SURAT-SURAT UNTUK KAHERAH - 14
Ramadhan dulu, aku menghampiri pintu rumahmu yang terbuka. Cahaya kalimantang terpancar keluar dari rumah kecilmu. Rumah biru di kaki lorong. Kepingan kayu yang menjadi dinding rumah tidak lagi tersusun rapat, mungkin kerana usianya yang sudah agak lama, atau kerana dindingnya masih pernah diperbaiki. Dari lubang-lubang itu, cahaya lampu turut menembusi keluar.

Aku mendekati rumah separa kayu yang telah bercat baru. Rumah itu sedang mengundang kedatangan Aidilfitri. Ku lafaz basmallah di dalam hati. Aku tahu kau sentiasa di Mesir, tetapi aku tetap ke rumahmu saban tahun.

Kedatanganku disambut adik lelakimu yang bertubuh gempal.

Salam. Kakak ada. Aku bertanya perlahan, aku sendiri tidak pasti dengan soalanku.

Dia solat terawih. Aku terpinga-pinga. Kalau waktu ini, solat terawih pasti di sini kerana di Mesir baru masuk waktu Zohor. Waktu Mesir lewat enam jam dari Malaysia.

Hatiku berdegup kencang, Apa benar kau ada di rumah, sahabatku yang jauh di Mesir itu bakal ku temui sebentar lagi. Aku tidak bermimpi, bukan Kerana aku betul-betul berada di hadapan pintu rumahmu.

Aku baru teringat waktu solat terawih kian hampir. Aku akan malu padamu jika kau tahu bahawa sahabatmu ini mensia-siakan solatnya pada bulan Ramadhan. Bukankan hidup ini untuk beribadah kepada Allah. Tadi sewaktu singgah aku kira kau pasti tidak ada, lalu aku akan kembali solat di rumah.

Setelah mengucapkan terima kasih, aku lantas ke masjid kampung, seratus meter dari rumahmu. Beberapa orang muslimah memasuki masjid dari pintu tepi. Aku ekori beberapa orang muslimah memasuki kamar wudhuk. Ku tanggalkan gelang kayu pemberianmu supaya curahan air paip nanti akan membasahi seluruh pergelangan tanganku. Gelang itu ku selitkan ke dalam poket jeans bersama jam tangan.

Setelah mengenakan jilbab, aku mendaki tangga masjid. Jemaah muslimah membanjiri beranda. Di saf paling belakang, aku menyertai mereka. Duduk menanti detik memulakan solat jemaah. Aku kira kau juga di situ. Sama ada di bahagian beranda, atau di ruangan dalam masjid. Bunyi kipas dinding bersatu dengan bunyi cengkerik dari kebun sebelah pagar. Para muslimah tidak banyak berbicara. Sesetengah darinya membaca al-Quran, sesetengah lagi kelihatan mengelamun dan wanita bertelekung di hadapanku sedang memujuk anaknya supaya duduk diam. Di manakah kamu

Setiap tubuh wanita yang berselubung putih bersih ku teliti. Aku menjengah dari saf di luar. Dalam masa sama, aku berhati-hati tidak memperlihatkan wajahku kepada umum. Aku khuatir kau akan melihatku. Aku khuatir dengan melihat sahabatmu sehampir ini akan membuat solatmu sebentar lagi berpaling dari konsep kusyuk. Aku masih ingat betapa kau teruja untuk berbual kali terakhir kita bertemu dahulu. Oleh itu, kedatanganku tentu akan membuatkan akalmu berputar ligat menyusun bahan cerita. Kisah indah sepanjang kau di sana.

Sehingga imam mengalunkan azan, aku masih tidak melihat jambangan bunga istimewa yang ku cari itu. Aku tidak tahu antara susuk tubuh jemaah di hadapanku, yang mana satukah milik kamu.

Semua jemaah bangun, menunaikan solat terawih. Aku beristighfar.

