami bukanlah fenomena biasa kerana ia hanya disebabkan gempa bumi yang berlaku pada kekuatan skala 7.7 dan ke atas.
Ia juga bergerak ke arah luar daripada pusat gegaran dan boleh menyebabkan kemusnahan besar di tepi pantai, ia juga boleh menghanyutkan mangsa ke dalam laut selain menyebabkan bencana besar banjir dan membawa kemusnahan besar.
Kelajuan tsunami biasanya ada kaitan dengan kedalaman laut dan boleh bergerak dengan kelajuan beratus kilometer. Beberapa kawasan utara Semenanjung negara ini terdedah kepada lautan luas tanpa pulau justeru kemungkinan untuk mengalami musibah yang sama tidak boleh diketepikan sama sekali.
Jumlah kematian diluar jangkaan ini mungkin boleh dielakkan (dengan izin Allah) jika negara mempunyai sistem amaran awal yang kini telah diguna pakai di beberapa buah negara seperti Australia. Ini kerana kejadian ombak besar tsunami hanya berlaku selpas empat jam kejadian gempa bumi berlaku di Sumatera yang mana sistem amaran awal ini mampu memberi maklumat selepas tiga jam kejadian gempa.
Ini jelas apabila India dan Sri Langka yang juga tidak mengguna pakai sistem yang sama terpaksa berhadapan dengan angka kematian yang amat tinggi. Sedangkan sistem amaran antarabangsa yang direka untuk memberi amaran selepas tiga hingga 14 jam kejadian gempa kepada komuniti di persisiran pantai me ngenai potensi berlaku ombak yang boleh membunuh itu.
Para saintis percaya tanpa sistem yang boleh mengesan ombak di rantau ini, tidak ada jalan lain untuk menentukan ke mana haluan ombak besar tsunami.
Satu strategi bersepadu sebagai persiapan untuk menghadapi malapetaka yang tidak ketahui bila akan menjenguk lagi perairan kita terutama di utara Semanjung perlu dirangka.