RETRO BOLA SEPAK - 14
I

Bercerita tentang sejarah dan kenangan bola sepak Malaysia sekitar 1950an hingga awal 1980an memang membahagiakan. Barisan legenda daripada skuad amatur Malaysia telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan 1980 di Moscow, di mana mereka turut menang dua butir pingat gangsa: iaitu pada Sukan Asia 1962 di Jakarta dan 1974 di Tehran.

Kendatipun, tatkala kita mendabik dada dengan liga tempatan yang dikatakan bertaraf profesional, kita tampak semakin melangkah berundur ke belakang. Beberapa tahun dahulu, terdengar sasaran skuad kebangsaan untuk layak ke Piala Dunia dalam masa terdekat. Namun, berdasarkan kedudukan kita dalam ranking FIFA dan prestasi semasa, perjalanan dilihat semakin mencabar dan sukar.

Kegagalan mengekalkan Piala AFF Suzuki 2012, selepas gagal ke Sukan Olimpik 2012 di London dan Piala Dunia 2014 di Brazil, seharusnya menjadi penggera kebangkitan yang berdesing kuat di gegendang telinga kita.

II

Antara kaedah untuk memajukan sukan di sesebuah negara itu ialah perlunya persatuan sukan terbuka dan berlapang dada dalam menerima pandangan dan kritikan konstruktif. Allahyarham SuperMokh sendiri selaku pencinta bola sepak yang tegar turut melontar kritikan menerusi komentarnya dalam majalah dan akhbar.

SuperMokh, legenda yang sangat kita rindui, atas kesungguhan beliau, tahap penumpuan yang tinggi, dan seorang pemain bola sepak berdisiplin yang pasti dikenang atas kemahiran dan teknik, kepantasan berlari dan kemampuannya dalam menggelecek pertahanan lawan. Beliau merupakan penyerang terbaik yang pernah dilahirkan oleh negara kita dan Asia (dalam eranya).

Malangnya, sepertimana Giggs dan George Best, beliau (selaku pemain yang unggul) tidak dapat beraksi dalam kejohanan Piala Dunia sepanjang kerjayanya. Walaupun kelibat pemain istimewa seperti Mokhtar yang tiada galang gantinya sehingga kini sudah lama meninggalkan kita, bayangan kehebatannya tidak pernah padam apatah lagi apabila mengingati susah payah anak kelahiran Setapak, Kuala Lumpur itu mencipta nama walaupun beliau memang sudah memiliki kurniaan yang tiada pada orang lain.

Masyarakat kita mempunyai kecenderungan untuk menghargai tokoh-tokoh selepas ketiadaan mereka. Sebagai tamsilan, sekiranya SuperMokh, P. Ramlee dan Sudirman masih hidup; adakah kita akan menghargai mereka seperti hari ini

III

Haruskah aku kalah lagi,

setelah kalah dan kalah

Mestikah aku jatuh lagi, setelah

jatuh dan jatuh

Atau harus aku gali kubur

kita berdua dan kutancapkan

tonggak kayu atas

kemenanganku

Keputusannya ada pada

sikapmu dan suasana di

batinku.

--

Sajak Pendek Bagi I.R. Ebiet G. Ade

Lirik yang menyentuh dan membekas karya Ebiet G. Ade ini begitu dekat dengan jiwa saya, usai menonton perlawanan membabitkan skuad senior kebangsaan, seputar Piala Asia AFC 2007. Gelanggang sebesar Stadium Bukit Jalil ketika itu hanya diisi oleh segelintir penyokong bola sepak Malaysia, yang tegar memberi sokongan dan dahagakan kejayaan. Dalam perlawanan menentang Uzbekistan itu, Malaysia tewas 0-5, selepas tewas 1-5 kepada Republik Rakyat China dalam perlawanan pembukaan sebelumnya.

Ketika itu, hampir tiada siapa yang memberikan harapan kepada skuad senior negara untuk mencapai kejayaan. Kendatipun, semua ini mula berubah bilamana skuad Bawah 23 Tahun Malaysia memenangi Pesta Bola Merdeka 2007, dan seterusnya memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 di Laos dan Piala Suzuki AFF 2010.

Rentetan daripada kemenangan tiga kejohanan ini, ramai mula membuka mata dan menghadirkan diri ke stadium. Masing-masing memuji prestasi pemain negara dan tidak kurang memasang tekanan, bahawa skuad negara (yang kemudiannya terkenal dengan gelaran Harimau Malaya) akan kembali menjadi jaguh Asia dan seterusnya layak ke Piala Dunia 2014 di Rio de Janeiro, Brazil.

Namun, kita gagal layak ke Piala Dunia 2014, selepas tewas kepada skuad naturalisasi Singapura dengan agregat 4-6. Seharusnya, jurulatih telah merombak skuad selepas kegagalan tersebut. Malangnya, majoriti pemain yang gagal mengekalkan prestasi, masih dikekalkan.