Aku solat dengan tenang. Bahagia. Sahabat yang aku cintai berada di dalam masjid yang sama!. Ah, sahabat yang ku cintai terlalu dekat denganku dan kami samasama sedang merebut cinta Allah. Syukur, Tuhan menjadikan kita hamba yang seiring berjuang menyempurnakan hukum-Nya, insya-Allah. Keimanan itu di uji dengan ujian seringkas ini. Kita terpisah. Antara dua landasan ilmu. Landasan yang membawa kita ke stesyen sama, stesyen jihad.

Aku menunaikan terawih hingga salam yang terakhir.

Beberapa orang muslimah terlebih dahulu keluar sebelum itu. Aku tahu kau tidak akan meninggalkan solat separuhseparuh. Aku menyambung kusyuk. Di penghujung ibadah, aku mencapai selembar surah yassin dari rak berdekatan. Ku tatap juga sehingga ayat yang terakhir. Aku bersimpuh menghadap muka pintu, aku telah bersedia untuk kau melihatku sekiranya engkau keluar. Aku membayangkan perkataan pertama yang akan kita ucapkan. Adakah kita akan dibaluti rasa terharu atau gembira, atau terkejut atau tidak dikurniakan apa-apa rasa kerana kita telah rapat belasan tahun lamanya. Menatap wajah antara satu sama lain mungkin juga menjadi fenomena yang memberi tindak balas biasa.

Aku tunduk memandang permukaan surah yassin berkulit kuning diraja. Hamparannya putih digarisi firman Allah yang penuh makna. Hatiku melirik satu per satu jemaah muslimah yang lalu di hadapanku, sehingga habis. Hatiku berdebar menunggu saat-saat terakhir kau akan menyapaku.

Ruangan solat muslimah akhirnya kosong.

Mungkin kau di luar Mungkin aku terlepas pandang akan jasadmu.

Aku menunggu di beranda masjid. Lengan ku gosok, menterjemah kegelisahan. Di manakah sahabatku Adiknya mengatakan bahawa dia sedang bersolat terawih. Tetapi kenapa aku tidak melihat kelibat insan yang ku tunggu-tunggu itu di sini.

Aku menjengah seisi masjid. Mataku meliar di perkarangan masjid. Kemudian di luar pagar. Kau tidak ada.

Bukankah ini masjid terdekat untukmu mengerjakan solat bersama jemaah lain Oleh kerana itulah aku terburu-buru ke mari sebaik sahaja adikmu menyebut tentang terawih.

Aku memandang sekeliling. Terpinga-pinga seperti rusa masuk kampung.

Cari apa, nak Tegur seorang pakcik separuh umur sambil menghidupkan enjin motorsikal. Mungkin penduduk kampungmu. Dia antara orang terakhir yang akan meninggalkan masjid.

Tidak ada apa-apa, sekadar menunggu seseorang. Tersenyum. Mataku melirik lagi ke kaki lima masjid. Lengang. Kosong.

Nah, sekarang apa maknanya. Kau tidak ada.

Mungkin kau salah satu jemaah yang keluar lebih awal sebelum imam menyudahkan rakaat terakhir. Mungkin wudhukmu batal, mungkin kau mahu keluar dahulu atas tujuan berhadas. Tetapi aku tidak merasakan kau telah melintas di hadapanku. Naluriku tidak meyakini itu.

Di mana Wafa Thahirah Apakah telah berubah wajah sehingga aku sama sekali tidak dapat mengenalpastinya di antara semua jemaah wanita. Aku menarik nafas, cuba menenangkan perasaan gemuruh. Aku terlalu mahu berjumpa denganmu. Sahabat yang telah aku kenali selama lebih sepuluh tahun. Satu-satunya sahabat yang paling dekat di hatiku. Sahabat yang aku ingin bersamanya di dunia dan akhirat. Rasulullah sayang dengan para sahabatnya, aku juga sayang padamu.

