BANDUAN AKHIR - 14
GERBANG hitam terbuka luas menyambut kehadiran di ruang meletak kereta Penjara Pudu, Kuala Lumpur. Kalau dulu sekadar memandang dari jauh, kaki penulis sendiri akhirnya menjejak tanah yang menyimpan seribu satu duka terhadap banduan.

Macam-macam perasaan berdetik di sanubari. Terasa kuat emosi yang ditinggalkan banduan yang pernah menghuni penjara yang digeruni itu. Rasa amarah, benci, dengki, sedih, sayu, kecewa tergambar jelas pada dinding batu yang kusam, comot lagi berlumut.

Jika tidak kerana menyusul pelawaan dramatis Sheila Rusly yang sedang dalam penggambaran projek terbaru untuk TV3, Sebuah Ijtihad, tidak mungkin penulis akan sampai ke sana.

Drama itu berkisar mengenai tiga banduan wanita yang terpaksa akur dengan hukuman yang dijatuhi ke atas mereka. Tiga cerita berbeza namun punya mesej serupa. Cat dilakonkan Sheila dan Zack pula dibawakan penyanyi gelek 45 darjah, Mas Idayu. Pun begitu, fokus lebih tertumpu kepada Sofia Jane. Mana tidaknya, lebur dengan pujukan Sheila, Sofia akhirnya kembali beraksi di kaca TV selepas hampir 11 tahun tidak berbuat demikian. Tentu ramai masih ingat lakonan Sofia yang begitu hebat dalam filem Perempuan, Isteri dan ... .

Dia menjadi isteri yang bermain kayu tiga malah sanggup membuat nasi kangkang bagi santapan suaminya. Kemudian menerusi filem Puteri Gunung Ledang (PGL), Sofia melakonkan watak Tun Teja yang terkenal dalam Sejarah Melayu. Sekalipun kemunculannya hanya seketika, tetapi ia tetap berbekas. Kini, menerusi Sebuah Ijtihad arahan Jinggo, Sofia tentunya akan memberikan sebuah lakonan yang mantap sebagai Ida, pengedar kosmetik yang dianiaya suaminya sendiri sehingga merengkok dalam penjara. Apakah persiapan Sofia ke arah watak itu

Sebenarnya, saya tidak membuat sebarang homework pun untuk meng-

hidupkan watak Ida ini. Saya lebih senang menghayatinya di lokasi penggambaran saja. Saya tak begitu selesa merencana sesebuah lakonan, sebaliknya membiarkan ia datang secara natural, jelas ibu tiga anak ini.

Lagipun kata Sofia, drama ini sebuah kisah yang membabitkan pembawaan emosi berat, bukan fakta sejarah atau mitos yang boleh dibuat kajian mengenainya. Sheila selaku produser Js Pictures Sdn Bhd bersama suaminya, Jinggo, berkata bukan mudah mencairkan hati Sofia untuk kembali berlakon selepas sekian lama.

Sofia lembut hati selepas melihat sinopsis yang kami kirimkan kepadanya menerusi faks. Bagi kami, ia adalah satu penghormatan apabila Sofia sudi berlakon semula, kata Sheila dengan bangga.

Celah Sofia kembali, Kalau besi, dah lama ia berkarat, inikan pula kalau lama tak berlakon. Saya terpaksa berkira untuk berlakon semula kerana bukan senang membuat dua kerja dalam satu masa. Keluarga sekarang adalah keutamaan dan saya tidak dapat membayangkan kalau berlakon sambil menjaga anak-anak.

Sebenarnya berlakon bagi saya bukan lagi satu kerjaya, sebaliknya lebih kepada untuk menggilap semula bakat. Janji orang tidak terus lupa dengan Sofia Jane, katanya tersenyum.

Jinggo yang ditemui di lokasi terbabit mengakui buat pertama kalinya dia membuat penggambaran lebih 80 peratus babak di penjara sebenar.

Kami terpaksa berpuas hati dengan Penjara Pudu memandangkan polisi di Penjara Kajang lebih ketat dan perlu dihormati. Alhamdulillah, walaupun Penjara Pudu masih menahan pesalah yang kebanyakan tahanan reman, jumlahnya tidaklah seramai Penjara Kajang. Jadi gangguan penggambaran juga kurang, katanya yang melahirkan idea utama skrip projek ini bersama Sheila sewaktu pulang dari penggambaran drama Tain.

Sebuah Ijtihad yang membawa maksud `definisiku, mengambil masa penggambaran lebih kurang 10 hari bermula 13 November lalu. Antara lokasi utama termasuklah Penjara Wanita Kajang, Putrajaya dan Penjara Pudu. Drama berat ini dijangka ke udara di TV3 sekitar Januari depan.

Dulu Nasi Kangkang, Sekarang Pula

Banduan

Oleh Suzan Ahmad 26/11/2006