TRAGEDI TSUNAMI DAN GEMPA BUMI - 14
Malaysia yang terletak di atas pentas benua di antara Lautan Hindi dan Lautan Pasifik sememangnya merupakan sasaran tsunami kerana pentas benua yang cetek berbanding dengan kawasan lautan yang lebih dalam menyebabkan magnitud atau kekuatannya bertambah berlipat kali ganda.

Berbanding dengan arus lautan biasa yang disebabkan oleh tiupan angin bergerak selaju kira-kira 20 km sejam, tsunami bergerak pada kelajuan yang terlalu tinggi, iaitu kira-kira 800km sejam.

Ketika bergerak di kawasan laut terbuka yang dalam, gelombang tsunami bergerak jauh dari permukaan laut dengan jarak gelombang yang panjang sehingga berukuran lebih dari 100km. Akibatnya, pergerakan tsunami ini tidak dapat dirasai oleh kapal yang berada di permukaan laut pada lokasi berkenan.

Sebaliknya, apabila gelombang tsunami sampai di atas pentas benua dan menghampiri pantai, jarak gelombangnya menjadi pendek disebabkan laut telah menjadi cetek, iaitu kedalaman laut di kawasan ini jauh berbeza dari kedalaman laut di mana tsunami dihasilkan. Akibatnya, tsunami ini memperoleh tenaga yang kuat sehingga boleh menghasilkan gelombang setinggi 30 meter.

Malapetaka tsunami yang melanda Malaysia ini telah mendatangkan kesedaran bahawa negara kini terdedah kepada suatu kesan bencana alam yang hebat yang boleh memusnahkan sebahagian negara ini dengan sekelip mata sahaja.

Amatlah wajar bagi Malaysia merancang dan mengambil tindakan bagi bersedia menghadapinya. Sekurang-kurangnya jumlah kemalangan jiwa dan kerosakkan harta benda bolah dikurangkan.

Dalam perkara ini, alternatif terbaik yang boleh diambil ialah menggunakan perkhidmatan satelit bagi mengesan kejadian tsunami beberapa jam sebelum tsunami sampai ke Malaysia. Kaedah ini amat berkesan kerana tsunami yang berlaku di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik akan mengambil masa selama beberapa jam sebelum sampai ke perairan negara ini.

Satelit yang sesuai digunakan untuk mengesan tsunami adalah satelit GEOS (Geostationary Operational Environmental Satellite) yang beroperasi bersama dengan program DART (Deep Ocean Assessment and Reporting of Tsunamis), suatu program khas yang diwujudkan di beberapa buah negara bagi mengesan tsunami pada peringkat awal.

Sistem ini berfungsi dengan menggunakan pengesan seismik yang diletakkan di dasar laut. Alat ini dapat mengesan perbezaan tekanan apabila terdapat pergerakkan tsunami di dalam air laut di atasnya, walaupun perbezaan tekanan yang dihasilkan adalah kecil dan tidak boleh dirasai oleh bot yang berada di kawasan itu.

Data tekanan tsunami yang dikesan ini disalurkan dalam bentuk gelombang bunyi yang kemudiannya dikesan pula oleh apung-apung yang dilengkapkan dengan hidrofon (hydrophone) yang diletakkan di permukaan laut.

Apung-apung ini juga dilengkapkan pemancar bagi memancarkan gelombang kepada satelit GEOS yang berada di orbit geopegun. Satelit ini seterusnya menyampaikan maklumat tsunami berkenaan kepada stesen-stesen satelit di Bumi.

Maka, stesen-stesen ini boleh memaklumkan pihak kerajaan tempatan atau pihak-pihak berkenaan agar langkah-langkah persediaan boleh dilaksanakan bagi menghadapi tsunami.

Dengan langkah persediaan inilah kemalangan jiwa dan kerosakkan harta benda boleh dikurangkan.

Jika sistem GEOS ini diguna pakai di Malaysia, pengesan seismik dan apung-apung ini sesuai dipasang di bahagian utara pantai barat semenanjung Malaysia bagi mengesan tsunami dari Lautan Hindi, dan pantai utara dan pantai timur Sabah bagi mengesan tsunami dari Lautan Pasifik.

