Jameng dan orang-orangnya yang berjumlah 210 orang itu, telah dibahagikan kepada empat kumpulan. Setiap satu kumpulan didampingi oleh spisis jin masing-masing.
Jameng berada di dalam kumpulan pertama yang dinamakan Bumi Merekah; didampingi oleh jin tanah. Kumpulan kedua Awan Kelabu; didampingi oleh jin angin. Kumpulan ketiga Sayap Membara; didampingi oleh jin api. Dan terakhir kumpulan keempat Lautan Beracun; didampingi oleh jin air.
Di sepanjang latihan besama jin tanah, Jameng serta pengikut kumpulan ini, sering menjalani latihan di mana separuh tubuh mereka dipasak dan dikambus di dalam tanah, di tengah panas. Mereka harus melatih diri untuk bernafas dalam keadaan begitu hingga berjam lamanya, selagi tahan.
Latihan bersama jin agin pula, mereka dilatih terjun dari tempat tinggi melebihi 4 meter ketinggian. Kemahiran dalam kumpulan ini adalah kecekapan melompat seolah-olah terbang.
Kumpulan jin api pula, terpaksa menjalani latihan berjalan atas bara api, sejauh 5 meter jaraknya. Berdepan dengan kaki melecur bukan lagi halangan tetapi kadang-kadang ada ramai di antara mereka terpaksa berdepan dengan kelumpuhan separuh badan jika gagal melepasi latihan itu.
Akhir sekali latihan bersama jin air, mereka seringkali berlatih merendamkan separuh tubun mereka ke dalam kawah air panas menghampiri tahap megelegak, selama beberapa minit. Dan sesekali dibawa ke tengah tasik dan berenang berulang alik hingga berjam-jam lamanya, jika gagal, mautlah habuannya.
Bayangkan betapa gagahnya pengikut-pengikut Jameng yang melalui latihan bersama jin-jin itu. Begitu bersungguh-sungguhnya Jameng membuat persiapan untuk menentang orang-orang Nabui Arshi, barangkali mengetahui kehandalan ilmu peperangan yang dimiliki Karkuma dan pengikut-pengikutnya.
Sementara itu, Karkuma dan pengikut-pengikutnya sudah lama mendapat berita Jameng merancang menyerang mereka. Apa strategi Karkuma selain menggunakan tengkolok atau kain lilitan kepala Apakah Karkuma mampu menentang Jameng yang akan menggunakan sihir hitam yang lebih dahsyat kejahatannya Jin-jin pendamping Jameng hebat keupayaan merasuk.
Jin tanah; jadi-jadian separuh manusia dan pokok di hutan, akan menjelma melalui busut-busut.
Jin angin; jadi-jadian kepala manusia. Tali perut dan ususnya berjurai, berterbangan paling rendah tujuh kaki dari paras muka bumi. Pantang jika ia terbang di paras lebih rendah, dan ia akan terbakar hangus dimamah bumi. Lagi pantang jika ia terlanggar bumbung rumah yang berbentuk tajam. Ia pasti akan musnah tercacak buat selamanya di hujung tanduk bumbung.
Jin api; jadi-jadian menjelma sebagai manusia biasa di siang hari, tetapi untuk selama 30 saat sahaja sebanyak lima kali. Dan bertukar pada bentuk asalnya di kala senja iaitu menjadi harimau, tetapi berkaki dan berekor seperti babi.
Jin air; walaupun jin air, tetapi ia pantang terkena air. Jadi-jadian bertubuh persis manusia, tetapi cuma empat jari-jari di kaki dan tangan. Mukanya juga persis manusia. Namun amat menakutkan jika sesiapa terpandang bahagian belakang kepalanya, kerana di belakang kepalanya ada satu lagi muka yang ditutupi rambut panjang. Jika sesekali ditiup angin muka itu akan terserlah, dan barang sesiapa terpandang muka yang satu lagi itu, pasti akan jadi bisu sepanjang hayat.
