PERSEPSI TERBIAR SEPI - 14
PERNAH saya dikritik Pernah. Tentu pernah.

Sebab dengan kritikanlah saya mampu teruskan langkah dalam setiap satu hal yang saya perjuangkan. Berkesempatan untuk memikirkan mana satu yang salah dan mana satu yang benar. Mana satu yang patut diutamakan, mana satu yang patut diletak tepi. Dengan kritikan, saya tahu hasil saya dipandang. Ada yang mahu peduli tentangnya.

Kebanyakan kritikan saya lebih gemar menjawab dalam bentuk penulisan. Tapi tak melulu. Saya gemar mencari ruang terlebih dahulu kemudian memikirkan jawapan yang cerdik dan mendidik khalayak. Sebab saya bimbang emosi akan mendahului akal.

Dengan tulisanlah saya dapat berhati-hati dengan segala perkataan yang akan dihidangkan kepada khalayak. Agak-agak tak kena, masih boleh dipadamkan. Bahkan saya meletakkan diri saya sendiri sebagai pembaca. Baca lagi dan lagi sampai hati benarbenar terasa lapang.

Kalau benar ada bahagian yang saya salah, saya tak berdalih. Saya berlapang hati untuk menerima sebarang teguran, tapi tegurlah bil hikmah. Kritikan bukan untuk dihapus tetapi diurus. Kemaafan bukan menjatuhkan tetapi meredupkan. Apabila saya mempunyai hujah menidakkan kritikan, sama-samalah hormati pandangan masing-masing.

Saya lebih yakin tulisan akan menangkap mata manusia. Memberi ruang untuk mereka berfikir dan membuat penilaian dengan setiap aksara yang tercatat. Saya berkesempatan untuk menyelitkan pelbagai corak tarbiah dan ibrah ke dalam penulisan. Andailah ada penulisan saya yang diambil oleh pembaca sebagai sebuah inspirasi, betapa saya bersyukur. Moga-moga menjadi saham kekal saya di alam akhirat.

Kalau ada kritikan yang memerlukan saya menjawabnya secara lisan dan berhadapan, pada waktu yang sama, saya hanya menuturkan perkara yang saya rasakan perlu sahaja. Setakat yang saya mampu teguhkan alasannya. Atau sekadar meminta maaf untuk hal yang lebih meredupkan keadaan. Pilihan yang paling waspada adalah diam dan tersenyum. Raikan kritikan mereka terlebih dahulu dengan menjadi seorang pendengar yang baik.

Apa-apa pun, segala-galanya perlukan jawapan atau maklum balas yang berhemah. Minta Allah pimpin hati kita semoga sepanjang waktu bersedia dengan sikap dan keperibadian mahmudah. Saya menulis dari hati, segala sentuhan kerja Ilahi.