KEMBARA PENIAGA JALANAN - 13
AKU tak nafikan terlalu banyak pengalaman berjaya tempuh semasa aku masih menuntut di UIA. Aku percaya untuk berjaya kita kena cuba semua perkara, kerana kita tidak tahu yang mana satu akan mendatangkan hasil bagus buat kita. Pada waktu itu, aku tidak ada agenda untuk fokus kepada satu-satu bisnes dan memang aku jenis cepat bosan. Aku mula boring sebab di sebelah siang kurang aktiviti, selain pergi ke kelas, apa lagi yang aku boleh buat Aku bukan jenis keluar tengok wayang, duduk bilik main Counter Strike dan dating di kedai Tomyam dengan awek. Aku mahu menghabiskan masa dengan pengisian pengalaman baru. Aku mahu teroka potensi diri sepuas-puasnya.

Ini semua aku lakukan bukan kerana wang. Aku hanya mahu mencari titik kelemahan diri dan memperbaikinya. Aku mahu menjadi orang bisnes yang faham semua perkara. Benda paling utama yang aku mahu belajar ialah cara-cara menjual dan berhadapan dengan pelanggan. Aku mahu mendalami ilmu kejurujualan dan khidmat pelanggan. Aku suka berhadapan dengan pelanggan, berbual-bual dan menyelesaikan masalah

mereka. Dan aku juga faham tidak ada cara lain lagi untuk aku belajar semua ini melainkan aku kena buat.

Apabila aku buat bisnes kereta sewa, menguruskan kereta sewa dan menjual aksesori kereta di uptown. Aku dapati apa yang berlaku ini saling mempunyai hubung kait dan amatlah rugi sekiranya aku tidak mengambil peluang untuk belajar dan buat duit. Semuanya terjadi apabila ada beberapa orang rakan di kampus yang biasa menyewa kereta aku bertanya begini:

Mon, hang tau dak macam mana aku nak beli kereta Myvi yang baru keluar tu

Soalan ini ringkas tetapi cukup terkesan bagi aku. Soalan ini bermaksud, kawan-kawan yang percaya mahu aku bantu mereka mendapatkan kereta baharu. Ya, mereka mahu beli kereta sendiri pula. Peduli apa aku apa yang dia hendak buat dengan kereta itu. Jika mereka hendak buat bisnes kereta sewa sekalipun aku memang tidak kisah, asalkan kau beli kereta dengan aku. Setiap urusan jual beli mesti ada ganjaran, rezeki sudah tertulis untuk semua orang.

Ya boleh, aku boleh uruskan sampai kereta baru hang keluar!

Hang nak Myvi, kan Esok jumpa aku di bilik. Aku terangkan satu persatu tentang Myvi dan proses-proses untuk buat pinjaman bank.

Begitulah aku bermula. Cakap sahaja dulu, pening biar aku hadap kemudian. Haha!

Pada hari sama juga aku meronda di sekeliling kawasan Gombak untuk mencari dealer yang boleh aku berurusan. Aku bertemu Yauman Auto Sdn Bhd yang terletak di Diamond Square, Gombak. Ini satu-satunya dealer Perodua yang aku jumpa paling hampir dengan UIA. Kedatangan aku disambut seorang jurujual lelaki. Beliau memperkenalkan diri sebagai Sales Executive di situ. Pakaiannya segak, kemas bertali leher dan berkasut kulit berkilat. Hebat, ini pasti orang yang sesuai benar untuk aku berurusan, bisik hati.

Jemput duduk dulu bro. Apa boleh saya bantu Hebat sekali dia menyantuni aku. Padahal bukan aku yang hendak beli kereta itu.

Selepas puas aku menceritakan hajat aku ke situ, beliau bertambah seronok dan ajak aku keluar minum di kedai sebelah.

Saya boleh tolong kawan bro beli kereta Myvi baru. Cuma bro kena minta pada dia dokumen-dokumen yang saya bagitau tadi untuk kita masuk loan. Sekarang memang ada Pakej Pinjaman Khas bernama Gradhitz oleh Bank Islam untuk pelajar dan graduan universiti!

Wah! Semakin membuak-buak semangat aku untuk menyelesaikan masalah kawan tadi. Arif (jurujual tadi) memberitahu, sebagai introducer, aku layak menerima komisen sebanyak RM500 bagi sebuah kereta. Dan Arif turut menjelaskan kepada aku jenis-jenis komisen yang aku boleh dapat bagi setiap jualan model lain. Disebabkan aku bukan jurujual sepenuh masa di situ, aku tidak boleh dapat komisen penuh. Aku mesti berurusan dengan Arif untuk urusan jual beli kereta Perodua di situ.

Bermula dari situlah, aku menjual begitu banyak kereta baru kepada pelajar dan staf di UIA. Nama aku mula tersebar dalam kalangan pelajar di situ, hampir setiap minggu ada sahaja kes-kes baru untuk aku submit kepada pihak bank. Kau bayangkan, sehinggakan Arif sendiri datang berjumpa aku di dalam kampus dan membuat kerja untuk aku. Memang dia wajib jaga aku betul-betul kerana jualan aku adalah jualan beliau juga. Aku berjaya buat jualan, beliau turut berjaya dapat komisen dan penuh kuota. Baru aku tahu setiap jurujual kereta pada waktu itu perlu kejar target bagi mendapatkan ekstra bonus yang lebih besar.

Berita tentang aku naik ke pihak pengurusan Yauman Auto Sdn Bhd. Aku ditawarkan jawatan sebagai jurujual separuh masa. Aku setuju, dan komisen aku juga menjadi lebih besar. Aku dihantar berkursus di Perodua Rawang dan aku belajar banyak perkara daripada kawan-kawan jurujual lain. Aku tidak mempunyai pasaran lain, kumpulan pelanggan dan prospek aku hanyalah berkisar dalam UIA sahaja. Menariknya, di sinilah aku dapat tahu potensi baru. Rupa-rupanya, aku memang suka bertemu pelanggan, bercerita, melayan pelanggan dan suka menjual. Aku mampu closing pelanggan dengan mudah dan cepat belajar. Inilah pengalaman aku menjual kereta dan aku gunakan pengalaman yang ada sehingga ke hari ini.

Sekarang, aku bersama Go Daddy Motorsport membangunkan jenama dalam industri penjualan kereta import. Kami pemain baru, aku kenal Dato Khairul sewaktu aku hendak beli kereta pada tahun 2012. Pada waktu itu, Khairul belum bergelar Dato lagi, beliau hanyalah seorang jurujual kereta mewah. Kami bersahabat baik sehingga ke hari ini. Susah dia dan susah aku semua dia tahu. Aku turun naik Jepun dengan Khairul untuk urusan perniagaan. Kami tidak memandu Porsche atau Ferrari, kami cuma naik kereta api ke sana sini. Melalui Go Daddy Motorsport, aku akan terus membantu Khairul mengembangkan jenama ini.