Mampukah tengkolok berisi dengan jampi serapah serbuk kunyit, bertahan lama menentang tentera jongosjongor, iaitu gelaran yang diberi oleh Jameng kepada bala tentera jinnya yang empat jenis golongan itu. Tentera jin jongosjongor akan berdamping pada setiap pedang orang-orang Jameng. Pedang yang dikatakan hebat dan kuat.
Itu semua Karkuma dan Khaufli telah ambil kira dan mereka bernasib baik kerana rahsia kelemahan jin-jin dampingan Jameng sudah diketahui. Karkuma juga bernasib baik kerana para pedagang dari negara Gangga setuju menukar dagangan mereka iaitu logam pembuat sejata dengan lambakkan kunyit dari ladang-ladang milik orang-orang Nabui Arshi.
Sembilan bulan sebelum itu, Karkuma dan beberapa orang kuatnya pernah bermesyuarat di pangkin belakang rumahnya selepas selesai latihan silat.
Pedang kami harus lebih kebal daripada pedang orang Nabui Huku, Khaufli memberi cadangan.
Tapi, banyak belanja diperlukan untuknya. kata Karkuma.
Mereka yang lain berkerut dahi memikirkan pembuatan pedang khas sebagai senjata. Khaufli Shuhada memberi cadangan.
Daku punya gagasan. Khaufli tiba-tiba beredar dari situ sebelum muncul semula membawa sedulang ubi kunyit dan letak di hadapan mereka.
Eh..apa halnya kunyit hidup yang banyak nen Tanya Hakap.
Kunyit...bukan kunyit hidup Khaufli hairan. Hakap memandang arah pokok-pokok kunyit yang banyak tumbuh di kawasan semak tidak jauh dari mereka.
Dulu sebelum mika beranak lagi, di sanalah tempatnya, sekalian pepokok kunyit sujud pada kaki Aba Kuma. Pepokok utu hidup bernyawa umpama manusia, malah berperibahasa dengan Aba Kuma! Hakap senyum memandang wajah Karkuma dan terkenangkan mukjizat yang pernah berlaku lebih 20 tahun dahulu. Teggal menaggangguk dengan penuh teruja.
Ooo, padanlah apak sekalian selalu sebutnya kunyit hidup. Fahamlah Khaufli mengapa selama ini mereka gelar ubi-ubi kunyit sebagai kunyit hidup.
Baik, mula hari inen, kami panggilnya, kunyit hidup! Tegas Khaufli dan mereka yang ada di situ ketawa kecil tanda setuju dengan cadangan itu. Dan Khaufli kembali membawa mereka kepada kunyit hidup yang bertimbun di dalam dulang di depannya.
Digenggam setiap butir kunyit hidup dari dulang, satu persatu. Sesudah dapat sebutir kunyit hidup yang dicari, dia menggenggamnya.
Yang inen tumpat dalam genggaman ku, tengok, Khaufli tunjukkan genggamannya.
Yang inenlah bakal dijadikan bentuk pemegang senjata orang-orang Nabui Arshi, kata Khaufli. Mereka yang ada di situ tercengang.
Suasana senyap sunyi seketika. Adakah mereka setuju dengan bentuk pemegang senjata yang dicipta oleh Khaufli Tiba-tiba muncul Jianok, membawa seikat ikan bersamanya.
Maaf akan daku lambat datang. Daku menjala dini malam. Kata orang, tatkala bulan mengambang, banyak ikan naik di permukaan. Tercungap-cungap Jianok menjelaskan sebab dia lewat, melarat-larat hingga bercerita petua menjala ikan. Maklumlah Jianok lahir dari keturunan nelayan.
Apa susup atawa benar nen. Langka kami tengok ikan sebegini Tanya Karkuma, matanya tidak berkedip perhatikan seikat ikan di tangan Jianok.
Ikan keliris. Jawab Jianok lurus.
Tanpa diduga Khaufli menerkam ikan yang masih hidup bergerak-gerak itu. Mereka hairan melihat gelagat Khaufli.
