BERLARI DARI JOGJA UNTUK CHRISTIANA - 14
JANINE KURRMAN. Wanita berusia 32 tahun asal dari Switzerland ini aku temui di dalam bot ketika aku dan rakan, Amir merentas ke Kemboja dari Chau Doc, sempadan Vietnam menuju ke Phnom Penh awal Disember 2012 yang lalu.

Ketika itu kami sedang dalam misi jelajah Indo-China bermula dari Ho Chi Minh, Delta Mekong dan Phnom Penh sebelum kami meneruskan perjalanan ke Siem Reap, Bangkok, Surat Thani Ko Pha Ngan selama dua minggu.

Perjalanan dari Chau Doc ke Phnom Penh agak memenatkan, kami menaiki bot seawal jam 8 pagi dan hanya sampai ke jeti bandar Phnom Penh sekitar jam 5 petang dengan pertukaran sehingga 3 bot. Di sinilah aku, Amir dan Janine berkenalan dan bertukar id Facebook, bermain teka teki, bermain kad, membaca buku, melepak di bumbung bot sehingga jemu, bosan dan kelaparan bersama.

Tetapi itu cerita setahun yang lalu. Selepas perjalanan 9 jam itu, aku dan Janine hanya bertanya khabar sesekali melalui Facebook. Sehinggalah pada hari ini, Janine menjemput kami di stesen keretapi Lucerne dan memberi peta ke arah rumahnya (sekitar 500 meter dari stesen kereta api) kerana terpaksa bergegas memenuhi undangan ibunya untuk menonton sebuah pertunjukan.

CHEESE FONDUE DAN ROSTI

Janine bukan sahaja menjemput kami ke rumahnya, bahkan menyediakan biliknya sendiri untuk kami. Mengejutkan kerana beliau sanggup tidur di rumah rakannya sementara kami menggunakan biliknya selama dua malam di Lucerne.

Di Zurichstrasse 16, beliau menyewa sebuah apartment dengan dua lagi penyewa lain iaitu Jennifer dan Dimitri. Pada malam kedua di sana, setelah pulang dari Gunung Titlis di Engelberg sekitar jam 4.30 petang, Janine menunggu kami di apartment dengan hidangan terkenal di Switzerland iaitu Cheese Fondue.

Hidangan ini cukup ringkas iaitu hanya terdiri daripada potongan roti dan cheese cair yang dipanaskan di atas mangkuk besar. Setiap orang mempunyai pencucuk panjang yang akan digunakan untuk mencucuk roti dan mencelupkannya ke dalam cheese yang sedang dipanaskan kemudian ia boleh dimakan begitu sahaja. Hidangan turut diserikan dengan potongan buahan seperti pear yang juga boleh dicelup ke dalam cheese, di selang selikan dengan roti. Selain cheese, hidangan fondue ini juga terkenal dengan Chocolate Fondue di sini.

Turut menyertai kami makan pada petang itu ialah Jennifer dan Dimitri yang juga baru pulang dari aktiviti hujung minggu masing-masing. Sebagai penutup mulut, kami kemudiannya dihidangkan dengan ais krim coklat terkenal di Switzerland iaitu Movenpick beserta buah badam disalut coklat khas.

Tidak cukup dengan Fondue, keesokan paginya Janine menjemput teman lelakinya, Mathias untuk menyertai kami brunch sebuah terma kacukan di antara breakfast dan lunch pada jam 10 pagi. Kali ini hidangan yang disediakan ialah Rosti, sebuah makanan asli Swiss yang disediakan melalui potongan kentang. Potongan kentang ala-fries ini kemudiannya digoreng tanpa minyak (hanya menggunakan planta). Menariknya, meja dipenuhi dengan hidangan lain seperti scrambled egg, roti potong, mentega, madu, pepperoni keju, jem buahan, buah-buahan seperti pear, potongan ikan salmon, yogurt serta cheese khas buatan rakan Mathias.

Menurut Mathias, cheese tersebut dibuat sendiri oleh rakannya dari lembu yang dipelajari dari peladang di pedalaman ketika menjalani program aktiviti sosial selama enam bulan. Jadi selain makanan utama iaitu Rosti, setiap orang boleh memilih bagaimana mereka mahu makanan tersebut dimakan. Aku yang agak keliru terpaksa menanti dan melihat bagaimana semua orang makan dahulu. Akhirnya aku memilih untuk makan scrambled egg, roti disalut cheese, butter dan madu yang diadun dengan Rosti, serta merasa potongan ikan Salmon dan pepperoni begitu sahaja. Aku lega apabila Janine berkata agak lama juga mereka tidak berkumpul dan makan dengan begitu gembira seperti pada hari tersebut. Sekurang-kurangnya kedatangan kami menggembirakan mereka.