Aku berpatah balik ke rumahmu. Ingin ku tanyakan kalau-kalau kau telah pulang.

Sebaik sahaja aku tiba, kau muncul di hadapan pintu.

Itulah kali terakhir aku melawatmu. Malam Ramadhan. Anak bulan bercahaya menyaksikan betapa aku kasih padamu. Betapa aku mencarimu di masjid sebentar tadi seperti kucing kehilangan anak. Betapa aku menghargaimu dalam hidupku.

Kau kelihatan terkejut melihat tubuhku di muka pintu.

Kau mendongakkan kepala, bertanya kepadaku, Bagaimana kau tahu aku pulang bercuti.

Aku teragak-agak untuk menjawab. Adakah kau tahu, aku pergi ke rumahmu setiap kali bulan mulia itu, walaupun aku tahu kau ada di Mesir. Kau sahabatku. Maka aku tidak merasa susah bertandang begitu jauh untuk mengharapkan keberadaanmu di sana. Melihat atap rumahmu sahaja dapat membuat aku merasa dekat denganmu.

Aku menceritakan tentang pengalamanku di masjid, mencari kelibatmu yang tiada.

Aku solat terawih di rumah. Sebentar lagi aku akan pergi kerja. Di kilang yang sama dengan ibuku. Dari kepingan tingkap kaca yang tersusun memanjang, aku melihat ibumu sedang memperkemaskan lipatan tudungnya. Di dada baju biru ibumu, tersulam nama kilang elektronik.

Kerja. Soalan itu ku paut sahaja di dalam hati. Bukankah kau masih belajar di Al-Azhar. Aku segera menangkap keadaanmu. Mengimbas kembali ceri-

tamu yang lalu. Kau cuti agak lama. Kau bekerja untuk mendapatkan biaya tambang kapal terbang buat kau kembali ke Mesir. Sebelum ini kau pernah menceritakan kepadaku mengenai harga tambang yang mahal. Jadi, pulang bercuti akan memperuntukkan masa yang lama. Sepadan dengan kosnya.

Di tempat pengajianku, bercuti enam bulan bermaksud satu semester. Apakah kau menangguhkan pengajian Ah, aku mengganggu masamu. Sedangkan pada waktu itu kau sedang bersiap untuk bekerja di kilang. Aku akan pulang ke kampus awal Syawal, manakala kau akan kembali ke Mesir di pertengahan Syawal. Aku menyedapkan hati, aku boleh bertemu denganmu di KLIA. Lantaran ketika kau harus kembali ke Mesir nanti, aku juga sedang berada di Kuala Lumpur.

Kau berbual, tidak banyak. Tetapi kau cuba menghargai tetamu ini. Tetamu yang rindu padamu. Kau mengatakan kau akan pulang ke Mesir beberapa minggu lagi. Aku mendapatkan masamu begitu banyak, kasihan dirimu. Mungkin hari itu kau terlewat punch card. Namun untuk berjumpa lagi, entah bila. Terlalu banyak yang hendak dibualkan. Sehingga aku terlupa bertanya..bila kau akan kembali semula.

Yang aku tahu kita berpisah, buat sekalian kalinya. Aku ingin melihatmu lagi, di KLIA. Sekiranya tidak, entahkan berapa lama lagi aku harus mendamba waktu. Menunggumu.

Ku tatap wajahmu. Mungkin kau akan terlupa untuk menghayati kasih sayangku menziarahimu, kerana kau sedang segera bersiap, waktu itu. Sambutan salammu aku simpan, di dalam poket hatiku. Suaramu, wajah tulusmu dan rinduku bersatu.

Tayar motorsikalku bergerak, berlalu pergi meninggalkanmu. Dari cermin sisi, ku lihat kau masih setia berdiri di muka pintu. Memerhati. Imej dari pantulan cermin menampakkan wajah gadis masyrik yang sayu. Itulah kali terakhir aku melihatmu.