FILSUF UNTUK NOOB - 14
Adakah kau seorang yang pesimis Adakah kau letih dengan kehidupan dunia yang segala segi sibuk dan meletihkan Adakah setiap pagi kau rasa malas untuk keluar dari selimut, takut untuk menghadapi hari yang kau tahu hanyalah ulangan hari-hari lainnya Maka sosok selepas ini amat sesuai dengan kau!

Arthur Schopenhauer (Sho-pen-ha-wer) adalah seorang lagi ahli falsafah Jerman, namun lahirnya di Gdansk, Poland, pada tahun 1788, menjadikannya 18 tahun lebih muda dari Hegel. Schopenhauer lahir dalam keluarga yang senang; ibunya seorang penulis novel yang boleh dikatakan berjaya manakala ayahnya seorang ahli perniagaan yang kaya. Ayahnya meninggal ketika Schopenhauer berusia 17 tahun, dan ibunya, Johanna Schopenhauer, membawa adiknya Adele, untuk membuat album solo. NO, aku buat lawak. Tapi nama adiknya betul-betul Adele. Ibu dan adiknya berpindah ke sebuah bandar Jerman, Weimar yang merupakan pusat tumpuan sastera .

Schopenhauer belajar metafizik dan psikologi di Universiti Gottingen dan setelah meninggalkan universiti, mula menulis untuk karier falsafahnya. Disebabkan Schopenhauer seorang yang berada, dia tidak seperti ahli falsafah lain yang memerlukan naungan sesebuah universiti ataupun institusi akademik lain untuk bekerjaya sebagai ahli falsafah, dan ini menyumbang kepada kelainan falsafah Schopenhauer. Kelainan disini bermaksud Schopenhauer mempunyai kebebesan dalam merangka pemikirannya tanpa perlu mengikut telunjuk universiti ataupun mengikut kemahuan seorang penyelia. Schopenhauer juga antara ahli falsafah Eropah Moden yang pertama memasukkan unsur-unsur Vedantik dan Upanishad dalam falsafahnya, dan sememangnya dia amat tertarik dengan agama Hindu. Cara pandang dari India ini memberikan nafas baru kepada falsafah moden secara amnya, dimana selama ini hanya terhad kepada influks idea dari tradisi Barat sendiri.

Schopenhauer, mungkin juga kerana ibunya yang seorang penulis dan penggiat sastera, mempunyai bakat yang istimewa apabila menulis. Tulisan dan prosanya amat puitis, kata-katanya memikat, dan memasukkan banyak alegori-alegori yang lebih menghidupkan lagi penulisannya. Schopenhauer apabila di universiti didedahkan dengan Plato ( dan juga Kant), dan Plato juga sememangnya seorang tokoh falsafah yang dikenali dengan menghasilkan banyak alegori dan kisah-kisah yang menarik, dan mungkin membaca Plato sedikit sebanyak mempengaruhi cara penulisan Schopenhauer. Falsafah Schopenhauer lebih merupakan reaksi kepada Kant daripada Hegel, walaupun dia sezaman dengan Hegel. Terdapat sebuah kisah menarik dimana selepas menghasilkan karya falsafahnya yang paling penting, Die Welt als Wille und Vorstellung (Dunia sebagai Kehendak dan Perlambangan / The World as Will and Representation) , Schopenhauer dilantik sebagai seorang pensyarah di Universiti Berlin, dimana gergasi dunia falsafah ketika itu, Hegel turut mengajar di sana. Aku tak tahu apa yang Schopenhauer ingin tunjukkan, tapi dia menjadualkan kelasnya pada waktu yang sama dengan kelas Hegel. Hasilnya, ketika Hegel menarik beratus pelajar ke kelasnya, hanya beberapa orang sahaja yang menghadiri kelas Schopenhauer. Dan sudah tentu hal ini antara yang menyumbangkan keputusan Schopenhauer untuk berhenti menjadi pensyarah dan hanya fokus menjadi ahli falsafah yang bebas.