ENGELBERG & GUNUNG TITLIS

KEDATANGAN ke Lucerne tidak akan lengkap sekiranya tidak mengambil peluang menaiki kereta kabel ke puncak Gunung Titlis di Engelberg, 40 minit perjalanan menaiki tren dari stesen keretapi Lucerne.

Kami membuat keputusan untuk mengambil tren seawal jam 8.06 minit. Untuk tiket pergi dan balik kami membayar sebanyak CHF 34.80 (seorang) sehingga ke stesen Engelberg. Walaubagaimanapun akibat projek penambahbaikan, tren dari Lucerne berhenti di stesen Stans. Dari stesen Stans kami perlu menaiki bas yang disediakan untuk ke stesen Engelberg. Pemandangan perjalanan tren dari Lucerne ke Stans menampakkan kami semakin menghampiri kawasan gunung apabila salji memenuhi di kiri dan kanan.

Begitu juga dengan perjalanan menaiki bas apabila perubahan ketara ketika meninggalkan kawasan kota yang dipenuhi bangunan, kami menuju ke kawasan lapang yang dipenuhi salji, jarak diantara rumah yang semakin besar serta rumah-rumah di atas kawasan bukit. Ketika sampai di stesen Engelberg, salji turun agak lebat. Setelah membeli tiket kereta kabel di stesen tersebut (CHF 62 seorang), kami perlu berjalan kaki menghala ke kaki gunung Titlis sekitar 200 meter.

Dari kaki gunung, kami mula menaiki kereta kabel kecil (muatan 4 penumpang) menghala ke Gerschnialp (1262m) dan Trubsee (1800m). Dari Trubsee, kami perlu menukar kereta kabel kepada yang lebih besar sedikit. Pada kali ini yang menyertai kami menaiki puncak Titlis ialah warga Swiss yang buat pertama kalinya pada musim sejuk ini mula bermain ski. Mereka hadir dengan peralatan seperti helmet, penutup mata, but ski dan peralatan ski yang lain.

Terdiri daripada pelbagai peringkat umur, kereta kabel kali ini boleh memuatkan sehingga 15 orang termasuk peralatan ski mereka.

Dari Trubsee kereta kabel mendaki sehingga ke Stand (2428m). Di sini semua pengunjung perlu turun dan menaiki satu lagi kereta kabel menuju ke puncak iaitu Klein Titlis (3028m). Kereta kabel ini berbentuk bulat dan berpusing ketika naik, membolehkan pengunjung menikmati pemandangan 360 darjah. Malangnya pada kali ini salji turun agak lebat dan menghadkan pemandangan.

Klein Titlis adalah platform yang dibina dengan 5 tingkat, setiap satunya mempunyai fungsi seperti restoran, pusat pemandangan, kedai barangan dan lain-lain. Puncak Titlis yang sebenar adalah 200 meter lebih tinggi iaitu 3239 meter. Walaupun pemandangan yang terhad akibat cuaca buruk, kami sempat menaiki Titlis Cliff Walk iaitu jambatan gantung dengan ketinggian 500 meter pada ketinggian 3041 meter, jambatan gantung tertinggi di Eropah.

Engelberg pertama kali disebut sebagai Engilperc pada 1122, dipopularkan oleh keluarga Cattani, Hess dan Odermatt yang banyak membina hotel menjadikannya dikenali sebagai pusat pelancongan. Kini ia menjadi pusat ski yang terkenal terutamanya untuk pergunungan Ulner Alps.

Selesai makan jam 7 petang, Janine membawa kami berjalan di celah deretan bangunan di kawasan kota lama Lucerne. Ketika berjalan beliau menceritakan serba sedikit sejarah kota lama Lucerne sejak dari kejatuhan empayar Roman pada abad ke-6, kemasukan orang Alemniac dari Jerman, merdeka sendiri pada 1178 sehingga kepada kota katolik-Swiss dari 1520 hingga 1798. Ini menerangkan mengapa mereka menggunakan bahasa Jerman berbanding Perancis di sini.