CINTA RIMAU - 15
Sewaktu Hasya berusia 13 tahun, Hasnah bertemu jodoh dengan Naim, seorang guru Matematik sekolah rendah. Ramai juga rakan-rakan yang mempertikaikan keputusannya untuk berkahwin dengan Naim yang agak baru dikenalinya itu sewaktu mengikuti kursus pendik anjuran sebuah universiti di pinggir kota. Kerana cinta, selain juga dari memikirkan kesanggupan Naim menerima diri dengan seadanya walaupun berstatus ibu tunggal yang belum pernah berkahwin, Hasnah menganggap Naim jodohnya yang telah tersurat. Airmukanya yang lembut, sikapnya yang bersopan serta berbudi bahasa mampu menambat hati sesiapa jua; tidak mengira tua atau pun muda. Naim dianggap sebagai bonus buat puteri tunggalnya, Hasya yang memerlukan kasih sayang seorang bapa bagi memberinya peluang membesar dengan normal sebagaimana kanak-kanak lain.

Namun peribahasa Melayu yang mengatakan air yang tenang, jangan disangka tiada buaya, bukan sekadar direka-reka. Begitulah yang terjadi dalam kisahnya dengan Naim. Di sebalik luarannya yang tenang berhemah, terselit baran yang sepertinya tidak munasabah! Pernah ditempelengnya muka Hasnah dengan tidak semena-mena hanya kerana dia lewat menyiapkan makan tengahari. Keganasan domestik seperti ini bukan hanya sekali dua berlaku, malah beberapa kali juga Hasnah terpaksa ke kolej untuk mengajar dengan keadaan dahi bertampal handi plast gara-gara ditinju Naim yang mengamuk hanya kerana stokinnya hilang!

Meniti zaman di mana perkembangan komunikasinya agak jauh terkebelakang serta tidak berkembang berbanding sekarang, Hasya Leela sewaktu itu mungkin hanya dianggap gadis cilik yang tidak mengerti apa-apa tetapi hakikatnya, anak seusia itu sebenarnya tahu dan peka akan keadaan sekelilingnya. Perbuatan Naim yang beberapa kali cuba meraba-raba punggungnya sering membuat Hasya tertanya: Apakah itu perbuatan normal seorang lelaki kepada budak perempuan Selainnya, bapa tirinya itu juga selalu mengajak Hasya melakukan aktiviti mandi bersama dengan alasan untuk mendidiknya cara mandian berhadas yang betul dan sebagainya tatkala ibunya berpergian mengajar atau ada acara luar sedangkan tatkala usianya sebegitu, pembersihan diri bukan lagi masalah buat dirinya.

Ini adalah kerana, seawal umur lima tahun lagi, Hasya telah diterapkan dengan nilai-nilai displin yang cukup tinggi oleh Hasnah yang mengasuhnya mengemas rumah, mencuci pinggan sendiri, menyidai dan melipat baju serta apa jua perkara yang boleh mendatangkan kebaikan buat si anak di kemudian hari; yang bisa menjadikannya mandiri tanpa mengharapkan bantuan laki-laki. Anak yang bijak seperti Hasya Leela yang terdedah dengan dunia luar dan memahami erti kepayahan sejak kecil lagi diibaratkan

seperti sponge yang cepat menangkap maksud yang tersirat sementelah sedari bayi lagi, dia sering dikelilingi mereka yang jauh lebih dewasa daripada usianya; bukan dengan rakan-rakan akademik ibunya semata dia berkawan, malah dengan pelajar-pelajar Hasnah yang sering ditemuinya apabila sesekali mengikut ibunya itu ke kolej, turut menjadi rakan sepermainan. Maka tidak hairanlah Hasya matang sebelum waktunya.

Keakraban Hasya dengan ibunya juga antara penyumbang faktor dia tidak mengambil masa yang lama untuk mengadu akan salahlaku seksual bapa tirinya Naim itu, kepada Hasnah.

Aduan Hasya itu membuatkan Hasnah menjadi berang, namun cuba dipendamkan perasaan itu dalam-dalam dengan harapan segala kekalutan akan beransur hilang. Namun kesabaran ada batasnya. Pada satu malam, apabila terbangun dari tidur, dilihatnya Naim tiada di ranjang. Naluri seorang ibu berbisik kepadanya agar segera ke bilik Hasya. Sebaik dibukakan pintu berhias gambar Snow White yang tidak berkunci itu, jantungnya umpama jatuh meluruh ke lantai

Naim dilihatnya sedang membuka butang baju Hasya yang masih lena, satu persatu! Hasnah terpekik, Abang!