Apabila membaca kisah hidup Schopenhauer, seseorang tidak dapat tidak membayangkan Schopenhauer sebagai seorang yang pesimis dalam segala hal. Dia dan ibunya merupakan seteru, dia membenci dunia akademia, dan entah bagaimana dapat membuat seteru dalam beberapa insiden lain sepanjang hidupnya. Namun begitu, kehidupannya bukanlah melarat seperti Karl Marx, dia sebenarnya agak mewah hidupnya. Bagaimanapun, kesenangan hidup tidak dapat membeli peminat atau pembaca untuk falsafahnya. Bukunya, Die Welt, yang ditulis ketika umurnya 30 tahun, merupakan sebuah buku yang pada pendapatnya sendiri amat penting, namun pada keluaran pertama, tidak mendapat sambutan yang setaraf dengan kualiti buku tersebut. Dan sememangnya hidupnya selepas itu tidaklah diberi begitu banyak perhatian oleh dunia falsafah.

Hanya selepas sebuah karyanya yang merupakan rumusan dan ringkasan kepada idea-ideanya, Parierga dan Paralipomena , dikeluarkan pada tahun 1851, iaitu ketika dirinya sudah berusia 63 tahun, barulah idea-idea Schopenhauer mula mendapat perhatian disebabkan jualan buku tersebut yang laris. Dan selepas itu barulah pembaca dan pelajar falsafah mula mengalihkan perhatian mereka kepada karya-karya awal dan terpentingnya, iaitu buku Die Welt. Pengenalan aku sendiri kepada Schopenhauer adalah melalui P&P, dan disini lah Schopenhauer membuat kritikannya terhadap pembelajaran eksposisi doktrin-doktrin falsafah bukan dari sumber primer, tetapi melalui buku-buku sejarah falsafah (yang aku sertakan petikan ayatnya dalam prakata buku ini, dan kalaulah Schopenhauer mendapat buku aku ini, mesti dia buang kedalam tong sampah terus).

Seperti yang aku katakan sebelumnya, Schopenhauer dipengaruhi oleh Kant dalam memegang kepada pandangan alam yang dualis. Kalau kau masih ingat, Kant mengatakan adanya phenomena dan noumena, noumena merupakan perkara yang tersembunyi,kita tidak mampu mengalaminya atau membuktikan kewujudan atau ketidakwujudannya, dalam erti kata lain, we wont know for sure.

Namun, Schopenhauer tidak memanggil alam/objek/entiti yang lain itu sebagai noumena, tetapi memanggil ianya sebagai Kehendak. Argumen tentang mengapa Schopenhauer memanggil entiti ini sebagai Kehendak tidaklah begitu kukuh, namun seperti dalam P&P, ini dapat dirumuskan kerana kehendak untuk hiduplah yang memandu semua aktiviti-aktiviti dalam dunia. Manusia, dan segala makhluk lain dapat diringkaskan kepada sesuatu yang aktif kerana kehendak untuk hidup.

Schopenhauer memandang kehidupan dunia dan aktiviti-aktiviti yang manusia lakukan amat sia-sia. Aku akan memetik beberapa petikan darinya sendiri, dengan harapan kau dapat lihat sendiri cara penulisannya yang menarik . Dan sedikit anekdot, aku mula membaca khususnya petikan-petikan ini apabila berada di tengah-tengah kedai laundry menunggu bajuku siap dikeringkan dengan bunyi bising mesin-mesin dikelilingku, dan buat beberapa ketika, kerana khusyuknya membaca ayat-ayat karangan Schopenhauer, aku terlupa segala hiruk-piruk disekelilingku.

Kewujudan kita tidak mempunyai asas yang mendokong melainkan masa kini yang sentiasa berlalu dan menghilang; maka pergerakan yang berterusan pada dasarnya merupakan struktur hidup ini, tanpa apa-apa kemungkinan untuk mencapai rehat yang kita semua sentiasa rindukan. Kita umpama seseorang yang berlari menuruni bukit yang mana dia sudah tentu akan rebah jika cuba berhenti, dan menggerakkan kakinya hanya untuk meneruskan larian ini; ataupun kita umpama sebatang kayu yang diseimbangkan dihujung jari; umpama planet yang akan jatuh kedalam mataharinya jika ia berhenti dari bergegas maju dengan terdesaknya. Maka, keresahan dan kegelisahan merupakan bentuk asal kewujudan ini.