Sistem satelit yang digunakan untuk meramal kewujudan arus lautan luar biasa ini pula adalah sistem satelit TOPEX-Poseidon (Ocean Topography Experiment-Poseidon).

Satelit TOPEX-Poseidon boleh menghasilkan peta topografi permukaan laut dengan menggunakan kombinasi sistem laser pencarian-jarak (range-finder laser) dan altimeter yang terdapat pada satelit berkenan.

Peta topografi ini dapat memberikan maklumat yang membolehkan saintis meramalkan kewujudan arus lautan luar biasa.

Arus lautan luar biasa adalah arus yang bergerak pada arah yang bertentangan dengan arus lautan biasa dan mempunyai momentum yang besar. Arus ini terhasil akibat dari interaksi kompleks di antara lautan dan atmosfera di mana berlakunya proses pengaliran haba di antara kedua-dua lapisan air ini.

Kestabilan proses pengaliran haba ini pula dipengaruhi oleh arus lautan. Perubahan ketinggian gelombang boleh mengubah arus lautan dan seterusnya mengganggu kestabilan proses pengaliran haba di antara lautan dan atmosfera.

Akibatnya terhasil pula arus lautan luar biasa. Kesan-kesan malapetaka El-Nino yang berlaku beberapa tahun lalu adalah diakibatkan oleh arus lautan luar biasa ini. Peta topografi permukaan laut yang dihasilkan oleh pencerapan oleh satelit TOPEX-Poseidon menunjukkan perbezaan ketinggian gelombang di permukaan laut boleh meramalkan kejadian arus luar biasa ini.

Selamatkah Bangunan di Malaysia.

Gempa bumi berlaku setiap hari tetapi kebanyakannya kecil dan tidak menyebabkan kerosakan. Gempa bumi yang kuat mampu menyebabkan kerosakan dan kehilangan nyawa yang besar, apabila gegaran yang diukur melebihi lapan Skala Richter.

Dalam kejadian pada 26 Dis 04, Malaysia turut merasakan gegaran kuat gempa bumi di Barat Laut Sumatera Indonesia, mengakibatkan suasana panik di kalangan penghuni bangunan tinggi hampir di seluruh negara

Gegaran selama kira-kira dua minit pada jam 8.58 pagi itu menyebabkan penghuni bangunan tinggi bergegas turun kerana bimbang keselamatan diri masing-masing. Lebih membimbangkan gempa bumi bawah dasar laut itu turut menyebabkan gelombang besar dikenali Tsunami yang meragut puluhan ribu nyawa dan membawa kerosakan harta benda, selain gerak gempa di daratan menyebabkan belahan bumi, sekali gus berlaku rekahan dan menelan runtuhan itu.

Justeru, Malaysia perlu mengkaji kesan gegaran terhadap keutuhan struktur bangunan berikutan gegaran yang berlaku sejak 10 tahun lalu di negara jiran turut dirasai di sini.

Kedudukan negara yang hampir dengan plat tektonik Indo-Australia yang sangat aktif dan bergerak pada kadar kira-kira 70 milimiter setahun ke arah Barat Semenanjung adalah satu fakta yang membimbangkan.

Kebelakangan ini, kesan gempa di negara jiran telah membuka mata dan memberi kesedaran terhadap kemungkinan ancaman ke atas bangunan di bandar utama di negara kita. Selama ini, kita menganggap negara kita yang letaknya di atas Pelantar Sunda yang stabil dan di luar lingkup gempa bumi rantau Asia Tenggara berada dalam kawasan yang selamat. Di sepanjang kedua-dua plat tektonik ini, ada beberapa faults aktif yang menyebabkan gempa bumi yang besar di sumatera.

Beberapa gegaran yang sangat ketara dialami beberapa bangunan di semenanjung berpunca daripada gempa bumi di Sumatera pada 1991, 1996 dan 1999 sehingga mencemaskan penghuni beberapa bangunan yang kebanyakannya bergegas keluar meninggalkan bangunan itu.

