Pertama, kau mesti kena tengok betul-betul siapa penganjurnya
Tanya orang yang biasa berniaga tentang penganjur, apakah mereka baru atau memang sudah biasa menganjurkan ekspo. Penganjur ini amatlah penting. Jika kau dapat budak baru yang hendak mula anjurkan ekspo, kau sedang pilih untuk tanggung risiko acara itu tidak meletup dan tidak ada pengunjung seperti yang kau jangka. Kedua, kau mesti kena tengok apakah bentuk program dan di mana lokasi penganjurannya. Jika lokasi dibuat di tempat yang kau sendiri pun tak pernah tahu, ini bahaya. Kena tengok betul-betul supaya kau selamat.
Seterusnya, kau mesti tanya betul-betul apakah kadar sewa tapak sepanjang program itu berlangsung. Buat kira-kira kos agar kadar sewa yang kau bayar itu berbaloi. Kalau kau tidak mampu untuk sewa seorang, ajak kawan-kawan untuk menumpang sama. Tong-tong kos sewa tapak dan bahagi keluasan tapak baik-baik. Biasanya, bagi program yang sudah ada nama dan reputasi baik, kos sewa tapak memang agak tinggi. Tapi kau jangan bimbang, program yang ada track record baik biasanya kadar kedatangan pengunjung sangat tinggi. Berbaloi kalau kau ambil tapak untuk program begini. Dan akhir sekali, kau mesti kena tengok timing. Kalau boleh masuk mana-mana ekspo yang jatuh pada waktu orang sudah gaji. Biasanya hujung bulan, sebagai peniaga jalanan begini, kau memang kena alert dengan tarikh gaji orang lain.
Dalam banyak-banyak ekspo yang aku masuk berniaga, aku paling tak boleh lupa pengalaman berniaga di Monica Bay.
Kau tahu di mana Bukan di luar negara woi, Monica Bay terletak di Kemaman, Terengganu. Nama tempatannya ialah Pantai Teluk Mak Nik. Ha tahu, kan Dulu, sewaktu jalan baru Lebuhraya Pantai Timur belum siap, semua orang yang mahu ke Pantai Timur cuma ada dua pilihan sahaja. Ikut jalan Gua Musang atau pilih jalan pantai melalui Kemaman, Cherating, Kerteh dan seterusnya sampai ke Dungun dan Kuala Terengganu. Kedudukan Monica Bay yang amat strategik di tepi laluan jalan besar ini menjadi pilihan ramai penganjur ekspo untuk buat event.
Seperti biasa pada waktu itu, aku masih lagi mengikuti program kendalian Berita Harian dan Bank Rakyat iaitu Karnival Memancing yang diadakan di seluruh Malaysia. Disebabkan kami biasa masuk berniaga di lokasi penganjuran di tempat lain, penganjur tawarkan kami harga baik untuk masuk di situ. Aku memang tidak lepaskan peluang untuk ke Terengganu, bukan sahaja seronok berniaga, malah di situ ada pantai yang cantik dan makanan yang sedap-sedap. Aku mula membayangkan satar, keropok lekor dan segala macam makanan orang Pantai Timur yang menyelerakan di sepanjang jalan.
Kali ini, aku pilih untuk menjual spek mata hitam, pakaian, topi dan beberapa aksesori memancing yang aku dapatkan di sekitar Lembah Klang. Kau boleh pergi borong semua ini di sekitar Chow Kit dengan harga yang cukup murah. Penuh Perodua Kancil aku dengan barang jualan, begitu jugalah dengan van Rusa milik BS. Kami sama-sama konvoi menuju ke Kemaman dengan begitu bersemangat sekali. Sampai di tapak jualan, kami melihat lokasi yang dikhaskan untuk kami memunggah barang berniaga. Selepas beberapa ketika berehat dan solat, aku dan BS mula menyusun semua barang jualan sekemas mungkin di atas meja. Di mana yang boleh sangkut, aku sangkut. Kedai kami nampak meriah sekali, begitu juga dengan kedai jiran-jiran lain.
Seperti biasa, aku akan meluangkan masa untuk berjalan-jalan ke kedai jiran lain. Sambil bersalaman dan berkenalan, kami saling merapatkan ukhwah. Biar kita mulakan, kau tak payah tunggu orang datang bagi salam pada kau. Kita kena mulakan dahulu, barulah betul. Ada yang aku kenal dan ada juga muka-muka peniaga yang aku tak pernah jumpa. Kami diibaratkan seperti satu keluarga, masing-masing seronok mahu memulakan jualan. Apabila tiba waktu petang, penduduk tempatan mula datang jalan-jalan sambil letak tangan di belakang pinggang. Kau boleh bayangkan macam mana suasananya Mereka datang ushar-ushar barang jualan dan mencuba itu ini tetapi mereka masih belum membeli apa-apa. Ini pengalaman baharu bagi aku, satu suasana yang agak berbeza berbanding lokasi lain. Dan suasana ini semakin meriah apabila tiba waktu malam.
Ketika berjualan di ekspo, kau tak boleh meletakkan harga tinggi-tinggi. Persepsi pengunjung apabila masuk ke ekspo-ekspo begini ialah mereka boleh membeli banyak barang dengan harga yang murah. Kata kunci murah itu sudah mereka tanam dalam kepala. Dan, biasanya seorang pengunjung akan menyediakan bajet sekurang-kurangnya RM50 seorang untuk membeli apa sahaja sepanjang hari termasuk rokok dan makan minum. Sebagai contoh, spek mata hitam Orichina berjenama Ray Ban yang aku beli di Chow Kit dengan harga borong sebanyak RM2.50 akan dijual pada harga RM10 sahaja setiap satu. Barang yang berharga RM10 jarang ditawar menawar oleh pengunjung, mereka akan cuba, lihat cermin dan bayar sahaja. Ini memang kategori beli untuk tahan panas terik matahari, silau cahaya dan mungkin untuk pakai buang sahaja.
Sepanjang tiga hari acara berlangsung, aku dan BS memang sibuk dari pagi sampailah ke tengah malam. Penduduk tempatan yang entah dari mana ramainya menyerbu ekspo ini sehinggakan semua orang berniaga jadi huru-hara. Rupa-rupanya, seorang penduduk di situ memberitahu aku, orang Kemaman memang sentiasa menantikan ekspo begini. Mereka hanya akan berbelanja sakan ketika ekspo dianjurkan kerana mereka tahu ramai peniaga dari luar membawa barang-barang baru dan rare untuk dijual. Ini ada betulnya! Sebab aku tengok selera mereka membeli bagaikan naik hantu. Sampaikan seluar Columbia PFG yang aku pakai pun diminta buka, ada seorang pengunjung mahu sangat-sangat! Allahu, aku londeh juga seluar itu, masukkan dalam plastik dan jual dengan harga RM100. Pada hal, itu antara seluar outdoor yang paling aku sayang. Tapi tak mengapalah, aku boleh dapat lagi nanti.
Dan aku amatlah terkejut selepas mengira jumlah jualan kami untuk ketiga-tiga hari tersebut yang hampir mencecah RM18,000 dengan hanya menjual barangan seperti yang aku nyatakan tadi. Aku senyum dan begitu puas sekali. Begitu jugalah dengan BS, kami datang dengan penuh barang dan pulang dengan senang hati. Aku habiskan sesi berniaga di situ dengan menikmati satar panas-panas bersama keropok lekor fresh di tepi Kuala Kemaman.