Dalam dunia sebegini...dimana semuanya bergegas kesana kemari dan cuba kekal diatas tali dengan sentiasa membuat langkah maju atau kebelakang, nikmat bahagia langsung tidak dapat dibayangkan

Adegan-adegan hidup kita adalah seperti gambar-gambar yang membentuk sebuah mozek yang tidak akan memberi kesan jika kita berdiri terlalu rapat dengannya, akan tetapi mesti dipandang dari jauh jika kita mahu melihat kecantikannya. Maka sesungguhnya, untuk memiliki sesuatu yang amat diinginkan adalah sama seperti mendapat tahu betapa kosong dan tidak pentingnya benda itu, dan jika kita sentiasa hidup dalam jangkaan untuk perkara-perkara yang lebih baik lagi, kita akan sentiasa menyesali pada masa yang sama dan merindui masa lalu..dan itulah sebabnya jika di penghujung hayat mereka ramai yang menilai kembali kehidupan masing-masing, mereka akan dapati bahawa mereka hidup sentiasa antara dua momen, mereka akan terkejut melihat perkara yang mereka biarkan untuk berlalu pergi tanpa dihargai dan dinikmati; itulah hidup merekaDan maka sepanjang hayat seseorang itu, selepas ditipu oleh harapan, dia menari ke dalam pelukan kematian.

Oleh kerana kehidupan sentiasa melibatkan pergerakan, kehidupan manusia di dunia ini tujuannya hanyalah untuk memastikan kelangsungan hidup. Tugas manusia oleh itu sentiasa pentingkan hal bagaimana hendak menyara hidup ini. Dan seolah tepat sekali apabila Schopenhauer mengatakan apabila kita menginginkan sesuatu, dan setelah mendapat hal yang diinginkan ini, manusia akan kembali merasa bosan. Maka hidup manusia selamanya dicemari dengan kebosanan dan keresahan.

Masalah manusia yang pertama adalah untuk mendapatkan sesuatu. Masalah kedua ialah untuk mengelakkan benda yang sudah didapatkan tadi dari dirasakan kehadirannya, kerana jika tidak benda itu akan menjadi beban

Yang penting bagi Schopenhauer adalah menikmati masa kini. Tapi ini semua seperti celoteh seorang budak emo Tumblr atau penyajak Facebook. Mana aspek falsafahnya dengan Schopenhauer

Schopenhauer yang sezaman dengan Hegel, mengkritik sistem Hegel yang dikatakannya terlalu dipenuhi dengan benda-benda abstrak ( Semangat, Penaakulan, dan sebagainya). Schopenhauer juga merasakan falsafah tidak memerlukan sistem maha hebat yang seolah dibina diatas awan-awan. Schopenhauer kembali kepada pandangan dualis Kant dimana dia mengatakan bahawa dunia ini terbahagi kepada dua, yang dapat dialami dipanggil Schopenhauer sebagai Perlambangan, namun disebalik Perlambangan ini adanya sesuatu yang dinamakan Kehendak. Namun Schopenhauer turut mengkritik prinsip-prinsip struktur yang dirangka oleh Kant (Kategori-kategori yang berjumlah duabelas), tetapi mengatakan hanya tiga dari prinsip tersebut yang penting untuk menjelaskan epistemologi, iaitu Ruang, Masa dan Asbab. Mengikut jalan yang dipeloporkan oleh Kant, Schopenhauer berpandangan bahawa manusia melihat sesuatu didalam ketiga kategori ini. Ilmu Sains berpaksikan dan dapat dijelaskan melalui ketiga-tiga kategori ini. Dan , seperti Kant, manusia tidak dapat melangkaui struktur-struktur ini.

Manusia yang sentiasa dipandu oleh kehendak untuk hidup ( will to live) perlu mencari cara untuk menolak atau mengeluarkan diri dari dipandu kehendak untuk hidup ini. Manusia tidak mampu untuk menembusi dinding Perlambangan untuk melihat Kehendak secara terus. Manusia tidak mampu melangkaui batas yang ditetapkan oleh struktur-struktur melainkan tiga cara ini. Dan disinilah falsafahnya menjadi lebih menarik.