Kesan gempa bumi di negara jiran yang membabitkan gegaran yang ketara direkodkan di beberapa bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bahru, Pelabuhan Klang, Sitiawan, Lumut dan Petaling Jaya.

Walaupun semenanjung letaknya kira-kira 350 kilometer dari garisan gelincir di Sumatera, gegaran tetap dirasai Indonesia juga adalah negara yang agak banyak mengalami gempa bumi antara 1991 hingga 2000. Negara itu mengalami hampir 2,000 gempa bumi.

Walaupun Malaysia bukan dalam lingkungan kawasan berlakunya bencana, tetapi tetap terdedah kepada bencana disebabkan kita terletak dalam kawasan laut terbuka. Risikonya tetap tinggi kerana kekerapan gegaran semakin ketara. Tsunami yang boleh berlaku akibat pergerakan di dasar laut pada kedalaman sehingga 100 kilometer. Kejadian 26 Dis 2004 adalah pada kedalaman 40 km. Kesannya sangat buruk. Bayangkan jika pergeseran berlaku pada kedalaman yang lebih jauh..! Mungkin tidak ada apapun yang dapat diselamatkan.

Justeru bencana seperti ombak besar dan angin taufan dari kawasan luar boleh melanda negara bila-bila masa seperti yang dibuktikan oleh fenomena tsunami. Kira-kira 25,000 tahun dahulu, sebuah gunung di Tawau Sabah pernah meletup. Sehubungan itu, kemungkinan dia berlaku (meletup) akan datang, adalah tidak mustahil.

Perubahan paradigma penting sebagai langkah berjaga-jaga dan sikap kewaspadaan yang tinggi terhadap apa jua juga yang berlaku di luar Malaysia kerana ia boleh membawa kesan kepada negara.

Sebuah institusi perlu diwujudkan bagi memantau sebarang perkembangan berkaitan bencana yang berlaku di luar negara bagi membolehkan pengawasan dan pemantauan dilakukan. Institusi tersebut dapat menghimpunkan kepakaran dalam pelbagai bidang berkaitan bencana alam yang akan menilai dan meneliti setiap rekod bencana yang diterima.

Antara kejadian gegeran yang dirasai beberapa bandar utama di Malaysia sebelum ini ialah:

Mei 1994: Gegaran di Kuala Lumpur dirasai berpunca daripada gempa bumi berdekatan Kepulauan Siberut, 570 km dari Semenanjung, dengan magnitud 6.2 skala Richer.

1995: Gegaran di sekitar Johor Bahru berpunca daripada gempa bumi 450 km dari perairan Johor. Beberapa bangunan tinggi terutama di Johor Bahru terasa gegaran itu. Magnitud 7 Skala Richter.

1996: Gegaran dirasai di beberapa bandar iaitu Sitiawan, Tronoh, Lumut di Perak: Pulau Pinang serta Kuala Lumpur dan Petaling Jaya di Selangor, hasil gempa bumi 300 km dari perairan Perak dengan magnitud 5.4 skala Richter.

Jun 2000: Gegaran di Johor Baharu, Pontian dan beberapa perumahan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya seperti Flet Pekeliling, Taman Desa, dan Taman Desa Impian berpunca gempa bumi Sumatera dengan magnitud 7.5 skala Richter.

November 2003: Gegaran di Pulau Pinang dan Pelabuhan Klang, Selangor, disebabkan gempa bumi di Sumatera.

Gegaran itu menyebabkan kerosakan struktur yang ketara di beberapa bangunan tinggi. Penghuninya pula cemas seperti pada November 2002 apabila beribu-ribu orang keluar meninggalkan kediaman mereka.

Kajian yang dijalankan pada 2003 ini merangkumi langkah menilai semula kaedah dan amalan reka bentuk bangunan awam terhadap kesan sismik, menilai keutuhan bangunan awam di Semenanjung dengan penekanan terhadap kelemahan sistem struktur bangunan sedia ada terhadap gegaran dan penilaian hazard sismik bagi Semenanjung.