Maaf apak sekalian, izinkan daku duduk di tepi. Diambilnya seekor ikan keliris yang paling panjang, diletakkan di atas pangkin. Gelagat Khaufli itu membuatkan mereka yang ada di situ memberi tumpuan kepadanya. Khaufli terus petah bercakap, melahirkan idea mengenai bentuk senjata paling sesuai untuk orang Nabui Arshi, apabila menentang orang-orang Jameng.
Kebetulan bentuk ikan keliris itu hampir serupa seperti belut laut tetapi ia lebih nipis dan panjang. Jika berada di darat, keliris mengembangkan dua insangnya yang berbentuk tajam di hujung, lebar dipangkal. Sekali pandang, ikan keliris yang sedang menggelupur kelemasan tanpa air, seakan mengembangkan insangnya.
Tubuhnya bergerak-gerak seperti ombak berlekuk-lekuk. Terbayang di dalam kepala Khaufli bentuk senjata mereka seperti gerakan ikan keliris itu. Sedang ikan itu nazak, suasana menjadi semakin dramatik, mereka semua membisu, masing-masing kelu lidah tanpa kata-kata. Apabila nyawa ikan itu terputus, maka terjadi satu keajaiban. Ikan keliris itu mengeras. Bentuknya berlekuk-lekuk dengan insangnya terbuka luas.
Tidak semena-mena Khaufli meletakkan kunyit hidup yang berada di genggamannya, di muncung ikan itu. Maka terbentuklah seperti sebilah keris berluk sembilan. Pemegangnya berbentuk kunyit hidup.
Senjata nen daku gelar keris, sempena nama ikan keliris utu. Kata Khaufli dengan yakin.
Penyudahnya ikan keliris nen membuahkan ilham dikau untuk reka senjata. Kata Jianok.
Tadi, sekelumit pun ikan keliris utu idak berupa senjata. Tapi kala seketul kunyit hidup dicantum dengannya, ibarat kunyit hidup utu yang menghidupkan rupa ikan keliris utu jadi senjata. Kata Karkuma yang sangat bangga dengan kecerdikan anaknya, mengilhamkan keris istimewa untuk orang Nabui Arshi. Semua mengangguk setuju.
Kunyit hidup bukan saja menghidupkan mata kami menengok ikan jadi senjata, tapi juga telah banyak buat jasa pada orang Nabui Arshi. Kerananya kami dapat terus hidup, pulih dari berbagai-bagai penyakit, kata Jianok dengan nada terharu dan berkobar-kobar.
Terpegun semua yang mendengar Jianok yang sesekali bersuara tetapi penuh bersemangat. Karkuma mendekati Jianok menepuk-nepuk bahu anak muda itu.
Karkuma berpaling ke arah pengikutnya yang sejak tadi begitu setia, langsung tidak berganjak dari pangkin di tepi gelanggang silat.
Sekarang, kunyit hidup, adalah azimat orang Nabui Arshi. Dan senjata kami pula dipanggil keris. Kata Karkuma dengan tegas. Kemudian mengangkat kedua tangan menadah ke langit, diikuti semua mereka. Junjung kaseh buat Dianya.
Selepas pertemuan itu, terciptalah senjata orang Nabui Arshi, yang dipanggil keris. Sebilah keris diperbuat daripada logam besi dan perak, pemegangnya dari kayu berukir, berbentuk seketul kunyit hidup sebesar genggaman.
Lebih seratus bilah keris sudah disiapkan. Keris-keris itu ditukang oleh orang Nabui Arshi sendiri selain suku kaum Anyer yang sememangnya terkenal sebagai tukang seni, tukang membuat pelbagai perhiasan dari emas dan perak.
Malam itu sebanyak 50 bilah keris dihantar ke rumah Karkuma untuk diuji. Sementara menunggu pesilat masuk gelanggang, Karkuma menggilap setiap bilah pedang keris dengan daun kunyit. Sambil itu dia ternanti-nanti kelibat kepulangan Khaufli dari istana.
Pegawai istana cakap, petang nen Khaufli akan dihantar, tapi sampai gini hari udah malam buta, mana Khaufli, awok Sirehpani bertanya penuh resah.