Antara cara dimana manusia boleh, buat seketika waktu, menggantungkan proses panduan oleh kehendak ini adalah yang pertama, melalui seni. Schopenhauer memang merupakan seorang yang meminati muzik; dia pandai bermain seruling. Katanya, seni, terutama muzik dapat membuatkan diri manusia keluar sebentar dari arus kehendak untuk hidup ini tadi. Kau pernah bukan , ketika mendengar sebuah lagu yang amat mempesonakan, ataupun memandang lukisan yang memaku, seolah-olah terasa diri kau berada di luar masa, kerana terlalu asyiknya kita dengan kecantikan yang kita alami. Malahan, perkataan Inggeris untuk menggambarkan perasaan asyik ini adalah be beside oneself , seolah-olah kita keluar dari badan kita sendiri untuk menghayati seni yang dihidangkan.

Maka inilah satu caranya untuk manusia melangkaui batasnya dan menjenguk melalui sebuah lubang kecil yang ditembusi oleh perasaan asyik ini tadi kepada alam satu lagi yang dipanggil Kehendak. Dengan seni, kita dapat meletakkan brek keatas kehendak untuk hidup. Cara yang kedua, adalah dengan mempunyai perasaan belas kasihan terhadap makhluk lain. Bagaimana belas kasihan dapat menidakkan kehendak untuk hidup

Ingat bukan, bahawa seni dapat berbuat demikian kerana boleh membuatkan penikmatinya untuk keluar dari diri mereka sendiri Begitu jugalah halnya dengan perasaan belas. Apabila kita mempunyai perasaan ini, kita menerbitkan perasaan kita kepada sesuatu yang berada di luar diri kita, dan dengan ini dapat merasa apa orang lain itu rasa seolah-olah kita juga merasakan perkara yang sama, dalam erti kata lain, perasaan empati.

Terdapat satu lagi cara untuk melangkaui dunia Perlambangan ini, dengan menidakkan kehendak untuk hidup. Cara ini adalah dengan memilih kehidupan zuhud. Agak kontra dengan kehidupan sebenar yang dijalani oleh Schopenhauer. Kehidupan zuhud adalah apabila kita menolak perkara-perkara yang biasanya membawa nikmat kepada pancaindera kita, dan dengan ini, menidakkan secara total kehendak untuk hidup, dan mampu membawa si zahid untuk melangkaui dunia perlambangan.

Schopenhauer meletakkan kontra antara ketiga-tiga cara ini dengan cara saintifik. Kata Schopenhauer, saintis hanya berputar-putar di alam perlambangan sahaja, dengan mengaplikasikan tiga kategori; Ruang, Masa dan Asbab. Cara saintifik tidak mungkin akan dapat melangkaui dunia perlambangan. Tapi falsafah ini walaupun menggalakkan kezuhudan, tidaklah bermaksud falsafahnya mempercayai adanya Tuhan. Schopenhauer adalah seorang ateis. Dan mengapa falsafahnya mempunyai unsur-unsur seperti zuhud, belas dan keasyikan itu adalah kerana dia mengharapkan kepada pembinaan sebuah sistem hidup dan sistem metafizik yang bebas daripada Tuhan. Kita boleh merasa belas kasihan, merasa asyik, dan menolak kehidupan dunia tanpa adanya kepercayaan kepada Tuhan, bagi Schopenhauer.

Schopenhauer meninggal pada tahun 1860 di Frankfurt, Jerman. Schopenhauer pergi dengan meninggalkan sebuah legasi aestetik yang penting dalam memberi ilham kepada penggiat-penggiat seni, lebih daripada bidang falsafah. Penekanan Schopenhauer terhadap perasaan empati, belas kasihan dan kehidupan zuhud merupakan sesuatu yang positif yang boleh diambil dari falsafahnya. Dan ini juga memberi inspirasi kepada seorang sosok gergasi bidang falsafah yang akan kita lawat sebentar nanti, dan seperti kisah-kisah tokoh falsafah dalam buku ini, pada mulanya mereka akan dipengaruh dan memandang tinggi akan falsafah sesetengah tokoh,tapi kemudian akan membina kritikan dan sebuah falsafah yang berbeza daripadanya.

Sumber Primer:

1. The World as Will and Represention, tulisan Schopenhauer(1818),terjemahan E.J. Payne

2. Parerga and Paralipomena; Short Philosophical Essays, tulisan Schopenhauer(1851), terjemahan E.J. Payne.

Sumber Sekunder:

1. Continental Philosophy : A Critical Approach karya W.R. Schroeder (2005)

2. Modern Philosophy: An Introduction and Survey karya Roger Scruton ( 1994)