Kajian ini membabitkan penilaian ke atas 75 bangunan awam di beberapa bandar utama seperti Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur, Seremban dan Johor Baharu, terhadap keutuhannya jika berlaku gegaran.

Mengikut satu laporan yang disiarkan laman web rasmi Jabatan Kaji Cuaca, Malaysia terletak berhampiran dua sempadan pertembungan kepingan yang aktif keseimikannya iaitu sempadan pertembungan antara Kepingan Indo-Australia dan Kepingan Eurasia di sebelah barat dan sempadan pertembungan antara Kepingan Eurasia dan Kepingan Laut Filipina di sebelah timur.

Gegaran gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di sempadan pertembungan kepingan itu dapat dirasai gegarannya di Malaysia. Gegaran gempa bumi yang dirasai di Pantai Barat Semanjung berpunca daripada gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di Sumatera dan Laut Andaman.

Bagi Sabah dan Sarawak pula, di samping menerima gegaran gempa bumi bermagnitud besar yang berpusat di Selatan Filipina dan Utara Sulawesi, Sabah dan Sarawak juga mengalami gempa bumi bermagnitud kecil hingga sederhana.

Gegaran gempa bumi sebelum ini yang turut dirasai penduduk di beberapa tempat di Selatan Johor ialah pada jam 10.35 malam 25 Julai lalu, apabila gempa bumi melanda Selatan Sumatera pada kedudukan latitud 2.9 darjah ke Selatan dan 103.8 darjah ke Timur dengan catatan 7.6 skala Richter.

Sebanyak 27 kali gempa bumi yang dirasai di semanjung di antara 1909 dan 2003 kali di Selangor/Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dengan 27 kali, Pulau Pinang (21), Johor (16 kali), Melaka dan Pahang (tiga), Negeri Sembilan, Perak, dan Kelantan (dua), Kedah (Enam) dan satu di Perlis. Di sabah pula 19 gegaran dirasai antara 1923 hingga 2003 manakala di Sarawak, tiga kali.

Dalam kejadian pada 25 Julai 2004 di Gelang Patah, 24 keluarga yang mendiami Blok B perumahan Kakitangan Awam Komplek Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang, terpaksa dipindahkan apabila bangunan terbabit retak akibat gempa bumi Sumatera Selatan, Indonesia.

Gempa bumi selama 10 saat itu menyebabkan keretakan pada kebanyakan bahagian dinding, lantai dan tiang bangunan setinggi tujuh tingkat itu yang didiami kira-kira 100 penghuni. Kejadian gempa bumi tektonik dengan kekuatan 7.3 pada Skala Richter itu berpusat di sekitar 100 kilometer ke Barat Laut Kota Palembang, Sumatera Selatan, dirasakan di sebahagian besar kepulauan di repulik itu.

Pada 2 Mei 2004, gegaran gempa bumi dengan kekuatan 4.8 pada skala Richter yang berpusat di Laut China Selatan pada jam 7.29 pagi mengejutkan ribuan penduduk yang tinggal sepanjang pesisiran pantai dari Bintulu, Niah sehingga ke Miri.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira lima saat itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kecuali beberapa kerosakan kecil pada bangunan dilaporkan di Bintulu. Catatan yang diperoleh Jabatan Perkhidmatan Kaji Cuaca menunjukkan pusat gempa bumi itu di Laut China Selatan. Pada garis lintang 4.2 darjah utara dan garis bujur 113.2 darjah timur. Kedudukan pusat gegaran berkenaan ialah kira-kira 90 kilometer dari Miri: 120 kilometer dari Bintulu Kuching (430 km) dan Kuala Lumpur (1,290 km).

Mengikut pusat maklumat gempa bumi Kebangsaan di Amerika Syarikat, kekuatan gempa bumi dibahagikan kepada beberapa peringkat Skala Richter iaitu sangat kecil (0-3), kecil (3-3.9), ringan (4-4.9), sederhana (5-5.9), kuat (6-6.9), lebih kuat (7-7.9) dan besar (8 dan ke atas).