Usah merambang, yayi. Kalu idak malam nen pulangnya Khaufli, mentak esoklah, ya. Karkuma menenangkan isterinya dengan kata-kata yang terpilih bahasanya.
Bagaimanapun, raut wajah Karkuma tidak Berjaya menyembunyikan perasaannya, yang sebenarnya lebih resah dari Sirehpani.
Ini ternyata sekali sejak dua hari Khaufli berada di Istana Bijingga, Karkuma langsung tidak makan, hanya air suam dan susu kambing sahaja menjadi pelapik perutnya.
Teggal dan Saruni tiba di gelanggang silat malam itu tanpa anak gadis mereka.
Mana Bini, malam inen pun dak ikut Tanya Sirehpani kepada Saruni.
Sejak Khaufli ke istana, saban hari Bini berkurung, idak tergamak daku menanya, jawab Saruni.
Suasana di gelanggang silat malam itu sungguh meriah, masing-masing cukup bersemangat berlatih. Namun sesekali ada ketikanya Karkuma dan lain-lain akan termenung gelisah memikirkan keadaan Khaufli Shuhada yang masih berada di Istana Bijinga.
Buat pertama kalinya, lebih 50 pesilat beradu pencak bersenjatakan keris. Riuh rendah latihan sehingga berlarutan pukul tiga pagi.
Eh, apa kena rumah kami latat kegelapan Tiba-tiba Saruni bertanya suaminya Teggal. Mata Saruni tidak berkelip melihat ke arah rumah mereka.
Mentak Bini yang padam akannya pelita-pelita utu, kata Teggal. Tetapi bagi Saruni mustahil Bini memadamkan semua pelita yang terpasang tadi.
Tapi dihati ku rasa dak sedap nengar. Kami beransur dulu, ya. Saruni terus menghulur salam pada Sirehpani, bergegas hendak pulang. Teggal juga begitu, terus bersalaman dengan Karkuma. Wajah suami isteri itu diselubungi kebimbangan, memikirkan pelbagai kemungkinan boleh berlaku di rumah mereka, lebih-lebih lagi anak gadis mereka, Bini, berseorangan.
Karkuma dan Siehpani berasa tidak sedap hati, lalu mereka pun bergegas mengekori Saruni dan Teggal.
Awok, apa kena jantung yayi berdetap-detup nengar kencang nen Tanya Sirehpani pada Karkuma.
Dak ada yang akan merusuh hati dikau utu, melainkan hal Khaufli, kata Karkuma pada isterinya dengan penuh yakin, kerana dia juga begitu. Menyebut tentang Khaufli sahaja, kebimbangan terus melanda mereka.
Kerisauan juga melanda Khaufli yang masih terkurung di bilik khas dalam Istana Bijinga. Walaupun bilik kurungan itu indah dan disediakan makanan enak, namun bagi Khaufli, dua malam terkurung di situ amat menyeksakan hinggalah dengan tiba-tiba dia akan dibebaskan.
Tuan hamba dititah ke balai lulur sekarang, kata pengasuh istana yang kemudian mengiringinya.
Belum lama dia menunggu, Puteri Dewi Manggis muncul. Berlainan benar cara pertuturan Puteri Dewi Manggis terhadap Khaufli pagi itu.
Udahkah engkau timbangkan pelawaan kita Tanya Puteri Dewi Manggis dengan lembut menggoda.
Mohon diampun wahai Perawan Puti. Sungguh, kula idak berdaya untuk menyempurnakan hajat Perawan Puti, bebaskanlah kula yang hina, jawab Khaufli dengan nada penuh yakin tetapi dalam hati menyimpan kerisauan.
Katakan pada kita, apa yang sebenarnya, maka engkau kita bebaskan. Kata Puteri Dewi Manggis, sambil melemparkan senyuman sinis yang penuh musykil.