Pada tanggal 25 November 2012, lagu Sajak Pendek Bagi I.R kembali terngiang-ngiang di gegendang telinga. Kita tidak marah Malaysia kalah: kita pernah diaibkan oleh Laos sewaktu Sukan SEA 1997 di Jakarta. Cuma, kekalahan kepada Singapura dalam perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF 2012 ini membuatkan kita rasa terganggu. Terganggu dengan rentetan persembahan hambar skuad Harimau Malaya sepanjang siri perlawanan persahabatan, yang didakwa oleh jurulatih kebangsaan sebagai perlawanan eksperimen bagi memilih kesebelasan utama negara. Eksperimen tersebut tidak jelas hala tujunya, tatkala terdapat ramai lagi pemain yang beraksi cemerlang dan berpotensi dalam Liga Super dan Piala Malaysia yang tidak diserapkan ke dalam skuad Harimau Malaya.

Tidak sedikit yang menuntut jurulatih skuad negara meletakkan jawatan dek kekecewaan rasa. Lantas, kotak memori saya kembali bergelintar segenap kenangan Piala Asia AFC 2007. Akhir kata, semoga skuad Harimau Malaya tidak kalah lagi, setelah kalah dan kalah. Ayuh, bangkitlah semua, untuk negara. Sokong usah bermusim. Sokong: waktu gagah dan rebah. Selamanya Harimau Malaya.

IV

1. 16hb November 1967 (Kuala Lumpur): New Zealand 8-2 Malaysia;

2. 1hb Disember 1968 (Bangkok, Thailand): Thailand

6-0 Malaysia;

3. 26hb Ogos 1971 (Singapura): India 6-0 Malaysia;

4. 31hb Ogos 1972 (Ingolstadt, Jerman): Maghribi 6-0 Malaysia;

5. 20hb Disember 1978 (Bangkok, Thailand): China 7-1 Malaysia;

6. November 1991 (Stadium Peringatan Rizal, Manila): Filipina 1-0 Malaysia;

7. 1995 (Chiang Mai, Thailand): Vietnam 2-0 Malaysia;

8. 14hb Oktober 1997 (Jakarta): Laos 1-0 Malaysia;

9. 2hb Ogos 1999 (Bandar Seri Begawan, Brunei): Indonesia 6-0 Malaysia;

10. 21hb Januari 2009 (Stadium KLFA, Cheras): Malaysia 0-5 UAE;

11. 7hb Oktober 2011 (Stadium Canberra, Australia): Australia 5-0 Malaysia;

12. 20hb November 2012 (Stadium Shah Alam): Bangladesh mengikat Malaysia, 1-1 (Bangladesh beraksi dengan 10 orang pemain);

13. 11hb Jun 2015 (Stadium Bukit Jalil): Malaysia 0-6 Palestin;

14. 3hb September 2015 (Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi): UAE 11-0 Malaysia;

15. 12hb November 2015 (Stadium Antarabangsa Amman, Jordan): Palestin 6-0 Malaysia;

16. 17hb Jun 2016 (Stadium Port Moresby, Papua New Guinea): Papua New Guinea 2-0 Malaysia;

Senarai di atas menunjukkan sekelumit bukti bahawa pasukan kebangsaan Malaysia meskipun pada zaman kemuncaknya tidak pernah sunyi daripada kekalahan besar dan keputusan mengaibkan. Ya, tatkala Malaysia dibarisi oleh legenda bola sepak negara, kita tetap terpaksa mengakui bahawa kita telah dan sedang - melalui jalan turun-naik yang penuh ranjau dan berliku.

Ya, bola itu bulat dan kadang-kala kekalahan tidak dapat dielakkan. Begitulah lumrah dalam bersukan: ada yang menang, ada pula yang yang kalah. Argentina sendiri pernah tewas 1-6 kepada Bolivia, atas alasan kesukaran para bintang Albicelestes seperti Messi untuk beraksi dalam keadaan altitud tinggi. Tapi, itu kisah Argentina. Kisah kita, kisah bola sepak Malaysia, yang jarang menang perlawanan meskipun kejohanan besar, waima di Asia Tenggara.

" Terguris Sudah tentu. Kecewa Apatah lagi. Tetapi, berjuang; kan tidak boleh mudah patah hati. Sokong mesti terus. Kritik biar berisi. "

Kita berhujah dan menegur kerana kita sayangkan skuad kebangsaan dan maruah sukan negara kita. Bukan sekadar kerana kita tidak berpuas hati dengan kaedah pembangunan bola sepak negara. Sudah beberapa kejohanan kita terlepas, tatkala peminat sudah jenuh mengkritik di kedai-kedai kopi. Pada akhirannya, soalan cepumas yang akan ditanya ialah: Quo vadis, Harimau Malaya Mahu ke mana kita

Perjalanan kita masih jauh. Setiap pihak perlu mainkan peranan. Sebagai penyokong sejati, jika ada ruang dan wang, turunlah ke stadium, menyokong pasukan dan kelab tempatan yang berentap.

Jika ada perlawanan membabitkan Harimau Malaya, turunlah juga ke stadium, untuk memberi sokongan kepada skuad kebangsaan. Mengkritik itu tidak salah, andai saja bersifat membina. Sokong, waktu gagah dan rebah. Dan, sebelum terlupa, semoga jurulatih skuad kebangsaan kita lebih berhati-hati dan peka, dalam memilih kesebelasan utama dan simpanan untuk Harimau Malaya. Bersama kita martabatkan jersi serta liga tempatan kita. Hidup Malaysia kita. Padu.