Ampun, Perawan Puti. Bahawasanya kula telah mengikat kasih dengan sorang gadis kebanyak, sama daerah dengan kula, Khaufli tidak teragak-agak berterus-terang kenapa dia menolak Puteri Dewi Manggis yang berkeinginan menjadi isterinya. Yang sebenarnya acara acaram pun udah berlangsung. Khaufli memberi penjelasan dengan penuh rasa yakin bahawa Puteri Dewi Manggis akan menerima kenyataan.
Hemm, kerana engkau lurus hati berkata benar, Puteri Dewi Manggis menjamah sedikit makanan, maka dengan inen, engkau kita benarkan pergi! Puteri Dewi Manggis berdiam sejenak sebelum tiba-tiba memekik ke arah pengawal.
Pengawal! Bebaskan khaufli!
Khaufli mengeluh lega, Menjunjung kaseh Perawan Puti, merasa dirinya seolah-olah bermimpi. Puteri Dewi Manggis perhatikan Khaufli beredar pergi, sambil melemparkan senyuman penuh makna dan berkata, Akan kita ambil hatinya! Puteri Dewi Manggis umpama bergurau.
Mendung bertukar cerah. Matahari tegak di atas kepala. Awan tebal beredar pergi umpama memberi laluan kepada matahari menerangi Khaufli yang berlari menyusup masuk ke halaman rumahnya.
Apak! Emak! Khaufli nen! Khaufli memanggil-manggil ayah dan ibunya di depan rumah, tetapi hanya bunyi kicauan burung yang didengarnya. Suasana sunyi sepi. Khaufli bingung melihat pintu rumah tertutup rapi dan terkunci. Khaufli memandang sekeliling. Sekali lagi kebingungan melanda fikirannya, kerana bukan di keliling rumahnya sahaja yang sunyi sepi, malah hampir sekeliling kampung sunyi seperti tiada penduduk.
Tiba-tiba dia tersenyum, berkata dalam hati mungkin ayah dan ibunya bertandang di rumah besan mereka.
Khaufli tersengih-sengih berjalan ke rumah Teggal. Dalam fikirannya hanya ada wajah Bini, tunang yang dikasihinya.
Apak! Makcik! Bini! Khaufli berkali-kali memanggil penghuni rumah. Nampaknya rumah Teggal pun penghuninya tidak ada. Tiba-tiba dia terdengar, Khaufli! Namanya dipanggil. Dia kenal sekali dengan suara itu, suara yang didengarnya sejak dia lahir ke dunia ini. Sirehpani berlari mendakap Khaufli.
Oh, rindunya emak pada anak emak, luah Sirehpani mengusap-ngusap rambut anak tunggal yang disayangi tidak terhingga itu.
Daku pun rindu, balas Khaufli yang kemudian terpandang Karkuma.
Maafkan daku, yang telah membuat apak dengan emak gundah gulana, katanya seraya bersalaman dan mencium tangan Karkuma dan kemudian memeluknya.
Tiga beranak berpelukan melepaskan rindu, penuh kegembiraan sambil berjalan masuk rumah. Tiba-tiba Khaufli ternampak secebis kedukaan terselit di dalam hati ayah dan ibunya.
Apa kena bapak, emak masih berduka, sedangkan daku udah di sini Tanya Khaufli hairan.
Khaufli mula berasa ada yang tidak kena sedang berlaku. Sirehpani mengeluh panjang, kalau tadi air mata gembira bertakung di mata, kini air mata duka mengalir di pipi.
Awok, yayi dak tergamak... Sirehpani memandang suaminya. Kata Sirehpani sambil menundukkan kepala di hadapan suaminya. Karkuma terus membisu.
Khaufli bingung. Dia berpaling ke kiri memandang ibu, kemudian ke kanan, ayahnya pula, berulang-ulang buat seketika. Tetapi masih tiada sepatah perkataan keluar dari mulut mereka. Dia makin keliru.
Apakemak, izinkan daku bertandang ke rumah apak Teggal barang sekejap Berapi rindu hati ku mau bertemu Bini. Kata Khaufli meminta izin pergi ke rumah tunangnya.
Nanti! Karkuma bersuara sambil menarik tangan anaknya itu. Tersekat-sekat nafasnya.
Khaufli anak kukami baru kejap balik dari pengkebumian...err, Karkuma tarik nafas, sebaknya dia.
Bini udah pergi meninggal akan dunia inen. Satu nafas Sirehpani sampaikan berita pahit itu kepada Khaufli, kemudian dia terus mememeluk suaminya. Mereka berdua tercegat, tidak sanggup memandang wajah Khaufli. Mereka tahu berita itu pastinya menyiksa jiwa dan raga Khaufli kerana Bini adalah manusia paling istimewa dalam hatinya.
Pedih leher Sirehpani bagai dihiris sembilu, ketika menyampaikan berita itu pada anaknya. Dan Khaufli seperti yang dijangka, Emak katakanlah yang emak berolok-olok dengan ku. Khaufli mengusap rambutnya berkali-kali, pada wajahnya tergambar kekusutan seperti orang hilang akal, Bini! Khaufli memejamkan matanya serapat-rapat yang boleh, sambil keras berdiri tegak di situ.
Kepanasan matahari terik memancar bumi dirasanya seperti salji. Seluruh tubuh Khaufli kesejukan dan pucat. Tiba-tiba dia rebah melutut ke tanah di depan kedua orang tuanya. Bini sudah pergi tidak akan kembali buat selamanya.
Air mata Khaufli mencurahi bumi seperti hujan, tetapi teriak tangisnya tidak pula kedengaran kerana yang berteriak adalah batinnya sehingga merobek kalbu. Jiwanya mati dibunuh kedukaan.
Apak, emak...koyak rabak segala kebahagiaan ku. Kemudian Khaufli bangun, Izinkan daku melihat ke kubur Bini, Khaufli berkata dalam linangan airmata.
Sirehpani dan Karkuma mengangguk dengan penuh rasa sedih memerhatikan Khaufli perlahan-lahan melangkah pergi dari situ, menuju ke tanah perkuburan tempat Bini disemadikan, bersama Tuk Pagai dan Mak Mandeh. Kawasan perkuburan yang dibina khas untuk orang-orang Nabui Arshi, tidak jauh dari Madrasah Pagai.
Suasana keluarga Karkuma dan Teggal murung hingga seminggu lamanya. Berbagai kesimpulan dibincangkan, tetapi semuanya gagal menemukan jawapan punca kematian Bini.
Pada malam kejadian, Teggal dan isterinya masuk rumah dalam keadaan gelap gelita. Semua pelita dinyalakan semula dan mereka lihat mayat Bini terbujur di lantai, berlumuran darah. Dadanya dibelah dan jantungnya dicuri.
Apabila Khaufli diberitahu jantung Bini telah dicuri, dengan spontan sedarlah dia bahawa Bini dibunuh oleh Puteri Dewi Manggis.
Terngiang-ngiang telinga Khaufli akan kata-kata akhir Puteri Dewi Manggis tempoh hari; Akan kita ambil hatinya.
Sedikit pun tiada dalam dugaannya puteri itu akan membunuh Bini. Kekesalan menikam jiwa dan raga Khaufli tetapi tiada apa perlu dibuat lagi, kecuali kalau dia berdaya mematahbalikkan putaran planet bumi.
Perkara itu Khaufli rahsiakan dari pengetahuan sesiapapun, apabila ibu dan ayah bertanya mengapa dia dibawa ke istana, dia hanya menyatakan dia disuruh mengajar Puteri Dewi Manggis menulis dan mengarang puisi.
Sejak kematian Bini, tunang yang amat dicintainya, kehidupan Khaufli banyak berubah. Sudah jarang kedengaran gelak tawanya, sudah tiada lagi senda gurau darinya.
Kepiluan yang mencengkam jiwa Khaufli dek kehilangan Bini, membabitkan kedukaan kepada Karkuma dan Sirehpani juga. Dan, kedukaan mereka bererti kesedihan pula kepada orang-orang Nabui Arshi.